Isnin, 10 Ogos 2009

Tawassul & Paderi

Tawassul & Paderi

Soalan :

Apakah bezanya diantara tawassul dan kuasa seorang paderi mengampun dosa? Wassalam.

Abdullah K C

Jawapan HF / Hafiz Firdaus - http://hafizfirdaus.com:

Assalamualaikum waRahmatullah,

Jika yang dimaksudkan ialah beristighfar dan bertaubat kepada seseorang manusia, tidak kira apa maqamnya, dengan fahaman bahawa dia mampu mengampunkan dosa kita, maka ia bukanlah merupakan konsep Islam. Mengampunkan dosa samada kecil atau besar ialah hak Allah Subhanahu waTa’ala sahaja, manusia tidak memiliki kuasa memberi ampun.

Allah Azza waJalla berfirman maksudnya:

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa MELAINKAN Allah , dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). [Ali Imran 3:135]

Dan Dia-lah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hambaNya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan); dan Ia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan. [as-Syura 42:25]

Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam juga tidak memiliki kuasa untuk mengampun seseorang:

Engkau tidak berhak sedikit pun (wahai Muhammad) dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu, (kerana urusan mereka tertentu bagi Allah), sama ada Dia (Allah) menerima taubat mereka ataupun Ia menyeksa mereka; kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim. [Ali Imran 3:128]

Tawassul yang dibenarkan dalam Islam dalam bab meminta ampun dan bertaubat ialah kita meminta seseorang turut mendoakan KEPADA Allah untuk mengampunkan dosa-dosa kita.

Contohnya Ahmad meminta kepada ibunya, “Emak, saya telah banyak membuat kesalahan dan kini saya dalam usaha untuk mengubah diri saya. Tolong doakan agar saya memiliki jati diri untuk menghadapi perubahan ini dan agar Allah mengampunkan dosa-dosa saya yang lepas” atau apa-apa lain yang seumpama.

Ada bentuk tawassul kedua yang diperselisihkan, iaitu berdoa kepada Allah dengan perantaraan seseorang lain, seperti berdoanya Jamal:

Ya Allah, aku memohon kepada engkau dengan kemuliaan dan ketinggian Shaikh Fulan bin fulan agar engkau mengampuni dosa-dosa akuatau apa-apa lain yang senada.

Tawassul sebegini sebaiknya ditinggalkan kerana seseorang itu sebenarnya sedang meniti sebuah jambatan kecil yang jika dia tergelincir, dia akan jatuh ke lembah syirik. Antara penyebab utama seseorang mahu bertawassul dengan cara di atas ialah kefahaman bahawa dirinya terlalu kotor berlumuran dosa sehingga dia tidak layak memohon direct kepada Allah. Atau Allah tidak akan mengampunkan dirinya yang tersangat berdosa melainkan melalui orang tengah.

Harapnya firman Allah Ta’ala berikut ini dapat menjernihkan kekeruhan di atas:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah MELAMPAUI BATAS terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [az-Zumar 39:53]

Sabda Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam:

“Seandainya kalian berbuat salah sehingga (kesalahan tersebut) mencapai langit, kemudian kalian bertaubat, nescaya Allah akan menerima taubat kalian.” [HR Ahmad dan Ibnu Majah dengan isnad hasan, lihat Sunan Ibnu Majah – no: 4248]

Jika saudara AKC ingin menambah pengetahuan tentang perbezaan konsep taubat antara Islam dan Kristian, ada sebuah buku yang ditulis khas oleh Abu Ameenah Bilal Philips dalam bab ini, judulnya: “Salvation Through Repentence: An Islamic View.”

Shaikh Yusuf Qardhawi juga ada menulis sebuah buku tentang “Taubat”, ia telahpun diterjemahkan ke bahasa Indonesia, diterbitkan oleh Pustaka al-Kautsar, Jakarta 1999.

Sekian wasallam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Komentar Anda...