Selasa, 18 Oktober 2011

BUNUH DIRI

Assalaamu`alaikum wtb.

Gejala bunuh diri semakin sering kita dengar dewasa ini. Dalam agama Islam, bunuh diri hukumnya haram dan berdosa besar orang melakukannya. Apabila hal ini telah berlaku, ramai pula orang yang keliru meletakkan hukum dan khilaf besar dalam menyikapi dan menangani situasi tersebut.

Untuk lebih jelas; berkenaan hukum, dalil dan cara menyikapi situasi berkaitan, mari kita menimbangnya dengan perintah Allah SWT dan panduan Rasulullah saw.

1. Allah SWT mengingatkan dengan tegas dalam Surah An-Nisaa ayat 29-31: "Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sungguh, Allah Maha Penyayang kepadamu. Dan sesiapa berbuat demikian dengan.cara melanggar hukum dan zalim, akan Kami masukkan dia ke dalam neraka. Yang demikian itu mudah bagi Allah. Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang mengerjakannya, niscaya Kami hapuskan kesalahan-kesalahanmu dan Kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga)".

2. Allah SWT juga menggariskan sebagai panduan umum kepada kita dalam Surah Al-Baqarah ayat 195: "Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik".

3. Dari Jundab bin Abdillah, bahawa Rasulullah saw pernah mengingatkan : "Dahulu di antara orang-orang sebelum kalian ada seseorang yang terluka lalu ia berputus asa kerana luka tersebut. Kemudian dia mengambil sebilah pisau lalu memotong tagannya dengan pisau itu. Darahnya terus mengalir sampai akhirnya ia mati (kehabisan darah). Maka Allah Ta'aala berseru : "Hambaku telah mendahului (ketentuan atau ajal)-Ku dengan tangannya sendiri (bunuh diri). Maka akan.Aku haramkan baginya syurga". [Muttafaqun `alaih]

4. Dari Abu Hurairah ra, ia berkata bahawa Rasulullah saw pernah bersabda : "Sesiapa yang bunuh diri dengan sepotong besi, maka ia akan memegang potongan besi tersebut dan akan menusukkan ke perutnya, ia berada di neraka jahannam dan kekal untuk selamanya. Dan sesiapa yang bunuh diri dengan meminum racun, maka di neraka jahannam, ia akan meminum racun terus menerus dan kekal di dalamnya untuk selamanya". [Muttafaqun `alaih]

5. Dalam sebuah untaian hadith shahih disebutkan tentang orang yang merasa kesakitan kerana luka-lukanya sehingga ia tergesa-gesa untuk mengakhiri hidupnya dengan cara bunuh diri - dengan menusukkan pedang ke perutnya. Maka Rasulullah saw bersabda : "Ia termasuk di antara penduduk neraka" [Muttafaqun 'alaih]

6. Dari Yahya bin Abu Bukair, dari Abu Qilabah dari Tsabit bin Adh-Dhahhak bahawa Rasulullah saw bersabda : "Melaknat seorang mukmin samalah (dosanya) dengan membunuhnya. Sesiapa yang menuduh (qazafa) seseorang mukmin dengan kekafiran, maka samalah (dosanya) dengan membunuhnya. Sesiapa yang bunuh diri dengan sesuatu, maka Allah akan mengazabnya dengan sesuatu yang ia gunakan untuk membunuh dirinya di hari Qiamat kelak". [Muttafaqun 'alaih]

7. Imam Muslim melaporkan dalam Bab : Tentang Orang Yang Mati Bunuh Diri, dari Jabir bin Samurah ra, ia berkata : "Bahawa pernah jenazah seorang laki-laki yang bunuh diri dengan anak panahnya didatangkan kepada Rasulullah saw, tetapi beliau tidak mensolatkannya".
[Tambahan - Dalam riwayat yang lain, Rasulullah saw tidak mensolati, namun memerintahkan para sahabat untuk mensolati jenazah tersebut - ERTINYA orang yang mati bunuh diri tetap Muslim, cuma berdosa besar kerana perlakuannya].

Nota Penting :

A. Hukum : Bunuh diri hukumnya haram - dosa besar.

B. Azab Seksa : Orang yang bunuh diri dimasukkan dan diazab di neraka sesuai dengan apa dia bunuh diri ketika di dunia. Sementara sakit perihnya ketika sakarat adalah sebahagian dari azab Allah di dunia kerana perbuatannya.

C. Sebab diseksa atau dosa besar - kerana mendahului ketentuan dan ajal yang telah ditentukan Allah SWT dengan tangannya sendiri.

D. Perlu diketahui dan diteliti dengan halus, bahawa Allah SWT dan Rasul-Nya sangat tegas dalam perkara ini. Sehingga Allah SWT mengancam pelakunya dengan siksaan neraka. Malahan, Rasulullah saw sendiri menegaskan bahawa pelakunya akan kekal di dalam neraka dan diazab mengikuti bagaimana ia melakukannya ketika di dunia. Ertinya - perlakuan itu sangat terlaknat dan tidak diredhai Allah Ta'ala dan Rasul-Nya.

E. Bagaimana dengan jenazah Muslim / orang yang bunuh diri? Jawapannya : Disempurnakan seperti mayyit yang biasa. Iaitu - dimandikan, dikafankan, disolatkan dan disempurnakan pengebumiannya di tanah perkuburan orang Islam juga!

F. Marilah kita husnuz zon - bersangka baik - dan memelihara aib arwah saudara kita itu. Perlakuan dosa telah terbuat, dosanya pada Allah SWT. Hak kita adalah memelihara keaiban saudara kita. Biarlah Allah yang Maha Bijaksana dan Maha Penyayang mengadilinya. Cukuplah bagi kita menghukumi menurut adat zahirnya sahaja. Tidak lebih dan tidak kurang.

Semoga perkongsian ini bermanfaat.

Salam al-faqiiir
Ustaz Abu Miftah

Rabu, 12 Oktober 2011

BOHONG

Assalaamu'alaikum wtb...

"Bohong satu kali adalah laksana nila
setitik dimasukkan ke dalam susu sebelanga.
Bohong satu kali kerap menjatuhkan harga seseorang
di hadapan sesama manusia untuk selama-lamanya. Jujur dan benar
adalah sifat semulajadi manusia. Suara hati yang asli adalah jujur dan tidak mahu berbohong.

Orang yang berani berkata terus-terang, adalah orang yang mendidik jiwanya
sendiri untuk merdeka. Dan orang yang berani menerima perkataan
terus-terang, adalah orang yang membimbing jiwanya kepada
kemerdekaan. Sebab itu, dapatlah dikatakan bahawa,
kebenaran itu adalah kemerdekaan".

[Nukilan kata-kata Prof. Dr. Hamka - "Bohong Di Dunia", Bukittinggi - November 1949]

Sekadar menukilkan semula kata-kata sang pujangga 'Buya Hamka' dalam pendahuluan bukunya di atas - beliau mengatakan : "Tidak ragu lagi bahawa kemerdekaan suatu bangsa adalah hasil dari kemerdekaan jiwa. Salah satu bukti suatu jiwa yang masih budak, jiwa hamba; ialah kebiasaan membohong, kebiasaan memungkiri janji dan kebiasaan tidak bertanggungjawab atas suatu kesalahan yang dilakukan dan tidak mahu mengaku di atas suatu perbuatan dari hasil tangan sendiri.

Kalau kiranya kita kupas dengan saksama perkataan "Mengaku" nampak bagaimana seseorang harus mengemukakan AKU-nya di dalam perbuatan yang dilakukannya. [Tambah buya, dengan berlatarbelakangkan kondisi ketika itu] Dapatlah kita fahami jika sekiranya ketika Jepun masuk ke dalam tanahair kita, kerap benar mereka menyeksa yang sangat kejam kepada seseorang tertuduh yang tidak mengaku kesalahannya.

Setelah bergaul di dalam segala kalangan, terasa kebesaran hati dapat kita mengetahui jiwa seseorang dan dapat kita meletakkannya pada tempatnya; jika sekiranya dia bersikap terus-terang. Tetapi alangkah sakitnya - sakit sangat - jika bertemu dengan orang pembohong, pendusta, yang di hadapannya dan di hadapan kita telah bertumpuk bukti-bukti dan alasan yang cukup atas suatu kesalahan yang dilakukannya. Namun, dia masih mengelakkan tanggungjawab, masih mungkir janji. Katanya, dengan itu, dia melepaskan diri. Padahal, dengan itulah dia menyusahkan diri sendiri, menyebabkan jiwanya sendiri merana, kerana raut muka dan mata dari seorang yang menyembunyikan kebenaran itu, sentiasa juga menggambarkan apa yang ada dalam hatinya.

Maka, tersebutlah sabda Nabi Muhammad SAW bahawa : "Dusta adalah ibu kepada segala dosa".

Kita merasa kasihan melihat kemelaratan dan kekecewaan yang memenuhi hati masyarakat; di mana-mana nampak perasaan tidak puas, ditambah lagi dengan pukulan kemiskinan pada zaman perang. Hampir pada setiap orang, baik lelaki atau perempuan, bohong itulah yang bermaharajalela. Suatu kesalahan yang telah dilakukannya, dan dia telah bertambah melarat disebabkan kesalahan itu, tetapi kalau dia ditanyakan dia tidak mahu mengaku. Dan tetap mungkir.

Menepati janji adalah hal yang luar biasa, dan memungkiri janji adalah hal yang sudah lumrah, bahkan tidak perlu dipersoalkan lagi. Berjanji mengadakan mesyuarat pukul lapan, maka semua orang sudah menduga terlebih dahulu bahawa mesyuarat itu akan dimulakan pukul sepuluh lebih kurang. Mana yang datang lebih dahulu menengok-nengok dari luar dan surut ke belakang melihat orang belum ada. Padahal, "orang" yang ditunggu itu ialah diri sendiri. Hal janji mesyuarat ini tidaklah diisesalkan benar. Kerana kata orang, di negara-negara yang kehidupannya masih bergantung kepada pertanian (agrari), cara orang berfikir lambat selambat tumbuh padi dan kacang. Berubah dahulu penghidupan ini, menjadi "cepat kaki ringan tangan", menjadi hidup industrial baharulah berubah pula perkara janji itu, kata mereka.

Tetapi melihat jiwa yang menderita lantaran bohong, pendusta tidak ada sangkut-pautnya dengan tanah agraria. Ini adalah lantaran kurangnya didikan dan sempitnya alam berfikir".

Demikian dinukilkan pernyataan Buya Hamka tentang gejala bohong ini.

Marilah kita renung-renungkan dan ambil manfaatnya. Semoga kita memiliki sikap yang jujur dan diberikan keberanian untuk mempertahankan kebenaran. Sebab, sikap jujur dan berani di hadapan kebenaran adalah merupakan intisari daripada jiwa orang yang merdeka. Sementara, bohong dan dusta atau munafik adalah gejala dari jiwa budak!

Salam,
Ustaz Abu Miftah




Selasa, 11 Oktober 2011

SOLAT OK, MAKSIAT JALAN TERUS

Assalaamu`alaikum wtb. .

Pernahkah kita terfikir atau membayangkan bahawa solat yang kita lakukan sehari semalam, yang berjumlah 17 rakaat tidak pernah diterima oleh Allah SWT? Atau, pernahkah kita merasakan bahawa ketika solat, kita tidak akan mendapatkan apa-apa pun dari solat yang telah kita lakukan? Lebih jauh lagi, tahukah kita apa yang menyebabkan itu semua terjadi? Dan, apakah benar bahawa perbuatan maksiat yang kita lakukan / terbuat amat mempengaruhi nilai solat yang kita lakukan sehingga Allah SWT pun enggan untuk mengabulkan doa-doa kita dan menjaga kita dari marabahaya yang sentiasa mengintai?

Demikianlah beberapa permasalahan yang sebenarnya berlegar diruang kehidupan kita.

Setiap orang Islam atau yang mengaku dirinya Muslim, pasti sudah mengetahui apa yang disebut dengan solat kerana ia adalah salah satu dari rangkaian pakej rukun Islam yang lima. Solat juga diajarkan (sepatutnya begitu..) oleh setiap orang tua / ibubapa kepada anak-anaknya sejak usia awal - idealnya penekanan belajar dan mengamalkannya sejak umur seawal 7 tahun lagi.

Selain itu, solat adalah ibadah wajib bagi setiap Muslim (fardhu `ain) dan merupakan `oleh-oleh` yang dibawa Rasulullah SAW ketika beliau melakukan perjalanan Isra` Mi`raj menghadap Allah SWT.

Dalam ajaran Islam, ada banyak keterangan tentang solat yang diabadikan oleh Allah SWT dalam Al-Quran dan terakam dalam hadith Rasulullah SAW. Di dalam kedua sumber primer ajaran Islam tersebut termuat kewajipan, manfaat dan matlamat perlaksanaan ibadah solat secara sempurna. Manfaat paling penting dari solat adalah dapat mencegah, menghindarkan dan sekaligus menjauhkan kita sebagai Muslim dari perbuatan-perbuatan yang keji dan munkar - sebagaimana dijelaskan Allah SWT dalam surah Al-Ankabuut ayat 45.

Jelasnya, solat dapat menghindarkan diri kita daripada perbuatan maksiat yang selalu dibisikkan iblis laknatullahi `alaih ke dalam lubuk hati setiap saat. Jika sudah demikian, maka manfaat dan impak solat menjadi benar adanya kerana setiap perkataan Allah SWT pastinya merupakan jaminan dan janji yang tentunya wajib kita yakini dan bukan sebaliknya kita ingkari.

Nah, persoalan lainnya ialah - meskipun solat sudah dijalankan sehari semalam - lima waktu / sebanyak 17 rakaat ditambah dengan solat-solat sunnah, namun jika kita melihat reliti yang ada di masyarakat, justeru banyak juga ummat Islam yang terjerumus malah semakin hanyut ke dalam arus perbuatan syaitan. Di antara orang-orang yang terlibat korupsi, penyelewengan, zina, mencabul, meragut, merompak, membunuh, pelacuran, pornografi, pornoaksi dan pelbagai kriminal dan kejahatan; di sana kita dapati ada ramai orang Islam yang melakukannya. Dan, diantara orang Islam tersebut, tidak sedikit yang mengaku menunaikan solat dan tidak pernah melalaikannya - ironinya, ada guru mengaji Al-Quran yang tertangkap kerana merogol atau mencabul muridnya. Memalukan dan mengaibkan sungguh!!

Maka timbul polemik, dimana jaminan dan janji Allah SWT kepada mereka yang solat - berupa pencegahan dan perisai diri daripada fahsya wal munkar (keji dan mungkar)?? Timbullah frasa yang agak sinis "SOLAT OK, MAKSIAT JALAN TERUS".

Solat itu wajib! Solat itu fardhu `ain - lebih berat lagi tuntutannya kepada yang telah baligh! Kewajipannya adalah meliputi semua mukallaf, baik lelaki mahupun perempuan. Tuntutan untuk menunaikannya pasti sampai ke mati, dalam apa jua keadaan, hatta sekalipun dengan duduk, berbaring; bahkan didalam perang, ketika musafir - kewajipannya diiringi dengan azimah dan rukhsoh. Pokoknya - ia ibadah yang sangat penting, bahkan seolah-olah menjadi 'tiket' hisab kepada amal-amal yang lain.

Dalam tulisan ringkas ini, saya cuma utarakan beberapa hal yang menjadi sebab dasar mengapa solat ok tapi maksiat jalan terus. Antara sebabnya :

1. Tidak tahu makna solat yang sebenar - termasuk keperluan melaksanakan secara sempurna dan berkesinambungan.
2. Menjadikan atau menganggap solat semata-mata sebagai ritual yang harus dibuat secara rutin.
3. Tiada motivasi yang benar ketika menunaikan solat.
4. Berhubungkait dengan wudhu yang tidak berkualiti.
5. Niat yang tidak tegak diatas paksi keikhlasan dan ketulusan LIllahi Ta'aala.

Maka, secara singkat pula, marilah kita laksanakan dan tegakkan solat kita dengan :

1. Memperbaiki kualiti wudhu.
2. Meluruskan niat ketika akan solat.
3. Bersihkan hati dan fikiran ketika akan / sedang solat - khusyuk dipupuk & dilakukan berterusan.
4. Miliki motivasi solat yang benar & fokuskan fikiran.
5. Jadikan solat sebagai keperluan hidup - kerana ia sarana munajat direct kepada Allah SWT.
6. Menikmati solat - memahami apa yang dibaca, meresapi rasa tenang ketika akan ruku' dan sujud pada Allah.. merasakan dengan tawadhu doa ketika duduk antara dua sujud dan sebagainya.
7. Mensinergikan solat dengan kehidupan - duniawi & ukhrawi realitinya adalah seiring dan sejalan. Kita rangkai falsafah dan roh solat dengan nilai dalam kehidupan seharian - energi solat dibawa pada kehidupan komuniti; ekonomi, sosial, politik dll.

Semoga bermanfaat.
Ust Abu Miftah

Jumaat, 7 Oktober 2011

ISLAM AGAMA MUNDUR?

Assalaamu`alaikum wtb,

Meneliti keadaan ummat Islam hari ini, ada yang berpandangan bahawa kemunduran yang dihadapi adalah berpunca dari agama Islam itu sendiri yang tidak sesuai dengan perkembangan zaman. Sementara itu, ketakutan kepada Islam atau Islamophobia turut terjadi kerana Islam dihubungkaitkan dengan fahaman keganasan, ekstrem dan fanatik. Malahan, ada yang beranggapan, Syariah Islam tidak sesuai dengan proses kemodenan yang sedang rancak berlaku.

Adakah benar anggapan-anggapan dan pandangan demikian?

Sesetengah yang lain pula berpendapat, bahawa Islam hanya sesuai sebagai ritual atau kerohanian semata tetapi tidak harus dicampuradukkan dengan cara hidup. Kata sesetengah mereka, kemurnian Islam akan menjadi rosak sekiranya Islam dihubungkaitkan dengan atau sebagai cara hidup.

Malah, ramai juga yang berpendapat bahawa kemajuan yang dibawa oleh Barat itu sudah Islam. Maka kata mereka, mengapa harus heboh-heboh lagi mengenai islamisasi ilmu, ekonomi, politik, pendidikan dan sistem tadbir urus? Tegas mereka pula, ikut saja apa yang Barat buat dan ambil yang mereka tawarkan, maka majulah ummat Islam.

Benarkah kemunduran ummat adalah disebabkan oleh hal-hal yang disinggung dalam kenyataan tadi?

Pada kenyataannya, pendapat-pendapat itu harus ditelaah oleh kita semua berlandaskan nilai ilmu dan maklumat yang benar, apa sebenarnya punca kemunduran berlaku. Beberapa perkara dalam Islam juga diangkat oleh mereka untuk dipermasalahkan; umpamanya - jihad (mengapa maksud jihad di dalam Islam menjadi kebencian orang Barat?) dan sebagainya. Mengapa Islam ditakuti dan dibenci serta sering diletakkan di `kandang tuduhan`? Apakah kemunduran ini kerana memang asbab ajaran Islam itu sendiri atau kerana kesalahan dan kesilapan penganutnya?

Saya sekadar menghimbau ingatan saudara-saudaraku sekalian pada persoalan yang masih bahkan mungkin akan kekal menghantui kita sepanjang zaman. Jawapannya terhidang pada khazanah kita sendiri. Kembalilah kita merenung seketika dengan mendalam situasi ini. Kerana kita sebagai penerus ummat ini harus memahami semua hal itu dengan baik supaya menjadi seorang Islam tidak harus dirasakan sebagai beban dan menjadi Islam sewajarnya memiliki imej maju dan cemerlang.

IZZAH atau nilai kemuliaan - itu adalah milik Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman!

Salam ukhwah
Abu Miftah

Jumaat, 30 September 2011

ALLAH, AL-QURAN DAN CINTA

AL-QURAN merupakan kitab yang lengkap dan sempurna, serta meliputi segala perkara yang dapat dijadikan sebagai panduan dan peringatan bagi manusia secara umum. Akan tetapi, terdapat sebahagian umat Islam yang hanya melihatnya sebagai kitab yang membicarakan tentang hal-hal yang bersangkutan dengan keimanan, ibadah, halal-haram mahupun tentang larangan-larangan Allah s.w.t. sahaja.

Sedangkan Al-Quran sebenarnya penuh dengan lafaz-lafaz cinta dan kasih sayang, dengan kekata yang berasal dari perkataan ‘rahmah’ sahaja diulang sekitar 178 kali di dalam Al-Quran. Malah, jika diamati pada setiap pembuka surah-surahnya, ianya dimulakan dengan lafaz ‘Bismillahirahmanirrahim’ yang bermaksud ‘Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang’.

Ketahuilah, Allah s.w.t. amat menyayangi hamba-hamba-Nya dan berjanji mengampun segala dosa-dosa mereka, selagi mana mereka mengasihi Allah s.w.t. dengan sepenuhnya, dan melaksanakan segala ajaran-Nya dengan penuh keimanan dan ketakwaan.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Ali-‘Imran ayat 31:

Ertinya: “Katakanlah: (Nabi Muhammad s.a.w.) Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Kita sering mendengarkan ungkapan kata-kata bahawa Allah s.w.t. murka kepada hamba-hamba yang mengingkari-Nya, tetapi jangan pula kita lupa bahawa Allah s.w.t. itu Maha Pengasih kepada hamba-hamba-Nya yang suka melakukan kebaikan.

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-A’raaf ayat 56:

Ertinya: Sesungguhnya rahmat Allah itu hampir kepada orang-orang yang melakukan kebaikan.”

Sewajarnya rasa cinta dan kasih sayang ini juga patut menjadi amalan kita sebagai ketua keluarga, terutamanya ketika menyeru mereka dalam melakukan perkara kebaikan.

Perhatikan saudaraku, bagaimana Allah mendatangkan kisah Luqman al-Hakim yang menasihati anaknya dalam melaksanakan perintah Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. dalam surah Luqman ayat 17:

Ertinya: “Wahai anakku, dirikanlah sembahyang, dan perintahkanlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu.”

Ingatlah... Allah s.w.t. itu amat mengasihi dan menyayangi hamba-hamba-Nya yang sentiasa berlaku ihsan terhadap kedua ibu bapanya.

Perhatikan, firman Allah s.w.t kepada Nabi-Nya Yahya a.s. dalam surah Maryam ayat 13-14:

Ertinya: “Dan kasih sayang dari sisi Kami, serta kelebihan yang kembang manfaatnya; dan ia seorang yang bertakwa. dan ia taat serta berbuat baik kepada ibu bapanya, dan ia pula tidak sombong angkuh atau derhaka.”

Perkara yang sama juga dituntut oleh Allah s.w.t. terhadap diri kita dalam bersikap belas kasihan kepada kedua ibu bapa.

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Israa’ ayat 24:

Ertinya: “Dan hendaklah Engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah”: “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

Ketahuilah... di dalam Al-Quran, Allah s.w.t. juga mengajar kita supaya bersikap lemah lembut dalam mengajak manusia ke jalan kebaikan, walaupun kepada orang-orang yang telah melampaui batas. Renungkanlah, bagaimana Allah s.w.t. mengajar Nabi Musa dan Harun a.s. tatkala mereka ingin berdakwah kepada Firaun.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Taha ayat 43-44:

Ertinya: Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.”

Perkara yang sama juga, disebutkan dalam Al-Quran bagi menggambarkan bagaimana akhlak Baginda Rasulullah s.a.w. ketika berdakwah kepada kaumnya bagi menarik mereka kepada ajaran agama Islam.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Ali ‘Imran ayat 159:

Ertinya: “Maka Dengan sebab rahmat dari Allah, kamu (Nabi Muhammad s.a.w.) telah bersikap lemah-lembut kepada mereka, dan kalaulah kamu bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.”

Semoga dengan ini... kita menyedari bahawa mesej dan kandungan intipati Al-Quran bukan sahaja mengandungi ancaman kepada mereka yang mengingkari Allah s.w.t., tetapi juga mengandungi ayat-ayat cinta dan kasih sayang. Itulah dia akhlak dan seruan yang dibawa oleh junjungan kita Rasulullah s.a.w., yang seharusnya diwarisi oleh kita, umat Nabi Muhammad s.a.w.

Khamis, 29 September 2011

HARGA SEBUAH KEHIDUPAN

Pada hari ini, darjat kehidupan manusia terdiri daripada pelbagai golongan iaitu golongan kaya, golongan pertengahan, golongan miskin dan golongan yang terpinggir. Berdasarkan pemerhatian, sudah menjadi adat kehidupan golongan yang berpendapatan tinggi dan berpangkat mendapat sanjungan, penghormatan dan di pandang hebat oleh masyarakat. Oleh itu untuk mengejar nilai kehidupan, ada di kalangan mereka sanggup merasuah dan membeli gelaran-gelaran tertentu. Kadang kala golongan ini yang dilihat mempunyai harga diri yang tinggi sebenarnya mempunyai ruang terbuka luas mengumpul kekayaan dan maju ke hadapan secara tidak sah.

Adapun golongan miskin dan terpinggir pula kelihatan kurang mendapat sanjungan sebagaimana yang diperolehi golongan kaya atau atasan. Manakala golongan bawahan sering mendapat laluan sukar dan terpaksa berhempas pulas mencari kesenangan hidup. Ini adalah lumrah kehidupan. Persoalan besar timbul ialah apakah perbezaan taraf hidup itu menentukan harga atau nilai kehidupan manusia.

Kita sering mendengar, malah dipaparkan dalam media massa mengenai kisah-kisah sedih penganiayaan, penzaliman, perhambaan terhadap golongan bawahan seperti amah atau pembantu rumah. Ini adalah salah satu contoh harga atau nilai hidup yang dialami golongan bawahan atau miskin dalam usaha mencari rezeki halal dan sesuap nasi untuk meneruskan kehidupan. Kita amat sedih, golongan yang mempercayai diri yang bernilai tinggi bersikap sombong dan bongkak sanggup melakukan kezaliman tanpa alasan yang benar.

Firman Allah SWT dalam surah asy-Syura ayat 42:

Maksudnya: Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang yang beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

Sekali imbas, dunia dirasakan tidak selamat kerana golongan yang kuat menindas yang lemah dan terdapat golongan yang kaya tamak haloba memburu kekayaan sama ada secara sah atau rasuah.

Kami ingin mengingatkan saudara seIslam sekalian apakah ini nilai atau harga sebenar dalam kehidupan kita?. Hakikatnya, Allah SWT telah banyak memberikan kita kesempatan iaitu sejak dilahirkan sehingga saat ini. Allah telah memberikan kita segala-galanya tanpa kita pinta. Tetapi jarang kita mensyukurinya kerana sesetengah dari kita merasakan itu adalah hasil jerih payah dan penat lelah kita sendiri.

Sabda Rasulullah SAW yang mafhumnya:

Sesiapa yang diberi suatu kebaikan hendaklah ia mengingatinya, sesiapa yang mengingatinya ia dianggap bersyukur. Sesiapa yang tidak mengenang budi yang diberi dianggap sebagai kaufur nikmat.”( Hadtih Riwayat At-Tabrani)

Kita bertanggungjawab dan perlu bersifat amanah sepenuhnya terhadap kehidupan manusia atau nasib diri kita sendiri. Kami percaya terdapat dua langkah meningkatkan nilai dan harga diri kita. Langkah pertama adalah dengan mengenali dan mengembangkan potensi yang ada di dalam diri kita sendiri. Langkah kedua adalah dengan memahami matlamat hidup kita di dunia ini supaya segala amalan yang kita lakukan lebih terarah dan selari dengan kehendak hukum syarak.

Kami ingin mengingatkan bahawa kadang kala sifat khianat dan perbuatan buruk menjatuhkan integriti dan harga diri manusia. Sifat khianat ini biasanya wujud pada golongan yang kurang nilai keimanannya. Lebih jelas lagi, sifat khianat ini merupakan antara ciri-ciri orang munafik yang disifatkan sebagai orang yang melanggar janjinya dan menodai kepercayaan yang tersemat dalam jiwanya. Malah Allah SWT telah melabelkan orang yang khianat itu sebagai sejahat-jahat makhluk yang amat dimurkai Allah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 55-56:

Maksudnya: “ Sesungguhnya sejahat-jahat (makhluk) yang melata di sisi Allah ialah orang yang kafir, sebab itu mereka tidak (mahu) beriman. Iaitu orang yang kamu telah ikat perjanjian dengan mereka, kemudian mereka mencabuli perjanjian pada setiap kali, sedang mereka tidak takut (akibatnya).”

Berdasarkan ayat di atas tadi, jelas di sini bahawa sifat khianat merupakan sifat yang amat keji dan dimurkai di sisi Allah. Ini kerana sifat tersebut amat merbahaya jika dibiarkan merebak dalam kehidupan sesebuah masyarakat. Akibat sifat keji tersebut bukan hanya menimpa pada orang yang melakukan khianat, malah ia turut memberi kesan yang buruk kepada orang yang dikhianatinya dan masyarakat sekelilingnya.

Sedarlah... bahawa harga dan nilai sebenar kemuliaan seseorang tidak terletak pada taraf kekayaan atau kebesaran pangkat seseorang. Nilai dan harga diri yang berdasarkan kekayaan atau pangkat adalah sementara sahaja. Bagaimanapun dalam Islam harga diri adalah berdasarkan ketakwaan dan keimanan seseorang. Sifat ketakwaan ini akan menentukan nilai dan harga diri seseorang itu mulia di sisi masyarakat dan Allah SWT sepanjang masa.

Rasulullah SAW pernah menegaskan dengan sabdanya yang bermaksud:

Tidak mungkin berkumpul iman dan kufur dalam jiwa seseorang, dan juga tidak mungkin pula bersatu sifat jujur dan dusta padanya sekali gus sebagaimana tidak mungkin bersama sifat khianat dan amanah padanya dalam satu masa.” (Hadith Riwayat Ahmad).

Selasa, 20 September 2011

Rindu Berblog Lagi..

Assalaamu`alaikum wtb.
Salam Merdeka...

Rasanya sudah lama benar tidak menulis diblog ini. Payah rupanya istiqomah dengan usaha yang satu ini. Kalau diibaratkan rumah, blog ini sudah usang dan berdebu penuh dengan `sawong` @ `tongkulawa`. Begitulah kita, kekadang terampil tapi lebih kerap bermenung dan berfikir agak panjang, walhal masa tetap jua berlalu pergi.

Lama tidak berblog atas banyak sebab dan ada diantara sebab-sebab itu tidak munasabah bagi blogger tegar. Kebetulan, Abu Miftah juga bukanlah blogger yang tegar. Cuma sesekali, untuk memahirkan diri dalam dunia maya seumpama ini. Namun, kerapkali lebih bersifat musim. Hehe macam musim buah-buahan. Pabila datang musimnya, siapa pun tidak boleh dan tidak dapat mencegahnya - berputik, berbunga, berbuah lalu masak ranum dan akhirnya dinikmati keenakannya pula oleh kita semua. Setelah itu, sampai pula musim buahnya habis, dedaunan layur rontok ke bawah... itulah namanya musim atau rotasi.

InsyaAllah - mudah-mudahan ALLAH SWT yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang sentiasa memberikan kita semua kesihatan dan ke'afiatan yang memungkinkan kita mampu melakukan sesuatu yang terbaik mengikut prosesnya. Kehidupan ini adalah rangkaian sebuah proses dan sekaligus kelangsungan yang wajib kita jalani dengan sebaiknya sebagai 'Hamba' DAN 'Khalifah'.

Semoga hidup yang kita jalani seindah 'musim buah' tadi. Semuanya memiliki 'qadar' dan 'kunci' mutlak prosesnya adalah disisiNYA. Kita usahakanlah 'taklif-NYA' selayak mungkin sebagaimana taqdirNYA. Bak kata seorang teman Abu Miftah - "Untuk lebih mudah dan sempurna hidup kita ini, pelajari, hayati dan ikuti saja skrip-NYA. Wajib dan pasti lorong-lorong dan lebuh raya kehidupan kita pasti akan menuju kepada-NYA". Yaa... sememangnya begitulah idealnya.

Cuma, ingat... itulah ideal. Realisasinya belum tentu semudah itu. Hidup ini bukan mudah, tapi tidak juga sesukar yang kita bayangkan. Ingatlah pesan hukama - "Ketika kita lahir ke dunia dahulu, kita memulakan 'nafas' yang pertama dengan tangisan, padahal orang-orang disekeliling kita gembira tertawa ria. Maka, bilamana kita menutup hayat kita dengan 'nafas' yang terakhir kelak, pastikan kita senyum redha, sedangkan dikala itu orang pula menangisi 'rehlah' kita.

Mulailah dengan baik, bahkan dengan yang terbaik. Namun, yang paling penting dan mustahak adalah mengakhiri dengan baik dan bahkan yang terbaik.

Mari kita terjemahkan pesan Rasulullah SAW : "Sesungguhnya semua amal perbuatan adalah dinilai mengikut niatnya. Setiap orang dinilai dengan dasar niatnya..." (H.R BUKHARI & MUSLIM - dari Amiril Mu'minin - Umar Al-Khattab RA) - dan ini wajib jadi landasan hidup kita.

Jangan lupa pula pesan Rasulullah SAW yang lain : "Sesungguhnya ketentuan amalan adalah dengan yang terakhir -khotimah" (H.R BUKHARI - dari Sahl bin Saad al-Sa'idi RA).

Nah, secara sederhana tali-temali penghubung antara keduanya - permulaan & khotimah - ialah pada pesan Rasulullah SAW - Daripada Sufyan bin Abdullah al-Thaqafi, beliau berkata : Aku bertanya : "Wahai Rasulullah! Katakan padaku suatu kata-kata (pesan) yang tak perlu lagi aku bertanya kepada sesiapa mengenainya selepas engkau". Baginda bersabda : "Katakanlah - dengan sesungguhnya - : "Aku beriman dengan ALLAH", kemudian istiqomahlah (tetap teguh berpegang dengan keimanan dan keislaman yang betul" (H.R MUSLIM & AHMAD).

Pesan Rasulullah lagi : "Aku telah tinggalkan untuk kamu sesuatu yang jikalau semua berpegang teguh dengannya, nescaya sama sekali kamu tidak akan tersesat sepeninggalanku nanti selama-lamanya, iaitu : Kitabullah (Al-Quran) dan Sunnahku" - dan itulah skrip-NYA.

Salam ukhwah & semoga ini bermanfaat...

Ustaz Abu Miftah

Khamis, 16 Jun 2011

Generasi Muda Berdaya Tahan

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “Tidak akan berganjak kaki anak Adam di Hari Kiamat nanti hingga disoal tentang lima perkara; Iaitu tentang usianya pada apa yang telah dikerjakannya, tentang masa mudanya apa yang telah diperjuangkannya, tentang hartanya dari mana datangnya dan ke mana telah dibelanjakannya, dan tentang ilmunya bagi apa yang telah dilakukannya”. Hadith riwayat Imam At-Tirmidzi.

Lihatlah saudaraku sekalian, antara perkara utama yang diperhitungkan oleh Allah s.w.t. nanti adalah tentang usia, serta masa muda yang dikurniakan oleh Allah kepada setiap dari kita. Adakah kita memanfaatkannya ke arah kebaikan, atau kita biarkan ia berlalu begitu sahaja?

Kepada anak-anak muda,

Kami sedia maklum bahawa zaman remaja merupakan alam yang indah dan penuh dengan keseronokan. Namun hiburan dan keseronokan perlu juga ada batasannya. Pernahkah anda sekalian terfikir dan bayangkan, kehidupan bagaimanakah yang akan anda tempuhi 10 tahun dari sekarang?

Adakah dengan tahap ketekunan anda dalam pelajaran pada ketika ini, mampu membawa anda menggapai cita-cita anda untuk berjaya di dunia ini dan di akhirat nanti? Bagaimana pula dengan amal ibadah anda, adakah ia akan turut sama meningkat seiringan dengan usia anda? Adakah pula ia mampu menyelamatkan anda pada hari pembalasan kelak?

Bagaimana pula jika usia kita tidak panjang dan meninggalkan dunia, sebelum sempat kita menanam amalan pada hari perhitungan nanti? Renungkanlah firman Allah s.w.t. dalam surah Al-A’raaf ayat 34:

Ertinya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.”

Maka fikir-fikirkanlah. Sesungguhnya ajal tidak mengira usia muda atau tua. Maka mulakanlah dari sekarang bagi memperkukuhkan pemahaman agama, serta mendekatkan diri kita ke hadrat Allah s.w.t.

Di kesempatan ini, ingin saya mengajak para remaja dan saudaraku sekalian, untuk sama-sama kita menyingkap kisah kehidupan seorang pemuda, yang juga merupakan sahabat Rasulullah s.a.w. yang dipercayai. Beliau ialah Mus’ab Bin Umayr r.a.

Tidak seperti pemuda lain yang seusia dengannya, Mus’ab telah berjaya mendapat kepercayaan Rasulullah s.a.w. dengan dilantik menjadi duta Nabi s.a.w ke Madinah dalam usia yang cukup muda. Antara tugasan utama beliau adalah mengajarkan Islam kepada sesiapa yang berminat mempelajari ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Jelas di sini, Mus’ab r.a. bukan sekadar pengikut tren dan halatuju yang dibentuk oleh orang lain. Akan tetapi, beliau seorang yang jelas dengan matlamat hidupnya, seterusnya berusaha mencapai apa yang dicita-citakan, walaupun dihalangi pelbagai cabaran. Begitu juga hendaknya setiap anak muda yang hadir pada hari ini. Anda adalah masa hadapan masyarakat Islam dan untuk itu, seperti Mus’ab bin Umayr, kami memerlukan anak muda yang mempunyai kualiti diri yang tinggi, dan kematangan fikiran dalam melihat dan menilai setiap cabaran dan situasi yang berlaku.

Mintalah nasihat serta panduan daripada orang lebih berpengalaman di dalam kita mengatasi setiap cabaran yang dihadapi. Berdoalah kepada Allah s.w.t. untuk memelihara anda daripada sebarang anasir buruk yang boleh melarikan fokus anda kepada kebaikan.

Kita sedia maklum bahawa anak-anak remaja serta para belia, sentiasa memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar dari mereka yang lebih dewasa dan berpengalaman. Maka setiap dari kita, khususnya mereka yang hampir dengan golongan ini seperti para ibu bapa, saudara mara terdekat, jiran mahupun para guru, mempunyai tanggungjawab bersama bagi membantu mereka dalam meningkatkan kesedaran akan kepentingan ilmu pengetahuan serta bimbingan agama dalam kehidupan.

Pada masa yang sama, usahlah kita membiarkan mereka terus bergelumang dengan anasir-anasir yang hanya merugikan usia muda, atau kita membiarkan mereka hanyut di dalam perkara-perkara yang bertentangan dengan syarak. Usahlah juga kita biarkan anak-anak bermesraan dengan teman yang bukan sejenis, tanpa dinasihati ataupun ditegur.

Ini kerana tindakan berdiam diri dan tidak melakukan sesuatu dalam perkara ini, pastinya secara tidak langsung akan membuka pintu-pintu bagi melakukan perkara-perkara yang dilarang keras oleh Allah s.w.t. Ingatlah akan perintah Allah di dalam surah At Tahrim ayat 6:

Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala Yang diperintahkan.”

Semoga peringatan ini, dapat dimanfaatkan dengan sepenuhnya, baik para remaja mahupun ibu bapa serta orang dewasa. Agar kita seterusnya tergolong di kalangan umat Nabi Muhammad s.a.w. yang berjaya di dunia dan di akhirat.