Rabu, 11 Mei 2011

GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN

GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN


Assalaamualaikum wtb...


Salam ceria dan senyum-senyum selalu - SENYUM ITU SEDEKAH...

Benar bagai dikata - Guru Penjana Transformasi Pendidikan. Begitulah besarnya tanggungjawab seorang guru untuk membimbing dan mendidik anak-anak [anak Anda, tuan/puan dan kita semua].

Lantaran itu, elok dan sesuai sangat jasa mereka ini dikenang dan diperingati selalu. Tanggal 16 Mei saban tahun menjadi tarikh penting sempena 'Hari Guru'. Terima kasih dan syabas... cuma janganlah pada hari itu sahaja jasa bakti, sumbangan, penat lelah dan jerih payah mereka yang digelar guru kita peringati. Budi luhur dan perjuangan mereka dalam menyampaikan ilmu itu perlu disemat di abadikan selamanya.

Guru itu umpama bebintang gemerlapan di langit tinggi, memberikan petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan samada di onak daratan mahupun di ombak lautan. Apabila ia terbenam atau hilang, dikhuatiri akan hilang pulalah arah tujuan. Begitulah Rasulullah saw mengumpamakan kemuliaan guru dalam kehidupan kita sebagaimana riwayat Anas bin Malik ra.

Dalam arus transformasi pendidikan kini, tugas guru bukan lagi semata-mata menyampaikan ilmu pengetahuan, bahkan berperanan sebagai Murabbi untuk membentuk bangsa/ummat menjadi insan yang berakidah benar, dinamik dan berkualiti di dunia dan akhirat.

Secara idealnya, wahai teman-teman seguruku sekalian... sedarilah tanggungjawab yang berat ini. Lengkapkanlah ilmu, binalah keluhuran peribadi. Kita adalah qudwah. Seimbang dan sepadukanlah ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah dengan seadilnya dalam diri dan tampilan kita.

Marilah beringat dan sama-sama bermuhasabah!

Guru adalah 'Mu'allim' - yang bertanggungjawab menyampaikan ilmu yang benar dan maklumat yang tepat.

Guru adalah 'Murobbi' - yang bertanggungjawab mengasuh dan mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang.

Guru adalah 'Muaddib' - yang diamanahkan menyampai dan memupuk adab dalam diri anak-anak.

Guru juga adalah 'Mursyid' - yang menunjuk arah dan mengambil peranan sebagai pemudahcara kepada anak-anak didik.

Bahkan, guru boleh jadi sebagai 'Mubasysyir' - yang sentiasa memberikan galakan dan motivasi agar jiwa semakin semarak dan subur dengan perkara yang terpuji.

Oleh itu, dalam menyampai dan melaksanakan amanah besar sebagai 'Mu'allim', 'Murobbi', 'Muaddib', 'Mursyid' dan 'Mubasysyir' - guru hendaklah menjadi 'Qudwah Hasanah' iaitu contoh teladan dan model yang terbaik kepada anak-anak didik masing-masing.

Untuk akhirnya, fikir-fikirkanlah peringatan ALLAH SWT dalam Surah ke-61 As-Sof, ayat 2-3:

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!
Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.

Selasa, 3 Mei 2011

ISLAM DAN TOLERANSI

ISLAM DAN TOLERANSI


Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[Surah Al-Baqarah, 2:256]

Suatu saat, ketika Rasulullah SAW dan beberapa orang sahabat duduk berehat sambil berbincang, lewatlah segerombolan orang mengusung jenazah di hadapan mereka. Lalu, Nabi SAW berdiri dan para sahabat yang lain pun ikut berdiri. Setelah rombongan membawa jenazah tadi lewat, para sahabat berkata kepada Nabi SAW bahawa jenazah yang diusung itu adalah jenazah orang Yahudi. Rasulullah SAW bersabda : "Alaisat nafsan?" [Bukankah dia itu manusia juga?]. Rasulullah SAW menambah : "Jika kamu melihat jenazah, hendaklah kamu berdiri". Demikian lebih kurang hadith riwayat Imam Bukhari.

Toleransi [tolerant] atau dalam istilah Islam dikenali sebagai 'Tasammuh' - yang bererti "berlapang dada terhadap orang lain yang menggunakan hak mereka sendiri selayaknya". Oleh itu, Islam adalah agama yang penuh dengan toleransi. Sejarah telah menyaksikannya.

Bagaimana sikap Rasulullah SAW terhadap kaum yang berlainan agama?

Kalau Anda membaca dengan hati taarikhul Islam - Sejarah Islam - maka Anda akan mengerti bahawa Islam dan Muslim tidak pernah anti terhadap kepercayaan atau keimanan seseorang yang berbeza anutan. Malah Muslimin seluruhnya bersikap sebagaimana peranan Rasulullah SAW. Dimana, Rasulullah SAW adalah memainkan peranan sebagai pembawa berita bahagia dan pemberi peringatan [basyiiran wa naziiran] kepada semua manusia - bukan pemaksa.

Semaklah di dalam Al-Quran Surah Al-Baqarah ayat 256 yang tertera diatas.

Bahkan, selagi penganut agama lain tidak mengganggu kemerdekaan Muslimin menegakkan kalimah tauhid, memuji Allah dan meninggikan kalimah-Nya; selama itu pulalah persaudaraan terjalin erat.

Anda bayangkan, pasukan Muslim yang berperang mempertahankan agama pun, Rasulullah SAW sentiasa memberikan petunjuk dan panduan agar tidak menganiaya anak-anak, menindas kaum wanita, membunuh haiwan peliharaan, memotong tumbuh-tumbuhan, menyiksa atau memaksa para tawanan; bahkan perajurit Muslim tidak dibenarkan merosak atau mengganggu rumah ibadah dan tempat-tempat yang dihormati masyarakat setempat.

Inilah ajaran toleransi sejati dalam Islam, yang kemudiannya budi pekerti dan perikemanusiaan itu kelak dilanjutkan oleh para sahabat Baginda. Demikian pulalah sewajarnya toleransi kita sebagai pengikut ajarannya kepada ummat yang lain.

Dalam catatan lain, Rasulullah SAW pernah memberikan kesempatan kepada deligasi Kristian Najran yang berkunjung kepada Baginda di Madinah untuk melakukan ibadah mereka di Masjid Nabawi. Begitu juga, Islam tidaklah anti gereja. Sekitar tahun 637 Masihi, Khalifah Umar Al-Khattab memasuki Yerussalem dan beliau berkunjung ke Gereja di sana. Memang saat waktu solat tiba, Khalifah Umar tidaklah bersolat di dalam gereja tersebut; agaknya sekadar untuk mengelakkan sangka buruk masyarakat bahawa sang Khalifah telah merampas gereja milik Kristian Ortodox yang ketika itu dipimpin oleh Patriakh Sofraniusus.

Sikap Islam dan Muslim terhadap soal kemerdekaan beragama sudah jelas. Siapa pun boleh mengamalkan agama dan ritual masing-masing. Cuma dengan beberapa ketetapan dan peraturan yang perlu ditoleransi bersama.

Cubalah perhatikan petunjuk Allah SWT berikut :

Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam), maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang ia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam).
[Surah At-Taubah 9: 6]

Jelasnya - Islam, Muslim dan Mukmin merasa berkewajipan melindungi keamanan mereka, bahkan harus mengupayakan untuk memberi dan menyampaikan keterangan Allah tentang keindahan Agama Islam.

Erti lainnya, silakan ummat untuk saling berbaik, saling bekerjasama dan saling rukun dalam kehidupan bermasyarakat; namun Muslim janganlah lalai dengan peringatan Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah 2:120 :


Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.

Lebih jauh Islam mengajarkan, Muslim hendaklah bersikap lurus @ jujur terhadap mereka, selagi mereka juga berbuat lurus serta jujur kepada kaum Muslimin. Renungkan firman Allah SWT ini :

Bagaimanakah dapat diakui adanya perjanjian (keamanan) di sisi Allah dan RasulNya bagi orang-orang musyrik (sedang mereka mencabulinya)? Kecuali orang-orang (musyrik) yang kamu telah mengikat perjanjian setia dengan mereka dekat Masjid Al-Haraam. Maka selagi mereka berlaku lurus terhadap kamu, hendaklah kamu berlaku lurus pula terhadap mereka; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.
[At-Taubah 9:7]

Pada hakikatnya, kini Muslim-lah yang sering kali ditindas, dizalimi, dikhianati, dipinggirkan dan dinafikan hak 'kemerdekaan' beragama oleh ummat agama lain.

Fikir-fikirkan...
Tanamkan 'izzah iman' direlung hatimu...