Selasa, 10 Mei 2016

BERSAUDARALAH!


Saudaraku...

Kita perlu menyedari dengan mendalam, bahawa kita adalah makhluk Allah SWT yang masih jauh daripada  sifat sempurna. Dengan kesedaran ini, mudah-mudahan akan membentuk sikap hidup baik, iaitu sentiasa mengharga orang atau pihak lain.

Islam mengajarkan bahawa, kita sesama Muslim adalah bersaudara. Kita dianjurkan untuk saling berbaik-baik, tolong-menolong, bantu-membantu, fahami memahami dalam sebarang masalah ; ini semua tidak lain adalah kerana kita adalah hamba Allah SWT dan kita semua inginkan keredhaan-Nya.

Tegasnya, Islam menghendaki agar wujud di tengah-tengah kehidupan ini banyak kemaslahatan seperti rasa tenang dan damai - sebagaimana Firman Allah SWT :


"Sesungguhnya orang-orang mukmin 
(yang keimanannya mantap) itu ada bersaudara. 
Maka, damaikanlah antara dua saudaramu (yang berselisih) dan 
bertakwalah kepada Allah, 
supaya kamu dirahmati (dikasihi Allah).."
[Surah Al-Hujurat : Ayat 10]

Saudaraku...

Secara umumnya, ayat tadi menganjurkan perdamaian sesama Muslim Mukmin sebagai bukti takwa ; dan inilah cara untuk kita memperolehi rahmat (kasih sayang) Allah SWT yang begitu luas dan tidak berbatas.

Bahkan, lebih jelas lagi,  Islam menghendaki kita sentiasa hidup dalam suasana aman damai, bersatu padu dan saling bertoleransi (bertolak ansur) dalam banyak hal demi melihat kemaslahatan yang luas.

Saudaraku...

Kita semua harus sedar, bahawa dalam sebuah masyarakat, kita tidak dapat dipisahkan dari unsur bertetangga atau berjiran. Tetangga atau jiran sebagai saudara terdekat mempunyai hak atau tempat khusus dalam Islam, sehingga baik buruknya hubungan kejiranan merupakan ukuran iman kita. 

Nabi Muhammad SAW mengungkapkan dengan tegas :

"Demi Allah, dia tidak beriman! 
Demi Allah, dia tidak beriman! 
Demi Allah, dia tidak beriman! 
Salah seorang sahabat bertanya : Siapa dia Ya Rasulullah? 
Jawab Baginda Nabi SAW : Orang yang mana jirannya tidak aman dari keburukannya (sikap, perlakuan dan perbuatannya..." 
[Hadith Riwayat : Imam Bukhari]

Hadits ini dengan jelas dan tegas memberitahu kita, pentingnya berbaik-baik dengan jiran tetangga. Islam sangat menekankan kerukunan antara jiran, kerana itulah ciri-ciri orang yang beriman. Belum sempurna iman kita, seandainya jiran-jiran masih merasa sesak hati dengan perangai, onar dan perbuatan buruk yang kita lakukan.

Kenyataannya, kita tidak dapat hidup nafsi-nafsi... sendiri-sendiiiiri atau individualis! Kita sebenarnya sangat memerlukan orang lain, saling tolong-menolong dan lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Ibarat jasad dan nyawa!

Dalam hadith shahih yang lain - seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW : "Siapa orang Muslim itu? (Apa karakter seorang Muslim?)." Rasulullah SAW menjawab : "Karakter seorang Muslim itu ialah selamat orang Muslim yang lain dari (kejahatan / keburukan) lidah dan tangannya".

Saudaraku...

Tegasnya, kita sebagai Muslim Mukmin seharusnya merupakan golongan yang dapat dicontohi oleh bangsa dan penganut agama yang lain. Belum dikira Muslim yang baik sekiranya perbuatan dan perkataan kita menyebabkan orang lain merasa sakit hati, terguris rasa, tersinggung, rasa diaibkan atau bahkan dikhianati.. Yang jelas, kita sendiri pun bahkan tidak mahu disakiti apatah lagi dikhianati! Sudah tentu orang lain juga pasti memiliki naluri dan perasaan yang sama seperti kita.

Dalam sabda Rasulullah SAW yang lain :

"Demi  Allah yang jiwaku ada ditangan-Nya,
kamu tidak akan dapat masuk syurga sehingga kamu beriman,
dan tidaklah kamu beriman sebelum kamu saling mengasihi.
Sukakah kamu ku tunjukkan satu amalan yang jika kamu lakukan, ia akan menjadikan kamu saling mencintai? 
Sebarkanlah SALAM di antara sesama kamu.."
[Hadith Shahih Riwayat - Imam Muslim]


Saudaraku....

Justeru itu, dalam hal ini marilah kembali kepada panduan Al-Quran dan As-Sunnah. Marilah kita sama-sama menciptakan dimensi masyarakat yang hidup aman damai, penuh redha-meredhai dan akhirnya mengundang keampunan daripada Allah Azza Wa Jalla. 

Kunci mudah untuk berubah :
Mulai dari diri sendiri, 
Mulai dari yang kecil dan... 
Mulai saat ini juga!


~ Abu Miftah ~
10 Mei 2016M
03 Sya'baan 1437H

Jumaat, 6 Mei 2016

CITRA INDAH ISLAM...

Assalaamualaikum WTB...

Salam Jumaat buat semua sahabat maya.

Dalam suasana Jumaat penuh barakah ini; marilah sama-sama kita mensucikan hati, jiwa, akal dan amalan dengan jalan meningkatkan iman dan takwa kepada Allah Azza Wa Jalla. Dengan mentaati dan mengerjakan segala perintah-Nya, sekaligus berusaha sedaya yang mungkin untuk menajuhi dan meninggalkan larangan-larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan ini, kita beroleh tambahan barakah, rahmat (kasih sayang) dan redha-Nya didunia apatah lagi di akhirat nanti.

Saudaraku...

Allah Azza Wa Jalla berfirman : 
   
"...Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah takwa; dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). [Surah Al-Baqarah : Ayat 197]

Nyata sekali, takwa adalah satu-satunya bekalan yang paling baik dan ampuh untuk kita menempuh ranjau hidup di dunia, mahupun ke akhirat nanti. Takwa ~ lahir dan wujud dalam diri kita hasil usaha gigih mentaati Allah Azza Wa Jalla dan hasil daripada menghayati ajaran agama pilihan-Nya ini. Yang jelas, semuanya itu terhasil dengan adanya ilmu. Dengan ilmu itulah, nilai dan kualiti ibadah seseorang itu ditentukan.

Hal ini telah kita fahami melalui hadith Rasulullah SAW yang menjelaskan bahawa nilai atau mutu ibadah manusia adalah dikira berdasarkan akalnya (iaitu ilmu).

Saudaraku...

Dalam syariah Islam, ilmu ditimbang lebih utama daripada amal. Ini disebabkan, ilmu merupakan penyuluh jalan dan sebagai pembimbing untuk beramal. Oleh sebab itulah, Imam Bukhari ~ Imam Hadith dalam Kitab kompilasi Hadith Sahih meletakkan ilmu sebagai syarat sahnya sebuah perkataan atau amalan. Alasannya, dengan ilmu, niat akan menjadi benar lagi lurus dan menjadikan amal benar juga menurut syariah.

Sungguh benar apa yang telah dikatakan oleh Khalifah Umar Bin Abdul Aziz : "Sesiapa yang mengerjakan sesuatu tanpa ilmu, maka dia akan banyak merosak berbanding memperbaiki..."

Saudaraku...

Rasulullah SAW adalah pendidik dan contoh yang harus kita semua teladani. Baginda SAW tidak pernah menyuruh dan mengajari ummat Islam untuk beramal, berusaha menambah amal, kecuali dengan penuh berhikmah, bertoleransi dan tidak membebankan. Dakwah Rasulullah SAW adalah penuh dengan rasa lemah lembut, tasamuh (toleransi), sopan santun, mengutamakan unsur kemudahan dan membuang jauh unsur menyulitkan. Bahkan, Baginda SAW selalu menyeru untuk kembali rujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah, serta tidak pernah mengajarkan untuk taksub (fanatik) pada pendapat atau kumpulan / golongan tertentu.

Oleh itu saudaraku sekalian... marilah kita bercermin kepada peribadi unggul Rasulullah SAW, para sahabat dan salafus soleh. Tinggalkanlah semata-mata perbezaan dan kembalilah kepada kebenaran. Ambillah yang benar dan amalkanlah, sekalipun kebenaran itu kita peroleh cuma daripada  seorang hamba Allah SWT yang tidak memiliki kedudukan.

Saudaraku..

Sesungguhnya, citra Islam yang kita inginkan adalah Islam yang ada pada masa Islam awal - yang ummatnya memiliki karakter ~ Al-mahdiyyin ~ golongan yang dinaungi cahaya hidayah. Islam yang berlandaskan ril Al-Quraan dan sunnah-sunnah indah Rasulullah SAW serta pesona peribadi sahabat terutamanya Khulafa Al-Rasyidin yang mendapat limpahan petunjuk Ilahi. 

Islam yang sentiasa membuka ruang kemudahan dan tidak menyulitkan, yang memberi kegembiraan dan bukan membuat orang lari ketakutan (akibat ekspresi amalan dan konsepsi dangkal sesetengah penganut yang ghuluw - berlebih-lebihan). 

Islam yang penuh dengan kelembutan dan bukan kekasaran; yang selalu membuka pintu silaturrahim (menyambung tali kasih sayang) dan bukan saling mengingkari.

Islam yang harus kita zahirkan ialah Islam yang tampil memberikan ruang toleransi dan bukan fanatisme; yang melahirkan amal yang nyata dan bukan hanya perdebatan (yang tidak pun membawa keuntungan); yang membuka pintu ijtihad dan bukan sekadar taklid; Islam yang wasatiyyah (sederhana) dan bukan bersifat guluw (ekstrim).

Saudaraku...

Inilah Islam yang berdiri di atas dasar AKIDAH yang ruhnya adalah TAUHID (mengesakan Allah SWT); yang berdiri di atas IBADAH yang ruhnya adalah keIKHLASan; yang berdiri di atas AKHLAK yang ruhnya adalah keIHSANan (kebaikan) dan tercipta di atas SYARIAH yang ruhnya adalah keADILan. 

Allah Azza Wa Jalla menegaskan kepada kita sebagai sebuah cerminan :

A107
"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam". [Surah Al-Anbiyaa : Ayat 107]



Abu Miftah
06 Mei 2016M
28 Rejab 1437H

Khamis, 5 Mei 2016

HATI YANG DAMAI

Assalaamualaikum WTB...

Saudaraku...

Hati yang damai adalah harapan, bahkan cita-cita kita semua. Bahagia yang kita dambakan. Subhanallah!

Tapi kita perlu ketahui dahulu sumber hati yang tidak damai. 

Yang pertama ~ hati yang banyak dosa kepada Allah SWT dan berbuat kezaliman kepada sesama makhluk. Ini menjadi penghijab hati. Hati menjadi gelap. Keras dab kesat.

Yang kedua ~ selalu dalam maksiat. Ketagihan maksiat. Hati menjadi tidak tenang. Hati menjadi gelisah. 

Yang ketiga ~ kerana nafsu yang diperturutkan. Keinginan yang liar. Menjadi budak nafsu.

Akhirnya tidak tenanglah hidup kalau memiliki ciri begini.

Hamba dunia. Hamba dollar. Hamba Ringgit. Hamba Fulus > HUBBUD DUNIA WA KARAAHIYATUL MAUT ... Cinta mati kepada dunia. 

Lupa kepada paradigma Iman dalam kehidupan... cinta buta kepada paradigma sekular > baginya hidup hanyalah untuk apa yang ada di depan hidung. Perkara kehidupan hakiki di akhirat dipandang skeptik...

Marilah pupuk hati kita dengan cinta Ilahi. Kita gapai fid dunya hasanah wa fil aakhirati hasanah dengannya. Allah SWT pasti menunjukkan jalan-Nya buat insani.


Abu Miftah
05 Mei 2016M


IHSAN itu SEDAR

Assalaamualaikum WTB..




"Sesungguhnya Aku ini adalah ALLAH, tidak ada Tuhan selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah sholat untuk mengingati-Ku" [Surah Toha : Ayat 14]

Saya berterima kasih kepada kedua orang tua saya, kerana sejak kecil mengajarkan agama kepada saya bukan sebagai dogma dan doktrin - walaupun pada hakikatnya, mereka tidak pun mengenyam pendidikan yang tinggi melangit.

Kadang-kadang kata mereka, dengan sholat kita akan 'bertemu' dengan Allah SWT yang Maha Lembut, Pengasih dan Penyayang.

Kita sememangnya kadang-kadang malas untuk sholat. Jadi dengan 'gula-gula' dapat bertemu  Allah SWT,  itu menjadi motivasi yang kuat hingga saya menginjak dewasa ~ bahawa sholat itu adalah cara untuk bertemu Allah.

Pernah terlintas dibenak saya - kalau sholat membuat kita bertemu Allah SWT, lalu di mana Dia? Dia tu jauh ka dekat? Dan... kenapa untuk bertemu dengan-Nya mesti melalui wasilah sholat? 

Alhamdulillah. Puji syukur kepada Allah SWT yang telah memberikan saya kebaikan yang banyak dengan mencintai ilmu agama. Dari awal lagi sejak 'terdedah' dengan ilmu-ilmu asas agama, saya diberikan-Nya 'keseronokan' untuk sentiasa mencari dan mendalami khazanah ilmu agama yang terbentang luas bak samudera.

Sebagaimana yang berlaku pada Kiyai Nuklear : Agus Mustofa, kini saya mulai melihat 'titik terang' dalam semua persoalan yang bermain di ufuk fikiran. Sungguh! Allah SWT itu 'ternyata sangat dekat' dengan kita, ketika kita 'menyedari' betapa dekatnya Dia. Dan... Allah SWT itu tiba-tiba 'terasa begitu jauh' ketika kita 'tidak menyedari' atau 'lalai menyedari' kehadiran-Nya. 

Walhal, pada kenyataannya Allah SWT sangatlah dekat dengan kita, bahkan lebih dekat daripada urat leher kita sendiri. 

"Dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya".. [Surah Qaaf : Ayat 16]

Malah, Dia juga meliputi langit dan bumi termasuklah kita dan seluruh makhluk-Nya. 


"Dan kepunyaan Allah-lah apa yang di langit dan apa yang di bumi, dan adalah (pengetahuan) Allah Maha meliputi segala sesuatu" [Surah An-Nisa : Ayat 126]

Namun sayangnya, 'kehadiran-Nya' dalam hidup kita, banyak bergantung pada kualiti kesedaran yang kita bangunkan dalam diri kita. Betullah! pada 'kesedaran' inilah 'titik temu' kita dengan Allah SWT.

Ada tiga fiqh '3I' (ai) yang perlu kita sentiasa pelihara dalam hidup beragama. Tiga perkara basic biasa dan simple : Islam, Iman dan Ihsan ~ yang justeru akan melahirkan '3M' karakter dalam diri kita iaitu : Muslim, Mukmin, Muhsin.

Bukankah ketika ibadah kita diminta untuk ihsan ~ 'menghadirkan diri' dan dengan 'penuh kesedaran'. Menyedari sepenuh jiwa raga. Perlu diingat, usaha kita adalah usaha untuk menjadikan semua yang kita 'amalkan', sebagai ibadah kepada-Nya. Kesedaran bukan hanya sekadar kondisi 'terjaga' alias tidak pengsan / mabuk dll, tetapi juga kemampuan kita untuk 'melihat' dan 'merasakan' hakikat suatu kejadian.

Begini.. jika seseorang mengalami sesuatu kejadian tetapi dia tidak dapat 'melihat' dan 'merasakan' makna yang terkandung di dalamnya, maka dia sesungguhnya tidak berada dalam keadaan 'sedar'. Maka, orang yang 'sedar' dapat mengambil pelajaran dari setiap kejadian / perbuatan. Dia peka bahawa dibalik semua yang telah berlaku - sedang berlaku dan akan berlaku -  ada 'MAKNA'.

Nah... kesedaran semacam ini sebenarnya sangat bergantung dengan kualiti akal kita. Dalam konteks agama, itulah yang disebut oleh Rasulullah SAW sebagai 'kualiti keimanan'. 

Tapi, untuk mencapai tingkat ihsan alias kesedaran yang demikian tinggi, memerlukan proses yang sangat panjang, latihan atau riyadah bertahun-tahun. Bahkan... sampai berpuluh tahun... mungkin sepanjang kehidupan. DAN... itulah sebenarnya yang kita semua lakukan menerusi ibadah SHOLAT! 

Aqiimus sholaah .... it means continously  and consistance !!

Sholat adalah sebuah proses amalan, sekaligus latihan untuk membangun kualiti kesedaran. Diharapkan dengan sholat yang baik terus-menerus dan berulang-ulang, kualiti kesedaran kita akan meningkat. Sehingga akhirnya, kita bersedia 'bertemu' Allah SWT dalam seluruh penjuru kehidupan kita.

Rasulullah SAW telah 'bertemu' dengan-Nya, di dalam perjalanan Isra' Wa Mi'raj. Baginda Rasul mengajarkan kepada kita, kalau ingin bertemu dengan-Nya, lakukanlah sholat. Di dalam sholat itulah kita bakal bertemu dengan-Nya. Bila??? Ketika seluruh kesedaran memuncak dalam kekhusyukan tertinggi sholat kita.


الصلاة معراج المؤمنين

"Sholat  itu adalah mikraj bagi orang – orang yang beriman"

Maka... ketika makna sholat telah ter-refleksi dalam kehidupan kita, Allah SWT bakal hadir di seluruh ufuk peristiwa yang kita alami. Di dalamnya ada zikrullah dan doa, yang mengalir sepanjang tarikan dan hembusan nafas kita. 

Tiada lagi waktu yang terbuang sia-sia. Seluruhnya berisi puji-pujian (tahmid) untuk mengagungkan ZAT Ilahi Yang Maha Perkasa, seiring tasbihnya yang berjuta-juta malaikat dan bertriliunan benda-benda di alam semesta... 

Itulah saat-saat indah kita Terpesona di Sidratul Muntaha..



Langit yang tujuh,
Bumi dan semua yang ada di dalamnya,
bertasbih kepada Allah.
Dan tidak ada sesuatu pun
melainkan bertasbih dengan memuji-Nya,
tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka.
Sesungguhnya DIA adalah Maha Penyantun 
lagi Maha Pengampun...
[Surah Al-Israa : Ayat 44]



Abu Miftah
05 Mei 2016M
27 Rejab 1437H