Isnin, 9 April 2012

BERAGAMA DENGAN HATI

Assalaamua'alaikum WTB...


Semoga saudaraku semuanya sihat wal 'afiat adanya. Sekali sekala menjenguk blog ini dan blog sahabat di alam maya, terasa kerinduan dan menyemarakkan nafas cinta untuk tetap berbagi dan memberi. Alhamdulillah...


Barangkali saudaraku semua pernah mendengar tausiyyah atau tazkirah dari para ustaz/ah membahas tentang suatu kata iaitu 'Beragama Dengan Hati'... Pernah dengar? Atau masih samar-samar? Atau pertama kali?


Atau mungkin ada yang nanti kata "biar betul... beragama dengan hati???" Hehehe mungkin juga ada yang kata "... mengada-ada saja ustaz ni..."


Bagi mereka yang sedang mencari-cari arah hidup beragama.... bagi mereka yang telah menemui jalan dan arah hidup berTuhannya... mereka, rasanya semua akan berkata bahawa beragama seharusnya memang dengan HATI atau Qalbu.


Kalau beragama dengan AKAL semata-mata dan tanpa pengaruh HATI, maka dikhuatiri saudaraku sekalian akan terjebak kepada pola fikir agama secara dogma. Akhirnya, perkara-perkara agama dan soal kefahaman hanya pada orientasi logik akal dan apa yang tampak di mata sahaja. Segala perkara yang maknawi / ghaib akan terus tersirat tanpa difahami kerana memang ianya bukan bidang yang dapat difikirkan semata-mata dengan akal.


Secara tegas, ALLAH SWT menyeru dan menggesa kita menggunakan akal dengan sebaiknya atau dengan kata lain berfikir secara maksima pada semua benda dan perkara. Namun, dalam masa yang sama, HATI adalah mizan atau timbangan kepada akal fikir manusia. Dalam banyak hal, terutamanya yang bersangkutan dengan soal agama dan keyakinan, akal semata-mata tidak dapat mencari dan memberikan jawapan tuntas.


Dalam hal berkaitan ketuhanan dan mencari Tuhan, gandingan peranan antara AKAL dan HATI mesti dimantapkan seutuhnya. Kalau tidak, sebaliknya berlaku. Bacaan dan kefahaman akal harus diperkasakan dengan penghayatan - zauq - rasa hati. Alam jagat raya ini adalah merupakan ayat-ayat kauniyyah (alam ciptaan) yang terbentang luas. Begitu juga ayat-ayat cinta Ilahi yang termaktub dalam mushafnya. Pada kedua-dua bentuk ayat Ilahi ini, kita harus memiliki kaedah bacaan, kefahaman dan penghayatan yang terarah dan tersendiri.


Oleh sebab itulah, buat pertama kalinya ketika wahyu disampaikan kepada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, wahyu tersebut mengintikan perkataan yang tersendiri sebagai isyarat peri-pentingnya peranan zikir fikir ikhtiar dalam hidup kita - iatu dalam kalimah IQRA'!


Ternyata, bacaan hati lebih kuat daripada semata-mata bacaan akal. Bertapa Nabi Ibrahim Khaliilullah ketika bersimulasi dalam pencariannya menggapai Tuhan, terlihat ia merangsang bacaan akalnya (dan ini seharusnya menjadi momentum bagi kita semua) dengan hatinya yang tunduk kepada yang Maha Sempurna iaitu ALLAH azza Wajalla.


HATI adalah wadah yang murni - fitrah. Ia disediakan memang untuk merasa. Pada wujud maknawinya yang satu, terdapat di sana seribu rasa. Akal yang mantap dipengaruhi oleh hati nurani yang suci murni akan menerbangkan seorang kita memuncak ke hadiratNYA. HATI akan menjadi lapang ketika diisi dengan kebesaran ALLAH. HATI akan perkasa jika diisi dengan sifat keperkasaan ALLAH. HATI pasti akan lembut jika disimbah dengan kelembutan ALLAH. Dan, apa sahaja usaha kita mengisi ruang hati kita, kalau intinya adalah Zat ALLAH, maka kebaikan demi kebaikan sahajalah ganjarannya.


Benarlah kata Rasulullah SAW : "AT-TAQWA itu di sini - lalu diisyaratkan dengan menunjuk di dadanya". Taqwa itu di hati. Di hati saudaraku sekalian. Dan memang, Rasulullah SAW juga berpesan agar kita sentiasa memantapkan iman kita dengan memperbaiki hati - islah rohani. Sabda Rasulullah SAW : "Ketahuilah... sesungguhnya dalam jasadmu adalah segumpal daging. Bila mana ia baik, maka baik pulalah jasadmu seluruhnya. Namun, bila mana ia rosak, rosak pulalah jasadmu seluruhnya. Ingatlah... itulah dia HATI!". Secara maknawi, itulah hati - yang fungsi dan peranannya adalah merasa - itulah alat sensor hidup kita. Junjungan mulia kita juga bersabda : "Sesungguhnya ALLAH tidak melihat / menilai pada rupa parasmu, tidak juga pada hartamu ; tetapi, DIA melihat / menilai pada QULUB (HATI) - mu dan amal kerjamu".


Justeru itu, marilah saudaraku sekalian beragama dengan hati kita. Rasailah renungan, tatapan dan pengawasan ALLAH pada diri kita. Rasailah di hati yang terdalam akan kebesaran, kekuasaan, kesempurnaan serta kehebatan ALLAH. Setelah kita miliki ilmunya dengan akal, kukuhkan ia dengan hati dan sempurnakanlah dengan bukti amal. Semoga kita menjadi ummat yang memiliki kunci Syahadah sebagai Muslim, Mu'min dan Muhsin di sisi-NYA. InsyaALLAH...


Dedikasi untuk semua...


Ustaz Abu Miftah

09/04/2012M

17 Jamadil Awal 1433H