Khamis, 28 Januari 2010

- ALLAH MILIK KITA -

=====================================================================
Bukan Meragi Propaganda Perpecahan - Tetapi Hanya Merapi Pemahaman Sejarah Kebenaran
===============================================================

- ALLAH MILIK KITA -

Berdasarkan Rukun Islam yang pertama umat Islam wajib melafazkan perakuan keimanan mereka kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW secara tepat dan betul. Lafaz Lailahaillaah dan Muhammadur Rasulullah menunjukkan bahawa Allah SWT adalah tuhan dan Nabi Muhammad SAW adalah Nabi kita. Penggunaan lafaz Lailahaillaah adalah suatu bentuk perakuan kewujudan tuhan yang dinamakan Allah dan menafikan tuhan-tuhan selain-Nya.

Dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW dasar utama perjuangan baginda adalah menguatkan akidah yang mengambil masa selama 13 tahun di Makkah. Perjuangan menegakkan akidah yang berasaskan tiada tuhan melainkan Allah ini, bukan perkara mudah. Baginda terpaksa menjelaskan kepada masyarakat Musyrikin tentang konsep tuhan Yang Maha Esa itu. Persoalan besar timbul di sini ialah siapakah tuhan Yang Maha Esa itu.?

Firman Allah SWT dalam surah al-Ikhlas ayat 1-4:
Maksudnya: “Katakanlah wahai Muhammad, tuhanku ialah Allah Yang maha Esa, Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat, ia tidak beranak, dan ia pula tidak diperanakkan, dan tidak ada sesiapa pun yang setara dengan-Nya”.

Berdasarkan penjelasan surah al-Ikhlas ini maka sebagai orang Islam kita mesti yakin bahawa Allah mempunyai sifat-sifat Yang Maha Esa, Dia tidak beranak dan juga tidak pula diperanakkan serta tidak ada sesiapa pun yang setara dengan-Nya. Dengan itu, umat Islam wajib menolak segala bentuk atau konsep tuhan yang lain daripada Allah SWT. Ini merupakan syarat mutlak sahnya kepercayaan kita terhadap adanya tuhan dalam Islam.

Namun sejarah membuktikan bahawa manusia pada asalnya mentauhidkan Allah SWT tetapi terdapat di kalangan manusia telah terpesong menjadi sesat kerana terpengaruh dia’yah yang sentiasa dibayangi musuh Allah yakni syaitan dan hawa nafsu bahkan mereka mencipta pula pelbagai ajaran sehinggalah muncul agama yang pelbagai. Mereka terpesong sehingga menukar sifat Allah Yang Maha Esa itu sesuka hati mereka seperti mewujudkan tuhan yang pelbagai jantina, pokok besar sebagai tuhan, tuhan boleh makan dan minum dan manusia juga boleh menjadi tuhan. Malah mereka menyempitkan bidangkuasa tuhan itu. Berdasarkan identiti tuhan boleh bertukar ganti, maka konsep Allah Yang Maha Esa inilah yang membezakan akidah Islam dengan agama yang lain.

Ajaran Nabi dan Rasul misalnya sejak Nabi Adam, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa ’alaihimussalam dan Nabi Muhammad SAW telah berusaha meluruskan akidah manusia agar berterusan menyembah Allah Yang Maha Esa. Islam melalui pesuruh-Nya Nabi Muhammad SAW hadir untuk meluruskan kembali kesesatan agar kembali meng-esakan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa’ ayat 171:
O People of the Book! Commit no excesses in your religion: Nor say of Allah aught but the truth. Christ Jesus the son of Mary was (no more than) an apostle of Allah, and His Word, which He bestowed on Mary, and a spirit proceeding from Him: so believe in Allah and His apostles. Say not "Trinity" : desist: it will be better for you: for Allah is one Allah: Glory be to Him: (far exalted is He) above having a son. To Him belong all things in the heavens and on earth. And enough is Allah as a Disposer of affairs.

Maksudnya: “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya al-Masih Isa ibni Maryam itu hanya Pesuruh Allah, dan Kalimah Allah yang telah disampaikan-Nya kepada Maryam, dan roh daripada-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya, dan janganlah kamu mengatakan: (Tuhan itu) tiga. Berhentilah, supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah Allah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya).”

Kita mengakui bahawa terdapat kalimah Allah di dalam kitab suci yang diterjemah ke bahasa Arab. Kalimah ini wujud kerana sesetengah penganut samawi termasuk Kristian Arab seperti di Lubnan, Mesir dan lain-lain yang muncul sebelum kedatangan Islam meyakini konsep keesaan Allah. Ia berbeza sama sekali dengan konsep tiga dalam satu (iaitu tiga tuhan dalam satu) seperti mana pegangan doktrin kebanyakan penganut pada hari ini.

Oleh itu, mimbar mengingatkan jemaah dan umat Islam sekalian bahawa kita perlu melihat apa yang berlaku di sebalik penggunaan lafaz Allah yang diperjuangkan oleh pihak tertentu. Jika kita melihat dengan teliti isu ini ternyata terdapat perkaitan kuat dengan isu pluralisme iaitu konsep perjuangan semua agama adalah sama. Malah segelintir umat Islam menyokong perjuangan ini yang menubuhkan fahaman Islam Liberal. Para pendi’ayah Islam Liberal berusaha kuat untuk memperlekehkan dan melonggarkan nama-nama khas Islam atau istilah-istilah yang menjadi tunjang kekuatan Islam agar akidah umat Islam mudah goyah dan rapuh.

Selain itu, dalam usaha mengelirukan umat Islam, mereka menterjemahkan Kitab Bible sebagai al-Kitab, al-Quran diterjemahkan sebagai Bacaan dan mencipta Qur’an baru Furqaanul Haq yang diterbitkan di Amerika Syarikat. Semuanya ini adalah agenda pendi’ayah-pendi’ayah dalam usaha mengelirukan dan melupuskan akidah umat Islam di dunia.

Islam agama yang suci mempunyai standard piawaian hukum hakam atau peraturan tertentu dalam menjaga kesucian nama Allah dan kitab sucinya. Orang-orang Islam sendiri pun tertakluk kepada standard piawaian penjagaan kesucian nama Allah dan al-Quran. Kita amat bimbang pihak lain menyalahgunakan kalimah suci itu. Kita pernah mendengar dan membaca dalam laporan media cetak dan media elektronik bagaimana pihak–pihak tertentu memijak-mijak al-Quran, helaian al-Quran dimasukkan dalam lubang tandas, helaian al-Quran menjadi kertas pembungkus, dan nama-nama Allah ditulis di alas-alas selipar dan kasut serta dipijak-pijak.

Kita amat bimbang jika pihak–pihak terlibat menyalahgunakan penggunaan lafaz Allah dan mengambil kesempatan menghina agama lain, maka dikhuatiri akan menimbulkan pertikaian agama dan mengancam keselamatan negara. Bagi mewujudkan suasana aman dan kehidupan harmoni yang telah wujud di negara ini, maka mimbar menyeru umat Islam dan rakyat di negara ini supaya mengelak daripada menimbulkan isu-isu sensitif dan kemarahan sesuatu agama dan kaum. Apatah lagi, penggunaan lafaz Allah telah ribuan dan beratus-ratus tahun telah digunakan oleh masyarakat Islam akar umbi di negara ini.

Dalam usaha memartabatkan Islam di negara ini, umat Islam hendaklah berpendirian selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-82 yang telah bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008. Kandungan keputusan itu yang berbunyi:

Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain. Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unusr-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan”.

Sehubungan itu, dinasihatkan agar semua pihak di negara ini agar dapat bertenang berhubung perkara ini dan memberi peluang perkara ini diselesaikan melalui proses perundangan.

Ummat Islam harus sedar bahawa cabaran yang dihadapi bukan sahaja penggunaan lafaz Allah, mungkin selepas ini akan timbul banyak lagi cabaran yang berniat mengugat kekuatan dan kesucian Islam di negara ini. Dalam usaha menghadapi cabaran yang mengugat akidah ini, maka mimbar menyeru umat Islam agar mendalami dan memperkuatkan akidah dalam keluarga sendiri agar dapat mengenalpasti siapakah Allah dan sifat-sifat sebenar Allah Yang Maha Esa. Oleh itu para penegak Islam dan ibu bapa perlu lebih peka, lebih perihatin dan lebih berusaha menanamkan ilmu tauhid dan akidah kepada anak-anak dan masyarakat Islam agar tidak terjebak dengan di’ayah sesat dalam pemahaman tentang Allah SWT.

Kesimpulannya, akidah menjadi benteng kekuatan ummah. Oleh itu, mimbar ingin menarik perhatian sidang jemaah sekalian berhubung dengan konsep ketuhanan dalam Islam iaitu:

Pertama: kalimah tauhid atau kalimah syahadah adalah ikrar peng-esaan tuhan yang maha Esa, tidak memadai dengan hanya menyatakan perakuan tetapi kita mesti membuktikan perbuatan dan tindak tanduk seharian selari dengan hukum Allah. Kadangkala kita marah pihak lain menghina Islam tetapi terdapat di kalangan kita pun tidak beramal dengan akidah dan syariat Islam.

Kedua: kalimah syahadah yang dijadikan asas akidah adalah kalimah paling selamat untuk mengelakkan dan memelihara kita terlibat dengan syirik.

Ketiga: al-Qur'an dan as-Sunnah dijadikan bahan rujukan mutlak untuk mengetahui dan memahami akan sifat-sifat Allah kerana maklumat-maklumatnya yang lebih lengkap, lebih konsisten dalam mempertahankan ciri-ciri kesejagatan Allah itu, dan

Keempat: mempertahankan konsep ketuhanan bermaksud mempertahankan pengertian mengesakan Allah yang sebenar oleh mereka yang mengaku beriman kepada Allah SWT.

Say: "O People of the Book! come to common terms as between us and you: That we worship none but Allah; that we associate no partners with him; that we erect not, from among ourselves, Lords and patrons other than Allah." If then they turn back, say ye: "Bear witness that we (at least) are Muslims (bowing to Allah's Will).

Maksudnya: “Katakanlah: Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dengan kamu, iaitu kita tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengan-Nya sesuatupun; dan jangan sebahagian dari kita mengambil sebahagian yang lain sebagai tuhan selain dari Allah. Kemudian jika mereka berpaling, maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah bahawa kami adalah orang Islam.” ( Surah Ali Imran:64)

Sumber :

1) Khutbah JAKIM/8 Januari 2010 - 22 Muharram 1431H]
2) http://www.muslimaccess.com/quraan

abu miftah 1603/28012010

SARA BOKKER : Dari Sikap Escapism Akhirnya Memeluk ISLAM


=====================================================================
Bukan Meragi Propaganda Perpecahan - Tetapi Hanya Merapi Pemahaman Sejarah Kebenaran
===============================================================

SARA TENANG BERJILBAB


sehingga kini pemakaian purdah tidak dibenarkan di sesetengah negara.


PENTAS peragaan pakaian, gemerlapan dunia lakonan, jurulatih kesihatan serta aktivis hak asasi merupakan senario kerjaya wanita bernama Sara Bokker. Apatah lagi dia pernah tinggal di Florida dan di pantai Selatan Miami, antara lokasi paling popular untuk mencari kehidupan glamor.

Pastinyalah, kehidupan alam remaja yang dilalui Sara dahulu banyak berfokus kepada kehidupan tanpa bantasan akhlak dan agama. Lebih-lebih lagi dalam aspek penampilan seksi dan rupa paras yang cantik menjamin kelangsungan hidup di mata masyarakat dan pemantapan kerjaya masa depan.

Malah Sara adalah antara ratusan mahupun ribuan pengunjung setia pantai peranginan itu yang 'gemar mempamerkan tubuh' serta kononnya berjaya mencapai taraf hidup yang penuh bergaya dan ada kelas.

Setelah bertahun-tahun bergelumang dalam dunia yang serba-serbinya mementingkan penampilan luaran, menyebabkan Sara rasa terkongkong dalam dunia yang dipujanya selama ini.

Hakikatnya, rutin kehidupan sedemikian tidak membawa kepuasan sejati kepada Sara, terutamanya yang menyentuh aspek kerohanian.

Lantaran itu, Sara mulai mengalihkan kegiatannya dari pesta ke pesta dan alkohol kepada bermeditasi, mengikuti aktiviti sosial dan mempelajari pelbagai agama lain sebagai satu escapism.

Sehinggalah apabila dunia dikejutkan dengan serangan 11 September 2001, Islam tiba-tiba muncul terutamanya di kalangan Barat yang bukan beragama Islam.

"Itulah detik pertama saya mengenali agama Islam. Sebelum ini, gambaran saya tentang Islam ialah wanita berkelubung, agama yang menafikan serta menganiayai hak wanita, berpoligami serta Islam adalah agama yang terkenal sebagai pengganas serta cenderung kepada keganasan. Ditambah pada ketika itu saya dikira seorang aktivis hak asasi manusia.

"Perasaan ingin tahu di sebalik Islam inilah yang membawa saya kepada kitab al-Quran. Melihat pada kulit depannya sahaja saya sudah tertarik.

"Apabila membacanya pula, hati saya menjadi tersentuh kerana isinya membawa kita rapat kepada Pencipta, lebih memahami persoalan tentang kejadian alam sekitar ini dan segala aspek dalam kehidupan," kata Sara yang terkesan dengan agama yang tidak memerlukan perantara, tidak seperti agamanya sebelum ini.

Ketenangan yang diperoleh menerusi al-Quran memberikan keyakinan kepada Sara untuk menjadikan Islam agama kepercayaannya. Setahun kemudian, Sara bukan sahaja mendirikan rumah tangga dengan jejaka Muslim pilihan hati tetapi paling ketara bagi diri Sara ialah penampilan dirinya yang dikira berubah 360 darjah.

"Kalau sebelum ini saya lebih suka dan serasi dengan berseluar pendek, berbikini dan bergaya dengan pakaian Barat yang berkelas. Kini tidak lagi. Saya lebih tenang dan selesa bila mengenakan jubah dan tudung kepala sebagaimana wanita-wanita Muslim berbusana Muslimah.

"Orang yang saya temui tetap sama tetapi untuk pertama kalinya dalam hidup ini, saya benar-benar menjadi seorang wanita Muslimah. Malahan saya tidak lagi terkongkong dengan minda masyarakat moden ketika itu. Inilah kebebasan yang saya cari-cari selama ini," cerita Sara akan pengalaman pertamanya berjilbab di khalayak ramai.

Beberapa lama mengenakan jilbab, hati Sara teringin untuk mengenakan niqab (pakaian Muslimah lengkap dengan purdahnya). Pernah juga dia mengajukan keinginannya itu kepada suami. Namun balas suaminya, menutup aurat itu satu kemestian kepada wanita Islam tetapi sebaliknya bagi berpurdah.

Pun demikian, hampir setahun setengah kemudiannya, Sara akhirnya mengenakan niqab dengan alasan berasa lebih tenang dan damai serta mahu melakukan terbaik hanya untuk Allah SWT.

Sayangnya, penampilan barunya itu mendapat reaksi yang pelbagai. Antara pihak yang terang-terangan mengkritik keras adalah ahli politik, kumpulan gereja dan aktivis kebebasan dan hak asasi manusia di media massa.

Mereka mengatakan bahawa niqab adalah satu bentuk penindasan terhadap kaum wanita, halangan bagi integrasi sosial dan paling memedihkan, berniqab dikatakan sebagai petanda kemunduran dan terkebelakang.

"Saya melihat kenyataan-kenyataan di atas ini sebagai kata-kata orang munafik.

"Natijahnya sekarang, berlaku banyak halangan terhadap wanita yang mengenakan hijab atau niqab untuk keluar berkerja dan mendapatkan pendidikan di sekolah dan universiti. Ia bukan hanya di bawah rejim kuku besi seperti di Tunisia, Maghribi dan Mesir tetapi juga di negara-negara demokrasi seperti Perancis, Belanda dan Eropah.

"Sehingga kini, saya tetap seorang aktivis wanita tetapi seorang aktivis wanita Muslimah, yang menyeru kepada para Muslimah untuk tetap menunaikan tanggung jawabnya dan memberikan sokongan penuh pada suami-suami mereka agar menjadi seorang Muslim yang baik. Membesar dan mendidik anak-anak mereka agar menjadi Muslim yang berkualiti sehingga mereka boleh menjadi insan berguna bagi seluruh umat manusia.

"Di samping itu, saya menyeru kaum wanita untuk berbuat baik dan menjauhi kemungkaran serta menyebarkan kebaikan dan menentang kebatilan.

"Yang pastinya, saya tidak berhenti setakat diri ini menikmati hidup yang semakin ceria, bahkan turut memperjuangkan Islam, menyedarkan wanita lain agar menutup aurat, memerangi dakyah musuh-musuh Islam dalam hal etika pakaian Islam," tegas Sara.

Tambah beliau, sebagai seorang bekas bukan Islam, dia bertekad menjelaskan kepada wanita lain akan hak-hak wanita untuk sama-sama mengetahui mengenai hijab, kebaikan-kebaikannya, kedamaian dan kebahagiaan yang dibawanya ke dalam kehidupan wanita, seperti yang telah terjadi ke atas dirinya sendiri.

[SUMBER ARTIKEL - Utusan Online - click!]