Jumaat, 31 Julai 2009

Dapatkan Buku Dakwah Tulisan Tuan Hj. Nick

STAY ALiVE turut membantu menjual 2 buku karangan Ustaz Nicholas iaitu ‘Asas Ajaran Kristian Menurut Perspektif Islam‘ yang ditulis bersama sahabat & mentor saya; Ustaz Abdullah Din, & juga buku terbaru Ustaz Nick; Jom Berdakwah.

Asas Ajaran Kristian Menurut Perspektif Islam- Ust Nicholas & Ust. Abdullah Din

Asas Ajaran Kristian Menurut Perspektif Islam- Ust Nicholas & Ust. Abdullah Din

Nama Buku : ASAS AJARAN KRISTIAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Penulis : Hj Nicholas Sylvester & Ust Hj Abdullah Din

Penerbit & Pencetak : One Touch Creative Sdn Bhd

Harga : RM20.00 sahaja. (Harga kawan-kawan / harga promosi)

Buku ini asalnya adalah himpunan bahan-bahan powerpoint PROGRAM PENINGKATAN DAIE anjuran JAKIM Cawangan Sabah pada 2006-2007 yang diadakan di beberapa daerah seluruh Sabah.

Buku ini dibahagikan kepada 5 bab :
Pertama : Islam dan perbandingan agama
Kedua : Pengenalan kitab Bible
Ketiga : Sejarah agama Kristian
Keempat : Asas Kepercayaan Kristian
Kelima : Kombat Kit Pendakwah

Untuk mendapatkan buku ini, atau ingin mengadakan program seumpama ini boleh menghubungi kami :

Ust Abdullah Din : 019-8813100 (Kedah)
Ust Md Khidir Ishak : 016-8199089 (SM La Salle, KK)
Che’gu Jamil Dayan : 013-8517282 (SMK Kolombong, KK)
Ust Amir Hamzah Jaafar : 013-9377696 (SM St Peter Telipok, KK)
Cikgu Md Nasirin Abd Ghani : 013-2069733 (SM Teknik Likas, KK)
Cikgu Hashim Harun : 013-3635892 (SMK Sanzac, KK)
Ust Hj Md Akmal Othman : 013-8510199 (JHEAINS KK)

(dipetik dari blog Ustaz Akmal- abunuha@wordpress)

Jom Berdakwah- Ustaz Nicholas Sylvester

Jom Berdakwah- Ustaz Nicholas Sylvester

Buku ‘Jom Berdakwah‘ ini ditulis oleh Ustaz Nicholas Sylvester @ Muhammad Abdullah, pengerusi jawatankuasa dakwah Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) & pengerusi Hidayah Centre, sebuah pusat sokongan saudara baru. Selain menghuraikan beberapa persiapan asas sebagai pendakwah, buku ini juga memuatkan kisah-kisah yang melibatkan pengalaman penulis dalam usaha dakwah dalam masyarakat majmuk. Antara kandungannya, ia menerangkan tentang gejala murtad, gerakan Kristian, memperkenalkan Islam kepada non muslim, perbandingan agama & dakwah, saudara baru/ kita, peranan & tanggungjawab saudara kita, & persiapan asas para pendakwah. Bahasanya mudah & ringkas.

Buku 98 m/surat ini dijual dengan harga RM12 pada hari itu. Untuk mendapatkannya, boleh hubungi Ust. Nick di 019-3335549.

[Sumber : http://inksensei.wordpress.com/2009/03/11/buku-asas-ajaran-kristian-menurut-perspektif-islam-jom-berdakwah/]

Taaruf - Tuan Hj. Ayub Abdul Rahman Sang Daie

SIAPA SEBENARNYA TN.HJ.AYOB ABDUL RAHMAN?

Ayub Abdul Rahman dulu paderi kini Daie
Oleh: SITI AINIZA KAMSARI

PADA 8 Ogos tahun lalu, seluruh umat Islam amat merasai kehilangan ulama besar dan pendakwah terkemuka Sheikh Ahmed Hossen Deedat yang meninggal dunia dalam usia 87 tahun. Ramai beranggapan tidak akan ada Ahmed Deedat yang kedua selepas kematiannya itu.

Hanya Allahyarham sahaja yang mampu berdialog mengenai soal ajaran Kristian dan kitab Bible bagi tujuan menyerlahkan lagi kebenaran ajaran Islam itu sendiri.

Namun pertemuan penulis dengan seorang lagi pendakwah baru-baru ini tidak syak lagi mampu membuka lembaran baru mengenai ‘kemunculan’ atau pengganti Ahmed Deedat walaupun mungkin tidak sehebat Allahyarham.

Bahkan lebih menariknya, Ustaz Ayub Abdul Rahman 59, sendiri dahulunya seorang seorang pendita atau Paderi Besar Kristian yang lebih dikenali sebagai Reverend Anthony Samy Perumal Viagulam dan pernah berkhidmat di Gereja St. Augustine of Canterbury, Frankfurter Jerman selama hampir 10 tahun.

Gereja tersebut atau lebih dikenali sebagai Englische Kirche (Gereja Inggeris) merupakan satu-satunya gereja di Jerman yang menggunakan medium Bahasa Inggeris yang beraliran Anglican Episcopal Church. Ia sering menjadi tumpuan penganut Kristian terutamanya dari Amerika Syarikat dan Britain serta lain-lain negara Eropah.

Bagaikan jauhari mengenal manikam. Ayub adalah tokoh yang selayaknya memperkatakan ajaran Kristian dan amat mengetahui semua isi dan selok belok kitab Injil itu.

Namun sehebat itu juga pengetahuan dan amalannya kini terhadap Islam, tidak ada sesiapa dapat mempertikaikan sehinggakan orang ramai tidak ragu-ragu memanggilnya “Ustaz” mahupun “Tuan Haji Ayub”.

Komitmen beliau yang begitu padu terhadap Islam terutama dalam gerakan dakwah dan kebajikan Islam mendapat penghargaan banyak pihak dan terbaru, beliau dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak (Saudara Baru) 2005.

Beliau mempunyai fasa-fasa hidup yang cukup menarik bermula dari seorang yang begitu mengabadikan diri terhadap Kristian, akhirnya dilimpahkan dengan nur dan hidayah Allah untuk memeluk Islam pada 4 September 1978.

“Saya telah mempunyai kehidupan yang begitu sempurna semasa menjadi paderi” katanya ketika ditemui di Yayasan Jenderami, Dengkil, Sepang di Selangor baru-baru ini.

Kesempurnaan yang dinikmati dalam institusi gereja itu membolehkan Anthony mengecap kesenangan dalam hidup.
“Segala-galanya disediakan dan diberi percuma oleh pihak gereja. Daripada orang yang akan membasuhkan tandas kita sehinggalah pemandu dengan kenderaan mewah untuk membawa saya ke mana sahaja.

“Ini tidak termasuk tiket-tiket penerbangan kelas pertama ke hampir seluruh pelusuk dunia. Jadi saya tidak ada masalah sepanjang berkhidmat untuk gereja kerana apa sahaja yang dihajati akan segera dipenuhi,” katanya yang telah menjejaki 22 negara bagi menjayakan misionari Kristiannya.

Tugas sebagai Biecht-vader iaitu mengampunkan penganut Kristian yang berdosa turut memberikan kepuasan kepada jiwa Anthony ketika itu. Pernah kata Ayub, beliau diminta mengampunkan penghuni kubur atas permintaan keluarga si mati.

Sehinggalah pada suatu hari berdasarkan pembacaan kitab Bible, perasaan beliau yang setenang air di kali selama ini mula terganggu. “Tanpa seseorang itu dibaptiskan, tidak memungkinkan seseorang itu menghuni syurga!”

“Apabila saya terbaca ayat itu, hati saya begitu terusik. Ini kerana secara tiba-tiba saya terkenangkan jiran-jiran saya di Kampung Pelanduk Jatuh, Bukit Mertajam Pulau Pinang. “Mereka merupakan jiran yang sangat baik. Sehinggakan saya masih ingat walaupun mereka menjalani ibadat puasa Ramadan, kami sekeluarga adalah orang pertama yang akan menerima juadah berbuka puasa mereka.

“Mereka tidak akan berbuka selagi kami tidak menerima juadah tersebut walaupun kami bukannya beragama Islam. Ia memang satu situasi yang mengharukan. “Begitu juga apabila ada ahli keluarga saya sakit dan memerlukan rawatan segera ke hospital, jiran-jiran Melayu saya inilah yang akan bersusah payah menggunakan kenderaan mereka untuk membawa kami ke hospital dan mereka tidak pernah berkira. “Saya kira mereka merupakan jiran terbaik yang pernah saya jumpa” kata Ayub.

Apabila mengenangkan kebaikan jiran-jirannya itu dan ajaran Kristian, Anthony begitu terusik kerana kebaikan mereka itu akan berakhir dengan masuk ke neraka!

“Saya benar-benar sedih kerana mereka ini tidak pernah dibaptiskan maka tentunya mereka tidak akan layak masuk ke syurga Allah. “Sehinggakan buat pertama kali saya memperkenalkan sembahyang malam yang sebelum ini tidak ada dalam cara orang Kristian beribadat. Ini kerana saya benar-benar memerlukan jawapan mengenai persoalan ini,” jelasnya.

Oleh kerana memiliki kunci pintu gereja maka pada suatu malam, dihadapan altar beliau sembahyang dan ‘merayu’ kepada tuhan supaya jiran-jirannya itu dikecualikan daripada memasuki neraka.

Namun bagi Anthony sudah sampai tahap dan masa untuknya mengubah akidah umat Islam itu sendiri.

Lantas beliau memohon kebenaran pihak gereja untuk mengkaji dan mendalami al-Quran yang bakal dijadikan senjata untuk melumpuh dan melemahkan umat Islam itu sendiri.

Permintaan Anthony segera dipenuhi malah pada tahun 1973 beliau dihantar ke Millhill Missionary Institute di utara London bagi membolehkan paderi ini mempelajari Islam sebanyak mana yang beliau mahu.

“Pada mulanya untuk selama tiga bulan, tetapi saya lanjutkan sehingga enam bulan kerana telah direncanakan oleh tuhan, saya tidak menemui apa yang dicari kecuali jika terus mencari apa yang ditemui hanyalah keindahan Islam.

“Tiada kecacatan langsung mengenai Islam malah kalau ada 10 kitab al-Quran yang didatangkan dari mana-mana negara di hadapan saya. Baik sama ada dari Afrika, Asia malah dari Eropah sendiri, yang saya jumpa hanyalah ayat-ayat yang sama.

“Kata-kata Allah itu begitu terpelihara dan tidak berubah oleh sebarang tokok tambah dan pengurangan. Malah nama agama itu sendiri, memang ada tertulis di dalam al-Quran dan makna dari ayat 85 Surah al-Imraan benar-benar mengejutkan saya sehingga saya menjadi lebih ketakutan.
ومن يبتغ غير الإسلم دينا فلن يقبل منه وهو في الأخرة من الخسرين
Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.
(Al- Imraan: 85)
“Jadi, siapa sebenarnya yang akan rugi di hari akhirat kelak?,” katanya.

Menurut Ayub, adalah tidak mudah sebenarnya untuk beliau menerima Islam kerana dirinya sangat berpengetahuan dalam ajaran Injil itu sendiri sehinggakan banyak mengunjungi tempat suci orang Kristian di seluruh dunia. Peluang yang tidak diperolehi oleh penganut lain.

“Ditambah dengan persekitaran hidup dalam biara dan sentiasa dipantau oleh pihak gereja sehinggalah oleh pihak Vatican di Itali,” katanya.

Namun 4 September 1978 mencatatkan tarikh yang bersejarah apabila paderi ini akhirnya dengan seikhlas hati mengakui keesaan Allah s.w.t sebagai tuhan yang satu yang tidak disekutukan dengan mana-mana makhluk lain termasuk Nabi Isa a.s.

Beliau diIslamkan di bumi Sarawak sebagai saksi dengan dibantu oleh Ketua Menteri Sarawak pada masa itu, Tun Patinggi Abdul Rahman Yaacob. “Jadi, tahulah anda dari mana saya mendapat nama Abdul Rahman selepas saya memilih Ayub sebagai nama Islam saya,” katanya.

Rupa-rupanya tindakan Ayub memeluk Islam itu bukan sahaja menimbulkan kejutan kepada banyak pihak namun yang lebih tidak sangka-sangka sehingga membahayakan nyawanya pada masa itu.

“Tidak dapat dilupakan bagaimana takut dan ngerinya saya pada masa itu apabila rumah yang saya diami dibaling orang dengan ketulan-ketulan batu. “Tidak sangka tindakan saya memeluk Islam tidak disenangi oleh sesetengah pihak,” katanya.

Demi keselamatan dirinya, Ayub terpaksa menyembunyikan diri di Jeddah, Arab Saudi dan di Tanah Haram, Mekkah Al Mukarramah selama tiga tahun.
“Tetapi begitu sekali kekuasaan Allah! Jika tidak kerana persembunyian ini tentulah saya tidak berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Saya benar-benar bersyukur kerana diberikan peluang yang sebegini hebat.

“Bagai tidak percaya, baru sehari dua mengucapkan kalimah syahadah di tanah air tetapi Rumah Allah, Kaabah itu kini berada di hadapan mata dan saya tidak mampu menahan air mata yang mengalir. Seumur hidup tidak pernah menangisi diri tetapi saya benar-benar merasakan diri ini begitu kerdil dan hina berbanding nikmat iman yang diberikan oleh-Nya kepada saya,” katanya.

Selama tiga tahun itu, Ayub mengambil kesempatan mendalami Islam dalam semua aspek terutama al-Quran bagi menambahkan keyakinan dan memberikan kekuatan sebagai seorang yang baru dalam Islam.

(Tn.Hj.Ayob sedang memberi ceramah di Sabah)

Hanya kebelakangan ini sahaja, Ayub memberanikan diri berdakwah secara terbuka termasuk memasuki segenap pelusuk pedalaman Sarawak dan Semenanjung bagi menyebarkan Islam sambil melakukan pelbagai kerja kebajikan.

Namun seperkara yang menarik mengenai Ayub ini apabila setiap hujung minggu, beliau ‘menukar’ statusnya sebagai pemandu pelancong.
“Hujung-hujung minggu saya pasti berada di perkarangan masjid-masjid di sekitar Kuching. Di situ saya berperanan sebagai pemandu pelancong kerana ramai menjadikan Masjid Bahagian Kuching sebagai destinasi kunjungan mereka setiap kali datang ke sini.

“Daripada mereka terjengok-jengok dan tiada sesiapa membantu untuk menjelaskan fungsi dan peranan masjid, adalah lebih baik saya menemui rombongan pelancong yang rata-ratanya warga Barat itu dan mengajak mereka masuk dan melihat sendiri keadaan dan suasana masjid,” katanya yang telah tiga kali mengerjakan haji dan bercadang ke Tanah Suci sekali lagi tahun ini.

Kebanyakan mereka ini, kata Ayub, mempunyai salah tanggapan mengenai Islam dan masjid itu sendiri. Ini termasuklah percaya terdapat patung Nabi Muhammad dalam masjid kerana menganggap baginda merupakan tuhan yang memperkenalkan agama yang mereka panggil sebagai “Muhamaddan”, golongan wanita dinafikan hak mereka untuk beribadat di masjid dan sebagainya.

“Jadi saya ajak mereka masuk dan lihat sendiri akan ‘patung’ tersebut. Ini kerana mereka mungkin menganggap ajaran Islam seperti ajaran Kristian yang terdapat patung Jesus di dalam gereja.

“Tetapi apabila mereka mendapati suasana di dalam masjid tidak seperti yang mereka sangkakan, lalu mereka kehairanan. Di sinilah saya mengambil kesempatan memberi gambaran sebenar mengenai masjid dan terangkan mengapa tidak perlu adanya sebarang patung, apa itu arah kiblat dan sehinggalah mengapa diasingkan jemaah lelaki dan perempuan.

“Apabila tiba waktu sembahyang, saya meminta mereka melihat sendiri bagaimana orang Islam sembahyang dan saya bersedia menjawab apa juga persoalan yang diajukan selepas itu.

“Begitu juga apabila kedengaran seruan azan yang mereka anggap sebagai lagu ibadat paling merdu yang pernah mereka dengar, saya akan jelas makna di sebalik ‘lagu merdu’ itu,” katanya yang menggunakan kelebihan berbahasa Jerman dan Inggeris bagi tujuan ‘dakwah’ itu.

Ketika ditemui penulis, Ayub sedang membantu seorang lagi saudara baru iaitu merupakan pelancong Finland yang menghadapi pelbagai kesukaran di sini.

Lawatannya di kampung-kampung masyarakat Melayu di sekitar Lumut, Setiawan dan Seri Manjung, Perak baru-baru ini menyebabkan lelaki Finland ini begitu tertarik kepada Islam dan terus memeluk agama itu.

“Tindakan itu menyebabkan isterinya di Finland begitu marah dan menganggap apabila suaminya itu memeluk Islam bererti dia akan menjadi pengganas serta menggalas senjata. Lalu keluarga pelancong ini memberi amaran jika dia pulang semula ke negaranya itu, dia akan mati ditembak.

“Jadi siapa sebenarnya yang ganas? Malah mereka menganggap kehadiran Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad ke negara ini baru-baru ini semata-mata untuk merekrut askar dan tentera di kalangan orang Islam di negara ini untuk tujuan keganasan. Sehingga begitu sekali tanggapan mereka mengenai Islam,” katanya yang sedang membantu mengenai kebajikan pelancong itu di sini.

Berkahwin dengan Baiti Adenan, 59, dan mempunyai dua anak lelaki, Musa, 22, dan Isa, Ayub, 20, meniti kehidupan yang lebih bermakna dan bahagia.

Menariknya, beliau lebih kerap memanggil anak-anak lelakinya itu dengan panggilan ‘Moses’ and ‘Jesus’.

“Pernah ada yang meminta kepastian dari saya, benarkah dengan menggunakan telefon bimbit saya sedang bercakap dengan Nabi Musa dan Nabi Isa?,” katanya sambil tertawa kecil.

Setiap tahun, melalui satu pertandingan, anggota-anggota Pasukan Bulan Sabit Merah (PBSM) di Kuching Sarawak akan merebut piala yang dianggap berprestij di sana, iaitu Lazaramah Viagulam Challenge Throphy. Tetapi apa kaitannya dengan Ayub?
“Piala ini sebenarnya dari saya bagi menggalakkan anak-anak muda supaya menderma darah bagi membantu Tabung Darah Negara dan nama piala itu merupakan sempena kasih sayang saya yang tidak ada tolok bandingnya lagi terhadap ibu saya yang tercinta (Lazaramah, 80).

“Ibu saya itu merupakan manusia kedua terpenting dalam hidup saya selepas Allah dan Rasul-Nya. “Walaupun dia masih Kristian tetapi tidak ada apa yang boleh menghalang kasih sayang kami,” katanya yang begitu gembira kerana dapat berjumpa bagi meraikan hari lahir ibunya baru-baru ini.

Ayub benar-benar Muslim yang berbeza. Beliau mempunyai senarai kerja kebajikan yang panjang di Kuching. Antaranya Out Reach HIKMAH, Naib Yang Dipertua Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Sarawak, Jawatankuasa PERYATIM, Sarawak dan Perkim Sarawak.

Sumber Asal: Utusan Malaysia Online 25 Mei 2006
P/s: ana ambil artikel ini daripada http://chooseislam.wordpress.com/2008/01/20/ayub-abdul-rahman-dulu-paderi-kini-daie/

Taaruf Tuan Hj. Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah

Thursday, March 5, 2009

SIAPA SEBENARNYA TN.HJ.ABDULLAH NICHOLAS SYLVESTER

KETIKA umurnya 12 tahun, selepas selesai menjalani upacara Baptism Confirmation (atau pengkristianan), Nicholas Sylvester dipilih oleh pihak gereja sebagai Soldiers of Jesus Christ. Antara lain anugerah itu bermaksud Nicholas layak untuk meninggalkan kehidupan yang biasa kepada kehidupan yang lebih beragama dengan sepenuh masa melaksanakan pelbagai tuntutan dan ajaran Kristian.

MUHAMMAD ABDULLAH NICHOLAS SYLVESTER (duduk tiga dari kanan) ketika menjalankan misi dakwah bersama seorang lagi bekas paderi Ayob Abdul Rahman (duduk dua dari kanan) dalam satu program anjuran NGO Islam, Hikmah, di Lawas, Sarawak pada tahun 2005.

“Jadi selain bersekolah, masa saya banyak dihabiskan dengan menghadiri pelbagai upacara gereja, terutama sebagai anggota koir gereja dan melakukan kerja-kerja kebajikan seperti mengunjungi para pesakit di hospital-hospital dan menghulurkan apa juga bentuk bantuan yang para pesakit perlukan,” kata Muhammad Abdullah Nicholas Slyvester ketika ditemui untuk satu temuramah.

Dibesarkan berhampiran gereja terbesar di Sabah, Cathederal St. Mary, Kota Kinabalu, dan bersekolah di sebuah sekolah Mubaligh Kristian, iaitu di Sekolah Rendah Sacred Heart, tidak menghairankan jika anak sulung daripada enam adik-beradik ini akan mempertahankan agama itu sehingga ke akhir hayatnya.

Sementelahan bapanya sendiri merupakan orang kuat gereja. Pada setiap hari Ahad dalam upacara Mass, dari altar gereja bapanya menyeru setiap penganut Kristian supaya memperteguhkan ‘iman’ mereka terhadap Isa (Nabi Isa a.s.) yang didogma sebagai tuhan.

“Sama ada sebagai Anak Tuhan atau kesatuan dua tuhan dalam satu dan mempercayai juga Holy of Spirit (Ruhul Kudus) adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mempercayai Trinity ini tanpa perlu bersoal jawab lagi,” kata bapa Nicholas.

Maka tentunya si bapa menaruh harapan tinggi agar usaha-usaha peneguhan iman dan missionary Kristian dapat diteruskan oleh Nicholas. Namun dalam diri Nicholas sendiri, titik-titik perubahan mula dilihat apabila Yayasan Sabah menawarkan beliau biasiswa yang membolehkannya menyambung di peringkat sekolah menengah di Sekolah Tinggi Batu Pahat, Johor.

Di situ, beliau terpaksa membiasakan diri walaupun hampir 90 peratus pelajar yang menghuni asrama di sekolah itu terdiri daripada pelajar Melayu atau lebih tepat pelajar Islam.

“Namun, pegangan saya terhadap gereja masih lagi teguh ketika itu. Kebetulan pula berdekatan dengan sekolah itu terdapat sebuah gereja. Walaupun ia gereja beraliran Anglican berbanding saya yang bermazhab Roman Katolik, saya tetap mengunjungi gereja itu sebagai satu tanggungjawab penganut Kristian,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Nicholas, ‘iman’nya seakan-akan mula goyah selepas mengikuti satu upacara ibadat yang dinamakan Baptism of Fire di gereja itu.

Dengan menjalani upacara itu, diri seseorang itu akan diresapi oleh Ruhul Kudus dengan tanda-tanda suhu badannya akan naik, terasa ada bahang panas dan yang paling ketara secara tiba-tiba dia boleh bertutur dalam bahasa asing yang sukar difahami oleh orang lain.

“Ini dipanggil Language of Tongue. Jadi saya juga mengharapkan agar diresapi oleh ruh tersebut tetapi saya menjadi orang yang terakhir dalam kumpulan tersebut yang tidak diresapi. Tetapi oleh kerana seorang paderi menunggu sambil membaca pelbagai ayat dan doa untuk saya, akhirnya saya terpaksa menipu dengan mengeluarkan bahasa yang saya sendiri reka-reka. Akhirnya paderi tersebut memegang bahu saya dan mengesahkan saya dimasuki oleh Ruhul Kudus itu.

“Sejak itu saya mula rasa cuak mengenai upacara itu dan kebenaran ajaran Kristian tetapi saya terpaksa reserve terlebih dahulu perasaan saya dan tetap menjalani kehidupan seperti biasa. Dalam pada itu saya sering memerhatikan kehidupan penghuni asrama yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar Islam. Saya mula tertarik melihatkan mereka melaksanakan tanggungjawab sebagai umat Islam terutama dalam mendirikan solat berjemaah setiap kali tiba waktu.

“Adab pergaulan mereka yang begitu terjaga dan sopan hasil ajaran agama yang mereka anuti itu sedikit sebanyak turut memberikan kesan dalam hati saya. Tetapi saya hanya mampu memerhatikan,” katanya.

Tamat tingkatan tiga, Nicholas kemudian kembali ke Kota Kinabalu untuk menyambung pelajaran tingkatan empat di Sekolah Menengah La Salle yang juga sebuah lagi sekolah mubaligh Kristian.

“Apabila semakin dewasa, maka otak kita mula bekerja dengan lebih keras lagi. Saya mula menilai agama saya dan ada perasaan ingin tahu yang membuak mengenai agama Islam. Sehinggakan saya sanggup mengikuti kelas mata pelajaran Agama Islam yang tentunya khas untuk pelajar-pelajar Islam sahaja.

“Tidak cukup dengan itu saya mula bertanyakan mengenai Islam daripada pelajar-pelajar tersebut. Walaupun tidak mendapat jawapan yang memuaskan hati, ia tidak menjadi penghalang untuk saya terus mengenali Islam,” katanya.

Nicholas semakin tertarik kepada Islam apabila melihatkan peribadi seorang gurunya yang dikenali sebagai Cikgu Rashid.

Walaupun Cikgu Rashid tidak menjelaskan kepada saya mengenai Islam secara fakta dan hujah namun kehidupan dan peribadi beliau yang begitu baik, patuh pada ajaran Islam dan mempunyai pelbagai sikap yang positif menyebabkan saya semakin nampak akan keindahan Islam itu sendiri,” katanya.

Dalam keadaan itu, bersama ‘iman’ yang masih cuba dipertahankan, Nicholas kemudian mengikuti kursus Test of English as a Foreign Language (TOEFL) selepas mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat di sebuah sekolah menengah asrama penuh terkemuka di Cheras, Kuala Lumpur.

“Sebenarnya, sepanjang enam bulan mengikuti kursus tersebut saya seperti merayakan musim berbulan madu. Ini kerana saya tidak mempunyai masalah langsung dengan bahasa Inggeris. Ini menyebabkan juga saya berpeluang mengikuti pelbagai program anjuran gereja dengan menyertai kumpulan Non Dominational Group yang bersifat Engelical.

“Sehinggalah pada suatu hari, saya bersama dengan beberapa orang kawan sanggup ke Melaka mengikuti satu lagi upacara keagamaan yang dapat mengesahkan keimanan kami terhadap Jesus,” katanya.

Sebenarnya gereja di Melaka tersebut hanya sebuah rumah kedai tetapi di dalamnya telah berkumpul beberapa orang paderi bagi menjalankan upacara itu.

Secara tiba-tiba salah seorang rakan perempuan mereka mengalami kerasukan yang teruk! Dia meronta-ronta, tidak sedarkan diri dan dari mulutnya keluar suara lelaki yang begitu menakutkan dan keadaan bertukar menjadi kecoh.

Mereka cuba diyakinkan agar menerima bahawa budak itu berjaya dipulihkan dengan berkat bantuan Jesus. Bagaimanapun, Nicholas tidak dapat menerima dakwaan itu sekali gus menjadi noktah kepadanya untuk tidak lagi mempercayai ajaran Kristian walaupun agama itu adalah darah dagingnya selama ini.

Pada 4 Januari 1985, Nicholas akhirnya menjejak kaki di bumi Amerika Syarikat (AS). Kali ini beliau benar-benar menghirup udara kebebasan apabila tiba di bumi asing itu. Ini kerana sembilan hari kemudian, iaitu 13 Januari 1985 menjadi tarikh bersejarah bagi Nicholas apabila tanpa menoleh ke belakang lagi beliau melafazkan dua kalimah syahadat di Islamic Centre berhampiran Askansas State University di bandar Jonesboro, Askansas.

Surah Al-Ikhlas

“Al-Qur’an Al-Kariim, Surah Al-Ikhlas”

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

  1. Katakanlah: (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa.
  2. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.
  3. Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan
  4. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.

“Saya masih ingat lagi bagaimana saya menemui seorang berbangsa Arab, Qais Syarbati, bagi tujuan membantu saya memeluk Islam. Lalu dibawanya saya ke pusat Islam itu. Yang menariknya Qais sendiri berkahwin dengan seorang wanita Kristian yang diyakini merupakan golongan Ahli Kitab,” tambahnya.

Sejak itu, Nicholas yang mahu lebih dikenali sebagai Muhammad Abdullah Nicholas Slyvester memulakan hidup baru sebagai individu Muslim yang taat dan patuh kepada ajaran agama barunya.

“Alhamdullillah saya mampu melakukan ibadat dengan baik, malah sebenarnya sebelum menjejakkan kaki ke AS, saya sempat berkhatan dengan mendapat bantuan seorang rakan Melayu yang kemudian mengajak saya untuk berkhatan di kampungnya di Taiping, Perak,” katanya.

Menurut Muhammad, beliau tidak akan memeluk Islam semata-mata kerana kekurangan yang terdapat pada agama lamanya tanpa mengkaji dan mendalami agama Islam itu sendiri.

“Sepanjang di AS, duit saya banyak dihabiskan membeli buku-buku dan kitab-kitab agama dalam pelbagai tajuk dan topik. Mungkin saya tidak ada harta atau wang yang banyak tetapi buku-buku itu kini bagaikan harta yang paling berharga buat saya,” jelasnya.

Selepas meneliti dan membuat kajian terperinci, beliau tidak nampak agama lain yang cukup lengkap selain Islam. Dalam Islam, katanya, sekalipun terdapat mazhab-mazhab yang perlu menjadi ikutan oleh umatnya tetapi semua aliran mazhab itu merupakan hasil usaha-usaha agung dari segi pertumbuhan dan pertambahan khazanah ilmu bagi umat Islam.

“Itulah harta yang paling berharga bagi umat Islam, iaitu khazanah ilmunya yang sangat kaya dan berharga yang tidak lain untuk membimbing dan memudahkan umat untuk tetap berpegang kepada Islam kerana mazhab itu sendiri berasal daripada perkataan zahaba, iaitu jalan,” katanya.

Tidak seperti mazhab-mazhab dalam Kristian yang bukan sahaja tidak menunjukkan jalan, menurut Muhammad, kemunculan kumpulan denominasi Kristian itu berpunca daripada kerana soal perbezaan politik dan rasa tidak puas hati semata-mata.

Mazhab Lutheran, misalnya, dicetuskan oleh Martin Luther King, seorang paderi yang merupakan profesor di Universiti Wittenberg. Luther King menyeru pembukaan debat berkenaan penjualan indulgences di mana taubat seorang itu diterima sekiranya dia melakukan sesuatu iaitu membeli letter of indulgences untuk menebus dosanya. Penjualan ini digunakan secara berleluasa sewaktu Perang Salib untuk menggalakkan orang Kristian menentang tentera Islam.

Apabila ditanya mengenai kepelbagaian wajah-wajah Islam yang boleh ditemui di AS, Muhammad tidak menafikan betapa AS merupakan satu lagi melting pot yang tidak sahaja tertumpu kepada soal bangsa, budaya dan bahasa malah Islam di dalamnya juga terdapat dalam pelbagai warna.

Katanya, semua itu menjadikan Islam semakin indah dan beliau beruntung kerana mempunyai pemahaman asas Islam yang kuat bagi membolehkannya menerima apa juga kepelbagaian yang wujud selepas itu.

Pelajar-pelajar Islam di sana waktu itu didatangi oleh pelbagai lapisan pemimpin Islam.

“Jadi semua ini membuka kepada perbincangan dan perdebatan ilmu. Islam membuka seluas-luas ruang untuk tujuan ilmu. Inilah yang membezakannya dengan agama lain.

“Sedangkan bagi penganut Kristian, mereka dan kitab Bible tidak ada hubungan yang bebas berbanding umat Islam dengan al-Quran. Tidak semua ayat dalam Bible dibenarkan untuk dibaca bagi mengelakkan kekeliruan di samping ajarannya yang lebih kepada falsafah yang diciptakan oleh manusia semata-mata,” katanya yang telah menunaikan dan mengerjakan ibadat haji.

Muhammad berkata, Nabi Muhammad s.a.w. ialah tokoh yang sangat tepat untuk menjadi idola umat manusia

“Jika penganut Kristian berkahwin misalnya, siapa yang boleh mereka contohi sebagai seorang suami atau bapa yang baik kepada keluarganya? Nabi Isa, baginda tidak pernah berkahwin, jadi bagaimana ajaran itu dapat menganjurkan konsep perkahwinan dan kekeluargaan sedangkan ia tidak pernah diinstitusikan dalam agama itu.

“Bukan bermaksud menjadi satu kelemahan kepada Nabi Isa yang tidak berkahwin tetapi Nabi Muhammad adalah individu yang sangat mengagumkan dan sirah hidupnya merupakan satu panduan dan pedoman yang memberikan kesejahteraan kepada umat Islam sepanjang zaman,” katanya.

Berkahwin dengan Halizahtun Mohd. Ali, 41, Muhammad dikurniakan sembilan cahaya mata iaitu Maryam, 19, Fatimah, 17, Omar, 15, Abu Bakr, 13, Aseeyah, 10, Khadeejah, 7, Uthman, 5, Ali, 3 dan Ayesha, 1.

“Apa yang menarik tentang anak-anak saya ialah secara kebetulan karakter mereka bertepatan dengan nama-nama besar dalam Islam itu. Kalau yang Abu Bakar dengan lembut hatinya, yang Omar memang agak garang dan begitu juga Ali, lasak, lincah dan tangkas,” katanya sambil ketawa kecil.

Muhammad yang kini mengetuai Jawatankuasa Biro Dakwah Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM) membuktikan bahawa gerakan dakwah sememangnya menjadi darah daging beliau.

Beliau bukan sahaja berkongsi pengalaman lampau namun yang lebih meninggalkan kesan kepada pendengar ialah kebolehan Muhammad menyampaikan penerangan mengenai Islam dengan begitu jelas dan tepat.

Muhammad menjadikan kelebihan bertutur dalam pelbagai bahasa terutama Inggeris dan Melayu sebagai satu kelebihan dalam berdakwah.


P/s: Walaupun mereka agak lambat sikit menerima Islam berbanding dengan kita yang menerima Islam daripada keIslaman ibu dan ayah kita, iman mereka dan kerja da'wah mereka jauh lebih hebat daripa kita. Islam Beri Ketenangan Kepada Nicholas Sylvester.. bahkan kepada kita juga jika kita benar-benar menghayati agama yang suci ini (",)


Artikel ini ana perolehi daripada http://muhtarsuhaili.wordpress.com/2007/08/10/islam-beri-ketenangan-kepada-nicholas-sylvester/

Selasa, 28 Julai 2009

Ayat 1000 Dinar?


Allah SWT berfirman di dalam Surat At-Thalaq, ayat 2-3:

Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

----------------------------------------------------------------------------------------------

Dari ‘Amru Bin ‘Auf Al-Ansari, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda kepada orang-orang Ansar pada suatu hari:

“Bergembiralah kamu sekalian, nescaya kamu akan mendapati apa yang kamu inginkan; Demi Allah, bukanlah kefakiran yang lebih aku takuti (menimpa) kamu, tetapi aku takut (kalau) dunia ini dibentangkan ke atas kamu (diberi kekayaan dan dimurahkan rezeki) sebagaimana dia telah dibentangkan ke atas orang-orang sebelum kamu; maka kamupun berlumba-lumba (mencari) nya (dunia) sebagaimana mereka berlumba-lumba dengannya, lalu duniapun memusnahkan kamu sebagaimana dia memusnahkan mereka.” (Muttafaq ‘Alaihi)

Maka dari firman Allah SWT dan sabda Rasulullah SAW ini jelas kepada kita betapa tanggungjawab untuk bertaqwa dan bertawakkal merupakan agenda lebih penting dan utama yang perlu kita sama-sama usahakan. Dengan ketaqwaan, insya Allah, Allah dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-RahimNya akan mempermudahkan segala urusan kita termasuklah urusan pencarian nafkah dan rezeki. Malah perkara pertama yang sewajarnya menjadi perhatian serius kita di dalam usaha mencari rezeki ialah keberkatan! Ketahuilah betapa kehidupan yang lebih indah menanti kita seandainya setiap perbuatan kita di dunia ini mendapat rahmat dan keberkatan serta perkenan dari Allah SWT.

Full Time Muslim

Kehidupan Akan Menjadi Lebih Indah Dengan Menjadi Full Time Muslim!

Sesungguhnya rezeki itu dari sisi Allah dan Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya tanpa batasan. Begitu juga Allah meluaskan rezeki dan menyempitkannya bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Bahkan kekayaaan dan kemiskinan sepanjang sejarah manusia adalah dua ekstrim yang sentiasa ada. Sepanjang zaman pasti akan ada orang yang miskin dan orang yang kaya! Pasti ada yang hidup mewah dan ada yang hidup melarat! Pasti ada yang duduk megah di atas takhta singgahsana kesenangan dan pasti ada juga yang duduk menderita di kaki lima kesusahan!


Buktinya, lihat saja kepada Sirah Nabi Muhammad SAW. Orang-orang kaya dan orang-orang miskin wujud pada zaman Rasulullah SAW. Terdapat ramai di kalangan para sahabat yang kaya-raya yakni hartawan yang kalau dalam analogi hari ini bolehlah diibaratkan sebagai jutawan, businessmen dan ahli korporat yang sangat berjaya. Antaranya termasuklah Sayyidina Uthman bin Affan r.a., Sayyidina Abdul Rahman bin `Auf r.a., Abu Talhah r.a. dan lain-lain.


Akan tetapi dalam masa yang sama, terdapat juga mereka yang memilih hidup miskin seperti Rasulullah SAW sendiri, anak dan menantu Baginda Siti Fatimah dan Sayyidina Ali bin Abu Thalib Karramallahu Wajhah, serta ahlus-suffah yang sememangnya hidup dalam kemiskinan seperti Sayyidina Abu Hurairah r.a, Sayyidina Abu Dzar Al-Ghifari r.a, Sayyidina Bilal ibn Rabah r.a., Sayyidina Salman Al-Farisi r.a., Ka`ab ibn Malik al-Ansari, Asma’ ibn Harithah ibn Sa`id al-Aslami, Hanzalah ibn Abu `Amir al-Ansari, Harithah ibn al-Nu`man al-Ansari al-Najjari, Hudhayfah ibn Usayd Abu Surayhah al-Ansari, Hudhayfah ibn Yaman dan sahabat-sahabat yang lainnya.

Solat Tiang Agama2

Jagalah Allah, Allah Pasti Menjagamu!

Namun seperkara yang amat jelas nyata, sama ada mereka kaya ataupun miskin, kesemua mereka ini merupakan susuk peribadi unggul yang merupakan tulang belakang kepada lahirnya satu generasi terbaik yang dikatakan tidak ada generasi sebelum dan tidak akan ada generasi selepas mereka yang lebih baik dari generasi tersebut! Semuanya kerana mereka ini adalah insan-insan yang tinggi ketaqwaannya kepada Allah SWT. Bahkan Allah meredhai mereka dan mereka pun redha kepadaNya! Segalanya kerana keimanan utuh yang tertanjap kukuh di dalam diri dan jiwa-jiwa mereka!


Justeru itu, sebagai mu’min dan insan yang memahami akan hakikat bahawa segala rezeki yang diperolehi adalah bersumber dari Allah Azza Wajalla, maka kita hendaklah sentiasa berusaha dengan semaksima dan seoptimum mungkin untuk ikhtiar kehidupan duniawi. Akan tetapi jangan sampai kita lupa untuk sentiasa memohon dan beramal hanya kepada Allah SWT sebagai bekalan berharga menuju negeri Akhirat yang kekal abadi. Bersamalah kita mengabdikan diri kepadaNya serta senantiasa bertaqwa dengan sebenar-benar taqwa! Sedarilah betapa inilah tujuan penciptaan kita..

Allah SWT berfirman di dalam Surah Adz-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan hanya untuk mengabdikan diri kepadaKu”.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Petikan dari buku Aa Gym "Saya Tidak Mahu Kaya TETAPI Harus Kaya" :

Apakah kelima-lima kekayaan yang perlu kita capai, sebelum kita memiliki kekayaan harta?

1. Kaya Semangat – Mengapa ianya penting? Kerana orang yang kaya semangat tidak pernah ada istilah putus asa. Dan semua ini adalah hasil daripada keimanan yang kukuh kepada Allah.

2. Kaya Input – Apakah maksudnya? Sebagaimana yang kita sedia tahu, semakin banyak input ilmu yang kita perolehi, semakin terampil kehidupan kita, apalagi sekiranya ilmu tersebut diamalkan dengan ikhlas.

3. Kaya Gagasan/ Kreativiti – Dengan kreativiti yang kita ada, setiap masalah akan kita dapat hadapi dengan penyelesaian yang baik, dan dapat menghasilkan idea yang baru.

4. Kaya Ibadat – Seperti yang kita tahu, segala-galanya adalah dari Allah. Oleh itu, kita perlu yakin Allah sentiasa bersama kita walau dalam apa jua keadaan.

5. Kaya Hati – Tiada ertinya sekiranya kita mempunyai harta yang melimpah ruah, tetapi hati kita tidak tenteram dan miskin daripada kebaikan dan kemuliaan.

6. Kaya Harta – Ini adalah bonus kekayaan sekiranya kita memiliki kelima-lima kekayaan di atas. Kerana orang kaya harta tanpa semangat, pastinya harta akan hilang. Tidak berilmu, akan ditipu. Apabila banyak ibadat yang dilakukan, ianya akan memupuk prestasi ke Akhirat, dan seterusnya kita tidak akan jadi hamba kepada harta benda. Dan tiada guna sekiranya mempunyai kaya harta, tetapi miskin kemuliaan dan kebaikan, akhirnya hidup juga menjadi tidak tenteram.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

CATATAN : Apa gunanya AYAT 1000 DINAR di-frame & dipahat indah disudut-sudut perdana rumah, kedai, restoran dll kalau ia tidak diamalkan. Kekayaan, ketenangan, kebahagiaan dll hanya dikecapi secara hakikat (jasadi & ruuhiy) hanya dengan TAQWA, TAWAKKAL & IMAN yang mantap.

Kekayaan material hanyalah manifestasi atau kesan zahir. Sedangkan hal yang jauh lebih penting dan semua makhluk dambakan adalah rahmah & redha ALLAH SWT, Sang Pemberi yang sentiasa 'Adil' dalam pemberianNya...


-------------------------------------------------------------------------------------------------

Ayaatul Kursy & Fadhilatnya

*************************************************************************************

Mahfum ayat:

Allah, tidak ada yang benar disembah hanya Dia yang Hidup dan Maha Berdiri Sendiri, tidak pernah ditimpa mengantuk dan tidak pernah tidur, bagi-Nya sesuatu yang ada di langit dan di bumi, tidak ada yang boleh memberi syafaat kecuali dengan izin-Nya. Ia maha mengetahui segala apa yang terjadi di hadapan mereka dan dibelakang mereka. Tidaklah mereka meliputi ilmunya sedikit jua kecuali yang dikehendakki Nya. Lebih luas kerusinya (kekuasaannya) dari langit dam bumi. Tidak susah bagi-Nya memelihara keduanya. Ia maha Tinggi lagi Maha Perkasa.

*************************************************************************************

KISAH RIWAYAT
-------------------

Abu Hurairah r.a. pernah ditugaskan oleh Rasulullah S.A.W untuk menjaga gudang zakat di bulan Ramadhan. Tiba-tiba muncullah seseorang, lalu mencuri segenggam makanan. Namun kepintaran Hurairah memang patut dipuji, kemudian pencuri itu kemudian berhasil ditangkapnya.

“Akan aku adukan kamu kepada Rasulullah S.A.W,” gertak Abu Hurairah.
Bukan main takutnya pencuri itu mendengar ancaman Abu Hurairah, hingga kemudian ia pun merengek-rengek : “Saya ini orang miskin, keluarga tanggungan saya banyak, sementara saya sangat memerlukan makanan.”

Maka pencuri itu pun dilepaskan. Bukankah zakat itu pada akhirnya akan diberikan kepada fakir miskin ? Hanya saja, cara memang keliru. Mestinya jangan keliru. Keesokan harinya, Abu Hurairah melaporkan kepada Rasulullah S.A.W. Maka bertanyalah beliau : “Apa yang dilakukan kepada tawananmu semalam, ya Abu Hurairah?” Ia mengeluh, “Ya Rasulullah, bahawa ia orang miskin, keluarganya banyak dan sangat memerlukan makanan,” jawab Abu Hurairah. Lalu diterangkan pula olehnya, bahawa ia kasihan kepada pencuri itu,, lalu dilepaskannya. “Bohong dia,” kata Nabi : “Pada hal nanti malam ia akan datang lagi.”

Kerana Rasulullah S.A.W berkata begitu, maka penjagaannya diperketat, dan kewaspadaan pun ditingkatkan.Dan, benar juga, pencuri itu kembali lagi, lalu mengambil makanan seperti kelmarin. Dan kali ini ia pun tertangkap.

“Akan aku adukan kamu kepada Rasulullah S.A.W,” ancam Abu Hurairah, sama seperti kelmarin. Dan pencuri itu pun sekali lagi meminta ampun : “Saya orang miskin, keluarga saya banyak. Saya berjanji esok tidak akan kembali lagi.”

Kasihan juga rupanya Abu Hurairah mendengar keluhan orang itu, dan kali ini pun ia kembali dilepaskan. Pada paginya, kejadian itu dilaporkan kepada Rasulullah S.A.W, dan beliau pun bertanya seperti kelmarin. Dan setelah mendapat jawapan yang sama, sekali lagi Rasulullah menegaskan : “Pencuri itu bohong, dan nanti malam ia akan kembali lagi.”

Malam itu Abu Hurairah berjaga-jaga dengan kewaspadaan dan kepintaran penuh. Mata, telinga dan perasaannya dipasang baik-baik. Diperhatikannya dengan teliti setiap gerak-geri disekelilingnya sudah dua kali ia dibohongi oleh pencuri. Jika pencuri itu benar-benar datang seperti diperkatakan oleh Rasulullah dan ia berhasil menangkapnya, ia telah bertekad tidak akan melepaskannya sekali lagi. Hatinya sudah tidak sabar lagi menunggu-nunggu datangnya pencuri jahanam itu. Ia kesal. Kenapa pencuri kelmarin itu dilepaskan begitu sahaja sebelum diseret ke hadapan Rasulullah S.A.W ? Kenapa mahu saja ia ditipu olehnya ? “Awas!” katanya dalam hati. “Kali ini tidak akan kuberikan ampun.”

Malam semakin larut, jalanan sudah sepi, ketika tiba-tiba muncul sesosok bayangan yang datang menghampiri longgokan makanan yang dia jaga. “Nah, benar juga, ia datang lagi,” katanya dalam hati. Dan tidak lama kemudian pencuri itu telah bertekuk lutut di hadapannya dengan wajah ketakutan. Diperhatikannya benar-benar wajah pencuri itu. Ada semacam kepura-puraan pada gerak-gerinya.

“Kali ini kau pastinya kuadukan kepada Rasulullah. Sudah dua kali kau berjanji tidak akan datang lagi ke mari, tapi ternyata kau kembali juga. Lepaskan saya,” pencuri itu memohon. Tapi, dari tangan Abu Hurairah yang menggenggam erat-erat dapat difahami, bahawa kali ini ia tidak akan dilepaskan lagi. Maka dengan rasa putus asa akhirnya pencuri itu berkata : “Lepaskan saya, akan saya ajari tuan beberapa kalimat yang sangat berguna.”

“Kalimat-kalimat apakah itu?” Tanya Abu Hurairah dengan rasa ingin tahu. “Bila tuan hendak tidur, bacalah ayat Kursi : Allaahu laa Ilaaha illaa Huwal-Hayyul Qayyuuumu….. Dan seterusnya sampai akhir ayat. Maka tuan akan selalu dipelihara oleh Allah, dan tidak akan ada syaitan yang berani mendekati tuan sampai pagi.”

Maka pencuri itu pun dilepaskan oleh Abu Hurairah. Agaknya naluri keilmuannya lebih menguasai jiwanya sebagai penjaga gudang.Dan keesokan harinya, ia kembali menghadap Rasulullah S.A.W untuk melaporkan pengalamannya yang luar biasa tadi malam. Ada seorang pencuri yang mengajarinya kegunaan ayat Kursi.

“Apa yang dilakukan oleh tawananmu semalam?” tanya Rasul sebelum Abu Hurairah sempat menceritakan segalanya. “Ia mengajariku beberapa kalimat yang katanya sangat berguna, lalu ia saya lepaskan,” jawab Abu Hurairah.

“Kalimat apakah itu?” tanya Nabi.

Katanya : “Kalau kamu tidur, bacalah ayat Kursi : Allaahu laa Ilaaha illaa Huwal-Hayyul Qayyuuumu….. Dan seterusnya sampai akhir ayat. Dan ia katakan pula : “Jika engkau membaca itu, maka engkau akan selalu dijaga oleh Allah, dan tidak akan didekati syaitan hingga pagi hari.

Menanggapi cerita Abu Hurairah, Nabi S.A.W berkata, “Pencuri itu telah berkata benar, sekalipun sebenarnya ia tetap pendusta.” Kemudian Nabi S.A.W bertanya pula : “Tahukah kamu, siapa sebenarnya pencuri yang bertemu denganmu tiap malam itu?”
“Entahlah.” Jawab Abu Hurairah.
Itulah syaitan.”

*************************************************************************************

Penjelasan:

Ayat Kursi diturunkan pada suatu malam selepas Hijrah. Menurut riwayat, ketika ayat kursi diturunkan disertai dengan beribu-ribu malaikat sebagai penghantarnya, kerana kebesaran dan kemuliaannya.

Syaitan dan Iblis menjadi gempar kerana adanya suatu alamat yang menjadi perintang dalam perjuangan nya.

Rasulallah s.a.w segera memerintah kepada penulis alQuran iaitu Zaid bin Thabit agar segera menulisnya dan menyebarkannya.

Ada terdapat sembilan puluh lima buah hadis yang menjelaskan fazilat ayat kursi. Sebabnya ayat ini disebut ayat KURSI kerana di dalam nya terdapat perkataan KURSI, ertinya tempat duduk yang megah lagi yang mempunyai martabat.

Perlu di ingat, bukan yang di maksudkan dengan KURSI ini tempat duduk tuhan, tetapi adalah KURSI itu syiar atas kebesaran Tuhan.

Khasiat Ayat Kursi:

  1. Sesiapa yang membaca ayat Kursi dengan istiqomah setiap kali selesai sembahyang fardhu, setiap pagi dan petang, setiap kali masuk kerumah atau ke pasar, setiap kali masuk ke tempat tidur dan musafir, insyaallah akan diamankan dari godaan syaitan dan kejahatan raja-raja (pemerintah) yang kejam, diselamatkan dari kejahatan manusia dan kejahatan binatang yang memudharatkan. Terpelihara dirinya dann keluarganya, anak-anak nya, hartanya, rumahnya dari kecurian, kebakaran dan kekaraman.

  2. Terdapat keterangan dalam kitab Assarul Mufidah, barang siapa yang mengamalkan membaca ayat kursi, setiap kali membaca sebanyak 18 kali, insyaallah ia akan hidup berjiwa tauhid, dibukakan dada dengan berbagai hikmat, dimudahkan rezekinya, dinaikkan martabatnya, diberikan kepadanya pengaruh sehingga orang selalu segan kepadanya, diperlihara dari segala bencana dengan izin Allah s.w.t.

  3. Salah seorang ulama Hindi mendengar dari salah seorang guru besarnya dari Abi Lababah r.a, membaca ayat Kursi sebanyak anggota sujud (7 kali) setiap hari ada benteng pertahanan Rasulallah s.a.w.

  4. Syeikh Abul ‘Abas alBunni menerangkan: “Sesiapa membaca ayat Kursi sebanyak hitungan kata-katanya (50 kali), di tiupkan pada air hujan kemudian diminumnya, maka insyaallah tuhan mencerdaskan akalnya dan memudahkan faham pada pelajaran yang dipelajari.

  5. Sesiapa yang membaca ayat Kursi selepas sembahyang fardhu, Tuhan akan mengampunkan dosanya. Sesiapa yang membacanya ketika hendak tidur, terpelihara dari gangguan syaitan, dan sesiapa yang membacanya ketika ia marah, maka akan hilang rasa marahnya.

  6. Syeikh alBuni menerangkan: Sesiapa yang membaca ayat Kursi sebanyak hitungan hurufnya (170 huruf), maka insyaallah, Tuhan akan memberi pertolongan dalam segala hal dan menunaikan segala hajatnya, dam melapangkan fikiranyan, diluluskan rezekinya, dihilangkan kedukaannya dan diberikan apa yang dituntutnya.

  7. Barang siapa membaca ayat Kursi ketika hendak tidur, maka Tuhan mewakilkan dua malaikat yang menjaga selama tidurnya sampai pagi.

  8. Abdurahman bin Auf menerangkan bahawa, ia apabila masuk kerumahnya dibaca ayat Kursi pada empat penjuru rumahnya dan mengharapkan dengan itu menjadi penjaga dan pelindung syaitan.

  9. Syeikh Buni menerangkan: sesiapa yang takut terhadap serangan musuh hendaklah ia membuat garis lingkaran denga nisyarat nafas sambil membaca ayat Kuris. Kemudian ia masuk bersama jamaahnya kedalam garis lingkaran tersebut menghadap kearah musuh, sambil membaca ayat Kursi sebayak 50 kali, atau sebanayk 170 kali, insyaallah musuh tidak akan melihatnya dan tidak akan memudharatkannya.

  10. Syeikul Kabir Muhyiddin Ibnul Arabi menerangkan bahawa; sesiapa yang membaca ayat Kursi sebayak 1000 kali dalam sehari semalam selama 40 hari, maka demi Allah, demi Rasul, demi alQuran yang mulia, Tuhan akan membukakan baginya pandangan rohani, dihasilkan yang dimaksud dan diberi pengaruh kepada manusia. (dari kitab Khawasul Qur’an)

*************************************************************************************
Catatan : Semua amalan perlulah dengan ilmu yang tepat berdasarkan Al-Quran & Sunnah Rasul-Nya. Walaupun banyak fadhilat tentang pelbagai ayat atau surah tertentu dinaqalkan oleh para ulama dan pencinta zuhud, namun intinya tidak boleh keluar daripada kaedah asal yang ditetapkan oleh Allah & Rasulullah s.a.w. Kita tidak boleh semata-mata mengejar fadhilat sedangkan kaedah serta kaifiat kita kebelakangkan.

Marilah kita semua sama-sama berusaha selalu memurnikan amalan kita daripada perkara-perkara yang mensia-siakan niat dan usaha kita...

*************************************************************************************

Kenali 'Ummul Kitaab' - Suuroh Al-Faatihah


[1] Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[2] Pujian bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
[3] Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[4] Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).
[5] Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
[6] Tunjukilah kami jalan yang lurus.
[7] Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang dimurkai ke atas mereka, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.


Suroh Al-Faatihah (Ummul Kitaab)

Surah Al-Fatihah (سورة الفاتحة) - Pembukaan - surah yang diturunkan di Makkah dan diturunkan selepas Surah Al-Muddathir. Surah ini mempunyai 7 ayat dan inilah surah pertama yang diturunkan lengkap keseluruhan ayat bagi sebuah surah dan termasuk dalam golongan surah Makkiyyah.

Surah ini dinamakan Al-Fatihah (Pembukaan) kerana ia dijadikan sebagai pembuka dan permulaan Al-Quran.

Surah ini juga dinamakan Ummul Quran (ام القــرآن - Ibu Quran) atau Ummul Kitaab (ام الكتاب - Ibu Kitab) kerana ia merupakan ibu atau induk kepada semua isi Al-Quran dan menjadi inti sari dari kandungan Al-Quran itu sendiri.

Surah ini turut dinamakan As-Sab'ul Matsaani yang bermaksud tujuh yang berulang-ulang kerana ayat ini diulang-ulang bagi setiap solat.


Unsur Pokok

Surah ini mengandungi beberapa unsur pokok yang mencerminkan seluruh intipati Al Quran, iaitu :

Keimanan

Beriman kepada Tuhan Yang Maha Esa terdapat dalam ayat kedua, iaitu dinyatakan dengan tegas bahawa segala pujian dan ucapan syukur ke atas sesuatu anugerah dari Allah yang merupakan Pencipta dan sumber segala anugerah yang terdapat dalam alam ini. Di antara anugerah itu ialah ; anugerah menciptakan, anugerah mendidik dan menumbuhkan, sebab kata Rab dalam kalimat Rabbul-'aalamiin tidak hanya bermaksud Tuhan atau Penguasa, tetapi juga mengandung erti tarbiyah iaitu mendidik dan menumbuhkan. Hal ini menunjukkan bahawa segala anugerah yang dilihat oleh dalam diri seseorang sendiri dan dalam segala alam ini berpunca daripada Allah, kerana merupakan Tuhan Yang Maha Berkuasa di alam ini. Pendidikan, penjagaan dan Penumbuhan oleh Allah di alam ini haruslah diperhatikan dan difikirkan oleh manusia sedalam-dalamnya, sehingga menjadi sumber pelbagai macam ilmu pengetahuan yang dapat menambah keyakinan manusia kepada keagungan dan kemuliaan Allah, serta berguna bagi masyarakat. Oleh itu, keimanan (ketauhidan) itu merupakan masalah yang pokok, maka didalam surat Al Faatihah tidak cukup dinyatakan dengan isyarat saja, tetapi ditegaskan dan dilengkapi oleh ayat 5, iaitu : Iyyaaka na'budu wa iyyaka nasta'iin (Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan). Janji memberi pahala terhadap perbuatan yang baik dan ancaman terhadap perbuatan yang buruk.

Yang dimaksud dengan Yang Menguasai Hari Pembalasan ialah pada hari itu Allah-lah yang berkuasa, segala sesuatu tunduk kepada kebesaran Nya sambil mengharap anugerah dan takut kepada seksaan Nya. Hal ini mengandung erti janji untuk memberi pahala terhadap perbuatan yang baik dan ancaman terhadap perbuatan yang buruk. Ibadat yang terdapat pada ayat 5 semata-mata ditujukan kepada Allah.

Hukum-hukum

Jalan kebahagiaan dan cara seharusnya menempuh jalan itu untuk memperoleh kebahagiaan dunia dan akhirat. Maksud "Hidayah" disini ialah hidayah yang menjadi sebab dapatnya keselamatan, kebahagiaan dunia dan akhirat, baik yang mengenai kepercayaan mahupun akhlak, hukum-hukum dan pelajaran.

Kisah-kisah

Kisah para Nabi dan kisah orang-orang dahulu yang menentang Allah. Sebahagian besar dari ayat-ayat Al Quran memuat kisah-kisah para Nabi dan kisah orang-orang dahulu yang menentang. Yang dimaksud dengan orang yang diberi nikmat dalam ayat ini, ialah para Nabi, para shiddieqiin (orang-orang yang sungguh-sungguh beriman), syuhadaa' (orang-orang yang mati syahid), shaalihiin (orang-orang yang saleh). Orang-orang yang dimurkai dan orang-orang yang sesat, ialah golongan yang menyimpang dari ajaran Islam.

Perincian dari yang telah disebutkan diatas terdapat dalam ayat-ayat Al Quran pada surat-surat yang lain.

Penutup

Surat Al Fatihaah ini melengkapi unsur-unsur pokok syari'at Islam, kemudian dijelaskan perinciannya oleh ayat-ayat Al Quran yang 113 surat berikutnya.

Persesuaian surat ini dengan surat Al Baqarah dan surat-surat sesudahnya ialah surat Al Faatihah merupakan titik-titik pembahasan yang akan diperinci dalam surat Al Baqarah dan surat-surat yang sesudahnya.

Dibahagian akhir surat Al Faatihah disebutkan mengenai permohonan hamba supaya diberi petunjuk oleh Tuhan ke jalan yang lurus, sedang surah Al Baqarah dimulai dengan petunjuk al Kitaab (Al Quran) yang cukup sempurna sebagai pedoman menuju jalan yang dimaksudkan itu.

Nama Lain

Selain dinamai Al-Fatihah (Pembuka), surat pertama Al-Quran ini dinamai juga Ummul Kitab (induk al-Kitab), Ummul Qur'an (induk Al-Qur'an), As-Sabu'ul Matsani (Tujuh yang Diulang), Ash-Shalah (Solat), al-Hamd (Pujian), Al-Wafiyah (yang Sempurna), al-Kanzu (simpanan yang Tebal), asy-Syafiyah (yang Menyembuhkan), Asy-Syifa (Obat), al-Kafiyah (yang Mencukupi), dan al-Asas (Pokok).

Isnin, 27 Julai 2009

Kelebihan Surah Al-Ikhlas


  • Dari Imam Bukhari, diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri; seseorang mendengar bacaan surah al-Ikhlas berulang-ulang di masjid. Pada keesokan paginya dia datang kepada Rasulullah s.a.w. dan sampaikan perkara itu kepadanya kerana dia menyangka bacaan itu tidak lengkap. Rasulullah s.a.w berkata, Demi tangan yang memegang nyawaku, surah itu seperti sepertiga al Quran!
  • Dari Al-Muwatta', diriwayatkan oleh Abu Hurairah; Saya sedang berjalan dengan Rasulullah s.a.w, lalu baginda mendengar seseorang membaca surah al-Ikhlas. Baginda berkata, Wajiblah. Saya bertanya kepadanya, “Apa ya RasulaLlah?” Baginda menjawab, “Syurga” (Wajiblah syurga bagi si pembaca itu).
  • Sabda-Sabda Rasulullah SAW, “Barangsiapa yang membaca surah Al-Ikhlas, maka seakan-akan dia telah membaca satu pertiga Al-Qur'an” (Hadith Riwayat Ahmad dan An Nasai).
  • Dari Abu Hurairah r.a. - Rasulullah SAW bersabda : "Barangsiapa membaca 'Qulhuallah (sehingga akhir ayat), maka seolah-olah dia telah membaca sepertiga Al-Qur'an". “Barangsiapa yang membaca surah Al-Ikhlas tiga kali, maka seakan-akan dia telah membaca Al-quran seluruhnya”. (Hadith Riwayat Al’ugaili dan Rajaa Al Ghanawy) “Barangsiapa yang membaca surah Al-Ikhlas sebelas kali, Allah SWT membangunkan rumah untuknya di syurga.." (Hadith Riwayat Ahmad dan Muadz bin Aras).
  • Dari Ubay Ibn Ka'ab - Rasulullah SAW bersabda : "Barangsiapa membaca Surah Al-Ikhlas satu kali, maka Allah SWT menganugerahkan kepadanya pahala seorang yang beriman kepada Allah SWT, MalaikatNya, Kitab-KitabNya dan Rasul-RasulNya, dan Dia menganugerahkan kepadanya - dari - pahala seperti pahala syuhada" "Ketika aku (Rasulullah SAW) israk ke langit, maka aku telah melihat Arasy di atas 360,000 sendi dan jarak jauh antara satu sendi ke satu sendi ialah 300,000 tahun perjalanan. Pada tiap-tiap sendi itu terdapat padang Sahara sebanyak 12,000 dan luasnya setiap satu padang Sahara itu seluas dari timur ke barat (masyrik ke maghrib) Pada setiap padang Sahara itu terdapat 80,000 malaikat yang mana kesemuanya membaca surah Al-Ikhlas. Setelah mereka selesai membaca surah tersebut, maka berkata mereka "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya pahala dari bacaan kami ini, kami berikan kepada orang yang membaca Surah Al-Ikhlas baik ianya lelaki mahupun perempuan" (Riwayat Ibnu Abbas) "Demi Allah yang jiwaku di tanganNya, sesungguhnya 'Qul Huwallahu Ahad" itu tertulis di sayap malaikan Jibrail A.S., 'Allahus Somad' itu tertulis di sayap Mikail A.S., 'Lam Yalid Walam Yuulad' tertulis pada sayap Malaikat Izrail A.S. 'Walam Yakullahu Kufwan Ahad' tertulis pada sayap Israfil a.s."