Selasa, 28 Julai 2009

Ayat 1000 Dinar?


Allah SWT berfirman di dalam Surat At-Thalaq, ayat 2-3:

Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

----------------------------------------------------------------------------------------------

Dari ‘Amru Bin ‘Auf Al-Ansari, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda kepada orang-orang Ansar pada suatu hari:

“Bergembiralah kamu sekalian, nescaya kamu akan mendapati apa yang kamu inginkan; Demi Allah, bukanlah kefakiran yang lebih aku takuti (menimpa) kamu, tetapi aku takut (kalau) dunia ini dibentangkan ke atas kamu (diberi kekayaan dan dimurahkan rezeki) sebagaimana dia telah dibentangkan ke atas orang-orang sebelum kamu; maka kamupun berlumba-lumba (mencari) nya (dunia) sebagaimana mereka berlumba-lumba dengannya, lalu duniapun memusnahkan kamu sebagaimana dia memusnahkan mereka.” (Muttafaq ‘Alaihi)

Maka dari firman Allah SWT dan sabda Rasulullah SAW ini jelas kepada kita betapa tanggungjawab untuk bertaqwa dan bertawakkal merupakan agenda lebih penting dan utama yang perlu kita sama-sama usahakan. Dengan ketaqwaan, insya Allah, Allah dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-RahimNya akan mempermudahkan segala urusan kita termasuklah urusan pencarian nafkah dan rezeki. Malah perkara pertama yang sewajarnya menjadi perhatian serius kita di dalam usaha mencari rezeki ialah keberkatan! Ketahuilah betapa kehidupan yang lebih indah menanti kita seandainya setiap perbuatan kita di dunia ini mendapat rahmat dan keberkatan serta perkenan dari Allah SWT.

Full Time Muslim

Kehidupan Akan Menjadi Lebih Indah Dengan Menjadi Full Time Muslim!

Sesungguhnya rezeki itu dari sisi Allah dan Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya tanpa batasan. Begitu juga Allah meluaskan rezeki dan menyempitkannya bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Bahkan kekayaaan dan kemiskinan sepanjang sejarah manusia adalah dua ekstrim yang sentiasa ada. Sepanjang zaman pasti akan ada orang yang miskin dan orang yang kaya! Pasti ada yang hidup mewah dan ada yang hidup melarat! Pasti ada yang duduk megah di atas takhta singgahsana kesenangan dan pasti ada juga yang duduk menderita di kaki lima kesusahan!


Buktinya, lihat saja kepada Sirah Nabi Muhammad SAW. Orang-orang kaya dan orang-orang miskin wujud pada zaman Rasulullah SAW. Terdapat ramai di kalangan para sahabat yang kaya-raya yakni hartawan yang kalau dalam analogi hari ini bolehlah diibaratkan sebagai jutawan, businessmen dan ahli korporat yang sangat berjaya. Antaranya termasuklah Sayyidina Uthman bin Affan r.a., Sayyidina Abdul Rahman bin `Auf r.a., Abu Talhah r.a. dan lain-lain.


Akan tetapi dalam masa yang sama, terdapat juga mereka yang memilih hidup miskin seperti Rasulullah SAW sendiri, anak dan menantu Baginda Siti Fatimah dan Sayyidina Ali bin Abu Thalib Karramallahu Wajhah, serta ahlus-suffah yang sememangnya hidup dalam kemiskinan seperti Sayyidina Abu Hurairah r.a, Sayyidina Abu Dzar Al-Ghifari r.a, Sayyidina Bilal ibn Rabah r.a., Sayyidina Salman Al-Farisi r.a., Ka`ab ibn Malik al-Ansari, Asma’ ibn Harithah ibn Sa`id al-Aslami, Hanzalah ibn Abu `Amir al-Ansari, Harithah ibn al-Nu`man al-Ansari al-Najjari, Hudhayfah ibn Usayd Abu Surayhah al-Ansari, Hudhayfah ibn Yaman dan sahabat-sahabat yang lainnya.

Solat Tiang Agama2

Jagalah Allah, Allah Pasti Menjagamu!

Namun seperkara yang amat jelas nyata, sama ada mereka kaya ataupun miskin, kesemua mereka ini merupakan susuk peribadi unggul yang merupakan tulang belakang kepada lahirnya satu generasi terbaik yang dikatakan tidak ada generasi sebelum dan tidak akan ada generasi selepas mereka yang lebih baik dari generasi tersebut! Semuanya kerana mereka ini adalah insan-insan yang tinggi ketaqwaannya kepada Allah SWT. Bahkan Allah meredhai mereka dan mereka pun redha kepadaNya! Segalanya kerana keimanan utuh yang tertanjap kukuh di dalam diri dan jiwa-jiwa mereka!


Justeru itu, sebagai mu’min dan insan yang memahami akan hakikat bahawa segala rezeki yang diperolehi adalah bersumber dari Allah Azza Wajalla, maka kita hendaklah sentiasa berusaha dengan semaksima dan seoptimum mungkin untuk ikhtiar kehidupan duniawi. Akan tetapi jangan sampai kita lupa untuk sentiasa memohon dan beramal hanya kepada Allah SWT sebagai bekalan berharga menuju negeri Akhirat yang kekal abadi. Bersamalah kita mengabdikan diri kepadaNya serta senantiasa bertaqwa dengan sebenar-benar taqwa! Sedarilah betapa inilah tujuan penciptaan kita..

Allah SWT berfirman di dalam Surah Adz-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan hanya untuk mengabdikan diri kepadaKu”.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Petikan dari buku Aa Gym "Saya Tidak Mahu Kaya TETAPI Harus Kaya" :

Apakah kelima-lima kekayaan yang perlu kita capai, sebelum kita memiliki kekayaan harta?

1. Kaya Semangat – Mengapa ianya penting? Kerana orang yang kaya semangat tidak pernah ada istilah putus asa. Dan semua ini adalah hasil daripada keimanan yang kukuh kepada Allah.

2. Kaya Input – Apakah maksudnya? Sebagaimana yang kita sedia tahu, semakin banyak input ilmu yang kita perolehi, semakin terampil kehidupan kita, apalagi sekiranya ilmu tersebut diamalkan dengan ikhlas.

3. Kaya Gagasan/ Kreativiti – Dengan kreativiti yang kita ada, setiap masalah akan kita dapat hadapi dengan penyelesaian yang baik, dan dapat menghasilkan idea yang baru.

4. Kaya Ibadat – Seperti yang kita tahu, segala-galanya adalah dari Allah. Oleh itu, kita perlu yakin Allah sentiasa bersama kita walau dalam apa jua keadaan.

5. Kaya Hati – Tiada ertinya sekiranya kita mempunyai harta yang melimpah ruah, tetapi hati kita tidak tenteram dan miskin daripada kebaikan dan kemuliaan.

6. Kaya Harta – Ini adalah bonus kekayaan sekiranya kita memiliki kelima-lima kekayaan di atas. Kerana orang kaya harta tanpa semangat, pastinya harta akan hilang. Tidak berilmu, akan ditipu. Apabila banyak ibadat yang dilakukan, ianya akan memupuk prestasi ke Akhirat, dan seterusnya kita tidak akan jadi hamba kepada harta benda. Dan tiada guna sekiranya mempunyai kaya harta, tetapi miskin kemuliaan dan kebaikan, akhirnya hidup juga menjadi tidak tenteram.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

CATATAN : Apa gunanya AYAT 1000 DINAR di-frame & dipahat indah disudut-sudut perdana rumah, kedai, restoran dll kalau ia tidak diamalkan. Kekayaan, ketenangan, kebahagiaan dll hanya dikecapi secara hakikat (jasadi & ruuhiy) hanya dengan TAQWA, TAWAKKAL & IMAN yang mantap.

Kekayaan material hanyalah manifestasi atau kesan zahir. Sedangkan hal yang jauh lebih penting dan semua makhluk dambakan adalah rahmah & redha ALLAH SWT, Sang Pemberi yang sentiasa 'Adil' dalam pemberianNya...


-------------------------------------------------------------------------------------------------

0 ulasan:

Catat Ulasan

Komentar Anda...