Khamis, 23 Julai 2009

Haram guna pinggan tulang babi [BH]

Haram guna pinggan tulang babi

Oleh Faiza Zainudin dan Siti Haliza Yusop
bhnews@bharian.com.my

Pengguna Islam perlu waspada kerana perkakasan tidak dilabel sepenuhnya

KUALA LUMPUR: Umat Islam diharamkan mengguna perkakasan pinggan mangkuk, termasuk cawan dan piring yang terbukti kesahihannya mengandungi campuran tulang babi dan anjing.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata penggunaan perkakasan itu diharamkan sama sekali walaupun ia menggunakan hanya sedikit tulang babi, malah sehelai bulu babi pun dilarang.

"Kalau betul dakwaan terdapat pinggan mangkuk dibuat daripada campuran tulang babi, memang haram penggunaannya, bukan setakat tulangnya yang haram, bulunya pun kita tidak boleh gunakan untuk buat berus atau apa saja, ia haram dan najis. Namun, dakwaan ini perlu dibuktikan terlebih dulu," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau mengulas dakwaan terdapat banyak pinggan mangkuk dan perkakasan makanan seperti cawan dan piring seramik yang dijual di merata tempat mengandungi campuran tulang haiwan, termasuk tulang babi.

Campuran tulang haiwan yang ditumbuk halus itu digunakan supaya pinggan mangkuk itu menjadi lebih cantik dan berkilat. Pengguna Islam perlu berwaspada kerana perkakasan itu tidak dilabel sepenuhnya dan hanya dikenali dengan catatan Bone China di belakang perkakasan berkenaan.

Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut, berkata peniaga Islam yang menjalankan urus niaga jualan produk berkenaan juga berdosa besar jika masih meneruskan jualan selepas terbukti produk itu mengandungi tulang babi.

"Saya harap perkara ini tidak dipandang ringan dan jangan ada umat Islam yang memberi pelbagai alasan kerana masih ada pelbagai pilihan perkakasan makanan yang lebih bersih dan halal dijual di pasaran," katanya.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahab berkata, pinggan mangkuk yang mempunyai campuran tulang babi adalah najis dan hukumnya haram seperti menyentuh anjing dan babi.

Bekas Mufti Kedah, Datuk Sheikh Hasbillah Abd Halim, berkata pinggan mangkuk yang mengandungi bahan yang diharamkan agama, tidak boleh digunakan dalam keadaan apa sekali pun.

"Umat Islam dilarang guna, macam kita melarang zina, yang hukumnya haram. Oleh itu, kena pastikan dulu kandungannya sebelum membeli pinggan ini yang nampak cantik dan menarik," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Komentar Anda...