Khamis, 23 Julai 2009

Khutbah 240709 : Bersikap Rendah Diri (Tawadhu’) Terutama Sebagai Pemimpin

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
24 Julai 2009 / 2 Sya’ban 1430
Bersikap Rendah Diri (Tawadhu’) Terutama
Sebagai Pemimpin

Sidang Jumaat yang dirahmati sekalian,
Marilah kita bersungguh-sungguh dalam memperbaiki ketaqwaan. Ketaqwaan sebagai seorang hamba yang benar-benar mengenali Tuhan yang Maha Kuasa dan mentaatiNya. Hamba yang sentiasa merendah diri dan menjauhi larangan dan tegahan Allah s.w.t.

Sidang Jumaat sekalian,
Allah s.w.t telah mengkhabarkan bahawa tugas utama manusia di muka bumi adalah sebagai khalifah. Firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Baqarah, Ayat 30 :


Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".

Maksud khalifah di sini adalah sebagai makhluk yang akan memimpin dan mengatur bumi kepada keadaan yang membawa kemajuan. Maka manusia secara tidak langsung merupakan pemimpin dari setiap sudut kehidupan.

Bahkan, perkara ini telah dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w sendiri dalam hadith Baginda:


Maksudnya: Setiap dari kamu adalah pemimpin, dan setiap dari kamu adalah orang-orang yang bertanggung jawab ke atas pimpinan mu; Seorang Imam adalah pemimpin kaumnya dan dia bertanggung jawab ke atas mereka, Seorang suami adalah pemimpin keluarganya dan dia bertanggung jawab ke atas mereka, seorang wanita adalah pemimpin rumah tangga suaminya dan dia bertanggung jawab ke atas orang-orang yang di bawah jagaannya.

Saudara ku,
Sebagai seorang individu yang mempunyai tanggungjawab kepimpinan, walau sekecil mana sekalipun, kita perlu memerhatikan dan memahami ciri-ciri penting yang sepatutnya ada pada diri kita.

Di antara ciri-ciri ini ialah sentiasa bersifat tawadu’ dan berendah diri. Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Hijr, ayat ke 88:

Yang bermaksud : “dan hendaklah engkau merendah diri kepada orang-orang yang beriman.”

Jelas menurut ayat tadi bahawa Allah s.w.t telah memerintahkan kita agar merendahkan diri di mana sahaja dan kepada sesiapa sahaja.

Sifat tawadhu’ bererti kita meyakini bahawa kita tidak memiliki kesempurnaan. Bahkan kita mempunyai kelemahan dan kekurangan. Oleh itu, dengan sifat tawadhu’, kita perlu bersikap terbuka dan mendengar setiap keluhan dan kritikan yang membina dengan positif, tanpa terlalu awal menghukum orang yang mengkritik atau berburuk sangka terhadap mereka.

Apabila kita ingin meminta pandangan atau menerima kritikan, kita juga perlu bersifat rendah diri, dengan mengetepikan pangkat atau kedudukan.

Sebagai contoh, di dalam kehidupan berkeluarga, seorang suami perlu bersikap lapang dada apabila menerima teguran dari si isteri, dan tidak menggunakan kedudukan beliau sebagai ketua rumahtangga semata-mata untuk menentang dan menolak teguran dan pendapat si isteri.

Begitu juga seorang majikan atau ketua, perlu menerima padangan pekerja mereka sekiranya benar-benar ingin mengubah persekitaran kerja kepada persekitaran yang lebih sihat dan akhirnya meningkatkan produktiviti dan mutu kerja para pekerja.
Sebagai seorang pemimpin, beliau perlu sering meletakkan diri di tempat orang yang dipimpinnya agar dapat merasai dan menghayati keperluan mereka.
Dan ini telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadith baginda yang diriwayatkan oleh Ad-Dailami yang bermaksud: “Ketua sebuah kaum adalah yang sentiasa berkhidmat untuk mereka.”

Saiyidina Omar r.a, pernah juga berkata:

Yang bermaksud : “Ketua sesebuah kaum adalah khadam mereka.”

Maka seorang pemimpin perlu merasakan bahawa tugas pemimpin itu adalah untuk berkhidmat terhadap orang yang dipimpin. Ini berbeza jika seorang pemimpin bermula dengan perasaan untuk mengetuai dan mempunyai kuasa, yang akhirnya akan mendorong kepada menunjuk dan mempamerkan kuasa sambil mengharap balasan kebendaan dan pujian.

Pemimpin yang meletakkan diri sebagai seorang yang berkhidmat akan menjadikan beliau lebih tawadhu’ dan merendah diri dan jauh dari merasakan kuasa berada di tangannya.

Saudara ku,
Dalam menjalankan peranan sebagai ibu dan bapa pula, seorang bapa yang mempunyai anak remaja perlu memahami kedudukan mereka dan mendengar keluhan apa yang mereka hadapi dan bukan membuat perbandingan dengan kejayaan si bapa semasa zaman remajanya.

Sebuah kata-kata hikmah berbunyi: “Didiklah anak-anakmu sesuai zamannya, karena mereka kelak akan hidup pada zaman yang berbeda dengan dririmu”.

Menyediakan “telinga” yang mendengar juga amat penting sebagai pemimpin yang merendah diri. Inilah yang dimaksudkan dengan kata-kata “Cubalah untuk memahami terlebih dahulu sebelum difahami”.

Mungkin antara sebab anak-anak remaja lebih senang berbicara dengan teman mereka adalah kerana mereka lebih memahami keperluan sesama mereka, dan teman sanggup meluangkan masa untuk “meminjamkan” telinga yang mendengar, berbeza dengan ibu dan ayah di rumah.

Sidang Jemaah yang dikasihi sekelian,
Kepimpinan adalah tugas dan amanah yang berada dipundak kita. Amanah dan tugas ini harus dilaksanakan dengan sebaik-baiknya kerana kesannya begitu besar, bahkan ia menjadi sebab kejayaan atau kegagalan kita, dan ianya akan dipersoalkan di hadapan Allah s.w.t kelak.

Marilah kita bersama-sama mencuba untuk lebih merendahkan diri kita kepada sesiapa sahaja yang kita pimpin, meletakkan diri kita ditempat mereka, meluangkan masa untuk mengambil berat dan mendengar keluhan mereka, dan berlapang dada ketika menerima teguran dan kritikan mereka. Semoga kita dapat terus memperbaiki dan melaksanakan tugas dan amanah kita dengan lebih baik lagi. Amin…


0 ulasan:

Catat Ulasan

Komentar Anda...