Jumaat, 3 Julai 2009

Hadis / Hadith

Hadith atau hadis (bahasa Arab: alhadīth "الحديث" mufrad, ahādīth "أحاديث" jamak); adalah perkara yang berkisar tentang Sunnah Rasul s.a.w. dan apa yang disandarkan kepada Rasul s.a.w. dari segi perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat akhlak (peribadi) dan sifat kejadiannya. Hadis atau Sunnah Rasul s.a.w. adalah sumber rujukan kedua selepas al-Quran.

Contoh-Contoh Sunnah
  1. Perkataan (Qauliyyah)

Setiap perkataan yang diucapkan oleh Rasul s.a.w. seperti hadis berikut :

"Sesungguhnya setiap amalan itu dikira dengan niat dan sesungguhnya bagi tiap-tiap seseorang itu mengikut apa yang diniatkannya" (Hadis Riwayat Bukhari).

Kitab Hadis

Ada ramai ulama periwayat hadis, namun yang sering digunakan dalam fiqh Islam ada tujuh iaitu Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud, Imam Tirmidzi, Imam Ahmad, Imam Nasa'i dan Imam Ibnu Majah.

Ada beberapa buah kitab Hadis yg lebih diakui oleh umat Islam seluruh dunia. Enam kitab pertama di bawah ini dikenali sebagai enam kitab hadis utama:

  1. Kitab al-Jami' as-Sahih - karya Imam Bukhari atau nama sebenar beliau adalah Muhammda bin ismail
  2. Kitab al-Jami' as-Sahih - karya Imam Muslim atau nama sebenarnya muslim bin al-hajjaj al-nasaburi
  3. Kitab Sunan an-Nasai - karya Imam Nasa'i atau nama sebenar beliau adalah Abu abdul rahman bin shuib
  4. Kitab Sunan Abi Daud - karya Imam Imam Abu Daud atau nama sebenar beliau adalah Abu daud sulaiman
  5. Kitab Sunan at-Tirmizi (al Jami' as-Sahih) - karya Imam Tirmidzi atau nama sebenar beliau adalah Abu esa muhammad bin ishak Asalmi
  6. Kitab Sunan Ibnu Majah - karya Imam Ibnu Majah atau nama sebenar beliau adalah Abu abdullah muhammad bin yazid al-quzwini
  7. Kitab Musnad - karya Imam Ahmad
Jenis Hadis
  1. Hadis Mutawatir
  2. Hadis Sahih
  3. Hadis Hasan
  4. Hadis Dha'if
  5. Hadis Maudhuk
  6. Hadis Ahad
Kedudukan Hadis di dalam Islam

Kedudukan hadith dalam Islam adalah sesuatu yang tidak dapat diragukan kerana terdapat penegasan yang banyak di dalam al Quran tentang hadith – di dalam al Quran disebut sebagai al Sunnah – malahan dalam banyak tempat hadith disebutkan selari dengan al Kitab ataupun al Quran. Di dalam al Quran juga disebutkan dengan ketaatan terhadap Rasulullah saw yang disebutkan bersama dengan ketaataan kepada Allah. Ini sebagaimana yang ditegaskan di dalam al Quran di dalam firman Allah seperti ;

Maksudnya ; “Dan taatilah Allah dan RasulNya, jika kamu adalah orang-orang yang beriman” (surah al Anfāl : ayat 1)

Maksudnya ; “Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukminah, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan yang lain bagi urusan mereka” (surah al Ahzāb : ayat 36)

Maksudnya ; “Apa yang diberikan Rasul kepada kamu, maka ambillah ia, dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah” (surah al Hasyr : ayat 7)

Dengan penegasan al Quran di atas, jelaslah bahawa hadith tidak dapat dipisahkan penggunaannya di dalam segala hal yang berkaitan dengan Islam selari dengan al Quran.

Sesetengah pengarang menyebutkan mengenai 5 fungsi hadith yang utama – dalam sesetengah buku cuma disebut 4 – iaitu ;

  • Penguat dan penyokong kepada hukum-hukum yang terdapat di dalam al Quran seperti dalam perkara pengsyariatan sembahyang, puasa dan haji.
  • Penghurai dan pentafsir bagi ayat-ayat al Quran yang umum seperti memperjelaskan mengenai cara perlaksanaan sembahyang, kaedah jual beli, menunaikan zakat dan haji dan sebagainya yang mana perkara-perkara tersebut hanya disebutkan secara umum oleh al Quran.
  • Menjadi keterangan tasyri’ iaitu menentukan sesuatu hukum yang tiada di dalam al Quran seperti dalam hal memakan haiwan yang ditangkap oleh haiwan pemburu terlatih seperti anjing yang mana buruan tersebut terdapat kesan dimakan oleh haiwan pemburu terlatih tadi dan kesan tersebut menunjukkan haiwan pemburu tadi menangkap buruan untuk dirinya sendiri. di dalam al Quran hanya dibenarkan memakan buruan yang ditangkap oleh haiwan pemburu terlatih. Maka dalam hal ini, hadith menerangkan bahawa buruan yang mempunyai kesan dimakan oleh haiwan pemburu adalah haram dimakan.
  • Menasakhkan hukum yang terdapat di dalam al Quran.Sesetengah ahl al Ra’y berpandangan bahawa hadith yang dapat menasakhkan hukum al Quran itu mestilah sekurang-kurangnya bertaraf Mutawatîr, Masyhûr ataupun Mustafhîdh.
  • Menerangkan mengenai ayat yang telah dinasakh dan ayat mana yang telah dimansukhkan.

Dalam menentukan fungsi-fungsi bagi hadith ini, para ulama bersepakat dalam menentukan fungsi pertama dan kedua tetapi mereka masih berselisih dalam menentukan fungsi ketiga, keempat dan kelima. Menurut ulama Hanafiyyah, hadith-hadith Mutawatîr dan Masyhûr boleh menasakhkan hukum al Quran manakala Imam Syafie sendiri menolak penasakhan itu.

Di dalam bidang ibadat, hadith memainkan peranannya dalam menghuraikan maksud ayat-ayat al Quran mengenai pengsyariatan sesuatu bentuk ibadat dengan lebih jelas. Tambahan pula, hadith juga memperincikan lagi masalah-masalah yang berhubung dengan pelaksanaan sesuatu ibadat sama ada wajib, sunat, harus, makruh atau haram.

Dalam bidang hukum atau undang-undang, hadith memperincikan hukuman-hukuman dan undang-undang yang terdapat di dalam al Quran seperti hukuman terhadap penzina. Hadith juga berbicara meliputi soal-soal yang berhubung dengan keadilan sosial, ekonomi dan politik. Hadith juga menerangkan mengenai hal-hal mengenai masalah-masalah perseorangan dan kekeluargaan seperti soal nikah, cerai dan talak. Begitu juga kita tidak menemui secara khusus tentang larangan al Quran terhadap amalan rasuah dan menyorok barang dagangan dan perkara-perkara ini diterangkan di dalam hadith.

Mengenai ilmu pengetahuan pula, tidak sedikit ilmu yang boleh kita korek dari hadith bagaikan satu dasar yang tidak diketahui kedalamannya sama ada ilmu sejarah – sejarah penciptaan alam dan bangsa-bangsa terdahulu -, ilmu nasab, ilmu sosiologi, bahasa, sastera, budaya dan banyak lagi. Tambahan pula, hadith juga menggalakkan manusia agar berusaha menuntut ilmu dan memperbaiki diri. Manakala dalam soal pembentukan akhlak pula, maka sememangnya pengutusan Rasulullah saw itu sendiri adalah untuk membentuk akhlak yang mulia.

Rujukan

  • Ismail Omar (1993), Manhaj Aqidah Ahli as-Sunnah wal Jamaah, Selangor : Access Infotech (M) SDN. BHD.
  • Mustafa ‘Abdul Rahman (1996), Hadith 40 : Terjemahan dan Syarahnya, Shah Alam : Dewan Pustaka Fajar.
  • Shalih bin Fauzan bin Abdullah al Fauzan (2002), Kitab Tauhid jilid (1), Jakarta : Darul Haq.
  • Abdul Majid al Zindani (1996), al – Iman, Kuala Lumpur : al Hidayah Publishers.
  • Rosmawati binti Ali @ Mat Zin (1995). Hadis Āhād dalam akidah Islam : Tumpuan utama kepada hadis-hadis tentang Imam Mahdi. Tesis sarjana, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
  • Abdullah al Qari Haji Salleh (t.t), Memahami Nilai Hadith dan Sunnah Nabi saw, Kelantan : Pustaka Asa Kenali.
  • Engku Ibrahim & Abdul Ghani Shamsuddin (1987), Kedudukan Hadith Dalam Islam, Kuala Lumpur : Persatuan Ulama Malaysia.
  • Ibrahim Muhammad bin Abdullah al Buraikan (1998), Pengantar Studi Aqidah Islam, Jakarta : Rabbani Press.
  • http://www.hadiths.eu

0 ulasan:

Catat Ulasan

Komentar Anda...