Khamis, 11 Oktober 2012

AWASI NIFAQ!

Salah satu penyakit rohani yang amat berbahaya ialah nifaq atau kemunafikan. Orang yang memiliki sifat ini disebut munafiq.

Asal makna nifaq ialah menampilkan yang baik sedang hatinya tidak begitu. Munafiq dalam erti popular ialah orang yang berpura-pura, lain di mulut lain pula di hati. Adapun yang dimaksudkan nifaq menurut istilah agama atau syara’ ialah :

"Orang yang menyembunyikan kekufuran dalam hatinya dan menyatakan iman dengan lidahnya”.

Dalam Al-Quran dilukiskan sikap dan identiti orang-orang munafiq ini :

“Dan sebahagian daripada manusia ada yang berkata : ‘Kami telah beriman kepada Allah dan kepada Hari Kemudian’, padahal mereka sebenarnya bukanlah orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Tuhan dan orang-orang yang beriman, dan tiadalah mereka menipu melainkan kepada diri mereka sendiri; akan tetapi mereka tidak menyedari. Di hati mereka ada penyakit, dan adalah bagi mereka seksaan yang pedih, kerana mereka telah berdusta.” (Surah Al-Baqarah : 9-10)

“Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata : ‘Kami telah beriman’. Tetapi apabila mereka berkumpul dengan pemimpin-pemimpin mereka, mereka berkata : ‘Sesungguhnya kami tiada lain kecuali memperolok-olok mereka’.” (Surah Al-Baqarah : 14)

Identiti dan watak orang munafiq lebih luas didedahkan Allah SWT sebagai sumber pedoman kita dalam Surah Al-Munaafiqun, yang pada pokoknya mengutarakan tentang kepalsuan imannya (ayat 1), menjadikan sumpah sebagai dalih atau helah (ayat 2), hati yang diliputi kabut (ayat 3), ketakutan dan kecemasan (ayat 4).

Munafiq sebagai perosak dikemukakan dalam Surah Al-Baqarah (ayat 11, 12 dan 205), sebagai perusuh - Surah Al-Ahzab (ayat 60), menyalahi janji dan kikir - Surah At-Taubah (ayat 75-76), sinis dan suka mencela - Surah Al-Anfal (ayat 49), takut terbongkar rahsia - Surah At-Taubah (ayat 64), malas solat dan riya’ beramal - Surah An-Nisa’ (ayat 142), ragu-ragu dan tiada pendirian - Surah An-Nisa’ (ayat 143).

Sememangnya amat sukar mengenali orang-orang munafiq itu, kerana kepandaiannya menyembunyikan isi hati (lihat Surah At-Taubah : 101), namun masih ada tanda-tanda yang mengungkapkannya, sebagaimana diterangkan oleh Rasulullah SAW kepada kita :

“Tanda-tanda munafiq ada tiga : 1. Apabila berbicara, ia berdusta, 2. Apabila berjanji, ia menyalahi, dan 3. Apabila diberi amanah, ia khianat.” (H.R Bukhari dan Muslim)

Ada hadith lain yang menyatakan : Apabila dia berbantah, dia keluar dari batas.

Mari awasi nifaq daripada tumbuh di dalam hati kita! Bahayanya banyak, baik pada diri peribadi mahupun masyarakat luas. Berhati-hatilah. Jika kedustaan dan sikap bermuka dua membudaya, maka cepat atau lambat ...kepalsuan itu akan terdedah jua. Suatu keadaan yang mempersempit ruang pergaulan si munafiq itu sendiri. Pihak yang merasa dirugikan akan memutuskan hubungan dengannya dan orang ramai akan memencilkannya. Demikian juga sikap menyalahi janji dan khianat terhadap amanah yang dititipkan kepadanya, berakibat buruk bagi si munafiq itu sendiri.

Sikap suka mengadu-domba, menghasut, membuat-buat kerusuhan, sikap batu api, menabur fitnah, membuat provokasi - gossip dan berita sensasi; yang dimainkan secara sembunyi-sembunyi - lempar batu sembunyi tangan, menggunting dalam lipatan dan menikam dari belakang; jelas semua itu membahayakan dan menimbulkan kerosakan yang parah dalam kehidupan kita.

"Dan di antara manusia, ada orang yang perkataannya dalam hal kehidupan dunia mengkagumkan engkau, dan dia jadikan Allah saksi atas apa yang ada di hatinya. Padahal, dia itu adalah sejahat-jahat musuh. Kerana, apabila dia berpisah, berjalan dia di muka bumi untuk membuat kerosakan padanya dan merosakkan tanam-tanaman serta binatang-binatang ternak; padahal Allah tidak suka kepada kerosakan.” (Surah Al-Baqarah : 204-205)

Terdapat ahli tafsir yang mentafsirkan al-hartsa dan an-nasal (tanam-tanaman dan binatang ternak) dalam ayat tersebut di atas dengan wanita dan keturunan. Dengan demikian orang munafiq yang perkataannya manis dan merayu itu, setelah pergi dia merosakkan kehormatan perempuan-perempuan yang dengan itu rosak pulalah keturunan.

Banyak punca tumbuhnya sifat nifaq dalam peribadi kita. Antaranya, kerana kelalaian kita dalam menjaga cahaya hati dan sikap mengambil mudah urusan hidup beragama.

Sebagaimana sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang selalu waspada terhadap penyakit nifaq, bersungguh-sungguh membersihkan hati dari ditumbuhinya; maka marilah mulai perihatin dengan hati ini sebagai wadah kebaikan dari Ilahi. Hati yang tidak dirawat, lambat laun akan sakit.

Tanah sawah atau tumoon yang tidak dibersihkan dari rerumput yang kecil pun, lambat laun bukan lagi padi yang tumbuh tapi lalang yang akan menggantikannya.

Isnin, 1 Oktober 2012

KULTUM : REZEKI YANG HALAL


Saudaraku…

Kita akan berbicara tentang rezeki. Apa yang dinamai rezeki? 

Rezeki adalah segala sesuatu yang anda perolehi dan dapat anda manfaatkan. Kalau anda tidak dapat memanfaatkannya, maka, itu dalam bahasa Agama tidak dinamai rezeki.

Apa yang anda usahakan dan berhasil dimanfaatkan, itulah rezeki anda. Apa yang diusahakan oleh orang lain, tetapi anda dapat memanfaatkannya, itu juga rezeki anda.

Apa yang anda usahakan tetapi anda kemudian tinggalkan dan tidak dimanfaatkan, maka itu tidak dinamai rezeki. Tetapi itu adalah hasil usaha anda. 

Rezeki, memang ada yang halal dan ada pula yang haram. Begitu pendapat ulama. Namun, betapa pun ALLAH SWT telah menjamin rezeki buat setiap orang, tetapi, itu bukan menunjukkan seseorang itu harus menunggu datangnya rezeki. 

Jaminan rezeki dari ALLAH itu bukan dalam erti mempersembahkan sesuatu yang telah siap untuk anda gunakan. Tetapi, mempersembahkan sesuatu yang menjadi wadah dan sebab untuk anda perolehi rezeki itu. 

ALLAH SWT memberikan kepada manusia dorongan rasa lapar – dorongan untuk memperoleh keindahan, untuk memperoleh kebahagiaan. Semua itu sebahagian dari jaminan rezeki ALLAH SWT. ALLAH Ta’ala menghamparkan bumi dan langit ini, itu juga sebahagian dari jaminan rezeki ALLAH. Sebab itulah, ketika ALLAH berbicara tentang jaminan rezeki-Nya, Dia menyatakan tiada satu binatang melata pun yang tidak dijamin rezeki oleh-Nya. Bahkan, sangat terjamin. Seakan-akan Allah ingin menyatakan bahawa, kalau anda tidak bergerak, anda tidak akan memperolehi rezeki anda.

Disisi lain, jangan pernah menduga bahawa rezeki hanya rezeki berbentuk material. Ketenangan bathin adalah rezeki. Ilmu pengetahuan adalah rezeki. Rumahtangga yang damai – sakinah, adalah rezeki. Bahkan, anak-anak yang mudah diurus dan diatur juga adalah rezeki. Kerana, itu adalah bahagian-bahagian atau perkara yang dapat dimanfaatkan oleh manusia. 

Demikianlah sedikit makna rezeki yang mestinya kita usahakan untuk kita raih, untuk kita peroleh dengan jalan berusaha sekuat kemampuan kita.

Saudaraku…

Rezeki ini dan pembahagiannya, sungguh membingungkan. Begitu kata banyak pakar. Ada orang yang sedemikian mahir dan pakar dalam bidang ekonomi – yang tahu selok-belok memperoleh rezeki, tetapi penghasilannya tetap terbatas. Namun, ada juga orang yang tidak mengetahui selok-belok ekonomi, tidak tahu tatacara atau yang orang kenali strategi bisnes, tapi hasilnya melimpah. Apa makna itu semua?

Maknanya, bahawa sebenarnya yang mengatur rezeki itu adalah ALLAH SWT. Manusia boleh berusaha, tetapi untuk perolehannya atau hasilnya, banyak sebab yang harus terhimpun. Namun, hanya ALLAH yang dapat menghimpun semua sebab itu, sehingga dapatlah seseorang memperolehi rezekinya.

Anda mungkin pernah melihat orang membuat sarang untuk datangnya burung walit? Burungnya tidak datang. Tetapi, ada orang yang tidak mempersiapkan untuk itu, namun burung tersebut datang – dan rezekinya menjadi banyak.

Maknanya, sekali lagi bahawa ALLAH-lah yang mengatur rezeki. Tetapi sekali lagi, ingat, manusia harus berusaha dan terus berusaha. ALLAH SWT yang mengatur rezeki, kerana kalaulah manusia yang mengaturnya, dia tidak akan adil. Manusia akan serakah. Manusia akan egois. Sehingga, boleh jadi dia tidak akan membahagi atau memberi rezeki itu buat orang lain. Buktinya, bahawa ada sahaja orang-orang yang telah melimpah ruah rezekinya, tetapi masih enggan untuk memberi atau berbagi dengan orang lain, walhal ALLAH SWT telah memerintahkan untuk membantu sesamanya.

Rezeki dijamin ALLAH SWT. Tetapi, manusia harus berusaha!

Abu Miftah 
01-10-2012