Saudaraku…
Kita akan berbicara tentang
rezeki. Apa yang dinamai rezeki?
Rezeki adalah segala sesuatu yang
anda perolehi dan dapat anda manfaatkan. Kalau anda tidak dapat
memanfaatkannya, maka, itu dalam bahasa Agama tidak dinamai rezeki.
Apa yang anda usahakan dan berhasil
dimanfaatkan, itulah rezeki anda. Apa yang diusahakan oleh orang lain, tetapi
anda dapat memanfaatkannya, itu juga rezeki anda.
Apa yang anda usahakan tetapi
anda kemudian tinggalkan dan tidak dimanfaatkan, maka itu tidak dinamai rezeki.
Tetapi itu adalah hasil usaha anda.
Rezeki, memang ada yang halal dan
ada pula yang haram. Begitu pendapat ulama. Namun, betapa pun ALLAH SWT telah
menjamin rezeki buat setiap orang, tetapi, itu bukan menunjukkan seseorang itu
harus menunggu datangnya rezeki.
Jaminan rezeki dari ALLAH itu
bukan dalam erti mempersembahkan sesuatu
yang telah siap untuk anda gunakan. Tetapi, mempersembahkan sesuatu yang menjadi wadah dan
sebab untuk anda perolehi rezeki itu.
ALLAH SWT memberikan kepada
manusia dorongan rasa lapar – dorongan untuk memperoleh keindahan, untuk
memperoleh kebahagiaan. Semua itu sebahagian dari jaminan rezeki ALLAH SWT. ALLAH
Ta’ala menghamparkan bumi dan langit ini, itu juga sebahagian dari jaminan
rezeki ALLAH. Sebab itulah, ketika ALLAH berbicara tentang jaminan rezeki-Nya,
Dia menyatakan tiada satu binatang melata pun yang tidak dijamin rezeki
oleh-Nya. Bahkan, sangat terjamin. Seakan-akan Allah ingin menyatakan bahawa,
kalau anda tidak bergerak, anda tidak akan memperolehi rezeki anda.
Disisi lain, jangan pernah
menduga bahawa rezeki hanya rezeki berbentuk material. Ketenangan bathin adalah
rezeki. Ilmu pengetahuan adalah rezeki. Rumahtangga yang damai – sakinah,
adalah rezeki. Bahkan, anak-anak yang mudah diurus dan diatur juga adalah rezeki.
Kerana, itu adalah bahagian-bahagian atau perkara yang dapat dimanfaatkan oleh
manusia.
Demikianlah sedikit makna rezeki
yang mestinya kita usahakan untuk kita raih, untuk kita peroleh dengan jalan
berusaha sekuat kemampuan kita.
Saudaraku…
Rezeki ini dan pembahagiannya, sungguh
membingungkan. Begitu kata banyak pakar. Ada orang yang sedemikian mahir dan
pakar dalam bidang ekonomi – yang tahu selok-belok memperoleh rezeki, tetapi
penghasilannya tetap terbatas. Namun, ada juga orang yang tidak mengetahui
selok-belok ekonomi, tidak tahu tatacara atau yang orang kenali strategi bisnes,
tapi hasilnya melimpah. Apa makna itu semua?
Maknanya, bahawa sebenarnya yang
mengatur rezeki itu adalah ALLAH SWT. Manusia boleh berusaha, tetapi untuk
perolehannya atau hasilnya, banyak sebab yang harus terhimpun. Namun, hanya ALLAH
yang dapat menghimpun semua sebab itu, sehingga dapatlah seseorang memperolehi
rezekinya.
Anda mungkin pernah melihat orang
membuat sarang untuk datangnya burung walit? Burungnya tidak datang. Tetapi,
ada orang yang tidak mempersiapkan untuk itu, namun burung tersebut datang –
dan rezekinya menjadi banyak.
Maknanya, sekali lagi bahawa ALLAH-lah
yang mengatur rezeki. Tetapi sekali lagi, ingat, manusia harus berusaha dan
terus berusaha. ALLAH SWT yang mengatur rezeki, kerana kalaulah manusia yang
mengaturnya, dia tidak akan adil. Manusia akan serakah. Manusia akan egois. Sehingga,
boleh jadi dia tidak akan membahagi atau memberi rezeki itu buat orang lain. Buktinya,
bahawa ada sahaja orang-orang yang telah melimpah ruah rezekinya, tetapi masih
enggan untuk memberi atau berbagi dengan orang lain, walhal ALLAH SWT telah
memerintahkan untuk membantu sesamanya.
Rezeki dijamin ALLAH SWT. Tetapi,
manusia harus berusaha!
Abu Miftah
01-10-2012
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
BalasPadam