Khamis, 11 Oktober 2012

AWASI NIFAQ!

Salah satu penyakit rohani yang amat berbahaya ialah nifaq atau kemunafikan. Orang yang memiliki sifat ini disebut munafiq.

Asal makna nifaq ialah menampilkan yang baik sedang hatinya tidak begitu. Munafiq dalam erti popular ialah orang yang berpura-pura, lain di mulut lain pula di hati. Adapun yang dimaksudkan nifaq menurut istilah agama atau syara’ ialah :

"Orang yang menyembunyikan kekufuran dalam hatinya dan menyatakan iman dengan lidahnya”.

Dalam Al-Quran dilukiskan sikap dan identiti orang-orang munafiq ini :

“Dan sebahagian daripada manusia ada yang berkata : ‘Kami telah beriman kepada Allah dan kepada Hari Kemudian’, padahal mereka sebenarnya bukanlah orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Tuhan dan orang-orang yang beriman, dan tiadalah mereka menipu melainkan kepada diri mereka sendiri; akan tetapi mereka tidak menyedari. Di hati mereka ada penyakit, dan adalah bagi mereka seksaan yang pedih, kerana mereka telah berdusta.” (Surah Al-Baqarah : 9-10)

“Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata : ‘Kami telah beriman’. Tetapi apabila mereka berkumpul dengan pemimpin-pemimpin mereka, mereka berkata : ‘Sesungguhnya kami tiada lain kecuali memperolok-olok mereka’.” (Surah Al-Baqarah : 14)

Identiti dan watak orang munafiq lebih luas didedahkan Allah SWT sebagai sumber pedoman kita dalam Surah Al-Munaafiqun, yang pada pokoknya mengutarakan tentang kepalsuan imannya (ayat 1), menjadikan sumpah sebagai dalih atau helah (ayat 2), hati yang diliputi kabut (ayat 3), ketakutan dan kecemasan (ayat 4).

Munafiq sebagai perosak dikemukakan dalam Surah Al-Baqarah (ayat 11, 12 dan 205), sebagai perusuh - Surah Al-Ahzab (ayat 60), menyalahi janji dan kikir - Surah At-Taubah (ayat 75-76), sinis dan suka mencela - Surah Al-Anfal (ayat 49), takut terbongkar rahsia - Surah At-Taubah (ayat 64), malas solat dan riya’ beramal - Surah An-Nisa’ (ayat 142), ragu-ragu dan tiada pendirian - Surah An-Nisa’ (ayat 143).

Sememangnya amat sukar mengenali orang-orang munafiq itu, kerana kepandaiannya menyembunyikan isi hati (lihat Surah At-Taubah : 101), namun masih ada tanda-tanda yang mengungkapkannya, sebagaimana diterangkan oleh Rasulullah SAW kepada kita :

“Tanda-tanda munafiq ada tiga : 1. Apabila berbicara, ia berdusta, 2. Apabila berjanji, ia menyalahi, dan 3. Apabila diberi amanah, ia khianat.” (H.R Bukhari dan Muslim)

Ada hadith lain yang menyatakan : Apabila dia berbantah, dia keluar dari batas.

Mari awasi nifaq daripada tumbuh di dalam hati kita! Bahayanya banyak, baik pada diri peribadi mahupun masyarakat luas. Berhati-hatilah. Jika kedustaan dan sikap bermuka dua membudaya, maka cepat atau lambat ...kepalsuan itu akan terdedah jua. Suatu keadaan yang mempersempit ruang pergaulan si munafiq itu sendiri. Pihak yang merasa dirugikan akan memutuskan hubungan dengannya dan orang ramai akan memencilkannya. Demikian juga sikap menyalahi janji dan khianat terhadap amanah yang dititipkan kepadanya, berakibat buruk bagi si munafiq itu sendiri.

Sikap suka mengadu-domba, menghasut, membuat-buat kerusuhan, sikap batu api, menabur fitnah, membuat provokasi - gossip dan berita sensasi; yang dimainkan secara sembunyi-sembunyi - lempar batu sembunyi tangan, menggunting dalam lipatan dan menikam dari belakang; jelas semua itu membahayakan dan menimbulkan kerosakan yang parah dalam kehidupan kita.

"Dan di antara manusia, ada orang yang perkataannya dalam hal kehidupan dunia mengkagumkan engkau, dan dia jadikan Allah saksi atas apa yang ada di hatinya. Padahal, dia itu adalah sejahat-jahat musuh. Kerana, apabila dia berpisah, berjalan dia di muka bumi untuk membuat kerosakan padanya dan merosakkan tanam-tanaman serta binatang-binatang ternak; padahal Allah tidak suka kepada kerosakan.” (Surah Al-Baqarah : 204-205)

Terdapat ahli tafsir yang mentafsirkan al-hartsa dan an-nasal (tanam-tanaman dan binatang ternak) dalam ayat tersebut di atas dengan wanita dan keturunan. Dengan demikian orang munafiq yang perkataannya manis dan merayu itu, setelah pergi dia merosakkan kehormatan perempuan-perempuan yang dengan itu rosak pulalah keturunan.

Banyak punca tumbuhnya sifat nifaq dalam peribadi kita. Antaranya, kerana kelalaian kita dalam menjaga cahaya hati dan sikap mengambil mudah urusan hidup beragama.

Sebagaimana sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang selalu waspada terhadap penyakit nifaq, bersungguh-sungguh membersihkan hati dari ditumbuhinya; maka marilah mulai perihatin dengan hati ini sebagai wadah kebaikan dari Ilahi. Hati yang tidak dirawat, lambat laun akan sakit.

Tanah sawah atau tumoon yang tidak dibersihkan dari rerumput yang kecil pun, lambat laun bukan lagi padi yang tumbuh tapi lalang yang akan menggantikannya.
Reaksi:

0 ulasan:

Catat Ulasan

Komentar Anda...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.