Jumaat, 4 Julai 2014

SALAM RAMADHAN KAREEM 1435 H

Assalaamualaikum WTB...
Salaam Ramadhan Al-Mubaarak.

Alhamdulillah, menjajak hari ke-6 Ramadhan 1435 H hari ini. 
Hampir terlupa saya, akan blog ini. Aduh! Rupanya sudah 2 tahun tidak menulis di ruangan ini. Jadilah laman ini, betul-betul laman sesawang yang penuh dengan debu. Huh... InsyaAllah, Ramadhan 1435 H ini akan jadi momentum untuk mencambahkan lagi, walau sekecil apapun ilmu yang dititipkan Ilahi buat diri ini.

Syukur. Allah SWT masih panjangkan usia kita. Masih diberikan-Nya nikmat kesihatan dan keafiatan yang berganda. Bertemu Ramadhan kali ini, semoga 'training center' selama sebulan ini benar-benar menjadikan kita memiliki 'personaliti' yang anggun tapi gagah perkasa, sesuai dengan matlamat puasa itu sendiri.

Perlu kita sama-sama sedari, bulan Ramadhan bukan bulan untuk kita berpuasa semata-mata. Tetapi, ianya terhidang dalam bentuk 'pakej amalan'. Ya, Ramadhan di dalamnya terkandung sebuah 'pakej amalan', yang jika dilaksanakan dengan ikhlas, tekun dan beraspirasikan redha Allah semata-mata, maka akan terhasillah sosok berpersonaliti yang hebat, yang disebut Allah sebagai 'Muttaqiin' - orang bertaqwa.

Dalam bulan yang indah ini - tentunya kita melaksanakan puasa di siang hari (puasa zahir dan bathin), dalam masa yang sama kita melaksanakan ibadah lain seperti Tilawatul Quraan, Tadarrus Al-Quraan, Tadabbur Al-Quran, Khatam Al-Quran, bersedekah, mengeratkan hubungan kasih sayang dan banyak lagi. Zakat fitrah yang hukumnya wajib, juga menjadi salah satu prasyarat kesempurnaan ibadah puasa seseorang.

Yang hebat, datangnya bulan Ramadhan, semua ummat Muslim tidak kira apa latarbelakang kehidupan sekalipun, menjadi teruja dan 'terbius' dengan nikmatnya Ramadhan. Lalu, kita melihat orang yang selama ini tidak pernah solat, menjadi rajin solat - mendatangi jemaah di surau-surau dan masjid - demi merebut 'hadiah' besar dari Ilahi. Yang jarang-jarang membaca Al-Quran, malah membukanya juga perkara yang malas dilakukan, menjadi teruja dan berlumba-lumba meraih berkat Ilahi melalui bacaan dan tadabbur Al-Quran. Yang selama ini malas menghulur sedikit kepada mereka yang memerlukan, juga teruja dan menjadi rajin serta murah hati memberikan sedekah. Bukan sedikit, malah banyak dan kadang berlebih-lebihan. Dalam kepenatan menahan lapar dan dahaga, masih terukir senyum sebagai buah sedekah. 

Kalau mahu ditulis, sangatlah banyak sifat-sifat yang indah dan cantik terukir di bulan Ramadhan. Semuanya itu adalah berkat Ramadhan. Alhamdulillah. Itu semua, sebenarnya adalah potensi kebaikan yang ada pada diri setiap manusia. Rupa-rupanya, akan sampai satu ketika, sepanjang hidup kita ini - dalam setahun misalnya - kita memerlukan waktu untuk 'bertenang dan mengumpul kekuatan'. Benarlah, sepanjang setahun ini, bulan Ramadhan inilah sebenarnya waktu 'bertenang dan mengumpul kekuatan' yang dicari-cari itu. Maka, mujur kita kini berada dalam bulan yang berkat ini - marilah kita semua mengerahkan seluruh potensi kita untuk meraih atau menciptakan jiwa taqwa itu. 

Unggulkanlah diri dengan ilmu yang diserap melalui penghayatan yang ikhlas pada bait-bait kalimah Ilahi di dalam Al-Quran yang suci. Kebalkanlah diri dengan latihan puasa - menahan diri dari segala perkara / sifat yang buruk. Hiasilah diri dengan perhiasan akhlak yang indah, yang terhasil dari keikhlasan menjalani rutin Ramadhan. Bersihkan diri bagaikan kembali kepada sifat azali manusia yang fitrah dengan menunaikan kewajipan zakat fitri. 

Subhanallah.... Maha Suci Engkau Ya Allah... yang telah menganugerahkan kami yang kerdil dan lemah ini dengan Bulan Ramadhan-Mu yang hebat dan istimewa. 

Alhamdulillah... Puji-pujian Hanya Untuk Allah... yang sudi menerima kita memasuki fasa metamorfosis Ramadhan ini, dan keluarnya kita dari 'kepompong' Ramadhan - dengan harapan menjadi seindah rama-rama yang cantik dipandang, dan makanannya hanya madu-maduan segar. Pun begitu, harapnya semoga hayat yang indah tidaklah sesingkat hayat sang rama-rama.

Allahu Akhbar... Allah Maha Besar / Allah Maha Hebat.... semoga Engkaulah yang besar dalam jiwa ini, sirnakanlah segala keburukan dan kelemahan diri ini. Engkau jua yang mengangkat kami di kala kami jatuh ke bawah. Dikala miskin, Engkaulah yang Maha Memberikan keluasan dan kelapangan rezeki. Dikala sakit, Engkaulah yang Maha Memberikan kesihatan juga keafiatan...

Harapan akhir, semoga kita dapat bersama-sama mengangkat harakat diri dan jiwa pada maqam suci para Nabi-Mu, Rasul-Mu, para Syuhadaa, orang-orang yang Soleh / Solehah dan orang-orang yang bertaqwa. Ameen....

0 ulasan:

Catat Ulasan

Komentar Anda...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.