Rabu, 9 Julai 2014

YANG PENTING KETIKA DI BULAN RAMADHAN...

Assalaamualaikum WTB...

Bersua lagi kita saudara-saudaraku sekalian. Tidak kira siapalah Anda yang membaca perkongsian ini, bagi saya Anda tetap saudara saya. Dikenali atau tidak, sebenarnya tetap sama disisi-Nya. Cuma, penilaian-Nya sahaja yang menentukan siapa kita yang sebenarnya....

Nah, sementara dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, saya sekali lagi cuba berkongsi dengan saudara-saudaraku sekalian tentang pentingnya memelihara nilaian puasa khususnya dan segala macam amal yang kita lakukan secara amnya, sepanjang bulan Ramadhan Al-Mubaarak ini. 

Kalau kita soroti, daripada pelbagai kenyataan dalil samada dari Al-Quran dan Hadith Nabi SAW yang berkaitan dengan ibadah puasa, terdapat beberapa perkara yang perlu, malah mesti kita pelihara baik-baik agar ibadah puasa kita memiliki nilai yang unggul disisi Allah SWT. Selain itu, semoga usaha dan kefahaman kita dalam menjalani ibadah ini benar-benar membuahkan hasil 'taqwa' kepada diri kita.

Saudaraku,
Yang pertama - Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW memberikan peringatan sekaligus teguran - bahawa ramai manusia yang berpuasa, namun tiada apa yang diperolehinya melalui puasa tersebut melainkan 'lapar dan dahaga'. Sementara, dalam hadith Rasulullah SAW yang lain pula menyatakan bahawa, amat malang dan ruginya orang yang sempat merasai dan melalui sepanjang bulan Ramadhan, tetapi dosa-dosanya tidak di ampuni Allah SWT yang Maha Pengampun.

Memang. Betapa malangnya orang, sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW tersebut. Bukankah sebulan Ramadhan ini disediakan oleh Allah SWT sebagai bulan ampunan untuk kita? Doa munajat kita kepada-Nya pada setiap detik, masa, waktu dan ketika - sangatlah manjurnya di bulan ini. Langit keampunan terbuka luas. Samudera keberkatan terbentang, malah tak terbendung. Maka, memang malanglah andai kita mempersiakan semua kesempatan yang terhidang ini. Modalnya juga bukanlah besar. Kesediaan seluruh jiwa raga kita masing-masing adalah modalnya. Justeru, marilah memperbanyak permohonan ampun kepada-Nya, sementara masa masih ada.

Puasa di bulan Ramadhan memanglah membuat kita 'lapar dan dahaga'. Bohonglah kalau ada yang berpuasa - dari azan subuh ke azan maghrib - tetapi mendakwa tidak 'lapar dan dahaga'! Memang 'lapar dan dahaga' itulah sebahagian ibrah atau pelajaran yang ingin dirasakan Allah SWT yang Maha Bijaksana kepada kita melalui ibadah puasa ini. 

Untuk lebih maklumat, mari ambil detail pengertian puasa itu sendiri. Syiam atau Puasa itu bermaksud "menahan diri daripada makan dan minum, hubungan seksual suami isteri dan perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar (azan subuh) hingga terbenam matahari (azan maghrib)". 

Kata Kuncinya ialah 'menahan diri'. Menahan diri itu upaya mengendalikan diri daripada amalan atau rutin harian biasa, atau juga kita sebut 'control'. Akhirnya, keupayaan mengendalikan diri yang terlatih selama sebulan itulah yang disematkan dalam peribadi kita, yang dikenali sebagai 'taqwa'.

Tetapi saudaraku... Bukan menahan diri dari makan dan minum semata-mata! Kalau begitu, yang kita dapat daripada puasa harian kita, memang cuma 'lapar dan dahaga' saja. Jauh lebih istimewa, adalah memelihara dan mengendalikan keenam-enam indera kita... Dengan demikian, semoga nanti kita mampu meresapi inti taqwa itu didalam personaliti kita. Ameen.

Saudaraku,
Perkara kedua - berkenaan ibadah puasa ini, Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah : ayat 184, setelah membolehkan orang yang sakit, orang yang dalam perjalanan (musafir) dan mereka yang dalam keadaan susah payah - untuk berbuka puasa dan menggantikan hari yang ditinggalkan itu di bulan yang lain, Allah SWT yang Maha Arif tetap menegaskan :

"...dan sekiranya kamu (tetap meneruskan) berpuasa (walau dalam keadaan sakit, perjalanan dan susah payah), itu sebenarnya lebih baik bagi kamu, sekiranya kamu mengetahui (hikmah kebesarannya)..."

Allah SWT yang menciptakan seluruh makhluk-Nya, Dialah juga yang menciptakan keseimbangan dan kelebihan pada ciptaan-Nya. Dalam azimahnya (ketetapan asalnya), ada disisinya rukhsah (keringanan) dalam pelaksanaan. Antara yang 'wajib' dan 'sunnah', pastilah ada perbezaan ganjaraannya. Begitulah juga, bilamana kita mengambil 'rukhsah' berdasarkan maslahah - iaitu pertimbangan baik dan buruk / faedah dan mudarat berbanding 'azimah', iaitu ketetapan hukum asal; maka pastilah ganjarannya juga turut berbeza. Kualiti atau nilai sehari ibadah / satu ibadah di dalam bulan Ramadhan, tidaklah akan pernah sama nilai pahalanya dengan sehari ibadah / satu ibadah di bulan yang lain. 

Barangkali, itulah hakikat yang perlu kita fahami menerusi akhir ayat 184 tersebut. Walaupun dalam keadaan sakit, dalam keadaan musafir (perjalanan) atau dalam keadaan susah payah; dan dibolehkan berbuka puasa, namun oleh kerana nilai pahala puasa di dalam bulan Ramadhan itu sangat unggul dan penuh hikmah, maka Allah SWT sarankan kita.... "...dan sekiranya kamu (tetap meneruskan) berpuasa (walau dalam keadaan sakit, perjalanan dan susah payah), itu sebenarnya lebih baik bagi kamu, sekiranya kamu mengetahui (hikmah kebesarannya)..." Wallahu a'lam.

Saudaraku,
Yang ketiga - harapan kita melalui penegasan Allah SWT, bahawa sesiapa yang menjalani ibadah puasa, maka mudah-mudahan mereka akan menjadi orang-orang yang 'bertaqwa'.

Inilah natijah atau buah hasil perjuangan yang sepatutnya mesti kita perolehi melalui 'training center' Ramadhan Al-Mubaarak ini. 

Orang yang keluar dari 'training center' Ramadhan Al-Mubaarak, mestilah telah memiliki perisai diri yang kuat, tebal lagi kebal. Memiliki 'antibodi' peribadi diri yang spesial dan lasak. Memiliki pandangan dan wawasan hidup yang sangat 'tajam' dan fokus - sehingga mudah mencapai visi dan misi hidupnya. Pendek kata, inilah orangnya yang pasti akan berjaya mengharungi 11 bulan seterusnya dengan misi dan objektif yang unggul; sama seperti orang lain dengan cabaran, dugaan dan rayuan - namun tetap berjaya mengharunginya kerana 'azimat taqwa' yang tersemat di dalam dadanya.

Harus diingat, 1 bulan ini adalah 1 bulan rohani, 1 bulan untuk 'berlatih dan memantapkan diri'. Sementara cabaran yang lebih getir adalah 11 bulan yang seterusnya. 

Renungkanlah.... tika datangnya Ramadhan - Rasulullah SAW, para Sahabat dan orang yang berimana - menyambutnya penuh kegembiraan. Semakin berakhirnya Ramadhan, mereka mengiringinya dengan kesedihan - kerana mereka mengerti apa itu Ramadhan.... Sedangkan kita, bagaimana??? Tepuk dada, tanyalah Imaan...

Wallahu a'lam. Wassalaamu....
Reaksi:

2 ulasan:

  1. asalamualikum usr-taz...tahnia ya masih on blog.teruskan dakwah dan saya nak mohon maaf jika ada kesalahan..selamat hari raya maaf zahir batin..0=0

    BalasPadam
  2. asalam ustaz apa khabar, selamat bercuti. nanti tukar kink baru blog saya kio.
    http://madey09.blogspot.com/

    BalasPadam

Komentar Anda...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.