Selasa, 28 Julai 2015

LANGKAH MEMANIFESTASIKAN TAQWA DI HARI LEBARAN

Hidup Laksana Satu Jalan, Berlembah Ngarai Dan Likuan, Penuh Onak Duri Merintang, Hidup Memang Penuh Tentangan, Tetapi Inilah Suratan, Berlaku Bagi Tiap Insan, Hidup Adalah Pengabdian, Pengabdian Kepada Tuhan...


Assalaamualaikum WTB...

Saudaraku sekalian ;

ALLAH Azza Wa Jalla menggariskan dalam Al-Quran, Surah Ali Imraan - ayat 102 :
“Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah sebenar-benar taqwa kepada-Nya dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”

Bahkan Allah Azza Wa Jalla juga menegaskan dalam Surah Al-Hujuraat - ayat 13 :
“Hai sekalian manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan se-orang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” 

Saudaraku Yang Budiman ;

 Kata “taqwa” berasal dari bahasa Arab yang merupakan akar kata dari “al-Wiqayah” atau “al-Wiqwa” yang bererti alat pelindung kepala atau perisai untuk menghindari diri dari sesuatu yang ditakuti dan membahayakan dirinya. “At-Taqwa” adalah bentuk mashdar yang ertinya “al-Itqaa” iaitu membuat perlindungan. Sedangkan menurut para ahli hakikat, taqwa bererti memelihara diri dengan jalan taat kepada Allah Azza Wa Jalla atau menjauhi semua yang dilarang-Nya sehingga tetap terlindungi.

Taqwa dalam taat bererti ikhlas ketika melaksanakan perintah Allah. Sedangkan taqwa dalam maksiat ialah dengan menjauhi setiap yang dilarang-Nya. (At-Ta’rifat, Al-Jarjany : 65)

Pengertian Taqwa yang paling sederhana ialah sifat dan sikap ketaatan mukmin terhadap syariat Allah Azza Wa Jalla iaitu dengan menjalankan perintah Allah dan menjauhi setiap yang dilarang-Nya. Maksudnya, seseorang disebut bertaqwa (muttaqin) apabila ia mampu menguasai diri dengan selalu menjalankan kebaikan serta memelihara diri dari perbuatan keji dan munkar.

Saudaraku Yang Dikasihi ;
 
Dengan merujuk pada pengertian taqwa di atas, maka aplikasi dari taqwa ini ialah berhati-hati dan selalu memperhitungkan setiap amal perbuatan yang akan dilakukan, apakah bertentangan dengan titah-Nya atau tidak.

Demikian halnya dengan seorang yang bertaqwa, kesan dari perbuatan taqwanya ialah memperoleh kebahagiaan hakiki disebabkan kesabaran dalam mempertahankan nilai ketaqwaannya. 

Firman Allah SWT : “....Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan baginya jalan keluar (dari kesulitan) dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka...” Surah At-Tolaaq - ayat : 2-3.

Saudaraku Yang Baik ;

Justeru, bermula 1 Syawwal yang sepatutnya ditandai dengan 'kembalinya seorang hamba kepada fitrah yang suci - zahir dan bathin', maka sewajarnya kuantum 'Taqwa' telah sedari awal menjadi pengukur langkah kita... 

Marilah bersama-sama mewujudkan natijah taqwa dalam setiap saat, masa, tempat dan keadaan kita. Baik dikala kita sihat, mahu pun dikala sakit... Baik dikala sunyi, mahu pun dikala sibuk.. Baik dikala gembira, mahu pun dikala sedih.. Baik dikala ramai, mahu pun di kala sendirian... 

Marilah menjadi hamba Allah Azza Wa Jalla yang memiliki jati diri - taqwa - dalam setiap saat dan keadaan. Hamba Allah SWT yang bertaqwa di musolla, mahu pun di tempat kerja... Hamba-Nya yang bertaqwa di ruang sujud, mahu pun bertaqwa di gedung rezeki... 

Bahkan... manifestasikanlah taqwa disegenap ruang kehidupan kita secara utuh dan secara konsisten. Inilah komitmen kita. Inilah usaha kita... 

Saudaraku... Jadilah hamba Rabbani. Dan jangan jadi hamba Ramadhani...

Isnin, 13 Julai 2015

MENJEMPUT REDHA ILAHI DI PENGHUJUNG RAMADHAN...

"Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)." 
(Surah Ali Imraan : 200)
___________________________________________________________________________________

Alhamdulillah...

Hari ini merupakan hari yang ke-26 ummat Islam di negara kita berpuasa. Maknanya, hari ini juga merupakan malam ganjil. Malam yang ke-27. Di antara malam-malam ganjil 10 terakhir di bulan Ramadhan yang mulia ini. Bagi ummat Islam yang inginkan kelebihannya, maka malam-malam ganjil di 10 terakhir inilah yang menghimpunkan pencarian mulia tersebut.

Saudaraku yang dikasihi...

Malam Al-Qadar atau lebih dikenali sebagai Lailatul Qadar. Malam yang istimewa. Malam yang penuh dengan kemuliaan. Malam turunnya ayat-ayat cinta Ilahi buat semua insani. Malam Al-Qadar yang nilai amal padanya lebih baik daripada 1000 bulan. Malam yang diimpi-impikan oleh semua insan pencari redha Allah SWT. Malam yang dijanjikan. Malam beriring para malaikat dan Ar-Ruh padanya, dengan izin-Nya untuk mengatur segala urusan. Malam penuh apresiasi sehingga fajar menjelang...

Saat ketikanya menjadi sebahagian rangkaian rahsia Ilahi. Menguji kemampuan insani. Apakah kita benar-benar istiqomah kerana-Nya, atau memang hanya untuk meraikan keramaian orang yang berlumba-lumba untuk mencari Lailatul Qadar.. 

 Saudaraku yang dikasihi...

Kerana itu, istiqomah-lah... bersabarlah dalam mencari keredhaan-Nya yang kekal. Menjelang penghujung Ramadhan ini, tambahkanlah kesabaranmu... Sentiasalah bersiap siaga diperbatasan waktu. Kerana 'musuh-musuh iman' yang sedang dibius akan segera bangkit untuk membujuk mu, kala waktu kepompong Ramadhan-mu semakin pecah. Teruslah meresapkan nilai taqwa dalam jiwamu. Sematkan erat didikan puasamu disegenap relung kalbumu... mudah-mudahan perisai puasa kali ini benar-benar ampuh, kukuh dan tahan daya. Moga kita diizinkan-Nya, bersama-sama orang yang berjaya hakiki.. 

Subhaanallahil Aziiim... Maha Suci Allah Yang Agung... 

Sesungguhnya, Lailatul Qadar itu adalah bukti cinta dari Ilahi... Lailatul Qadar itu adalah wasilah. Lailatul Qadar itu adalah targhib dari Ilahi buat para pencari Kemanisan Iman (Al-halaawatul Iiman).. Lailatul Qadar adalah pemacu daya para saalik menuju TAQWA, dikala semangat mujahadah semakin hanyut berdepan arus deras lebaran yang menjelang... 

Saudaraku yang dikasihi...

Semoga ufuk kefahaman beragama kita semakin matang, selari dengan bertambahnya nikmat umur yang dititipkan Ilahi.. Marilah kita sama-sama mengorak langkah yang lebih mantap dalam kembara panjang menjejaki Taqwa dan Redha Ilahi... 

Ingat saudara... dikala kita keluar dari Madrasah Ramadhan bagaikan kupu-kupu indah merayap dan terbang bebas dari kepompongnya, 'tangan-tangan nakal' akan siap menangkap kita dengan jaring-jaringnya. Semoga nanti kita dapat memanfaatkan segala kekuatan, ilmu dan ilham yang telah diperoleh melalui kepompong Ramadhan yang berlalu...

Menjelang penghujung Ramadhan, sabarlah dan tetaplah bersabar... bersiap siagalah dan bertaqwalah... Ingat sekali lagi! Ramadhan adalah wasilah... Solat adalah wasilah... Zakat adalah wasilah... Qiamullail adalah wasilah.. bahkan Lailatul Qadar pun adalah semata-mata wasilah... untuk kita sampai ke hadrat Allah Azza Wa Jalla... 

Mari bersama menjemput redha Ilahi di penghujung Ramadhan Al-Mubaarak ini...

Salam Kasih Buat Semua....

Jumaat, 10 Julai 2015

PENGHAFAL AL-QURAN

Imam Bukhari RA berkata :

Telah menceritakan kepada kami Abdullah Ibn Yusuf ; Telah mengkhabarkan kepada kami Malik, dari Nafi', dari Abdullah ibn Umar RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda :

"Sesungguhnya perumpamaan para penghafal Al-Quran adalah seperti seorang yang memiliki Unta yang terikat. Jika ia selalu menjaganya, maka ia pun akan selalu berada padanya, dan jika ia melepaskannya, nescaya akan hilang dan pergi".

Pesan-pesan Hadis :

1. Sesuatu yang mendapatkan perhatian penuh akan berdampak positif.
2. Cara menjaga hafalan Al-Quran adalah denganmengulang-ulang bacaan hafalannya tersebut.
3. Mengajarkan ilmu dengan metode analogi adalah salah satu bentuk metode pengajaran yang diterapkan oleh Rasulullah SAW.