Isnin, 10 Ogos 2009

Paderi peluk Islam di Rusia

PADERI PELUK ISLAM DI RUSIA

SATU IMBASAN SEMULA....


Friday, 20 February 2009

ISLAM di benua sebesar Rusia masih diselubungi misteri bak kabus yang sangat tebal. Ini apabila jumlah sebenar mereka yang menganut Islam di benua itu tidak ada dalam data yang tepat dan terkini.

Pakar mengenai agama itu, The Russian Islamogist, Roman Silantvev berkata, terdapat khabar angin yang tersebar luas mengatakan sehingga kini terdapat hampir 20 juta penduduk Rusia merupakan penganut Islam.

"Ternyata khabar angin itu tidak realistik," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita Rusia, Interfax dua tahun lalu.

Menurutnya, jumlah penduduk Islam mengikut etnik-etnik yang ada di benua itu dikatakan seramai 14.5 juta sahaja. Namun jumlah sebenar dikatakan kurang iaitu terdapat 7 hingga 9 juta orang sahaja yang beragama Islam.

"Satu lagi khabar angin popular yang juga tidak benar, yang mengatakan etnik Rusia terutamanya yang menganut Yahudi dan Kristian semakin ramai yang memeluk Islam pada hari ini.

"Sedangkan yang berlaku sejak 15 tahun lalu sehingga kini, dilaporkan hanya seramai 3,000 orang sahaja yang memeluk Islam, iaitu satu jumlah tidak memberikan makna dan signifikan yang besar," jelasnya.

Namun selepas dirujuk pada lama web ensiklopedia percuma di Internet Wikipedia, Islam dikatakan agama kedua yang paling ramai dianuti di Persekutuan Rusia. Dianggarkan kini terdapat seramai 20 juta penduduknya merupakan penganut Islam. Ia adalah pertambahan hampir 40 peratus sejak 15 tahun lalu dengan 6 juta dari mereka terdiri daripada penduduk asal yang beragama Islam.

Namun Silantvev perlu menerima hakikat sekalipun jumlah tidak menjanjikan signifikan tetapi bagaimana seorang yang bertaraf paderi besar dari gereja utama di negara itu akhirnya memeluk Islam?

Pada tahun 1999, berita pengislaman bekas Paderi Gereja Ortodoks Rusia, Viacheslav Sergeevich Polosin, 53, yang juga pengerusi jawatankuasa Committee of the Supreme Soviet on Freedom of Conscience bagaikan satu sinar yang memecahkan kabus itu.

Namun Polosin dituduh mengalami masalah psikologi akibat tekanan politik apabila dikatakan meninggalkan agama Kristian itu.

Jika Polosin menukar mazhab dari Ortodoks kepada Prostestan, mungkin masih boleh dimaafkan tetapi kini dengan nama baru iaitu Ali, bagaimana ini dapat diterima oleh masyarakat Kristian?

"Sedari kecil saya percaya mengenai kewujudan tuhan sehinggalah melanjutkan pelajaran ke universiti. Barulah saya mengenali mengenai agama iaitu Kristian diikuti mengunjungi gereja bagi saya mengenali lebih lanjut mengenai Kristian, sesuatu yang tidak saya temui ketika menghadiri kelas pengajian falsafah di universiti," katanya.

Perkara ini bukan sesuatu yang pelik apabila Rusia berkiblatkan komunisme sebagai dasar pemerintahan dan peraturan kehidupan. Perkara mengenai agama tentunya sesuatu yang sangat asing.

Walaupun segala ajaran mengenai Kristian boleh dipetik bagaikan di hujung jarinya, namun bekas paderi itu mengakui Islam merupakan jalan yang paling lurus (the straight path) menuju kebenaran.

"Dalam Kristian 'jalan lurus' itu juga disebut beberapa kali dalam Kitab Perjanjian Lama.

"Dalam kitab itu diceritakan apabila Raja (King David) yang melalui jalan yang permukaannya berbatu-batu di daerah berbukit Palestin, maka pembantu baginda bertindak membersihkan jalan itu dan turut memastikan bahawa 'jalan itu lurus'.

"Ini diikuti nabi John the Forerunner yang mengajak semua supaya mengakui ketuhanan Jesus sebagai 'jalan yang lurus' dengan meninggalkan kepercayaan karut yang dianuti sebelum ini," katanya.

'Jalan lurus'

Namun kata Polosin, 'jalan lurus' menurut al-Quran adalah yang paling benar. Kehidupan manusia merupakan satu perjalanan lurus menuju kepada Allah tanpa perlu melalui mana-mana orang tengah atau wakil mahupun sebarang objek penyembahan.

"Nabi Isa sendiri dalam ajaran baginda yang sebenar mahukan manusia memalingkan muka mereka kepada satu-satunya Tuhan (to 'thou', 'Abba, Father') bukannya diri baginda sebagai tuhan seperti mana yang berlaku dalam ajaran itu kini," katanya.

Polosin mengakui bahawa memeluk Islam di sebuah negara seperti Rusia tidak dilihat sebagai satu perbuatan yang dapat diterima.

"Tetapi isunya kini, bukan sangat kerana memeluk satu ajaran baru tetapi satu pengakuan kepada satu ajaran kepada percaya tuhan yang satu secara lebih tegas. Kepercayaan saya kepada Tuhan tidak pernah berubah cuma menjadi lebih kuat, itu sahaja," ujarnya.

Untuk Polosin mengakui keesaan Allah merupakan hasil dari satu perjalanan yang cukup panjang beliau berusaha sedapat boleh untuk mengenali Islam dari apa juga aspek. Sedari soal ketuhanan sehinggalah kepada sosial, politik dan hari pembalasan.

"Saya mengkaji hampir kesemua penulisan buku terutama sejarah Kristian dan Islam dari ramai penulis termasuk ahli falsafah terkenal Perancis, Rene Genon yang turut memeluk Islam.

"Prosesnya cukup panjang kerana Islam bagi saya merupakan satu transisi atau peningkatan kepercayaan yang lebih berkualiti dan menjadi satu peringkat baru yang perlu saya lalui," kata Polosin yang turut menganggap perbincangan bersama seorang tokoh Islam Rusia, Murad Zargishiev memberikan pengaruh besar dalam hidupnya.

Ditanya sama ada bekas paderi itu kini sudah tidak mempercayai Nabi Isa sebagai Al Masih (penyelamat), Polosin menjelaskan bahawa beliau tetap mempercayai baginda.

"Nabi Isa sebagaimana yang dikisahkan dalam Perjanjian Lama (Injil) diterima sebagaimana diceritakan sedangkan ketepatan atau kebenaran mengenai teks Kitab itu sendiri tidak dapat ditentukan kesahihannya.

"Berbanding dengan al-Quran disebutkan baginda merupakan seorang nabi. Seorang yang benar dengan dikurniakan Allah dengan kebolehan yang ajaib dan adalah benar baginda seorang Penyelamat kerana itu baginda digelar Al Masih (Messiah)," katanya.

Nabi Isa

Polosin menjelaskan doktrin mengenai ketuhanan Nabi Isa hanya muncul pada abad ke-4 selepas Masihi (kelahiran Nabi Isa) dan dijadikan satu dogma agama yang rasmi pada abad ke 5 (SM). Namun, untuk beberapa abad sebelum itu penganut Kristian tidak pula mengakui bahawa Nabi Isa itu tuhan.

Hasil kajian mendalam, Polosin menyedari Islam bukanlah tunas baru yang lahir dari Kristian tetapi satu reformasi kedua yang paling hebat berlaku selepas agama nabi Ibrahim, Hanif.

"Nabi Isa pula membawa misi kebenaran bagi membersihkan amalan-amalan pagan yang dilakukan oleh kaumnya. Namun sesetengah pengikut tidak mahu mengikut baginda malah merancang untuk membunuhnya pula.

"Mereka ini yang kemudiannya melahirkan agama Yahudi menyebabkan Islam lahir bagi membawa seluruh manusia ke jalan yang benar dengan cara hidup berlandaskan al-Quran dan Sunnah Nabi," katanya.

Mengenai peralihan dari kepercayaan Trinity yang menjadi asas kuat kepada dogma ajaran Kristian Ortodoks, Polosin berkata, pengikut ajaran itu sebenarnya tidak mengetahui hakikat kewujudan Allah yang mereka sangkakan mesti dalam 'bentuk' sesuatu.

"Mereka tidak mengetahui mengenai bentuk tuhan itu tetapi pengikut Kristian tanpa dapat membezakan antara yang benar dan salah, lalu mengambil seseorang sebagai bukti bahawa tuhan itu benar-benar 'wujud.'

"Sedangkan manusia tidak akan mampu menerima 'penjelmaan' itu menyebabkan tuhan tidak lagi satu malah dua atau lebih yang tentunya bukan satu lambang kekuasaan dan keesaan-Nya," ujarnya yang mengkaji dari zaman Greek Lama mengenai penciptaan Kitab Perjanjian Lama dan langsung dibandingkan dengan isi kandungan al-Quran.

Beliau tidak menafikan sewaktu bergelar paderi besar itu berlaku pembersihan rohani yang menimbulkan terlalu banyak keraguan di dalam hati sehingga menyebabkan beliau memikirkan semula apa yang telah beliau ketahui dan lalui.

Pengakuan keislaman beliau diakui tidak dapat diterima oleh pelbagai pihak malah sebagai yang begitu 'alim' dalam ajaran Kristian. Mungkinkah terdapat motif lain yang terselindung?

Sumber asal - http://www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

Komentar Anda...