Sejarah Agama Kristian
Agama Kristian berkisar tentang perjalanan hidup nabi Isa a.s atau Jesus Christ. Maka apabila kita berbicara tentang sejarah agama Kristian kita sebenarnya menyentuh mengenai perjalanan hidup Jesus Christ. Oleh demikian maka sejarah agama Kristian terbahagi kepada tiga era iaitu:
1. Era sebelum kehadiran Jesus Christ
2. Era sewaktu kehadiran Jesus Christ
3. Era selepas kehadiran Jesus Christ
1. Era Sebelum Kehadiran Jesus Christ.
Oleh kerana Jesus Christ dikatakan berketurunan Yahudi dan telah dihantar oleh tuhan khusus untuk kaumnya, maka era sebelum kehadiran Jesus adalah era yang mengesahkan tentang kaumnya. Kaum Yahudi adalah pengikut nabi Musa a.s atau Moses yang diturunkan kitab Taurat kepadanya. Kitab Taurat mengandungi hukum hakam dan syariat nabi Musa a.s yang diperintahkan tuhan kepada bani Israel. Oleh kerana jarak waktu diantara nabi Musa a.s dan Jesus Christ melebihi ribuan tahun, maka tidak hairanlah jika sepanjang tempoh itu berlaku penyelewengan dan korupsi terhadap hukum Taurat oleh bani Israel.
Berikutan penyelewengan dan korupsi yang berlaku itu, kemungkaran, kemaksiatan, kelalaian dan kejahilan kian berleluasa di dalam masyarakat bani Israel. Bani Israel ketika itu bebas mengingkari perintah tuhan. Mereka telah jauh menyimpang daripada perintah tuhan. Berlatar belakang persekitaran kemungkaran inilah nabi Isa a.s atau Jesus Christ telah di turunkan oleh tuhan kepada bani Israel untuk mengembalikan mereka ke jalan yang benar.
2. Era Ketika Kehadiran Jesus Christ
Jesus Christ telah dilahirkan di Palestin. Ibu beliau Siti Mariam ialah seorang anak dara. Kisah hidup Jesus Christ ketika kecil tidak banyak diketahui kerana tidak ada catatan mengenainya. Mengikut Al-Kitab, nubuwah (kerasulan) Jesus Christ bermula ketika beliau berumur 30 tahun. Beliau dikatakan gigih berkhutbah dan berceramah di rumah ibadat kaum Yahudi sama ada di kuil ataupun di sinagog. Khutbah-khutbah beliau pada ketika itu banyak mengajak kaum yahudi agar kembali kepada cara hidup dan ajaran yang diajar oleh nabi Musa a.s. Seruan beliau itu diterima baik oleh kaumnya yang selama ini tidak senang dengan gelagat para ulama Yahudi yang telah menyeleweng dan menyimpang jauh dari ajaran nabi Musa a.s yang sebenar
Justeru itu, pengaruh Jesus Christ berkembang dengan cepat sehingga para ulama Yahudi berasa kedudukan serta pengaruh mereka tercabar dan terancam. Mereka tidak dapat menghalau Jesus Christ daripada berkhutbah di dalam Sinagog kerana apa yang disampaikan oleh beliau adalah berpandukan kepada ajaran sebenar agama Yahudi. Lalu secara diam-diam para ulama Yahudi telah mengatur langkah untuk menghapuskan Jesus Christ. Oleh kerana para ulama Yahudi tidak ada kuasa untuk menangkap, mendakwa dan menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Jesus Christ, maka mereka telah mempengaruhi pihak berkuasa Rom yang memerintah jajahan Palestin ketika itu untuk menangkap Jesus Christ dengan alasan bahawa Jesus Christ adalah seorang aktivis yang berbahaya di kalangan kaumnya. Pihak berkuasa Rom yang amat prihatin dengan kestabilan tanah jajahan mereka telah berjaya dipedaya oleh hasutan para ulama Yahudi kerana takut akan adanya rampasan kuasa jika pengaruh Jesus Christ semakin merebak. Lanjutan daripada itu, pihak berkuasa telah berusaha untuk menangkap Jesus Christ.
Mengikut catatatan gereja, Jesus Christ telah berjaya ditangkap oleh pihak berkuasa Rom pada tengah malam Jumaat tahun ketiga kerasulan beliau. Akibat daripada penangkapan itu Jesus Christ dikatakan dijatuhkan hukum mati disalib pada petang Jumaat. Peristiwa ini dirayakan oleh penganut Kristian sebagai hari ‘Good Friday.’ Orang Kristian juga percaya bahawa Jesus Christ telah dihidupkan semula oleh tuhan pada hari Ahad yang berikutnya. Hari kebangkitan Jesus ini disambut oleh penganut Kristian sebagai hari ‘ Easter .’ Empat puluh hari kemudian Jesus dikatakan telah diangkat naik kelangit. Sehingga hari ini Jesus dikatakan sedang berada disebelah tangan kanan tuhannya. Beliau dikatakan juga akan datang kembali diakhir zaman. Sementara itu pengikut beliau menunggu kepulangan beliau dengan penuh setia. Mereka beranggapan bahawa akhir zaman yang dijanjikan oleh Jesus amat hampir sekali.
3. Era selepas ketiadaan Jesus Christ.
Setelah berjaya memisahkan Jesus Christ daripada pengikutnya, para ulama Yahudi menumpukan pula usaha mereka terhadap pembasmian para pengikut Jesus. Salah seorang ulama Yahudi yang paling taksub memerangi Jesus dan pengikutnya ialah Saul@Paul. Paul merupakan orang yang paling digeruni kerana kekejamannya yang melampau terhadap para pengikut ajaran Jesus.
Namun begitu, tujuh tahun selepas ketiadaan Jesus, Paul tiba-tiba bertukar kem dengan menyertai gerakan ajaran Jesus. Pada mulanya penyertaan Paul diragui ramai.
Bagaimanapun beliau turut diajak oleh seorang murid Jesus yang bernama Barnabas untuk menyertai rombongan dakwah. Setelah berdakwah beberapa ketika, Paul menjadi terkenal dan semakin diterima ramai.
Paul memanfaatkan kesempatan ini dengan sepenuhnya untuk menyampaikan suatu ajaran yang mengejutkan.Tiba-tiba Paul mendakwa bahawa Jesus ialah anak tuhan yang mati untuk menebus dosa semua manusia. Paul juga mengajar bahawa semua manusia telah mewarisi dosa daripada manusia pertama iaitu Adam. Mengikut Paul lagi, sesiapa yang percaya kepada ketuhanan Jesus dan kepada kerja Jesus menebus dosa akan mendapat jalan keselamatan didunia dan diakhirat. Ajaran Paul inilah yang menjadi asas kepercayaan agama Kristian. Semenjak itu sesiapa yang mengikut iktikad Paul dikenali sebagai orang-orang Kristian.
Saranan Paul mendapat tentangan yang hebat daripada pengikut ajaran Jesus. Barnabas terus memutuskan hubungan dengan Paul kerana Jesus tidak pernah mengajar sedemikian. Apabila para pengikut ajaran Jesus menolak ajaran Kristian, Paul mengalih pula dakwahnya kepada golongan Yahudi yang membenci Jesus. Bagaimanapun beliau gagal lagi kerana agama Yahudi ialah agama tauhid dan tidak menerima konsep dosa warisan. Akhirnya Paul terpaksa menjaja ajarannya kepada orang-orang musyrikin. Untuk tujuan tersebut Paul menghalalkan semua makanan serta menghapuskan syarat berkhatan, sekaligus mengenepikan ajaran Taurat. Taktik Paul itu berjaya menarik ramai orang-orang yang bukan berketurunan Israil sehingga melebehi jumlah pengikut ajaran Jesus. Secara tak langsung pengaruh ajaran Paul bersebar dengan pesat kerana jumlah penganutnya yang ramai dan meluas berbanding jumlah penganut Yahudi dan gerakan Jesus.
Pengikut ajaran Paul atau lebih dikenali sebagai penganut Kristian bertemu secara berjemaah. Jemaah-jemaah ini kemudian dikenali sebagai gereja. Gereja-gereja ini berkembang dengan pesat didalam jajahan Rom apabila maharaja Rom yang bernama Konstantin bersikap lebih toleran terhadap penduduk Kristian.
Pada tahun 325 sifat Jesus dan sifat ketuhanan hangat dipersoalkan dikalangan pemimpin gereja sehingga suatu Majlis para ulama Kristian terpaksa diadakan di Nicaea. Majlis tersebut mengisytiharkan Jesus sebagai tuhan. Untuk menambahkan lagi kekuatan terhadap keputusan tersebut arahan juga dibuat untuk menghimpun dan membukukan tulisan-tulisan yang sealiran temanya. Hasilnya ialah Al-Kitab yang diterima pakai dengan resminya pada tahun 385.
Bagaimanapun sifat ketuhanan didalam agama Kristian tetap dibahaskan juga oleh para paderi. Maka pada tahun 451 sifat ketiga-esaan tuhan agama Kristian ditetapkan di Chalcedon.
Didalam tahun 1024 gereja Barat yang berpusat di Rom berpisah dengan gereja Timor atau Otodoks yang berpusat di Iskandariah. Puncanya ialah percanggahan pendapat tentang tuhan Ruhul Kudus. Sebenarnya gereja Otodoks sudah lama tidak senang dengan sistem gereja Barat.
Perpecahan gereja yang kedua berlaku didalam tahun 1500 apabila seorang paderi German yang bernama Martin Luther memprotes karenah gereja di Rom mengaitkan kutipan pembiayaan pembesaran gereja Rom dengan penebusan dosa. Akibat protes beliau maka tertubuhlah gereja Protestan yang menganggap gereja Roman Katolik sebagai sesat.
Tidak berapa lama kemudian gereja di England pula berpisah dengan gereja Rom lalu menubuhkan gereja Anglikan. Lanjutan daripada itu bercambahlah ratusan gereja-gereja Protestan seperti gereja Baptis, Metodis, Sidang Injil Borneo, Seventh Day Adventist, Preybestryian dan lain-lain. Gereja Katolik pula hanyalah satu.
Kebanyakan penganut Kristian yang berjumlah melebihi 2 bilion merupakan pengikut Protestan. Di Malaysia pula penganut Katolik kebanyakannya terdapat di Melaka, Lembah Kelang, Sabah dan Sarawak.
Umum diketahui suatu usaha untuk menyatukan gereja-gereja didunia telah bermula di tahun-tahun akhir sebelum alaf baru. Semangat alaf baru yang didorong oleh harapan kedatangan kembali Jesus Christ mengeratkan lagi kerjasama diantara gereja-gereja di dunia. Sehubungan dengan itu juga kerjasama menyebar ajaran Kristian dipertingkatkan dengan hebatnya diseluruh dunia agar mereka tidak mengecewakan Jesus Christ kalau beliau muncul dengan tiba-tiba.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Komentar Anda...