Ahad, 16 Ogos 2009

Menghargai Potensi Anak-anak Melalui Program KERAS '09

Alhamdulillah.

Program KERAS '09 atau lengkapnya Kem Rakan Surau 2009 yang dijalankan bertempat di SK. Pekan Keningau II baru sahaja selesai dilaksanakan dengan jayanya. Tahniah & syabas istimewa kepada semua AJKP KERAS '09! Ribuan terima kasih kepada PPD Daerah Keningau - En. Raisin Saidin serta rombongan kerana berbesar hati menghadiri program sekaligus merasmikan majlis penangguhan...

Antara objektif program yang julung-julung kalinya dilaksanakan secara kerjasama antara BPGI - Sook & BPGI - Zon Pegalan ini, adalah untuk memupuk budaya cintakan surau di kalangan murid; memberikan kefahaman asas terhadap kepentingan solat dan tuntutannya didalam kehidupan sebagai Muslim; mendedahkan murid tentang persoalan aurat & batas-batas yang perlu diketahui dalam pergaulan harian serta asas-asas fardhu 'ain yang lain.

Sesungguhnya, anak adalah amanah Allah yang besar ertinya kepada seorang yang bernama ibu dan ayah. Ia bukan sekadar sebagai amanah biasa yang hanya menghendaki pemeliharaan dan penjagaan sahaja semata-mata, namun harus dikembangkan potensinya kearah 'wawasan hidup' yang lebih bererti dan bermakna baginya. Potensi mereka sebagai generasi warisan mesti ditempa sesuai dengan zaman yang akan mereka hadapi.

Sesuai dengan matlamat program ini dijalankan, kita sangat berharap agar anak-anak yang 'lahir dari asuhan' sebegini akan memiliki hati yang cintakan kebaikan, sayangkan kemulian agama Islam, mampu menjaga thiqah di usia muda, mengenal disiplin agama & hikmah-hikmah; mampu menonjolkan peribadi yang menjadi contoh dan tauladan kepada rakan-rakan, boleh menjadi rakan pembimbing kepada yang lain, selain diharapkan dapat menjadi pembantu ustaz-ustazah sebagai pemudahcara dalam program-program seumpamanya di sekolah masing-masing.



Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya terdiri dari malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan mereka sentiasa melakukan apa yang diperintahkan itu". (Surah At-Tahriim : 6)

Tazkiyyah bersama :

Memiliki anak yang sehat, soleh / solehah merupakan dambaan setiap orang tua. Kehadiran anak dirasakan sebagai pelengkap sebuah keluarga. Akan tetapi sebagai seorang mukmin, kehadiran anak dalam sebuah keluarga tidak lepas dari kehendak Allah SWT. Dan yang pastinya keberadaan anak sebagai sebuah titipan mengandung makna amanah yang besar. Keberadaan anak tidak hanya semata hasil dari proses biologi semata tapi lebih dari itu, ada tugas yang sudah jelas dalam amanah anak ini.

Salah satunya adalah amanah 'pembinaan' yang sempurna. Pembinaan yang benar sehingga anak yang di titipkan-Nya kepada kita tumbuh menjadi generasi terbaik pembela ummat. Generasi yang memiliki akhlak mulia dengan peribadi yang kuat.

Sehingga sudah seharusnya para orang tua memiliki kesedaran dan kesanggupan dalam menterjemahkan amanah ini. Untuk mampu membina guna membentuk generasi yang kuat melalui pembinaan dalam keluarga.

Semoga gelaran orang tua; ibu - ayah tidak semata-mata 'disematkan / disisipkan' kerana sudah memiliki anak. Tapi harus lebih dari itu. Saat menjadi orang tua, kita harus memiliki kemampuan menjadi orang tua. Kemampuan yang dibangun melalui kesedaran, pengalaman dan pembelajaran yang terus menerus.

Dalam Al Qur’an surat An-Nisa:9 :

Maksudnya: “Dan hendaklah takut kepada ALLAH orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khawatirkan keadaannya. Oleh sebab itu hendaklah mereka bertakwa kepada ALLAH dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar”.

Generasi yang kuat akan muncul jika dibesarkan di atas asas dan paksi ketaqwaan kepada ALLAH serta berkata perkataan yang benar. Dengan dua 'guide line' ini insyaAllah akan terbentuk anak-anak dengan warna peribadi yang kuat dan mampu berperanan sebagai generasi soleh pewaris semangat para Nabi dan golongan orang-orang yang solehin.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Semoga kita semua yang sudah diberikan amanah dan tanggungjawab ini diberikan kekuatan oleh ALLAH untuk membina dan membentuk generasi yang kuat. Generasi yang mampu mengusung risalah kebenaran, mengukir prestasi dan amal soleh dalam pelbagai peranan dalam masyarakat. Amin. InsyaaAllah....


-----------------------
al-faqiir abu miftah

SLIDE PICASA PROGRAM KERAS '09




0 ulasan:

Catat Ulasan

Komentar Anda...