Selasa, 6 Oktober 2009

Sampaikah....

Sampaikah Doa Kita Yang Hidup Untuk Orang Yang Telah Mati?
[Sumber Asal : 'MEMBAHAS KEMUSYKILAN AGAMA'. 2002. Prof. Dr. Hamka. Pustaka Dini. M/s 104-111]

Pertanyaan :

1. Ada satu fahaman yang merata di kalangan orang-orang yang mempertahankan Sunnah Rasulullah saw yang menolak kefahaman membolehkan kelapangan bagi orang-orang yang telah mati, kerana katanya doa itu tidak akan sampai. Alasannya ialah 2 ayat di bawah ini:

Pertama, dalam Surah Al-Baqarah ayat 123 demikian bunyinya:

"Dan taqwalah (waspadalah) kamu akan hari yang tidak akan memberi ganjaran satu diri dari diri yang lain satu pun tidak akan diterima daripadanya suatu tebusan, dan tidak memberi manfaat, dan tidak pula mereka akan ditolong".

Kedua, surah Yaasin ayat 54, yang bunyinya:"Pada hari ini tidaklah akan dianiaya suatu diri sesuatu pun, dan tidaklah akan dibalasi kamu melainkan menurut apa yang kamu amalkan".

Berdasarkan kepada ayat kedua ini timbullah fahaman bahawa berdoa, atau, bersedekah orang hidup di atas nama orang yang telah mati, tidaklah akan sampai.

Menjadi percuma sahaja. Demikian juga membuat suatu perbuatan yang berpahala, lalu menghadiahkan pahala itu kepada orang yang telah mati. Tidaklah akan sampai hadiah itu.

2. Tetapi terdapat pula sebuah Hadis yang muttafaqun alaihi (shahih Bukhari dan Muslim), diriwayatkan dari Siti Aisyah: "Ada seorang laki-laki datang menghadap Nabi (saw) lalu ia berkata: Ya Rasulullah! Ibuku telah meninggal dunia dengan mendadak. Sedang ia tidak sempat berwasiat untuk bersedekah. Saya kira andaikata ia berwasiat, bersedekahlah yang akan diwasiatkannya. Dapatkah dia pahala bila saya bersedekah atas namanya? Rasulullah menjawab: Na'am! Ertinya dapat!

Pertanyaan saya ialah: Apakah Hadis Aisyah ini mentakhsiskan yang 'aam dari lafaz kedua ayat tersebut? (Al-Baqarah 123 dan Yaasin 54). Kalau tidak, apakah kedua fahaman yang terdapat dalam kedua ayat tersebut nampaknya berlawanan dengan yang tersebut. Di Hadis itu kita pegang keduanya, atau salah satu sahaja? Kalau salah satu sahaja yang dipegang, bererti salah satunya Mansukh dan yang satunya lagi Nasikh.

Di sinilah duduk pertanyaan saya: yang mana Nasikh dan yang mana Mansukh?

- Ahmad Roji

Jawapan:

1. Apabila kita perhatikan isi surah Al-Baqarah ayat 123 dan surah Yaasin ayat 54 itu, payahlah kita buat menyesuaikan untuk jadi alasan tidak sampai doa orang yang hidup untuk orang yang telah mati. Kerana kedua ayat ini jelas-jelas menerangkan keadaan setelah hari kiamat nanti. Kalimat - yauman - di ayat pertama dan - Al-Yauma - di ayat yang kedua terang-terang tertuju kepada Yaumalqiyamah (hari kiamat). Sedang kita berdoa untuk orang yang telah mati itu masih di dalam Alam Barzakh atau dalam Alam Kubur. Dan kita yang berdoa itu masih di dalam Alam Dunia. Dalam Surah Abasa ayat 34-37 lebih dijelaskan lagi:
"Pada hari itu lari manusia dari saudaranya. Dan daripada ibunya dan ayahnya. Dan daripada teman hidupnya (isterinya) dan anak-anaknya. Bagi tiap-tiap manusia di antara mereka pada hari itu ada saja urusan yang membuatnya sibuk [tidak mempedulikan orang lain]".

Jelaslah sekarang bahawa pada hari kiamat itulah yang tidak dapat lagi bela-membela, tolong-menolong, kita hanya melepaskan diri masing-masing. Ayat yang biasa dipakai orang untuk mentiadakan faedah doa untuk orang yang telah mati itu bukanlah kedua ayat tersebut di atas, melainkan ayat 39 dalam surah An-Najm:
"Dan bahawa tidaklah ada untuk manusia, (melainkan) hanyalah apa yang telah diusahakannya".

2. Tetapi bukanlah Hadis Aisyah tentang seorang anak yang telah kematian ibu, lalu bersedekah atas nama ibunya yang telah mati itu sahaja dalil yang menunjukkan bahawa doa dan hadiah atau sedekah yang dilakukan oleh orang yang masih hidup untuk orang yang telah mati sampai untuk mereka. Malahan banyak lagi dalil yang lain. Mari kita hitung beberapa di antaranya.

A.
Mayat wajib disembahyangkan:
- Dalam sembahyang itu dibaca: "Allahummaghfirlahu (laha) warhamhu..." dan seterusnya.

Apa guna si mati dimintakan ampun kalau permintaan itu tidak akan sampai?

B.
Setelah jenazah selesai dikuburkan:
- Rasulullah (s.a.w) meminta kepada yang turut menghantarkan supaya berhenti sebentar, mendoakan moga-moga orang yang telah dalam kubur itu ditetapkan hatinya: "Mohonkan kepada Tuhan agar hatinya ditetapkan, kerana dia sekarang mulai ditanya.." (Hadis Shahih)

Kalau doa itu tidak sampai apa gunanya kita disuruh mendoakan?


C.
Kalau kita ziarah ke makam, kita disuruh Nabi (s.a.w) mengucapkan salam kepada orang-orang yang beriman yang berkubur di makam itu.

Kalau salam itu tidak sampai, apa gunanya Rasulullah menyuruh kita berbuat demikian? (Hadis Shahih)


D.
Pada suatu hari Nabi (s.a.w) lalu di dekat perkuburan. Lalu beliau mendengar rintih dan tangis serta pekik orang yang berkubur di sana, maka Rasulullah mengambil dua pelepah daun kurma dan beliau letakkan di atas perkuburan yang kedengaran oleh beliau memekik-mekik itu, ketika ditanya orang apa sebabnya, Rasulullah (s.a.w ) menjawab: "Yang pertama suka membicarakan keburukan orang dan yang seorang lagi kalau habis kencing tidak
dibersihkannya..". Rasulullah (s.a.w) mengatakan bahawa selama dua pelepah kurma itu belum kering keduanya masih akan mendoakan orang-orang itu.

Kalau doa daun kurma boleh meringankan azab kubur, mengapa doa manusia tidak?


E.
Nabi (s.a.w) berkata bahawa orang yang mati menderita azab kerana diratapi oleh keluarganya yang ditinggalkan.

Kalau ratap orang hidup dapat membawa siksa bagi yang mati, bagaimana doa kebajikan dari orang yang masih hidup tidak akan dapat menolongnya?


F. Nabi (s.a.w) memanggil-manggil satu demi satu nama kafir-kafir Quraisy yang telah tewas terbunuh berperang dengan kaum Muslimin, lalu ada sahabat-sahabat yang bertanya: "Apakah mereka mendengar panggilan engkau itu, ya Rasulullah? Beliau menjawab: Bahkan mereka dengar dengan jelas, cuma mereka tidak dapat bercakap lagi...".

G. Nabi (s.a.w) pernah memotong korban di Mina, satu untuk atas nama dirinya sendiri, dan yang satu lagi dikorbankannya di atas nama ummatnya. Di antara ummat beliau waktu menyembelih korban itu ada yang telah mati dan ada yang belum lahir! Kalau itu tidak sampai, guna apa Nabi mengerjakannya?

H. Dalam surah Al-Hasyr ayat 10 ada dituliskan satu doa meminta ampun kepada Tuhan atas dosa-dosa kita dan dosa kawan-kawan kita yang telah mendahului kita dengan iman. Yang telah mendahului kita itu adalah orang yang telah mati. Apa guna didoakan orang yang telah dahulu dari kita itu, kalau doa itu tidak akan sampai?

I. Dalam surah Asy-Syura ayat 5 tersebut pula bahawa malaikat mengucapkan tasbih untuk Tuhan dan memohonkan ampun untuk segala yang di bumi.

J. Dalam surah Ibraahim ayat 41, Nabi Ibrahim meminta ampun untuk kedua orang tuanya dan orang-orang beriman pada hari Kiamat nanti.

Cukup 10 ini sahaja kita kemukakan alasan bahawa doa orang yang hidup sampai untuk orang yang telah meninggal dunia. Disamping itu ada hadis Shahih tentang menghajikan ayah yang telah tua. Ibu yang telah mati, atau saudara yang telah mati (kisah Syibirmah yang dihajikan oleh saudaranya). Ada lagi hadis Shahih tentang hutang puasa yang boleh dibayar oleh anak yang ditinggalkan. Semuanya hadis Shahih.


3.
Segala ayat-ayat dan hadis-hadis yang Shahih itu tidaklah berlawanan dengan ayat 39 surah An-Najm, bahawa manusia tidak akan mendapat hanyalah sekadar usahanya, sebab yang terkena oleh segala doa itu adalah orang yang beriman juga. Perhatikanlah ketika kita berziarah ke kubur. Kita hanya disuruh mengucapkan salam kepada penduduk yang beriman dalam kubur itu - "Assalaamu'alaikum ahlad diyaari minal mu'minin..".


Yang tidak beriman tidak juga akan kena, walaupun kita doakan. Dan yang tahu mana yang tidak beriman hanyalah ALLAH saja. Yang terang-terang kafir memang
tidak kita doakan, sebagaimana Ibrahim dilarang Tuhan mendoakan ayahnya, dan Nabi kita Muhammad (s.a.w) diizinkan Tuhan menziarahi makam ibunya, tetapi meminta izin untuk memohonkan ampun baginya, tidak diberi izin.

4. Kesimpulan: Tidaklah ada Nasikh dan Mansukh di antara ayat 123 surah Al-Baqarah dan ayat 54 surah Yaasin dengan Hadis Aisyah tersebut tadi. Kerana kedua ayat itu mengenai keadaan pada hari kiamat kelak, bukan mendoakan atau bersedekah atas nama orang yang telah mati, ketika kita masih hidup di dunia ini.

Sebab itu teranglah sampai (doa orang yang hidup), jika kita berdoa untuk keselamatan orang yang telah mati, agar dilapangkan kuburnya, diringankan azabnya, dijauhkan di antaranya dengan kesalahan sejauh masyriq dengan maghrib dan sebagainya. Imam Ahmad Bin Hambal menyatakan bahawa sampailah kepada orang yang telah mati itu segala kebajikan yang kita perbuat untuk dia, sebagai sedekah atau sembahyang atau lainnya..


5.
Perselisihan sedikit hanyalah sekadar tentang menghadiahkan pahala. Dibiasakan orang membaca al-Faatihah itu untuk Nabi (atau arwah saudara-saudara yang meninggal). Sampaikah hadiah itu atau tidak? Soalnya bukanlah sampai atau tidak, yang menjadi soal sekarang ini ialah "adakah Nabi berbuat ibadat seperti itu atau tidak!".

Kalau tidak nercaya kita telah menambah-nambah.
Akan ada sahaja orang menjawab: "Saya ini masih banyak kekurangan pahala, masih ada dosa. Kalau aku mendapat pahala, mengapa pula aku hadiahkan kepada orang lain? Terutama kepada Nabi Muhammad yang telah dijamin ALLAH diampuni dosanya yang terdahulu dan yang terkemudian..."

Yang terang dan shahih disuruh ALLAH dalam Al-Quran dan Nabi (s.a.w) dalam Hadis hanya mengucapkan Selawat dan salam atas beliau. Yang menyuruh mengirim hadiah pahala baca Fatihah kita belum bertemu...


Wallahu a'lam bish showaabi...

-----------------------------
alfaaqir abu miftah

0 ulasan:

Catat Ulasan

Komentar Anda...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.