Khamis, 22 Oktober 2009

'Rasul Melayu' Dipenjara 10 Tahun...

[Sumber : Utusan Online - klik!]

‘Rasul Melayu’ dipenjara 10 tahun


Abdul Kahar Ahmad


SHAH ALAM 21 Okt. – Lelaki yang mendakwa dirinya ‘Rasul Melayu’, Abdul Kahar Ahmad dihukum penjara 10 tahun dan sebatan enam kali serta denda RM16,500 selepas mengaku bersalah atas lima tuduhan berhubung penyebaran ajaran sesat yang diasaskannya, empat tahun lalu.

Hakim Abu Zaky Mohammad memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh Abdul Kahar, 59, ditangkap pada 16 September lalu. Dia turut diperintah dihantar ke Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, Hulu Yam dekat sini untuk tempoh enam bulan terakhir daripada hukuman tersebut.

Hakim tersebut memerintahkan hukuman:

Penjara tiga tahun dan sebatan enam kali bagi tuduhan menyebarkan doktrin palsu mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor (EJSNS) 1995.

*Penjara dua tahun dan denda RM4,500 atau penjara setahun bagi tuduhan mempersendakan ajaran Islam mengikut Seksyen 10 EJSNS.

*Penjara setahun dan denda RM3,000 atau penjara setahun bagi kesalahan menghina pihak berkuasa agama dengan mengingkari dan melanggar arahan mufti mengikut Seksyen 12 EJSNS.

*Penjara dua tahun dan denda RM4,500 atau penjara setahun atas kesalahan mengaku sebagai rasul.

*Penjara dua tahun dan denda RM4,500 atau penjara setahun bagi kesalahan mengisytiharkan diri sebagai Rasul orang Melayu sedangkan pengisytiharan itu adalah palsu serta bertentangan dengan ajaran Islam mengikut Seksyen 8(a) EJSNS.

Dalam penghakiman setebal 55 muka surat yang dibaca hampir dua jam itu, Abu Zaky menyifatkan kesalahan yang dilakukan oleh Abdul Kahar amat serius serta mengancam keselamatan agama, bangsa dan negara.

‘‘Persoalan membabitkan akidah adalah persoalan pokok yang membezakan antara iman dan kufur serta syurga dan neraka. Dalam kes ini, ia bukan sahaja melibatkan tertuduh, malah turut menjerumuskan masyarakat dalam ajaran yang bertentangan dengan Islam,’’ katanya.

Beliau berkata, pengakuan taubat Abdul Kahar juga menimbulkan keraguan kerana hanya dibuat selepas dia ditahan selain peguam tidak membuktikan bahawa ia benar-benar ditulis oleh tertuduh tanpa sebarang paksaan.

Jelas beliau, taubat nasuha bukan sekadar kata-kata, tetapi ia juga perlu diikuti dengan niat dan perbuatan seperti solat taubat, beristighfar serta tidak mengulangi kesalahan berkenaan.

Semasa menyebut nama Rasulullah SAW, beliau sempat bertanya Abdul Kahar sama ada tertuduh percaya kepada nabi dan menyuruh tertuduh berselawat. Sambil berdiri Abdul Kahar mengaku dia percaya dan melafazkan selawat.

Abu Zaky turut menolak alasan Abdul Kahar bahawa dia seorang yang jahil serta tidak bersekolah tinggi kerana katanya negara kita mempunyai masjid dan imam yang mencukupi untuk membolehkan seseorang belajar ilmu agama.

Beliau turut memberi penjelasan panjang lebar tentang hukuman sebat syariah bagi membetulkan salah faham di kalangan masyarakat selain untuk menerangkan perbezaannya dengan sebatan sivil.

Hukuman terhadap Abdul Kahar disambut dengan tangisan oleh anak-anaknya yang turut berada di galeri awam. Dia dilihat memeluk mereka sebelum dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman.

Abdul Kahar pertama kali didakwa atas lima pertuduhan pada 2005. Semua kesalahan itu dilakukan antara 2 dan 19 Jun 2005 di No.44, Jalan Bunga Ros, Kampung Kemensah, Ulu Klang dekat sini.

Bagaimanapun tertuduh gagal hadir ke mahkamah sejak 2006 sehingga waran tangkap dikeluarkan selain ganjaran ditawarkan kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya.

Selepas lebih tiga tahun menghilangkan diri, Abdul Kahar berjaya ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika sedang menonton televisyen di rumah sewanya di Sungai Long, Hulu Langat, Kajang, pukul 9.45 pagi pada 16 September lalu.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Abdul Shukor Abd. Hamid dan dua pegawai pendakwa syarie, Muhammad Nazri Basrawi dan Zusyarafain Md. Yusof.

Tertuduh diwakili peguam syarie, Norazmi Mohd. Arif dan Ridzuan Husin yang menyebut bagi pihak peguam syarie Zulkifli Che Yong dan Azmi Rais.

Reaksi:

0 ulasan:

Catat Ulasan

Komentar Anda...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.