Selasa, 13 Oktober 2009

Antara Sesat & Menyeleweng....

[ Safari Iman Abi Husna - klik sini! ]

Assalaamu'alikum wtb...
Alfaqiir terpanggil untuk menulis tentang gejala penyesatan dan pelecehan aqidah yang sedang berlaku di sekitar kita kini. Biar pun perkara ini sudah lama diperkatakan, apatah lagi sememangnya ada pihak berwajib yang lebih autoriti untuk menanganinya; namun, kerana 'kudis' ini semakin menanah pada 'tubuh' ummat ISLAM sendiri, maka tidak ada salahnya untuk kita semua berkongsi sesuatu sebagai 'pesan' dalam kehidupan.

Alhamdulillah.

Baru-baru ini, Abdul Kahar Ahmad yang menggelar dirinya 'Rasul Melayu' diberitakan dan disahkan telah ditangkap kerana telah berulangkali tidak hadir atau tidak patuh perintah mengikuti prosiding di Mahkamah Syariah. Rupanya dia telah 'bekerja' sejak lebih dari 20 tahun untuk 'menjaja' ke-rasul-an palsunya itu. Masyaallah.

Abdul Kahar Ahmad - 'Rasul Melayu'

Kononnya beliau menerima 'wahyu' dari ALLAH mengatakan beliau sebagai rasul berpandukan surah Yaasin. Malah surah Yaasin tersebut adalah diturunkan khusus untuk beliau. Apabila dibidas kembali bagaimana dakwaan itu berlaku, beliau mengatakan surah Yaasin memang turun kepada Nabi Ibraahim, Nabi Musa dan Nabi Isa sebelum Nabi Muhammad, namun sebenarnya adalah ditujukan untuknya. Dan memang beliau sudah meraih hajatnya dengan simpati 'buta' segelintir penduduk setempat yang berbangsa Melayu. Tetapi, biarkanlah dia dengan ceritanya sekarang [Cerita terbaru Abdul Kahar - klik sini!]....

Sebelumnya pun kita pernah digemparkan dengan karenah Ahmad Musadeq [Aliran Al-Qiyadah] di Indonesia - samada anda tahu atau tidak - beliau juga menggelar diri sebagai seorang Rasul bahkan mengklaim dirinya sebagai Al-Masih Al-Mau'ud. Malah beliau sudah berjaya mengkaderisasi begitu ramai pengikut yang setia dari pelbagai kalangan dan bergerak dengan organisasi yang teratur.

Ahmad Musadeq - Rasul [ Aliran Al-Qiyadah]

Tetapi, alhamdulillah dikatakan Ahmad Musdeq sudah berjaya dikendurkan kenyataannya serta menghentikan gerakan perdananya oleh MUI (Majlis Ulama Indonesia). Cuma, persoalan sederhana perlu dilontarkan - insafkah beliau? Bagaimana dengan para pengikutnya, adakah mereka telah berjaya dituntun semula kepada agama yang murni? Kita tinggalkan Ahmad Al-Masih Al-Mau'ud dengan ceritanya....

Masih banyak ajaran sesat seperti itu saudaraku. Yang pahit dan pedasnya tindakan mereka ialah kerana mereka mengatasnamakan ajaran-ajaran kepada agama ISLAM ini! Kononnya ajaran mereka tidak lain hanya Islam! Malah taiko-taiko ajaran ini hampir semuanya mendakwa samada mereka adalah rasul, Al-Masih yang dijanjikan, waliyullah, malaikat Jibril dan sebagainya. Malah ada juga ajaran seumpama MLM yang mensasarkan ajarannya kepada golongan tertentu dengan meraih keahlian!

Gambar sebahagian pimpinan SIS (Sister In Islam). Macam mana?

Malah kalau alfaqiir menyuruti ajaran-ajaran yang 'berbau' sesat di sekitar kita pun, ia justeru masih banyak kelihatan bersama dengan gejala dan simptom bawaan masing-masing. Cuba lihat sahaja pada SIS, JAG, WAO [ klik sini ] serta banyak lagi. Apa sebenarnya perjuangan mereka sehingga sering mengaibkan dan memualkan majoriti ummat Islam di Malaysia? Mungkin ada yang tidak benar pada 'jiwa beragama' mereka!

Zainah Anwar SIS - Inikah orangnya yang ingin membuat tafsiran sendiri berkenaan sesetengah hukum dalam Islam? Orang yang nak buat The renewal of Islamic Thought?

Pertanyaan alfaqiir : Kalau ada ajaran meratib atau berzikir sekian banyak dan dilakukan adakalanya diatas pokok dengan lenggok-lenggok tertentu, kemudian 'tok gurunya' mengatakan - semalam saya di langit sekian-sekian; berjumpa pula dengan nabi sekian, saya nampak itu dan ini - selain mengajarkan agar pengikutnya tidak memakan sembelihan orang lain (yang tentunya juga Islam) kerana anggapan orang lain belum mencapai taraf Islam seperti mereka; Mungkinkah juga ini simptom ajaran sesat?!

-------------------------------------------------------------------------------------------------
Mari Kita Memahaminya.....

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Saudara-saudaraku sekalian;

Untuk perhatian besar dalam isu seumpama ini, maka marilah kita terus menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah Nabi ALLAH Muhammad saw sebagai pedoman serta pegangan kita dalam menjalani liku-liku kehidupan.

Al-Quran dan As-Sunnah Rasul saw sesungguhnya dua pusaka yang diwariskan oleh Baginda Nabi Muhammad saw kepada kita semua untuk menjadi landasan menuju jalan yang lurus, jalan yang diredhai dan jalan yang akan menyelamatkan kita daripada rimba kesesatan yang menggelincirkan.

Pada hal, perkara ini amat jelas kepada kita:
"Sesungguhnya Kami (ALLAH SWT) telah menurunkan Kitab ini kepadamu (wahai Muhammad), untuk manusia (dengan membawa) kebenaran. Maka, sesiapa yang mendapatkan hidayah (petunjuk dengan Al-Quran ini), maka (faedahnya) untuk dirinya sendiri. Dan, sesiapa yang sesat (kerana enggan), maka kesan kesesatan itu adalah menimpa kepadanya sendiri. Engkau tidak akan menjadi wakil (pelindung) terhadap mereka ini...." [Surah Az-Zumaar : 41]

Terjebaknya manusia dalam perangkap ajaran menyeleweng, bererti tergelincirnya mereka daripada landasan Al-Quran dan Sunnah Nabi saw. Terjeratnya manusia dalam jerangkap ajaran yang sesat dan bathil membawa makna, mereka telah meninggalkan jauh pedoman yang dibawa oleh Al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah.

Saudara-saudaraku;

Majlis Fatwa Kebangsaan sejak lama telah mewartakan pelbagai aliran ajaran sesat seperti Ajaran Ayah Pin, Ajaran Zamree Bin Abdul Wahab, Ajaran Qadiani, Ajaran Hassan Anak Rimau, Agama Taslim (Hj. Ahmad Laksamana - Kota Baharu, Kelantan), pelbagai aliran wahdatul-wujud seperti tarikat Nur Muhammad, Martabat Tujuh dan banyak lagi termasuklah Ajaran Abdul Kahar Bin Ahmad - Rasul Melayu serta Al-Arqaam [menukar kepada nama Rufaqaa kemudian kini Ikhwan Group - klik sini!]. Tidak termasuk dalam senarai di atas ialah seperti pengendali web blog seperti - 'Mana Tuhan Allah' - http://manatuhanallah.wordpress.com [catatan: setakat ini penulis sendiri tidak dapat mengakses blog ini @ mungkin empunya blog takut dijejaki ].

Ayah Pin - Pengasas 'Kerajaan Langit' bersama isteri-isterinya...

Ajaran sesat merujuk kepada ajaran atau amalan yang terkeluar daripada ajaran Agama Islam yang benar dan murni. Pengamal ajaran sesat ini percaya dan beramal dengan sesuatu yang tidak terdapat dalam Al-Quran mahupun Sunnah teladan Baginda saw.

Kadang-kadang ketua kumpulan dan juga pengikutnya melaksanakan ajaran mereka dengan bertopengkan agama, lalu menggunakan istilah-istilah agama yang enak-enak untuk mempengaruhi orang ramai.

Kassim Ahmad - menghimbau sejarah diri...

Ketua ajaran yang menyeleweng ini sering memukau pengikutnya dengan kefasihan berbicara, dan tidak kurang pula yang sanggup menggunakan sihir untuk memikat pengikutnya dengan menunjukkan sesuatu yang kelihatan luar biasa. Akhirnya, mereka yang tipis ilmu agamanya terpengaruh dengan dakyah-dakyah yang dimainkan oleh ketua ajaran sesat tersebut sehingga lahirlah pengikut yang taksub, ekstrime dan tidak dapat lagi membezakan antara kebenaran dan kepalsuan.

Saudara-saudaraku;

Antara ciri-ciri ajaran sesat ialah:

[1] Ketua kumpulan ajaran sesat biasanya mendakwa bahawa dia adalah wali Allah / Rasul Allah yang memegang kunci syurga dan boleh menjamin pengikut-pengikutnya untuk memasuki syurga. Kumpulan ajaran sesat juga mendakwa bahawa hanya ketua dan kumpulannya sahaja yang berhak mendapat 'inayah (pertolongan) secara langsung daripada Allah, sedangkan yang lain tidak layak mendapat kelebihan ini!

[Catatan : Beginilah juga dakwaan yang pernah pengikut Abdul Kahar katakan kepada pemberita dengan sinis. Kalau orang Islam ditanya - bolehkah masuk syurga? Maka yang sering disebut - insyaallah sahaja. Padahal mereka kononnya - Pasti! masuk syurga. Jadi tidak perlu lagi pakai insyaallah... Hahaha Syurga itu percuma / gratis saja kan bagi mereka....]

[2] Kumpulan ajaran yang bernuansa sesat biasanya mendakwa bahawa segala yang diajarkan oleh para ulama atau para ustaz ustazah hanyalah sebagai ajaran kulit sahaja. Sedangkan kumpulan merekalah yang memiliki isi kepada ajaran Islam yang sebenar. Maka, sembahyang orang biasa bagi mereka - termasuk para ulama dan ustaz - adalah sembahyang kulit sahaja; sedangkan sembahyang merekalah sembahyang bathin.

Lalu timbullah istilah-istilah yang sangat menyesatkan seperti sembahyang yang cukup dengan hanya menatap tikar sembahyang yang tergantung. Ada pula istilah nikah bathin, puasa tolu / puasa tiga dalam bulan ramadhan dan sebagainya.

Malah mereka juga mendakwa; kewajipan syariah Allah seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji 'terhapus' apabila memasuki kumpulan mereka.

[Catatan : Abdul Kahar - Rasul Melayu mendakwa dengan meminum arak akan lebih mencerahkan hati dan ianya boleh digunakan untuk berwudhu! Maka tidak hairan kalau bertimbun botol arak dijumpai di rumah tempat Abdul Kahar pernah menyebarkan ajarannya di lokasi Kg. Kemensah]

Masyaallah...

[3] Pengikut-pengikut kumpulan ajaran sesat sanggup berjuang demi ketua mereka, sehingga sanggup pula menyerahkan jasad dan kehormatan, harta benda, gaji dan sebagainya. Kononya! Demi mendapatkan karomah daripada sang guru.

Batas sempadan pergaulan sesama ahli tidak lagi menjadi persoalan, hatta segalanya dihalalkan atas nama guru yang sesat lagi menyesatkan. Maka berlakunya zina dikalangan mereka, walhal tengah berwirid dan berzikir!!! Na'uzubillah...

[4] Mereka berani mentafsirkan / mentakwil Al-Quran dan As-Sunnah dengan parameter nafsu dan akal semata-mata, lalu menolak penafsiran para 'ulama yang muktabar .

[ Catatan: Ahmad Musadeq mendakwa dia adalah rasul. Apabila ditanya kalau seorang nabi yang sebenar pasti diberikan Allah semacam mukjizat atau kitab, dan dia sendiri bagaimana? Lalu beliau mengatakan dia juga mukjizatnya adalah Al-Quran seperti Nabi Muhammad, dengan alasan yang tidak jelas kerana Nabi Muhammad adalah - uswatun hasanatun. Malah beliau menambah, dia telah diberikan talent oleh Allah untuk mentakwil ayat-ayat Al-Quran, khususnya ayat-ayat mutasyabbihat. Dia juga menambah bahawa segala macam bentuk tafsiran para 'ulama kini adalah tidak berfungsi / fungsional... ]

Subahanallah....

Ada yang mentafsir ayat-ayat Al-Quran dengan lambang-lambang tertentu. Yang jelas! Kesemua bentuk pentafsiran yang golongan ini buat adalah semata-mata untuk kepentingan kumpulan dan ianya menyimpang jauh- sejauh-jauhnya - daripada kehendak syara' dan ianya juga sungguh bercanggah.

Saudara-saudaraku;

Seharusnya, marilah kita membentuk sikap berhati-hati dan teliti dalam menerima sesuatu maklumat, khususnya menyentuh aqidah dan kesucian agama (Al-Muru'ah), apatah lagi dalam hal-hal yang baru bagi kita. Pertingkatkanlah ilmu dan penghayatan dalam beragama, agar dengan ilmu dan iman - kita tidak lagi mudah terjerat dan terjebak oleh sebarang dakyah dan pengaruh ajaran yang menyeleweng...

Akibat daripada terjebak ke dalam jurang ajaran sesat amatlah merugikan; merosakkan aqidah, membawa kepada kekufuran dan menempah kesyirikan. Ia juga melahirkan orang yang melampau - ekstrime -, taksub, berlebih-lebihan dalam agama (al-guluw), malah turut mempermudah-mudahkan yang akhirnya membawa kepada sikap memperlekehkan kesucian agama. Bahkan, tidak sedikit juga ajaran sesat menjejaskan keharmonian institusi kekeluargaan, kemasyarakatan, malah turut menambah kesan kemusnahan peradaban ummat secara keseluruhannya.


"Sesiapa yang kufur (engkar), maka dia sendirilah yang menanggung (akibat) kekufurannya itu; dan sesiapa juga yang beramal soleh, maka, untuk diri mereka sendirilah mereka menyiapkan (tempat yang menyenangkan di syurga)..." [Surah Ar-Ruum : 44]

-----------------
alfaqiir abumiftah
24 Syawwal 1430H

0 ulasan:

Catat Ulasan

Komentar Anda...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.