Selasa, 8 September 2009

Sekelumit Ibrah Kehidupan ...

Alfaqiir Abu Miftah menyampaikan tahiyyah - salam - yang terbaik dari ALLAH SWT untuk saudara-saudaraku Muslimin sekalian:


Subhaanallahil 'Aziim...

Sungguh saudara!

Maha Suci ALLAH SWT dari segala macam pandangan yang nista dan tercela. Maha Suci ALLAH SWT dalam segala penciptaannya.

Sungguh saudara!

Sungguh pun DIA menjadikan kita - manusia - sebagai makhluknya yang terbaik; jasadi dan maknawi - jasmani dan rohani, makhluk yang boleh mencipta peradaban atau tamaddun dek adanya akal, makhluk yang bersistem dan komprehensif dan pelbagai lagi sifat kesempurnaan yang tiada pada kejadian ALLAH SWT yang lain. Sesuailah sebagai makhluk - fii ahsani taqwiim - disisi ALLAH SWT.

Namun, itu semua tidak harus menjadikan kita sombong dan bongkak, kerana semua itu hanyalah bersifat sementara dan cuma sekadar titipan semata. Jangan sampai kita hanyut dengan khayalan dan keinginan yang membuak semata.

Yang merasa gagah perkasa pada tanggapan empunya diri, tanggapannya itu tidak identik dengan kegagahan yang wajar disisi-NYA. Boleh jadi yang merasa hebat dengan gagah perkasa sebenarnya hanya pada fizikalnya sahaja, sedangkan otaknya tumpul tidak berisi. Nafsu dan amarah sahaja. Orang tunduk dan menurut cuma gerun dengan gertak semata. Sedangkan ramai yang mencebik bibir cuek dengan sikapnya yang hanya tahu memeras dan 'mengatur' keinginan peribadi sahaja. Si gagah tumpul ini kalau menjadi 'Raja' atau 'Ketua' , hanya menang pada rakyat yang lemah dan akur; tapi apabila berdepan dengan musuh atau seteru yang lebih hebat, ia akan layu dan bengkok bagaikan taugeh!

Lihatlah kepada Namrud yang takabbur itu!

Namrud adalah seorang raja Mesir pada zamannya. Dia merasa hebat. Apatah lagi apabila ia mewarisi tahta sehingga dapat memerintah rakyat jelatanya membina sebuah menara pencakar langit agar dia sendiri dapat naik menerusinya bertemu Tuhan. Apabila menara telah terbina tinggi melangit, Namrud dengan sombongnya mengambil panah dan naik ke atas menara lalu memanah ke langit seolah-olah menyerang Tuhan. Itulah Namrud!

Kemudian apa yang terjadi kepada Namrud seperti riwayat yang sampai kepada kita?

Namrud mendapat balasan Tuhan, dimana DIA cuma menghantar seekor nyamuk (atau sejenis lalat) kepadanya. Nyamuk tersebut masuk ke dalam telinganya. Dek kerana kesakitan, Namrud sanggup mengambil capalnya (alas kaki - sepatu) lalu memukul kepalanya sendiri dengan harapan dapat membunuh nyamuk. Akibatnya, Namrud akhirnya mati hanya kerana seekor nyamuk. Itulah Namrud... Maasya Allah bimaa ayyakuunu 'alaina!

Hah! Cuma seekor nyamuk?

Ya. Dan Namrud mati dengan hina. Di mana tahta? Di mana harta? Di mana wanita-wanita yang sering menemaninya di gedung istana yang indah? Ke mana tentera-tenteranya? Mana rakyat jelatanya yang setia?

Justeru itu, peluang berada dalam madrasah Ramadhan sewajarnya dimaksimakan dengan pengisian-pengisian yang menggagahkan jiwa dan mensucikan fitrah sesuai dengan keinginan ALLAH SWT. Marilah kita tadbir jiwa dan diri kita dengan sebaiknya. Gilaplah sinar kristal iman yang ada pada kita agar gemerlapan dan memantulkan sinar penerang jalan buat kehidupan kita. Berbahagialah mereka yang berjaya mencambah tanaman rohani di bulan ini; membajainya dengan siraman air quraani, lalu tumbuh subur jiwa takwa - membentuk peribadinya. Akhirnya, ia akan menuai hasil panennya dengan keuntungan yang berlipat ganda di sisi ALLAH Qoodi Rabbul Jalil...

Insya Allah, mari teruskan hayat kita dengan tetap pada orbit hayat seorang Muslim Mukmin.. dengan berpaksikan Al-Quraan dan As-sunnah Rasul-Nya.

Iman + Islam + Ihsan = Al-Muslim Al-Muttaqiin

-----------------------
alfaqiir abu miftah

0 ulasan:

Catat Ulasan

Komentar Anda...