Khamis, 3 September 2009

KISAH KELAHIRAN AL-MASIH DI DALAM SURAH MARYAM

KISAH KELAHIRAN AL-MASIH DI DALAM SURAH MARYAM
--------------------------------------------------------------------------------
KEHAMILAN MARYAM

ALLAH SWT telah mengutuskan Malaikat Jibril untuk memberi khabar gembira kepada Maryam bahawa beliau akan melahirkan seorang anak lelaki. Kisah tersebut telah dipaparkan di dalam Surah Maryam melalui uslub dialog di antara Maryam dan Jibril.

Firman ALLAH SWT:"Jibril berkata: 'Sesungguhnya aku ini hanyalah utusan Tuhanmu untuk memberitahu kepadamu tentang seorang anak lelaki yang suci'." (Surah Maryam: 19)

Maryam yang merupakan seorang wanita yang solehah merasa hairan dan kebingungan, mengapa dengan tiba-tiba dia dikhabarkan oleh Jibril akan kelahiran seorang anak lelaki? Bagaimana perkara ini harus berlaku? Sedangkan dia tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, apatah lagi untuk melakukan perbuatan-perbuatan keji yang lain?

Lalu Maryam bertanya bagi memecahkan kebuntuan yang berada dalam fikirannya:
"Maryam berkata: 'Bagaimana aku dapat melahirkan seorang anak lelaki sedangkan tidak pernah seorang manusia pun menyentuh aku dan aku bukannya seorang penzina'." (Surah Maryam: 20)

Lalu Jibril menjawab bagi merungkaikan ikatan keserabutan yang menyala-nyala di dalam kepala Maryam dan sekaligus menjadikan Maryam sebagai manusia pilihan yang mendapat
rahmat:"Jibril berkata: 'Demikianlah Tuhanmu berfirman: Perkara tersebut amatlah mudah bagi-KU dan agar dapat Kami jadikan suatu tanda bagi manusia dan sebagai rahmat daripada Kami dan hal itu adalah suatu perkara yang telah diputuskan'." (Surah Maryam: 21)


KELAHIRAN 'ISA A.S

Kejadian Nabi 'Isa a.s adalah berbeza dengan kejadian segala manusia yang ada di atas dunia. Dia dilahirkan tanpa bapa dan oleh kerana proses kejadiannya lain daripada manusia yang lain, sudah tentu proses kematiannya juga adalah lain daripada manusia yang lain.

Firman ALLAH SWT:
"Maka (Maryam) merasa sakit untuk melahirkan anak memaksa ia bersandar pada pangkal pohon kurma, dia berkata: 'Aduhai! Alangkah baiknya aku mati sebelum ini dan aku menjadi barang yang tidak bererti lagi dilupakan'." (Surah Maryam: 23)

Maryam merasa sakit yang amat sangat ketika hendak melahirkan 'Isa a.s sehingga dia merasakan lebih baik mati sahaja daripada menanggung derita melahirkan kandungan tersebut, tetapi keresahan itu telah ditenteramkan oleh Jibril a.s yang menyeru dari jauh.

Firman ALLAH SWT:

"Maka Jibril menyeru ke arahnya dari tempat yang rendah: 'Jangan kamu bermuram durja, sesungguhnya Tuhanmu menjadikan anak sungai di bawahmu dan goyangkanlah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon tersebut akan menggugurkan buah yang mekar kepadamu'." (Surah Maryam: 24-25)

Suatu hakikat yang telah disempurnakan! Kalau diikutkan kepada logik akal, tidak mungkin sekali buah kurma yang mekar seperti ayat di atas sebagai "ruthab" boleh gugur dengan hanya digoncang, sedangkan kalau dibiar buahnya masak ranum pun ia tidak akan gugur. Ini adalah suatu hikmat yang dikurniakan oleh ALLAH SWT kepada Maryam dan mengikut pakar perubatan, buah kurma yang mekar boleh memudahkan si ibu melahirkan anak dengan baik.

Dan di dalam sepotong ayat yang lain pula, ALLAH SWT telah berfirman:"Maka makan dan minumlah serta bersenang hatilah kamu, jika kamu melihat seorang manusia maka katakanlah: 'Sesungguhnya aku telah bernazar berpuasa untuk Tuhan Yang Maha Pemurah, maka aku tidak akan berbicara dengan seseorang manusia pun pada hari ini'." (Surah Maryam: 26)

Untuk mengelakkan diri daripada difitnah oleh kaumnya, ALLAH SWT telah memerintahkan kepada Maryam supaya bernazar dengan melakukan ibadat puasa dan tidak bercakap-cakap dengan sesiapa pun jua pada hari tersebut.


'ISA A.S MEMPERTAHANKAN KEHORMATAN IBUNYA

Apabila Nabi ALLAH 'Isa a.s dilahirkan oleh ibunya Maryam, kelahirannya itu telah mencetuskan reaksi yang kontroversi di kalangan kaumnya. Pelbagai andaian dan spekulasi yang dilemparkan kepada Maryam sehingga ada di kalangan kaumnya yang tergamak menuduh beliau melakukan perbuatan zina sehingga melahirkan anak, tetapi dengan tegas Maryam menafikannya.
"Maka Maryam menunjukkan kepada si anaknya itu, kaumnya berkata: 'Bagaimana kami boleh berbicara dengan anak yang masih di dalam buaian?". (Surah Maryam: 29)

Dengan izin ALLAH SWT, 'Isa a.s dapat berkata-kata dan bercakap-cakap dengan kaumnya, sekaligus menolak fitnah yang dilontarkan kepada ibunya; dan disamping itu, secara tidak langsung 'Isa a.s walaupun masih di dalam buaian sempat berdakwah kepada kaumnya dengan menyeru mereka kepada ALLAH, Tuhan yang Maha Satu / Esa.

Perhatikan di dalam firman ALLAH SWT:"Berkata 'Isa: 'Sesungguhnya aku ini hamba ALLAH, Dia memberiku Al-Kitab (Injil) dan Dia menjadikan aku seorang nabi." (Surah Maryam: 30)

Dan tegas 'Isa lagi pada waktu itu:
"Dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana sahaja aku berada. Dia (ALLAH) memerintahkan kepadaku mendirikan solat dan menunaikan zakat selama aku hidup". (Surah Maryam: 31)

Jelas dan terang ungkapan mulut Nabi ALLAH 'Isa a.s walaupun ketika itu masih bayi dan sekaligus menolak dakwaan kaumnya yang menuduh ibunya yang suci itu melakukan perbuatan yang terkutuk di sisi ALLAH SWT.

KESIMPULAN

Sesungguhnya, Nabi 'Isa a.s serta ibunya Maryam adalah antara makhluk ALLAH SWT yang terpilih. Mereka tidak sekali-kali akan mengakui diri mereka sebagai Tuhan disebabkan nikmat yang diberikan kepada mereka, terutamanya Nabi 'Isa a.s. Dakwaan bahawa Nabi 'Isa itu adalah jelmaan ALLAH SWT hanyalah cerita karut dan pembohongan semata-mata.

Malahan, kalau kita cuba merujuk kata-kata 'Isa a.s sendiri di dalam Al-Kitab (Injil / Bible), dinukilkan baginda menyatakan didalam Yohannes, fasal 17, ayat 3, bahawa:

"Inilah hidup yang kekal, iaitu supaya mereka mengenal Engkau, ALLAH Yang Esa, dan Yesus Kristus yang telah Engkau suruhkan itu."

_________________________________________________________________

* Wahai saudara-saudara Muslimku sekalian....

Semoga pengisian ini semakin memantapkan akidah dan wawasan agama kita. Pelajarilah dan hayatilah inti sejarah tauhid yang dibawa oleh semua Rasul ALLAH dan para anbiya-NYA. Secara tuntas dan pastinya, bahawa sejak dari Nabi Adam a.s - abul basyar - sehinggalah Rasul Allah dan Nabi yang terakhir iaitu Nabi Muhammad saw; inti kehidupan asas manusia adalah dengan paksi yang satu iaitu kalimah toyyibah - LAA ILAA HA ILLAL LOOH- dan bahkan termasuklah Nabi 'Isa a.s @ Esau @ Yesus yang ummat Islam kenali itu!

Subhaanallah - Tabaarakallah!
_________________________________________________________________

alfaaqir abu miftah

0 ulasan:

Catat Ulasan

Komentar Anda...