Ahad, 22 Julai 2012

LAMBAIAN MINDA : MISTERI RAMADHAN

Assalaamu'alaikum WTB...

"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kepada kamu berpuasa (di bulan Ramadhan) sebagaimana telah diwajibkan kepada orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu sentiasa bertaqwa" (Surah Al-Baqarah : 183"

"Semua amal kebaikan anak Adam memiliki balasan 10 kali ganda daripada kebaikan tersebut, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu adalah milik-Ku, Akulah yang akan menentukan balasan bagi ibadah itu" (Hadith Qudsi)

Alhamdulillah. Ramadhan yang diberkati datang lagi. Puasa di bulan Ramadhan adalah salah satu rukun Islam dan pasak bangunan Islam yang besar. Puasa adalah ibadah yang suci dan merupakan sarana agung untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT. Di dalamnya terkandung nilai Ihsan dan Muroqobatullah (pengawasan ALLAH SWT) terhadap manusia.

Orang yang berpuasa  bukan sahaja menahan diri daripada makan dan minum, lapar dan dahaga; tetapi juga menahan diri daripada segala perkara yang mengakibatkan susutnya nilai puasa yang dilaksanakan. Dan yang sering menakjubkan kita, ketika berada dalam bulan puasa ini, orang cenderung kembali dengan mudah kepada fitrah diri.

Maka, tepatlah kalau kita katakan bahawa pakej Ramadhan ini memang waktunya untuk kita semua menyegarkan semula energi atau tenaga dalaman kita. Puasa itu sendiri merupakan ibadah yang sarat dengan nilai keikhlasan dan kesucian.

Dalam hadith Qudsi di atas pun, ALLAH SWT telah jelaskan bahawa ibadah puasa adalah milik-Nya. Semua amal kebaikan anak Adam dibalas oleh ALLAH SWT sampai 10 kali ganda (atau lebih sehingga 100 kali ganda - dalam hadith lain), kecuali pahala puasa - kerana sesungguhnya kata ALLAH SWT puasa itu adalah untuk-Nya, dan DIA-lah sahaja yang menentukan gandaan balasannya.

Sungguhpun begitu, amalan puasa yang akan  diterima secara utuh di sisi ALLAH SWT haruslah berupa amalan puasa yang dijalankan dengan penuh keimanan dan kesedaran terhadap makna dan rahsianya. Sebab itulah Rasulullah SAW tegaskan :

"Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh rasa keimanan dan mengharapkan ganjarannya (hanya kerana ALLAH), maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni." (Hadith Riwayat : Imam Bukhari dan Muslim)

Selamat Meraih Rahmat Ilahi...

Abu Miftah
02 Ramadhan 1433 H

0 ulasan:

Catat Ulasan

Komentar Anda...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.