Ahad, 22 Julai 2012

REFLEKSI IMAN DAN UKHWAH DI BULAN RAMADHAN

Assalaamu'alaikum WTB...

Firman Allah Ta'ala :

"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara"
(Surah Al-Hujurat : 10)

Saudaraku...

Ini bermakna bahawa keimanan sejati hanya akan wujud dengan adanya tali persaudaraan yang sebenar. Persaudaraan murni tidak akan bermakna jika seseorang Muslim tidak pernah mahu ikut merasai kesedihan dan penderitaan saudaranya.
Seorang Muslim adalah salah satu bahagian yang tidak dapat dipisahkan dari tubuh ummat yang hidup. Ummat adalah tempat dia berpijak dan sebagai titik tolak baginya untuk mengorak langkah ke hadapan dan sebagai sumber kekuatan semangat perjuangannya.

Ia berjuang dan berusaha untuk sentiasa memberikan khidmat terbaik kepada ummatnya; merasa bahagia dan gembira dengan kegembiraan dan kebahagiaan, dan sebaliknya ikut merasai sedih dan duka dengan kesedihan yang dialami ummatnya.

Dalam kaitan ini, baginda Nabi Muhammad SAW telah dengan tepat sekali melukiskan keadaan dengan sabdanya :

"Seorang Mukmin dengan Mukmin yang lain bagaikan sebuah bangunan, di mana satu sisi saling memperkukuhkan sisi yang lain." Kemudian beliau mengisyaratkan dengan merapatkan kesemua jari-jemari kedua belah tangannya" (Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari)

Firman Allah SWT yang bermaksud :

"...dan ingatlah di waktu dahulunya kamu berjumlah sedikit, kemudiannya Allah memperbanyak bilangan kamu..." (Surah Al-A'raf : 86)

Saudaraku...
Demikianlah bilangan dan jumlah yang banyak adalah merupakan salah satu unsur dan faktor kekuatan serta kebanggan bagi sesebuah ummat, kerana mereka dapat bergabung tenaga, fikiran dan kemampuan untuk mewujudkan tenaga dan impak yang besar.

Justeru itu, untuk mewujudkan tenaga besar - keikhlasan dan keyakinan terhadap Islam lebih diutamakan dari yang lain. Jika tidak mampu menjelmakan Al-Islam di dalam semua aspek kehidupan, lantas bagaimana mungkin mereka akan menjadi contoh teladan dan ikutan bagi yang lainnya untuk mewujudkan ukhuwah? Kerana orang atau ummat yang tidak mempunyai apa-apa, tidak mungkin dapat memberikan apa-apa pula kepada orang lain.. Bagaikan si buta yang menuntun jalan bagi si celik - pastilah si celik tersebut akan mendapat kemalangan kerana mahu ditunjuk jalan oleh si buta!

Oleh kerana itu, menjadi kewajipan dan tanggungjawab seluruh kaum Muslimin untuk melaksanakan ajaran Al-Islam secara 'Kaaffah' iaitu menyeluruh dan sempurna, agar mereka beroleh kelayakan untuk menjadi pemimpin ke atas ummat yang lain di suatu saat nanti.

"Mudah-mudahan kita tergolong di dalam kelompok orang-orang Mukmin yang sejati dengan menjadi lebih prihatin kepada saudara Muslim yang lain"

*** Ingatlah! Iman & Ukhwah Itu Saling Mengikat***
 
Abu Miftah
02 Ramadhan 1433 H

0 ulasan:

Catat Ulasan

Komentar Anda...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.