Jumaat, 6 Julai 2012

Celik Minda & Celik Hati...

Assalaamu'alaikum WTB...

CELIK MINDA - maksudnya proses berfikir yang menyebabkan manusia menjadi tahu. Tahu akan sesuatu adalah asas kepada maklumat dan ilmu. Tidak semua maklumat berstatus ilmu, tetapi setiap ilmu terkandung maklumat. Manusia selalu ingin tahu siapakah dirinya dan apa yang ada di sekitarnya. Mengetahui akan sesuatu menjadikan manusia celik minda.

Namun, celik minda semata-mata tidak memadai. Kita memerlukan CELIK HATI. Nilai terhadap sesuatu, lahirnya daripada hati. Celik Hati ibarat bateri. Yang memberi makna kepada bateri ialah cahaya. Apabila cahaya memberikan suluhan, ia menunjukkan jalan dan pedoman. Hidup tanpa jalan dan pedoman akan membawa kesesatan. Celik Minda plus Celik Hati bukan sahaja menjadikan diri kita tahu akan sesuatu, tetapi sesuatu yang diketahui memberi makna kepada diri dan hidupnya.

Celik Minda wajib diupayakan dalam diri setiap di antara kita. Pancaindera dan akal yang ALLAH SWT anugerahkan mesti diimanfaatkan untuk berfikir. Berfikir memerlukan pedoman. Apa yang telinga dengar dan yang mata lihat disimpul pada ikatan akal atau fu'ad; inilah yang disebut proses berfikir.

Justeru itu, sebagai Muslim pedoman berfikir adalah murni pada Al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya. Inilah asas dan prinsip yang sangat penting dalam proses pemantapan ilmu pengetahuan. Membaca mencelikkan minda. Namun, apa yang tersurat tidak semestinya sama dengan yang tersirat. Maka jika kita membaca yang tersurat dengan kunci celik hati, ia akan membantu bacaan kita merungkai makna yang tersirat.

Kembali kepada pedoman atau skrip hayat kita iaitu Al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya! Menjadikan celik minda untuk membaca yang tersurat dan memahami (tafaqquh) yang tersirat dengan celik hati. Maka... InsyaAllah kita akan menghayati kelak akan pedoman, prinsip dan segala kisah yang terbuku di lembaran-lembaran Mushaf Al-Quran dan terbentang luas pada kanvas Sunnah Rasul-Nya.

Sebagai contoh mudah, angkatlah tema kisah-kisah gelagat manusia, kaum dan bangsa sepanjang zaman yang dirakam ALLAH Azza Wajalla di dalam Al-Quran. Masalah sosial dan segala rencam keburukan perilaku nista manusia bukanlah perkara yang baru dalam sejarah manusia. Yang berlaku kini adalah 'pengulangan' apa yang telah berlaku pada masa lalu - dan rotasi sejarah ini akan berterusan.

Keselamatan hanya akan dimiliki oleh mereka yang membaca dan mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku. Pengajaran atau ibrah itulah yang menjadi pedoman para pemilik celik hati supaya dapat membezakan buruk dan baik akan sesuatu. 

Baiklah cuba perhatikan... 'Melakukan atau menilai sesuatu dengan  logik semata-mata belum tentu benar'. Tetapi logik akal yang dipandu wahyu, pasti akan menghantar kepada kebenaran. Apabila Al-Quran mempedomankan kita mengenai "Jangan Menghampiri Zina", secara logiknya kita boleh terdorong untuk berfikir - apa salahnya manusia berzina? - kerana manusia ada nafsu dan keinginan.

Logik akal kata : Kalau keinginan itu dilakukan bersama (suka sama suka) apa salahnya menikmati kelazatan melakukan hubungan jenis dan pelbagai jenis... Kalau isunya ialah takut mengandung atau dijangkiti penyakit; kondom dan ubat-ubatan canggih boleh dijadikan alat pencegahnya. Haha... celik akal yang demikian adalah dipandu oleh nafsu tetapi tidak dipedoman oleh celik hati.

Bila celik hati dijadikan asas, maka Al-Quran dijadikan sumber terbaik! Yang dibimbing ALLAH Ta'ala dalam Al-Quran untuk kita terapkan dalam kehidupan adalah generasi keturunan yang bersih suci tabiatnya. Ummat yang baik dan perkasa harus dilahirkan dari keturunan yang baik. Zina adalah tabiat buruk. Manusia akan hilang batas sempadan halal haram dan mendorong manusia memiliki sifat melampaui batas. Celik hati memandu manusia memahami sebab akibat dari perbuatan mungkar tersebut. Keburukan demi keburukan akibat perilaku zina manusia telah terungkap dalam sejarah hidup manusia silam. Ambillah pengajaran. Ambillah iktibar.

Masih terlalu banyak pedoman di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya yang perlu diteliti, difahami dan dihayati dengan celik hati. Tidak cukup dengan semata-mata bernostalgia tetang sejarah emas ummat Islam yang silam. Tetapi jadikanlah serta ambillah nilai, prinsip dan pedoman dasar yang telah menjulang  ummat zaman keemasan itu, seterusnya diterapkan dengan sesungguhnya dalam kehidupan kini dengan nuansa dan praktik yang baru. Sesungguhnya, tiadalah yang menjadikan zaman mereka itu gemilang melainkan dengan gandingan mantap celik minda dan celik hati bersuluhkan wahyu ilahi pada lembaran Al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya yang kini di anggap usang itu.

(Entri ini sebahagiannya adalah adaptasi dari karya Prof. Dato Dr. Sidek Baba UIAM - 'Remaja ISLAM Kembali Pada Pemikiran Al-Quran & Sunnah - 2010)

Salam sayang untuk semua...
"Afsyus salaamu bainakum"
Wallahu Yar'aana Wa Yahfazuna

Abu Miftah
16 Sya'baan 1433H

0 ulasan:

Catat Ulasan

Komentar Anda...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.