Khamis, 26 Ogos 2010

Berimamkan Kanak-kanak?


Bolehkah Kita Berimamkan Seorang Kanak-kanak....

Seorang muslimah (kawan lama) bertanya begini : "...sah ka jemaah kalau budak kecil yg imam kan solat?"

Untuk jawapan persoalan tersebut, saya tidaklah 'alim untuk menjawabnya. Berikut saya nukilkan jawapan para ulama yang arif mengenainya. Mari sama-sama semak dan belajar :

__________________________________________________________________

Menurut Abdul Rahman Al-Jaziry, syarat sah Imam ialah baligh, maka tidak sah kanak-kanak (sibyan) mumaiz yang belum baligh [menjadi Imam] didalam solar Fardhu, dan ini dipersetujui oleh ketiga-tiga Imam, tetapi khilaf (berselisih) pada Syafie. Antara catatan yang diberikan oleh Sheikh Abdul Rahman ialah :

1. Mazhab Syafie - boleh Imam yang belum baligh dikalangan kanak-kanak didalam solat fardu melainkan Jumaat, tetapi jika terdapat Imam yang biasa maka tidaklah sah melainkan dengan Imam tersebut.

2. Mazhab Hanafi - Tidak sah kanak-kanak yang belum baligh secara mutlak, Tidak didalam solat fardu dan juga solat sunat.

3. Mazhab Maliki - Tidak sah menjadikan wanita [sebagai Imam], Tidak khunza - masalah nak mengetahui ia lelaki atau wanita, tidak didalam fardu, tidak didalam solat sunat. Lelaki (bukan sibyan) adalah syarat Imam Mutlak dan kedua-dua (wanita dan khunza) menjadi ma'mumnya.

Ulama bersependapat bahawa sah ma'mum kanak-kanak mengikut Imam kanak-kanak. (Fiqh 4 mazhab, 1/330-331) [1]

__________________________________________________________________

Pandangan ini diperjelaskan oleh Dar Al-Ifta' bi Al-Azhar atau Rumah Fatwa Al-Azhar dengan kenyataannya yang berbunyi:

"Mazhab Hanafi secara khusus menyatakan secara tepat bahawa umur BALIGH merupakan syarat sah Imam didalam solat fardu dan solat sunat kepada ma'mum yang baligh sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas : "Tidak menjadi Imam sehingga mencapai kedewasaan", dan ini diikuti oleh Mazhab Maliki yang mengatakah baligh merupakan syarat sah solat fardu dan sunat. Bagi Imam Syafie pula mengatakan bukan dari syarat Baligh merupakan syarat sah Imam solat fardu dan solat yang lain berdasarkan sebuah hadith dimana: "Sesungguhnya Amr ibn Salamah telah menjadi Imam kepada kaumnya didalam solat semasa hayat Nabi saw semasa beliau berumur ENAM atau TUJUH tahun" melainkan Imam Baligh menjadi keutamaan."

Tambah kenyataan tersebut lagi :

"Bagi mengajar dan sebagai pelajaran anak-anak kamu [persediaan menjadi Imam] , mereka digalakkan menjadi Imam didalam solat-solat sunat." [2]

__________________________________________________________________

Ulama-ulama salaf lebih cenderung kepada pandangan Mazhab Syafie iaitu sahnya kanak-kanak menjadi Imam dengan meletakkan syarat:

1. Ada ilmu pengetahuan mengenai solat.
2. Baik didalam bacaan Al-Qurannya.

Pandangan ini disokong oleh bekas Mufti Saudi, Sheikh Abdul Aziz bin Baaz didalam Kitab Majmu' fatawa beliau dengan berkata :

"Sah kanak menjadi Imam jika baik solatnya sebagaimana yang di riwayatkan oleh Al-Bukhari didalam Hadith Sahih mengenai Amr ibn Salamah Al-Jarami berkata :

"Bapaku datang dari Nabi saw dan berkata bahawa beliau mendengar Nabi saw bersabda,"Bila tiba waktu untuk bersolat, jadikan dikalangan kamu yang paling pandai Al-Quran menjadi Imam solat". Mereka meninjau dan tidak mendapati sesiapa yang mengetahui banyak mengenai Al-Quran melainkan aku, maka mereka menjadikan aku Imam didalam solat, dan aku adalah anak berumur 6 atau 7 tahun".

Didalam riwayat Muslim dan Sahihnya pula:

"Menjadi Imam kepada kaumnya mereka yang baik bacaan Al-Qurannya" [3]

__________________________________________________________________

Sheikh Sayyid Saabiq, seorang ulama Al-Azhar, didalam buku Fiqh Al-Sunnah (1/257), mengatakan bahawa sah imam kalangan kanak-kanak (sibyan) yang mumaiz.

Menurut Sheikh Mohammad Saleh Al-Munajjid, didalam Ahkaam al-Imaamah wa’l-I’timaam fi’l-Salaah oleh ‘Abd al-Muhsin al-Muneef, dalil dari hadith pertanyaan 'Amr ibn Salamah [seperti yang dinyatakan oleh Bin Baaz] menunjukkan kanak-kanak boleh menjadi Imam solat. Jika ianya tidak dibenarkan, pasti ada kenyatan yang mengatakan kanak-kanak tidak dibenarkan menjadi Imam. Kenyataan-kenyataan ini disokong oleh Fataawa al-Lajnah al-Daa’imah, 7/389-390 dan al-Maghaazi, 3963.[5]

Kesimpulannya, terdapat khilaf didalam permasalahan ini dimana 3 Imam mazhab tidak membenarkan Imam dikalangan kanak-kanak. Tetapi ulama dikalangan Syafie dan salaf membenarkan Imam dikalangan kanak-kanak, dengan syarat mereka mempunyai ilmu pengetahuan yang baik mengenai solat dan baik bacaan solatnya. Pandangan ini disokong Lembaga Fatwa Arab Saudi. Mazhab Syafie memberi keutamaan kepada Imam yang baligh untuk menjadi Imam. Jika berlaku keadaan tidak berjumpa Imam, maka hadith 'Amr ibn Salamah boleh digunakan.

Bila bercerita tentang sibyan menjadi Imam, teringat akan kisah ulama' Qatar terkenal, Sheikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi (ha), didalam buku yang ditulis oleh anak muridnya yang menceritakan bahawa Al-Qardhawi ini sebelum berumur 10 tahun sudah hafiz Al-Quran dan hukum-hukum tajwid dan menjadi Imam di kampungnya, khususnya pada waktu Solat Subuh [6]. Sungguh faqih orang ini.......


Wallahu 'alam Bissowaab...

Nukilan semula...

Abu Miftah
16 Ramadhan 1431H

_____________________________________________________________

Rujukan:


1. Abdul Rahman Al-Jaziry. Kitaabu Al-fiqhu 'ala al-Mazaahibi Al-Arba'ah. Kaherah : Dar Al-Manar, 1999.

2. Dar Al-Ifta' bi Al-Azhar. Imam kanak-kanak didalam solat. url : http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=7780

3. Sheikh Ahmad bin Abdul Aziz bin Baaz. Majmu' fatawa samaahah Sheikh Abdul Aziz bin Baaz. Riyad : Dar Al-Watan, 2000. ms 391

4. Sayyid Saabiq. Fiqh Al-Sunnah - vol I.. Cetakan khas. Kansas : Al-Manar (international), 1995.

5. Sheikh Mohammad Saleh Al-Munajjid. Fatwa solat berimamkan Sibyan. url : http://63.175.194.25/index.php?cs=prn&ln=ara&QR=9933&dgn=3&dgn=2

6. Essam Talimah. Al-Qardhawi Faqiihan. 2000. ms. 11.

1 ulasan:

Komentar Anda...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.