Selasa, 24 Ogos 2010

Menunaikan Zakat Fitrah Sebagai Manifestasi Pembersihan Jiwa & Amal


Menunaikan Zakat Fitrah Sebagai Manifestasi Pembersihan Jiwa & Amal

Penulis bergambar dengan replika cek bantuan zakat sumbangan untuk pelajar faqir miskin 2010 daripada PZS - di majlis Berbuka Puasa UMNO Zon 4 bertempat di perkarangan Masjid Al-Hidayah Nabawan yang disampaikan oleh Ketua Menteri Sabah [23hb Ogos 2010]

Zakat Fitrah ialah zakat diri yang diwajibkan atas diri setiap individu lelaki dan perempuan Muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Kata Fitrah yang ada merujuk pada keadaan manusia saat baru diciptakan sehingga dengan mengeluarkan zakat ini manusia dengan izin ALLAH SWT akan kembali fitrah.

Zakat fitrah dikenakan kepada semua umat Islam, sama ada merdeka mahu pun hamba sahaya. Ini berbeza dengan zakat harta, kerana tidak dikenakan kepada hamba. Mana mungkin seorang hamba mampu berzakat, andai dirinya sendiri pun dimiliki oleh orang lain. Bahkan, demi mengangkat taraf seorang hamba maka Islam memberikan hak zakat untuk mereka menebus diri.

Menjelang Aidilfitri, bermakna umat Islam menuju kegembiraan. Inilah yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW, iaitu orang yang berpuasa diberikan dua kegembiraan. Kegembiraan pertama sewaktu berbuka (berbuka puasa dan berhari raya) dan keduanya ketika menatap wajah Allah SWT di dalam syurga [mafhum daripada hadis riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad].

Di dalam memastikan umat Islam khususnya golongan fakir dan miskin turut merasai nikmat hari raya inilah, maka zakat fitrah diwajibkan. Ia bertujuan memberikan mereka makanan yang cukup. Bahkan dalam konteks hari ini, fakir miskin bukan sahaja diberikan makanan bahkan wang ringgit. Maka, dapatlah mereka membeli keperluan hari raya dengan wang ringgit tersebut.

Di samping itu, zakat fitrah juga menepati kehendak puasa yang bermaksud mengembalikan manusia kepada fitrah. Apabila zakat fitrah ditunaikan, maka akan terhakislah rasa tamak dan haloba dalam diri. Akan tersingkaplah tirai kesombongan dan diganti dengan rasa rendah diri dan saling berkongsi.

Ibnu Abbas menyatakan: “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tidak ada manfaatnya dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberikan makanan kepada orang-orang miskin.” [Hadis Riwayat Abu Daud].

Islam adalah agama fitrah. Asas kepada fitrah ini ialah saling ambil tahu, saling berkongsi dan saling membahu. Berulang kali Allah SWT dan Rasulullah SAW menyarankan, agar umat Islam bersifat bahu-membahu di antara satu sama lain. Bahkan Allah SWT menegaskan, semua umat Islam itu adalah bersaudara (Al-Hujurat: 10).

Nabi Muhammad SAW turut menukilkan bahawa setiap muslim itu ibarat satu bangunan yang saling menguatkan antara satu dengan yang lainnya sebagaimana eratnya genggaman jari-jemari [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]. Oleh itu, kedatangan Ramadan Al-Mubarak inilah masanya kita menunjukkan tingginya hemah kita sebagai seorang muslim. Muslim yang menyantuni sesama saudaranya dengan keikhlasan dan kepatuhan kepada agama.

Akhirnya, kita dapat memetik hikmah disyari'atkannya zakat fitrah iaitu:

  1. Zakat fitrah merupakan zakat diri, di mana ALLAH memberikan umur panjang baginya sehingga ia bertahan dengan nikmat-Nya.
  2. Zakat fitrah juga merupakan bentuk pertolongan kepada umat Islam, baik kaya maupun miskin sehingga mereka dapat berkonsentrasi penuh untuk beribadah kepada Allah Ta'ala dan bersukacita dengan segala anugerah nikmat-Nya.
  3. Hikmahnya yang paling agung adalah tanda syukur orang yang berpuasa kepada Allah atas nikmat ibadah puasa.
  4. Di antara hikmahnya adalah sebagaimana yang terkandung dalam hadits Ibnu Abbas radhiAllahu 'anhuma di atas, iaitu puasa merupakan pembersih bagi yang melakukannya dari kesia-siaan dan perkataan buruk, demikian pula sebagai salah satu sarana pemberian makan kepada fakir miskin.

Zakat Fitrah Negeri Sabah 2010 - RM6.80!!!

Wallahua’lam


Abu Miftah
14 Ramadhan 1431H

0 ulasan:

Catat Ulasan

Komentar Anda...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.