Jumaat, 20 Ogos 2010

Kemuliaan Orang Yang berpuasa


KEMULIAAN ORANG YANG BERPUASA

Alhamdulillah hari yang mulia ini, bersamaan 10 Ramadhan 1431H; kita sudah menapaki 10 hari dengan amalan puasa yang amat bererti ini. Bererti fasa pertama yang disebuah 'awal keampunan' telah kita semua lalui. Ini juga bermaksud hari-hari yang berlalu telah sirna dan meninggalkan kita bersama cerita dibaliknya.

Alhamdulillah. Ramadhan penuh berkat datang lagi membawa 1001 ganjaran pahala, rahmat dan kemuliaan, khusus bagi mereka yang berpuasa.

Kalam ALLAH SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 183, mengungkapkannya :

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa".

Tuntunan ALLAH SWT yang menjadi dalil kefardhuan puasa bulan Ramadhan itu jelas menjanjikan kemuliaan yang tertinggi kepada orang-orang beriman; iaitu ketaqwaan yang dihasilkan melalui ibadah puasa yang dilakukan dengan ilkhlas. Tiada kemuliaan yang lebih tinggi disisi ALLAH SWT, Rasul dan seluruh orang yang beriman selain daripada sifat TAQWA yang mendasari setiap amalan, akhlak dan budaya hidup seseorang.

Dalam surah Al-Hujurat ayat ke-13 pun ALLAH SWT menyebut tentang ciri orang yang paling mulia dan hampir di hadratNYA, iaitu orang yang paling bertaqwa.

Selain itu, ALLAH SWT juga menghormati dan memuliakan orang-orang berpuasa dengan menyediakan pintu khusus di gerbang Al-Jannah (syurga). Pada saat manusia begitu teruja hendak memasuki syurga-NYA, terdengar suara Malaikat mencari dan mempersilakan orang-orang yang berpuasa agar memasuki syurga melalui gerbang khusus yang dinamakan "Baabur Rayyaan". Inilah saat-saat yang dinantikan oleh setiap manusia, tetapi yang paling bertuah ialah mukmin yang menyempurnakan ibadah puasa dengan ikhlas dan berkualiti.

Untaian Hadith Baginda saw mengungkapkan : "Sesungguhnya, dalam syurga terdapat pintu masuk dinamakan "Al-Rayyaan", dimana orang-orang berpuasa masuk syurga melaluinya pada hari Qiamat. Tiada seorang pun selain daripada mereka dapat memasukinya. Mereka diseru : "Di manakah orang-orang yang berpuasa?". Lalu bangunlah orang-orang yang berpuasa melaluinya. Apabila habis mereka masuk, maka pintu itu tertutup. Maka tiada lagi siapa yang dapat memasukinya lagi". [Hadith Muttafaqun 'Alaih]

Menikmati syurga adalah suatu impian dan memasukinya adalah suatu kemuliaan. Demikinlah orang-orang berpuasa, mereka dimuliakan ALLAH SWT dengan dijadikan ibadah puasa yang ditunaikan dengan sempurna, umpama perisai yang kalis daripada api neraka dan menyelamatkan mereka daripada dihumbankan ke dalam neraka yang sangat dahsyat dan mengerikan itu.

Sabda Nabi saw : "Puasa itu perisai (yang menyelamatkan) daripada api neraka, bagaikan perisai di dalam medan perang, selama tidak dirosakkan dengan sifat bohong atau mengumpat". [H.R : Ahmad, Nasa'ie dan Ibnu Majah]

Ini bermakna, untuk melayakkan seseorang yang berpuasa itu dikurniakan kemuliaan hingga diselamatkan daripada sambaran api neraka, maka perlu memastikan puasa yang ditunaikan itu bebas daripada sebarang perbuatan maksiat. Samada yang melibatkan kata-kata, mahupun amalan.

Justeru, puasa yang menjamin kemuliaan hendaklah dilakukan dengan dengan penuh kesabaran dan didorong oleh sikap dan akal budi yang mulia. Sehinggakan, Rasulullah saw berkata : "Sesiapa yang sedang berpuasa, maka janganlah ia bersifat jahil dan bodoh. Jika ada seseorang memperbodohkannya (atau diajak bertengkar / berkelahi), maka janganlah dia membalas orang tersebut dengan celaan atau makian yang sama. Bahkan, hendaklah ia mengucapkan kata-kata "Saya Sedang Berpuasa"".

Sesungguhnya, ALLAH SWT juga memuliakan orang yang berpuasa dengan menjadikan bau mulut mereka lebih harum daripada wangian kasturi, sebagaimana penjelasan Rasulullah saw kepada kita.

Oleh kerana fadhilat serta kemuliaan demi kemuliaan inilah, marilah kita semua mengambil langkah besar dan padu di bulan penuh berkat ini. Ayuhlah, kita semarakkan usaha raih kesempatan dan peluang yang ALLAH SWT hidangkan ini agar kita menggapai darjat ternama, istimewa dan mulia disisi ALLAH SWT dan Rasul-NYA.

Marilah semarakkan puasa kita dengan pelbagai amalan yang mulia. Kita hiasi ramadhan ini dengan kesungguhan mencari TAQWA-NYA itu. Kita murnikan amalan-amalan yang kita usahakan dengan tuntunan ilmu yang shohih daripada ALLAH SWT dan Rasul-Nya.

Peliharalah mutu dan kualiti puasa kita dengan langkah berikut :

1. Menghindarkan sama sekali perlakuan-perlakuan haram khususnya lidah walaupun tidak membatalkan puasa; seperti mengumpat, berbohong, menipu, melaga-lagakan orang, memfitnah, memaki hamun, mencarut dan seumpamanya.

2. Memelihara daripada perkara-perkara yang kurang berfaedah seperti berbual kosong, rehat memanjang dan tidur yang berterusan, melepak-lepak dan sebagainya.

3. Memastikan diri tidak terlibat dalam perkara-perkara yang hanya menyeronokkan semata-mata walaupun hukumnya harus.

Ingatlah pesan Rasul saw : "Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan kosong dan amalan batil, maka ALLAH SWT tidak memerlukan dia meninggalkan makan dan minumnya". [H.R Bukhari]

Ertinya dengan omong kosong, senda gurau yang melalut dan kerja buat yang melalaikan menyebabkan ibadah puasanya sia-sia sahaja dan tidak bernilai pada ALLAH SWT. Bahkan, tidak berupaya membuat apa-apa anjakan positif pada diri.

4. Mengusahakan dan melazimkan amalan-amalan yang sangat dianjurkan syar'ie bagi memantapkan nilai puasa seperti tilawah Al-Quran, tadarrus Al-Quran, menunaikan solat fardhu berjemaah, bersedekah yang terbaik, menambah ilmu agama, mengamalkan zikir-zikir yang tetap dan banyak lagi.

Akhirnya, ingatlah bahawa sesungguhnya, sememangnya hanya mereka yang berhati kecut saja yang sering terpaku kaki di bawah, walhal manisnya buah yang ranum hanya dinikmati dengan usaha, peras keringat dan kegigihan yang teguh... TERUSKAN MENGISI DAN MEMAKMURKAN RAMADHAN MUBARAK INI... kesempatan masih terhidang, raihlah ia pada fasa Ramadhan yang berbaki ini...

Ilalliqaa'e ma'at taufiiqi..


Ustaz Abu Miftah
Jumaat
10 Ramadhan 1431H

________________________________________________________________
* Khutbah ini telah disampaikan penulis di Masjid Taqwa, Keningau sebentar tadi. Semoga ianya bermanfaat untuk semua*
________________________________________________________________



Reaksi:

0 ulasan:

Catat Ulasan

Komentar Anda...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.