Rabu, 20 Oktober 2010

Sembahyang Pada Zaman Moden

Sembahyang Pada Zaman Moden

[Petikan tulisan asal Prof. Dr. Hamka - "Pandangan Hidup Muslim" bahagian I - m/s 101-106]

Bahagian I

Tatkala Rasulullah saw akan menutup mata, walaupun jasmaninya menderita sakit, masih dipaksa-paksakannya juga dirinya walaupun tenaga tak ada lagi untuk naik mimbar di masjid Madinah, memberi nasihat yang penghabisan kepada ummatnya. Di antara nasihat yang terpenting itu, dan semuanya penting, diperingatkannya benar agar sembahyang lima waktu jangan ditinggalkan, jangan disia-siakan. Baginda cemas kalau-kalau setelah dia mati, sembahyang itulah yang lebih dahulu diabaikan.

Oleh kerana lebih 350 tahun bangsa kita (merujuk kepada bangsa Indonesia - Nusantara secara umum telah dijajah oleh banyak bangsa imperalis seperti Belanda, Spain, Amerika, Portugis, British & termasuk Jepun) dijajah oleh bangsa dan agama lain, tinggallah bekas dan jejak pendidikan bangsa itu, walaupun mereka telah pergi, iaitu perasaan dan gejala yang timbul dari mulut orang-orang yang kena angin didikan itu, bahawasanya sembahyang lima waktu itu sangat menghalangi pekerjaan. "Sebab itu", kata mereka "sembahyang menghalang kemajuan".

Setelah kita mengalami gelora kesibukan zaman yang dahsyat ini, mengalami segala sesuatu mesti serba cepat, yang dinamakan zaman mesin, zaman atom dan zaman sputnik (supersonik), terasalah oleh kita, sehingga menjadi keyakinan hidup, bahawa sembahyang tidak boleh dilalaikan. Hanya sembahyang yang dapat menenteramkan jiwa dalam arus kesibukan itu.

Kereta-kereta bersilang siur di kota ramai, sehingga kadang-kadang roda auto seakan-akan berjalan di atas kening kita. Tiap-tiap sekeping dari waktu, adalah sekeping dari emas. Lalai sedikit saja memburu waktu, ada harapan dimakan kawan. Dalam kesibukan, orang merasa perlu istirahat, mengaso (melepaskan lelah), piknik, tetirah ke bukit (makan angin hirup udara segar). Kadang-kadang orang mencari peristirahatan dengan minuman keras. Sehingga jantungnya dibakar sendiri. Kadang-kadang orang mencari peristirahatan dengan "merobah-robah selera", lalu lebih banyak hidup malam dari hidup siang.

Ada pula orang merasa sepi jiwanya, walaupun ramai disekelilingnya.

Sehingga pernah kita lihat di Wallstreet New York, ada 'bendi' atau 'andong' sewaan ditarik kuda, berjalan lambat sebagai andong Yogya. Ternyata sewanya lebih mahal dari teksi, kerana telah sangat ramai orang kaya yang telah bosan naik kereta mengilap, lalu mencari istirahat dengan naik 'andong' di tengah kota besar New York.

Mencari istirahat dengan cara demikian, adalah laksana orang haus meminum air laut, bertambah diminum bertambah haus. Atau sebagai orang yang merasa gatal di punggung, lalu digaru, tapi tak kena, sehingga gatalnya tetap juga.

Dengan demikian, istirahat itu pun telah jadi beban hidup.

Ilmu Kedoktoran pun bertambah maju menyelidiki penyakit-penyakit baru dalam jiwa manusia, yakni penyakit pada zaman "atom" dan "sputnik" ini. Jiwa yang selalu gelisah, jiwa yang selalu cemas, serasa perang dunia ketiga akan terjadi besok.

Di Amerika telah timbul satu ilmu pengubatan yang semata-mata berdasar atas kepercayaan agama, iaitu pengubatan yang dinamakan "Christian Sains". Dasarnya ialah keyakinan agama, tetapi dia ilmiah. Bahawasanya satu penyakit pada tubuh, adalah timbul dari jiwa. Apa jua pun macam penyakit, asalnya pasti dari jiwa. Dan ubat yang utama untuk membanteras penyakit yang ada dalam jiwa itu, tiada lain hanyalah sembahyang.

Ini adalah ilmu moden, bukan ilmu kolot.

Jika saudara pernah melihat seorang pendeta Kristian, bernama Osborn mengadakan demonstrasi pengubatan dengan sembahyang di tanah lapang... itu bukan semata-mata tontonan. Itu adalah kepercayaan dan keyakinan.

Terpaksalah kita menengok contoh ke Barat, kerana pada zaman sekarang kerapkali orang baru mahu percaya dasar agamanya, setelah ada kesaksian dari Barat.

Memang! Sembahyang dalam pengertian Islam pun mencakup akan pengubatan jiwa.

Bertambah maju dan bertambah sibuk dunia, bertambah pentinglah kedudukan sembahyang bagi keseimbangan hidup kita. Jiwa kita boleh hancur lebur laksana kaca terhempas ke batu, kerana tidak kuat menjawap tentangan kesibukan ini atas diri kita.

Nabi kita Muhammad (saw) pernah bersabda kepada Bilal, tukang azan (Muazzin) Nabi yang terkenal itu, seketika waktu sembahyang telah masuk : Arihnaa biha yaa Bilaal - Ertinya : "Marilah kita istirahat dengannya (dengan sembahyang), wahai Bilal".

Di situ Nabi menekankan, bahawasanya sembahyang itu adalah istirahat jiwa yang utama; lebih utama dari segala yang utama.

Lebih dahulu ingatlah bahawa kita diberi modal oleh Tuhan 24 jam dalam sehari semalam. Maka ambillah 10% saja dari yang 24 jam, ertinya 2 jam 24 minit.

Bahagilah waktu 2 jam 24 minit itu sebaik-baiknya untuk sembahyang. Lima waktu yang fardhu, tambah nawafil; pukul rata 1o minit - jadi semuanya 50 minit saja (untuk lima waktu solat fardhu).

Yang tinggal 1 jam 34 minit lagi dipergunakan untuk sembahyang sunat (nawafil) ditambah dengan zikir (mengingat Tuhan) dan iktikaf. Dan lebih utama lagi kalau yang 34 minit itu disediakan khusus untuk sembahyang malam (tahajjud), dikerjakan di sepertiga malam terakhir, kira-kira 1 jam sebelum masuk waktu Subuh.

Dalam sembahyang itu kita melepaskan soal-soal kehidupan. Soal hutang dan piutang, sekalian fikiran yang bersangkutan dengan soal laba dan rugi, soal politik dan ekonomi, bahkan seluruh soal yang berkenaan dengan kebendaan. Lepaskan itu semuanya dan tujukan kepada Yang Satu - ALLAH SWT.

"Satu"-nya benar "satu" - tak berbilang!

Sedangkan atom, yang tadinya disangka satu, sudah nyata bahawa ia berbilang.

Dimulai pada sembahyang subuh. Sebelum keluar rumah mencari rezeki di atas permukaan bumi ini, menurut kecenderungan diri yang ditentukan Tuhan, sebelum berangkat meninggalkan rumahtangga, mengharung kehidupan dengan ombak gelombangnya itu, jiwa saudara telah diisi terlebih dahulu dengan dinamo pancaran Ilahi. Telah dikontakkan (dihubungkan) ke langit sebelum menjalar di bumi.

Cubalah saudara perhatikan susunan amalan sembahyang itu sejak dari wuduknya. Petama, pembersihan muka - kerana di sana terletak mata, hidung, mulut dan telinga. Dengan dia saudara akan menghadap orang lain. Kemudian itu pembersihan tangan - yang dengan dia saudara akan menjamba (meraih) dan memegang. Penyapuan kepala - yang di sana terletak otak, alat berfikir menghadapi soal-soal hidup. Membersihkan kaki - yang akan saudara langkahkan ke muka.

Akan lebih terasalah bekas sembahyang itu bagi jiwa, kalau saudara bangun dan pergi ke surau atau ke masjid dengan tetangga-tetangga. Kadang-kadang tetangga itu yang terdekat, kadang-kadang orang tani, kadang-kadang opas, pesuruh pejabat (ofis boy), kadang-kadang tukang rumput, kadang-kadang kuli borongan. Disana akan dapat saudara kikis penyakit masyarakat zaman moden, iaitu hidup "egoistik" - tak ada hubungan dengan orang lain. Disana akan dapat saudara kikis rasa berkelas yang tumbuh dalam masyarakat.

Di masjid akan saudara rasai, bahawa tak ada kelebihan saudara dari orang lain, atau tak ada kekurangan saudara dari orang lain. Saudara sama bersaf-saf dengan makmum yang lain. Yang lebih mulia hanyalah siapa yang lebih takwanya.

Sembahyang mengajar dan mendidik hidup berorganisasi; sejak matahari belum terbit. Walaupun hanya 2 orang yang berjemaah, seorang jua yang diimamkan. Kalau imam belum rukuk, kita belum boleh rukuk.

Selesai mengerjakan sembahyang subuh itu, mulailah bersiap, menghadapi usaha hidup. Berusaha dalam hidup itu diwajibkan oleh agama :

"Dialah yang telah menjadikan bumi untuk kamu, mudah dipergunakan; sebab itu berjalanlah kamu melalui segenap penjurunya, mohonlah rezekinya dan kepada-Nya kamu dibangkitkan" [Surah Al-Mulk 65: ayat 15]

Kekuatan saudara terbatas. Setelah payah dan lelah bekerja, saudara mesti berhenti buat mengistirahatkan badan, buat makan dan minum. Lepaskan lagi pengaruh kesibukan tadi. Putuskan pula hubungan dengan segalanya itu, lupakan sama sekali dan ingatlah hanya satu - ALLAH!

Memang! Ingatan itu tidak boleh dua, usahkan sepuluh. Kalau ingatan telah dibulatkan kepada Tuhan, yang lain tidak teringat lagi. Tetapi kalau yang lain juga yang teringat, sembahyang tidak banyak menolong. Dan ini dapat dicapai dengan latihan. Dan kalau sulit juga, insya-Allah dalam 10 sembahyang moga-moga satu pun dapat khusyuk, sudahlah dapat menolong kepada yang 9 lagi. Pada waktu sembahyang yang khusyuk, bunyi kecoh keliling tidak kedengaran lagi. Kesibukan berhenti dalam jiwa kita, segala sesuatu jadi hening. Kita hanya bercakap dengan Yang Esa : ALLAH!

Kata orang, lebih mudah mengerjakan "meditasi", tafakur mengheningkan cipta. Dengan itu - kata mereka - fikiran boleh dibulatkan. Tetapi dengan ajaran sembahyang menurut Islam, seluruh tubuh sembahyang. Seluruh tubuh bergerak menghadap Tuhan. Bukan hati saja, bahkan badan juga.

Dalam Islam "meditasi" adalah sebahagian dariapada ibadat. Itulah yang dinamakan "tafakur" atau "tawajjuh" (menghadapkan muka) kepada Ilahi. Dan tempat yang utama buat itu, ialah masjid atau surau. Untuk itu, kalau dapat dilakukan lebih lama. Atau sediakan sebuah tempat khas di rumah sendiri.

Bermeditasi di masjid sangat dianjurkan. Itulah yang dinamakan "Iktikaf".

Lima waktu adalah "minimum" atau yang sekurang-kurangnya. Dia tidak akan merintang kita dalam perjuangan hidup. Sembahyang adalah istirahat jiwa sejenak, menghadapi beban hidup yang terus-menerus.

Kalau saudara seorang politikus, "dari masjid pergilah ke parlimen".

Kalau saudara seorang ekonomi, "dari masjid pergilah membuka gedung perusahaanmu".

Kalau saudara seorang pujangga, "dari masjid mulailah menulis".

[Saudara ukurlah diri masing-masing dengan nisbah dan hisab ini....]

Jangan sebaliknya. Kerana kalau saudara berbuat sebaliknya, saudara tidaklah akan merasai ketenteraman, ketenangan dan keluasan jiwa dalam hidup. Cubakanlah!....

Bersambung di bahagian ke-II....

---------------------
Nota Abu Miftah :

Semoga kita semua mengoreksi amalan sembahyang kita selama ini... berilah akal fikir kefahaman agama yang murni dan berikan tubuh mengamalkan yang terbaik dari yang telah difahami...


Abu Miftah
11 Zulqaeda 1431H

0 ulasan:

Catat Ulasan

Komentar Anda...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.