Ahad, 10 Oktober 2010

MAT USIA Bahagian Tambunan


Tambunan ; Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) USIA Bahagian Tambunan telah berjaya dilaksanakan dengan baik dan mendapat sambutan yang menggalakkan dari hampir semua cawangan USIA Bahagian.

Bertepatan dengan tarikh yang indah - 10/10/2010 - MAT kali ini diadakan dalam suasana pelbagai bentuk emosi. Ini kerana, bukan sahaja diadakan bagi tujuan membentangkan laporan aktiviti dan pergerakan organisasi, tetapi juga turut merai dan menghargai para pejuang agama atau muballigh yang telah melalui pahit manis perjuangan menyebar dan menyampaikan agama Islam melalui USIA, khususnya di Daerah Tambunan.


MAT kali yang ke-24 ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Hj. Sairin Bin Hj. Karno, Ahli Majlis Tertinggi USIA Pusat - merangkap Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah. Turut hadir sama ialah beberapa orang wakil dari USIA Pusat, bagi memastikan perlaksanaan MAT lebih teratur, disamping memberikan suntikan sokongan kepada kepimpinan dan ahli USIA Bahagian.

Dalam ucaptama dan perasmian tersebut, YB Datuk telah membawa imbasan ingatan para hadirin tentang erti perjuangan dan kesungguhan dalam menyampaikan dakwah Islam. Dengan ucapan yang penuh dengan humor tetapi berisi pesanan penting, beliau menegaskan bahawa kewajipan dakwah adalah tanggungjawab bersama. Untuk menyampaikan keindahan Islam kepada semua, tidak perlu kita menunggu sampai keilmuan itu lengkap dahulu. Mengambil iktibar pesan Rasulullah saw - "Sampaikanlah (tentang agamamu) walaupun satu ayat (mengikut kemampuanmu)", maka penyampaian agama yang hak ini perlu diteruskan.

Menurut beliau lagi, hikmah dan toleransi amat diperlukan dan diutamakan dalam proses dakwah yang dilakukan - "Jatuh ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi gunung, dilempar ke atas menjadi awan yang menurunkan hujan yang menyejukkan" - begitulah indahnya pekerti dan kukuhnya jati diri dalam menempuh arus dakwah. Akhirnya, beliau merumuskan bahawa melaksanakan usaha murni ini bukanlah suatu yang mudah; memerlukan pengorbanan, usaha kolektif dan saling memahami. Beliau berharap agar perjuangan generasi awal yang telah terbukti diteruskan dan dibuat penambahbaikan mengikut tuntutan semasa.

Dalam majlis tersebut, YB Datuk telah menyampaikan anugerah 'Jasamu Dikenang' kepada seramai 47 orang yang terdiri daripada muballigh dan penggerak USIA lelaki dan wanita. Semoga, dengan anugerah tersebut, mereka merasa dihargai oleh semua. Sesungguhnya, keikhlasan merekalah sebenarnya yang telah mewarnai kegemilangan perkembangan agama Islam - yang perlu diteruskan.

Pendaftaran...

Antara penerima anugerah "Jasamu Dikenang"

Al-fadhil Ustaz Hadiq Ismail & Hj Salleh Zainal turut dirai..

Perwakilan MAT & hadirin yang hadir...

Abu Miftah
10/10/2010M

0 ulasan:

Catat Ulasan

Komentar Anda...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.