Selasa, 11 Mei 2010

Berkat Amalan...


BERKAT AMALAN...

Al-Kisah....

Angin yang lembut tiba-tiba menjadi semakin kencang. Awan hitam mula berarak laju menutup wajah garang mentari. Suasana semakin gelap sekalipun hari masih muda. Tiba-tiba petir sambar menyambar. Hujan mula turun dengan lebatnya. Tiga pemuda yang pada ketika itu dalam perjalanan, kelam-kabut mencari tempat berlindung. Akhirnya, mereka bersetuju untuk masuk ke dalam sebuah gua yang berhampiran untuk berteduh daripada hujan ribut.

Malangnya, sebaik sahaja mereka masuk ke dalam gua, tiba-tiba, "Dummmm!!!" Sebuah batu besar telah jatuh lalu menutupi pintu gua. Mereka bertiga menjadi panik seketika. Mereka kini telah terkurung di dalam gua yang gelap gelita. Hati berasa gementar dan mula diselubungi rasa putus asa. Mereka mungkin akan mati jika tiada tindakan dilakukan. Mereka terpaksa juga berhempas-pulas berusaha untuk mengalihkan batu besar itu dari pintu gua. Setelah lama berusaha dan badan sudah lesu keletihan, ternyata mereka masih buntu. Batu itu tidak dapat diganjakkan daripada mulut gua tersebut. Mereka teraba-raba dalam kegelapan kerana tiada sedikit pun cahaya yang masuk.

"Kita sudah tidak punya cara lain", kata salah seorang daripada pemuda itu. Kemudian dia menyambung, "Sekarang, marilah kita cuba ingat segala amalan kebaikan yang kita pernah lakukan dengan ikhlas kepada ALLAH. Mudah-mudahan berkat amalan itu, ALLAH menyelamatkan kita daripada di sini", ujarnya sambil meraba-raba mencari arah. Mereka bertiga bersetuju untuk berbuat demikian.

Setelah itu, mereka mula berdoa dengan khusyuk menyebut amalan kebaikan masing-masing sebagai usaha agar ALLAH menolong kesulitan mereka. Lalu salah seorang pemuda itu berdoa dan merintih, "Ya ALLAH, suatu ketika dahulu aku mempunyai ibubapa yang sudah tua dan uzur. Mereka tinggal bersama keluargaku yang terdiri dari seorang isteri dan beberapa orang anak yang masih kecil. Aku memelihara mereka dengan baik serta berkhidmat untuk mereka".

"Ketika aku mempunyai masa lapang, aku selalu memerahkan susu untuk mereka. Aku utamakan kedua orang tuaku untuk meminumnya terlebih dahulu sebelum anak-anakku menikmatinya pula. Suatu hari, kerana kesibukan kerja, aku telah pulang lewat. Aku dapati kedua orang tuaku sudah tidur. Aku letakkan susu tersebut di dalam sebuah bekas. Aku berdiri di hujung kepala kedua orang tuaku, namun aku tidak sanggup membangkitkan mereka dari tidur yang nyenyak".

"Aku juga tidak sanggup memberi anak-anakku minum terlebih dahulu sebelum kedua orang tuaku meminumnya, sekalipun mereka merengek meminta-minta di hadapanku kerana lapar dan dahaga. Aku terus setia menunggu mereka, dan mereka juga tetap pula tidur sampai ke pagi. Jika ENGKAU tahu apa yang aku lakukan itu adalah semata-mata mengharapkan keredhaanMU, maka tolonglah aku dari kesulitan ini. Gerakkanlah batu besar ini, sehingga kami boleh melihat langit-MU".

Dengan kasih sayang ALLAH, DIA memperkenankan amalan itu lalu menggerakkan sedikit batu itu untuk mereka dapat melihat langit dan cahaya dari luar. Namun, ia masih sempit untuk mereka keluar. Kemudian berdoalah pula pemuda yang kedua kepada ALLAH...

"Ya ALLAH, suatu ketika dahulu aku mempunyai seorang sepupu perempuan. Aku mengasihinya sebagaimana cinta seorang lelaki terhadap seorang perempuan yang cukup mendalam. Aku minta supaya dia melayani keinginan nafsuku. Namun begitu, dia tidak sudi untuk berbuat demikian kecuali setelah aku mampu memberikannya wang sebanyak 100 dinar".

"Untuk tujuan itu, dengan bersusah payah akhirnya aku mampu mengumpulkan wang sebanyak itu. Aku membawa wang tersebut kepadanya. Sebaik sahaja aku ingin menyetubuhinya (berzina dengannya), dia berkata : Wahai hamba ALLAH! Takutlah kepada ALLAH! Janganlah kamu meragut kesucianku kecuali dengan pernikahan yang sah terlebih dahulu. Mendengar kata-kata tersebut, aku terus bangkit daripadanya serta membatalkan niat burukku itu. Seandainya ENGKAU tahu bahawa apa yang aku lakukan itu adalah semata-mata untuk mencari keredhaanMU, tolonglah kami dari kesulitan ini. Gerakkanlah batu besar itu".

Dengan keikhlasan pemuda itu, maka ALLAH memperkenankan doanya lalu menggerakkan sedikit batu besar tadi. Walaubagaimanapun, pintu gua yang terbuka masih tidak cukup luas untuk mereka keluar.

Lalu pemuda yang ketiga menadah tangannya dan memohon kepada ALLAH : "Ya ALLAH, suatu ketika dahulu aku pernah mengupah seorang pekerja untuk menugal kebun gandum. Sebaik sahaja selesai melakukan pekerjaannya itu, dia berkata: "Berikan upahku". Namun aku enggan membayar upahnya. Dia terus menugal gandum/padi dan meminta lagi upahnya beberapa kali. Aku masih seperti biasa, enggan membayar upahnya dan terus memintanya menugal. Wang upahnya aku gunakan untuk membeli dua ekor lembu memeliharanya sehingga lembu itu membiak dan aku berjaya memiliki beberapa ekor lembu dan beberapa ekor anaknya".

"Suatu hari lelaki tersebut datang kepadaku dan berkata: "Takutlah kamu kepada ALLAH! Kamu jangan lagi menzalimi aku dengan kewajipanku". Kemudian aku berkata kepadanya : "Ambillah lembu itu serta anak-anaknya". Dia berkata : "Takutlah kepada ALLAH dan janganlah mempermain-mainkan aku". Aku berkata kepadanya : "Aku tidak mempermain-mainkan mu, tetapi ambillah lembu itu serta anak-anaknya". Sehingga akhirnya, dia mengambil lembu tersebut. Seandainya ENGKAU tahu bahawa apa yang aku lakukan itu adalah semata-mata untuk mencari keredhaan-MU, tolonglah kami dari kesulitan yang tinggal hanya sedikit lagi..."

ALLAH SWT Maha Penyayang kepada hamba-hambaNYA. Keikhlasan di hati hambaNYA itu menyebabkan kasihan belasNYA. Lalu ALLAH memperkenankan doa ketiga-tiga pemuda itu dengan membuka sedikit lagi ruang pintu gua tersebut. Hujan dan petir di luar sudah reda. Mereka bertiga akhirnya dapat keluar daripada gua tersebut dan meneruskan perjalanan mereka.

[Adaptasi - Hadith Rasulullah saw daripada Abdullah Ibnu Umar. Hadith riwayat - Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad]

*** Sama-samalah kita memperbaiki dan mengikhlaskan amal***

=====================================================================
Bukan Meragi Propaganda Perpecahan - Tetapi Hanya Merapi Pemahaman Sejarah Kebenaran
===============================================================

2 ulasan:

  1. Assalamu'alaikum.. salam perkenalan.. laman penuh ilmu

    BalasPadam
  2. Assalamualaykum wbt.

    Teruskan berkarya. Satu kisah yang menyentuh hati. Apa jadi agaknya kalau si kawan yang ketiga tu tak ada amal kebaikan langsung? Barangkali rakan-rakan lain akan merasa sedih. Kawan yang ketiga pula akan timbul penyesalan tak terhingga. Akan timbul rasa nak taubat kepada Allah setelah melihat keajaiban dan kehebatan amalan kebaikan kerana Allah. Dan atas izin Allah jua, penyesalan pemuda ketiga itu dapat juga membuka lagi pintu gua itu sehingga mereka dapat keluar daripadanya.

    Kisah ini mengandungi banyak hikmah agung. Jika manusia memerah otak untuk meneliti dan menghalusinya, banyak sekali pengajaran yang dapat diperolehi.

    Inilah catu contoh terbaik bagaimana seharusnya kita berdoa kepada Allah. Berdoa sungguh-sungguh dan mengharapkan pertolongan Allah tanpa ragu. Fokus dengan apa yang diminta kepada Allah.

    Cuba kita teliti balik diri kita sendiri ketika berdoa. Apakah kita benar-benar fokus? Atau kita berdoa sekadar menyebut kalimah-kalimah Arab yang kadangkala kita sendiri tidak faham maksudnya, lalu fikiranpun tidak fokus?

    Berapa ramainya masyarakat kita yang datang kenduri doa selamat, kesyukuran, arwah dan lain-lain lagi. Berapa ramaikah agaknya di kalangan yang datang itu benar-benar fokus? Lazimnya, apa yang terlihat ialah, tidak kurang ramainya yang masih bercakap-cakap sesama sendiri semasa berdoa. Tuan rumah tidak kurang yang tak ikut serta berdoa. Kadang kala juga bacaan tuan imam (penyampai doa) tak jelas bacaannya. Kadang-kadang perkataan " untuk kami" disebut "untuk saya".

    Rasanya baik juga kalau sekala sekali berdoa saja dalam bahasa sendiri yang dapat difahami semua. Moga dapatlah penghayatannya.

    Tahniah sekali lagi ABU MIFTAH

    BalasPadam

Komentar Anda...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.