Selasa, 11 Mei 2010

Berjaya Pada Usaha Bukan Pada Hasil

=====================================================================
Bukan Meragi Propaganda Perpecahan - Tetapi Hanya Merapi Pemahaman Sejarah Kebenaran
===============================================================

BERJAYA PADA USAHA BUKAN PADA HASIL...


Kita sering melihat pelangi yang indah. Kita juga selalu memerhatikan kecantikan bintang-bintang yang bergemerlapan. Bahkan suatu ketika dahulu, kita sentiasa mengimpikan untuk menggapai pelangi dan bebintang dikala kita menatap dan merenungnya. Malangnya, ciptaan ALLAH SWT itu bukanlah sesuatu yang dicipta untuk dicapai dengan tangan, tapi sekadar untuk disentuh oleh pandangan mata dan dikaji menggunakan akal dan hati.

Apapun, kita akur yang fitrah manusia itu memang suka dan ingin untuk menggapai dan menyentuh perkara yang indah dan tinggi. Fitrah manusia suka dihargai dan menghargai. Bahkan Abraham Maslow, dalam hierarki keperluan manusia juga menyatakan dan mengakui bahawa keperluan manusia ialah untuk mencapai penghargaan diri dan sekaligus mencapai kepuasan dan kejayaan.

Nah... disana pelbagai cara digunakan oleh manusia untuk mencapai kejayaan. Usahawan misalnya, berusaha untuk mendapatkan keuntungan berlipat ganda. Guru pula, berusaha untuk melihat prestasi sekolah meningkat. Seorang ayah, berusaha untuk memastikan kelengkapan keluarga sempurna. Sedangkan pelajar, berusaha untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan yang dihadapinya. Ceritanya... setiap manusia berusaha dengan caranya mereka masing-masing untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan. Walaubagaimanapun, ada di kalangan manusia yang tidak berusaha tetapi tetap mengimpikan kejayaan atau hasil. Hal ini, samalah kalau seseorang itu mahu makan tetapi dia tidak mahu menyuap makanan yang ada dihadapannya ke dalam mulut!!!

ISLAM sebagai agama fitrah, sangat mengiktiraf keinginan manusia untuk berjaya. Walaubagaimanapun, kejayaan hakiki dan yang sebenar menurut ISLAM ialah kejayaan dalam pengurusan hidup di dunia dan menjalankan amanah sebagai hamba dan pengganti (Khalifah) ALLAH SWT di bumi ini. ALLAH SWT menjadikan manusia dalam pelbagai bidang dan kecenderungan tersendiri dan bidang mereka sebenarnya adalah amanah ALLAH SWT kepada mereka. Dalam ISLAM, kejayaan seseorang itu juga dinilai mengikut kadar usaha yang dilakukan, bukan sahaja hasilnya semata-mata. Usaha atau ikhtiar yang gigih dan bersepadu itu telah mengertikan sebahagian kejayaan seseorang itu dalam hidupnya.

Kerana itulah, jika kita mahu berjaya, tetapi usaha kita tiada atau tidak sempurna; maka kita tetap dikira gagal. Hal ini kerana kita gagal untuk berusaha. Sekali lagi ditegaskan, penilaian kejayaan seseorang itu ukurannya bukan semata-mata pada hasilnya, tetapi juga merangkumi usaha dan prosesnya. Jika dia gagal berusaha, dia tidak akan berjaya. Kesimpulan ringkasnya - untuk menilai kejayaan kita, tidak perlulah kita menunggu lama, lihat sahaja pada keadaan kita sekarang. Jika kita dalam keadaan berusaha, maka kita telah berada di atas landasan orang yang berjaya dan jika dalam keadaan tidak berusaha, kita sebenarnya telah bersedia menempuh kegagalan...

Awas!!! Kegagalan hakiki manusia ialah tidak berusaha untuk mencari iman dan hidayah-NYA... Dan, dalam masa yang sama gagal untuk melihat dan merenung kebenaran yang sebenar dari-NYA.

Pilihlah usaha dan kerjaya yang terbaik untuk-NYA...

Abu Miftah
27 Jamadil Ula 1431H

0 ulasan:

Catat Ulasan

Komentar Anda...