Jumaat, 20 November 2015

ILMU NERACA AMAL

Assalaamualaikum WTB...

Saudaraku Sekalian,

Alhamdulillah. Syukur dan tahmid kita tujukan kepada-Nya yang sentiasa melimpahkan nikmat dan ke'afiatan. Kita masih diberikan kesempatan oleh-Nya untuk menjalani liku-liku kehidupan ini. Hari ini, sekali lagi kita semua dapat bertemu (walau hanya di alam maya) dengan satu tujuan; kerana Allah SWT dan kerana ikatan Ukhuwwah Islaamiyyah...

Awal kesempatan ini, AM serukan pada diri ini dan pada saudaraku sekalian; marilah kita sama-sama pertingkatkan nilai amal-amal ibadah kita. Marilah kita pertautkan rasa kasih dan sayang sesama kita. Binalah persefahaman yang setara agar terbentuk kesatuan. Mudah-mudahan jiwa kita semua dipenuhi rasa unggul dan manisnya nikmat  taqwa kepada Allah SWT. Kita bertemu kerana Allah Azza Wajalla dan akhirnya berpisah juga kerana Allah SWT Sang Maha Rahiiim...

Saudaraku Sekalian,

Allah Azza Wajalla di dalam Al-Quran banyak menyebut dan memasyhurkan kelebihan-kelebihan ilmu dan kedudukan mereka yang berilmu. Dalam sepotong ayat yang terkenal, Allah SWT berfirman :

"... Allah SWT meninggikan beberapa darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan..." (Surah Al-Mujaadilah : 11)

Ilmu yang disebut  di sini adalah umum. Meliputi ilmu Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah. Tetapi nilai ilmu yang terbaik adalah segala ilmu yang mampu mengubah pandangan manusia seluruhnya kepada erti hidup sebenar iaitu Cara Hidup Beragama - Akidah & Ibadah dan Cara Hidup Bersosial - Akhlak & Muamalah.

Ilmu yang terbaik ialah yang mampu membawakan manfaat secara seimbang kepada yang memiliki ilmu dan juga kepada orang lain di sekitarnya. Bagaimanapun tingginya jenjang pembelajaran seseorang, tetapi tingkat ilmunya itu tidak memberikan manfaat dan faedah positif, baik kepada pemiliknya mahupun orang lain; malah mengundang kerosakan, maka itu tidak akan membawa erti.

Saudaraku Sekalian,

Rasulullah SAW di dalam sebuah hadith diriwayatkan berpesan :

"Belumlah dianggap seorang itu alim (yang berilmu), sehinggalah ia mengamalkan ilmunya... 

Ilmu yang sedikit tetapi memadai lalu diamalkan, itu lebih bermanfaat dan bermakna daripada ijazah bergulung, tetapi tidak mampu membentuk jiwa berTuhan...

Justeru itu, dada ini perlu diisi penuh dengan ilmu! Sebab... segala permasalahan hidup, baik kecil apatah lagi yang besar dan rumit mesti memerlukan penyelesaian dan pemecahan. Mana mungkin kita mampu menangani masalah yang mendatang silih berganti hanya dengan bekal ilmu yang begitu-gitu sahaja...

Soalnya, menuntut ilmu adalah dengan pelbagai kaedah dan cara... menuntut ilmu juga adalah kerja yang harus dilakukan dengan serius sepanjang hayat kita.  Cuma.. sesuai dengan kemampuan masing-masing.

Saudaraku Sekalian,

Rasulullah SAW mengingatkan kita :

"Seseorang itu dapat ditangani (dibentuk) menjadi seorang alim dan berilmu, selama ia masih terus belajar. Apabila ia menyangka bahawa ia sudah serba tahu, maka sesungguhnya orang itu adalah dianggap jahil..."

Dalam hadith yang lain, Baginda SAW juga mengingatkan kita dengan tegas :

"Sesiapa yang bertambah ilmunya, akan tetapi tidak bertambah hidayah (petunjuk) yang dimilikinya, maka ia akan semakin jauh dari Allah Azza Wajalla..."
 
Saudaraku Sekalian,

Sehubungan itu, ilmu adalah bekal menempuh persoalan hidup yang terpenting. Malah, belum sempurna ibadah seseorang selagi ibadahnya itu tidak diimbangi dengan ilmu yang berkaitan...

Bahkan, berapa ramai di antara kita yang kerugian ketika beribadah kepada Allah SWT, hanya kerana kurangnya ilmu. Namun, yang paling kita takuti ialah kalau kita tekun beribadah atau beramal tapi tanpa dilandasi ilmu. Maka, akibatnya ia sesat tidak berkesudahan. Niatnya tentu murni, tetapi, kaedah dan cara tidak benar. Akhirnya, bukan manfaat kebaikan yang diperolehi, tetapi kerosakan yang ditempuh...

Oleh kerana itu, marilah kita bermohon semoga kita semua tergolong orang yang mencintai ilmu, cinta akan kebaikan dan kebenaran sekaligus.  Dengan ilmu, kita akan lebih positif, ufuk fikiran yang luas, memiliki kematangan dan kewarasan pertimbangan serta jauh daripada zulumat kejahilan... 

Aminnn
Reaksi:

0 ulasan:

Catat Ulasan

Komentar Anda...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.