Surah Al-Ahqaf : 13 - Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan
keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian
mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan
tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik)
terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
Assalaamualaikum WTB...
12.02.2015 (Khamis), pukul 9.40 malam - Malam Jumaat : Ummat Islam khususnya di negara kita Malaysia yang tercinta ini kehilangan seorang tokoh sekaligus peribadi yang sangat dihormati lagi disayangi iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat (TGNA). TGNA menghembuskan nafas yang terakhir dipangkuan keluarga tercinta.
Kepergian beliau merupakan kehilangan yang tidak tergantikan. Sikap istiqomahnya dalam semua sisi kehidupan merupakan ekspresi iman yang utuh. Perjalanan hidupnya merupakan warna-warni pesona Al-Quran dan Sunnah Rasulullah...
Berita ini hanya saya peroleh daripada group-group whatsapp selepas subuh tadi (13.02.2015 - Jumaat) . Subhaanallah... Malam tadi sebelum tidur, saya membaca buku tulisan Al-Marhum TGNA yang bertajuk : BICARA INI DEMI ILAHI... Sungguh sangat menginsafkan... Saya dapat merasai dari setiap patah kata tulisannya, betapa TGNA sudah cukup bersedia untuk menghadap ILAHI...
Berikut saya nukilkan petikan Sarikata Al-Marhum TGNA dalam buku BICARA INI DEMI ILAHI...
1. Usia adalah nikmat yang akan ditanya oleh ALLAH SWT.
Semakin bertambah usia kita, ertinya semakin banyak persoalan yang perlu
dijawab di hadapan-NYA. Marilah kita menjadikan kehidupan yang dipinjam ini
sebagai saksi bahawa kita telah melakukan amalan soleh selama hayat dikandung
badan.
2. Setiap tahun, kita melihat kumpulan jemaah haji yang
pergi dan pulang dari Tanah Suci. Kita berkata Alhamdulillah… sebaik jemaah
haji yang berangkat meninggalkan tanah air itu selamat pulang semula di kampong
halaman. Namun, sedarkah kita bahawa akan tiba suatu saat nanti di mana kita
pula dihantar pergi dan tidak akan kembali lagi?
3. Begitu juga setiap kali tiba cuti sekolah dan cuti
perayaan, kita melihat anak-anak berduyun-duyun pulang ke kampong.
Alhamdulillah. Tapi sedarkah kita, bila tiba di akhirat kelak, tiada lagi
peluang untuk kita pulang ke desa tercinta? Kita akan kekal di sana. Tiada lagi
rayuan dan permintaan untuk kembali semula walau sedetik Cuma.
4. Orang Kelantan tidak lagi boleh balik ke Kelantan.
Orang Kedah tidak boleh lagi balik ke Kedah. Orang Johor tidak boleh lagi balik
ke Johor… (Orang semenanjung tidak boleh lagi balik ke semenanjung. Begitu juga….)
semuanya akan kekal di akhirat tanpa dapat pulang semula. Oleh itu,
beringat-ingatlah sebelum tiba masanya kita tidak dibenarkan pulang atau
kembali lagi… ITULAH SAAT KEMATIAN!
5. Kita sering berhadapan dengan saat kematian ahli
keluarga, kenalan atau sahabat handai. Sedarkah kita… hari ini kita yang
solatkan jenazah orang, tetapi suatu hari nanti, akan tiba masanya, orang lain
pula yang akan solatkan jenazah kita.
6. Seringkali kita mendengar apabila berlaku kematian, ia
disebut sebagai ‘tamatlah riwayatnya’. Sebenarnya riwayat si mati tidak tamat. Tapi
baru sahaja bermula episode baru iaitu pembalasan terhadap amalannya sewaktu di
dunia. Suatu masa nanti, kita juga akan dibalas perbuatan kita di dunia walau
sebesar mana pun pangkat yang dimiliki.
7. Ingatlah,… setelah mati kelak, tiada apa yang akan
kita bawa selain amalan. Ketika itu, kita sudah tidak mampu melakukan apa-apa
kerana masanya sudah tamat. Tiada apa lagi yang boleh dilakukan kecuali menanti
perbicaraan dan hukuman, apakah nasib kita di sana kelak…
8. Marilah berpegang pada tali ALLAH sedaya upaya kita. Jika
pergi ke tempat yang belum pernah kita sampai, kita akan cuba berusaha untuk
mengekori kereta yang dipandu oleh pemandu yang biasa ke tempat tersebut. Andai
terpisah jauh sehingga bayangnya tidak kelihatan lagi, sudah tentu kita berasa
runsing kerana bimbang tersesat jalan.
9. Demikian juga dengan perjalanan kita ke akhirat. Hendaknya
kita mengekori rapat panduan yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW iaitu
Al-Quran. Jika kita jauh dari Al-Quran, sepatutnya kita berasa risau dan gundah
gulana. Apakah kita akan sampai ke akhirat nanti dengan selamat?
10. Apabila tiba saat kematian dan kita pula dalam
perjalanan menuju ke kampong akhirat, ketika itu sudah tiada guna sebarang
milik kita di dunia ini. Usah ditanya lagi, apa milik kita? Semuanya tidak akan
dapat membantu kecuali amalan. Tidak kira apa taraf kita; jawatan, pangkat dan
kebesaran telah tiada gunanya.
11. (Kata Al-Marhum TGNA ) : Begitu juga saya. Apabila saya
mati, gelaran Dato Bentara Setia sudah tidak ada lagi. Yang ada hanya tinggal
nama (NIK ABDUL AZIZ). Begitulah juga gelaran-gelaran lain. Tan, Tun kesemuanya
tidak ada lagi. Apa yang tinggal hanyalah amalan. Justeru, kita perlu segera
jadikan amalan kerja di dunia ini menjadi pahala di sisi ALLAH kelak.
12. Hargailah denyut nafas yang dipinjamkan-NYA.
Sesungguhnya, nyawa yang dianugerahkan umpama bateri pada sebuah kereta. Tanpa
bateri, kereta tidak akan dapat dihidupkan. Ada bateri yang menunjukkan tanda
untuk rosak. Ada juga yang tiba-tiba sahaja rosak. Begitulah nyawa kita;
adakala tanpa tanda, kita dipanggil ILAHI.
13. Hidup kita ini regunya mati. Seperti pagi regunya
petang. Dunia regunya akhirat. Regu syurga adalah neraka. Semua yang ALLAH
cipta ini ada regunya. Yang tiada regunya hanyalah ALLAH sahaja.
14. Sedarilah… kita semua adalah tetamu. Apabila disebut
sebagai tetamu, ertinya kita menumpang sesuatu yang bukan milik kita. Maka kita
tidak boleh memandai-mandai melakukan apa (sahaja) yang kita mahu.
15. (Kata Al-Marhum TGNA ) : Saya sendiri, sebagai
Menteri, jika datang ke rumah tuan puan sekalian, maka tidaklah boleh saya
melakukan sesuka hati apa yang saya mahu, kerana saya adalah tetamu. Begitu juga,
kita sebagai tetamu ALLAH di muka bumi ini.
16. (Kata Al-Marhum TGNA ) Inilah pesan saya buat semua. Marilah
kita gunakan usia yang masih berbaki ini untuk mentaati-NYA. Usia kita ini
tidak lama. Sekejap sahaja. Setiap hari, kita semua sedang dalam perjalanan
menuju untuk bertemu ILAHI.
17. (Kata Al-Marhum TGNA ) : Sebagai seorang pemimpin,
saya percaya kita perlu mendidik rakyat sehingga apa yang dipraktikkan dalam
kehidupan sama dengan apa yang kita sebut di dalam masjid. Seandainya di dalam
masjid, kita tunduk sujud kepada ALLAH, maka di luar juga kita perlu melakukan
yang sama.
18. Kita turun ke laut, perlu sujud pada ALLAH sama dengan
kita di masjid. Kita berniaga pun kena sama dengan kita di dalam masjid. Ini tidak
lain dan bukan hanyalah kerana TUHAN kita di dalam masjid itulah TUHAN kita
semasa mencari makan di pejabat, di rumah, ( di kebun ) dan di mana sahaja.
19. Hidup ini saling tumpang menumpang. Di situlah
lahirnya syukur kita pada ALLAH. Sedarlah, pada sepinggan nasi yang kita makan,
di situlah ada nasi yang diusahakan oleh petani, ada ikan yang dicari oleh
nelayan, ada ayam yang dipelihara oleh penternak. Bayangkan, betapa banyaknya
pihak yang bekerja untuk memberikan sepinggan nasi pada kita. Alangkah
kerdilnya kita ini di bumi ALLAH.
20. Hiduplah
seperti yang ALLAH mahukan. Dan, bekerjalah seperti yang telah diajarkan oleh
Rasulullah. Ingatlah segala hokum-hakam yang telah ditetapkan-NYA. ( Memelihara
diri dalam soal ) Halal dan haram ( itulah ) merupakan antara punca keberkatan
hidup. Moga kita sentiasa dalam rahmat kasih saying-NYA….
AL-FAATIHAH
0 ulasan:
Catat Ulasan
Komentar Anda...