Ahad, 12 Februari 2012

SOLATKU...

Assalaamu'alaikum WTB...

Apa khabar saudaraku sekalian? Semoga sihat wal 'afiat adanya. Ucaplah dari lubuk hatimu... ALHAMDULILLAH atas semua rahmat, ni'mat dan cintaMU pada hambaMU ini. Ameen...

Maaf sahabat sekalian. Lama tidak menulis di ruang ini. Insyaallah, kita semua walau bertebaran di mana saja tetap dalam ikatan ukhwah yang utuh.

Saudaraku... Di bulan Rabi'ul Awwal yang indah ini - seindah siraman rindu dari Rasulullah SAW buat ummatnya, maka marilah kita pupuk rindu dan cinta berbalas kita buatnya pula. Saran saya, agar memori kita pada Rasulullah SAW bukan hanya pada kelahirannya, namun lebih besar dan membuak pada seluruh peri-kehidupan Baginda. Sungguh, Rasulullah SAW itulah model uswah terbaik bagi mereka yang inginkan ALLAH dan kehidupan sejati di Jannatul Firdausi-NYA.

Marilah kita kuatkan azzam untuk terus berusaha meraih taqwa yang sebenar. Marilah kita sama-sama saling mengingatkan antara satu sama lain, untuk sentiasa peka dengan segala suruhan dan juga tegahan ALLAH SWT. Semoga nanti, iman yang ditanam kemas dihati dan dibajai amal-amal soleh, benar-benar menjadi pohon kebaikan yang kukuh, memberi teduhan pada sang musafir dalam rehlah panjang mereka dan memutikkan bunga bermadu segar dan menghasilkan buah manis yang dinikmati oleh semua. Subahanallah!

Saudaraku... Kita tahu bahawa solat adalah tiang seri kepada hidup beragama ummat Muslimin. Begitulah yang semestinya. Tanpa amalan solat, amal lain yang kita usahakan tidak akan banyak faedah dan manfaatnya pada empunya diri di pengadilan Qaadi Rabbul Jalil kelak. ALLAH SWT memerintahkan kita menunaikan fardhu solat 5 kali sehari semalam. Tidak kira, kita dalam keadaan senang atau susah, lapang atau sibuk, rela atau terpaksa, sihat atau sakit; sehinggakan dalam keadaan genting sekalipun seperti perang pun, solat masih diwajibkan sempurna dengan saf-safnya - namanya solat khauf! Ketika musafir, kewajipan solat tetap dipelihara - dengan adanya solat secara Qasar dan Jamak. Subahanaallah, ALLAH SWT Maha Bijaksana pada hamba-hambaNYA!

Saudaraku... Solat yang dilakukan dengan kaifiat yang baik dan sempurna - mengikut sunnah - adalah kapsul mujarab ciptaan ALLAH SWT untuk hamba-hambaNYA. Dengannya, diri kita tercegah dan terimunisasi dari sebarang penyakit rohani mahu pun jasadi. Insyaallah, terhindarlah dan terdindinglah diri kita dari fahsya' (perbuatan keji) dan kemungkaran.

Mereka yang alim; solat dengan ilmu berhias ikhlas kepada Rabb-nya. Sementara mereka yang lalai; solat ikut-ikutan dan terpaksa, bahkan mungkin menunjuk-nunjuk sahaja. Masing-masing mendapat nilai menurut amal yang dilakukan. Marilah sama-sama perbaiki nilai solat kita dengan berilmu dan ikhlas padaNYA.

"Solat itu adalah mi'raj orang-orang yang beriman" - demikian kata Rasulullah SAW. Justeru itu, seharusnya solat itu menghantar jiwa raga kita ke hadirat ALLAH SWT...

  1. NIAT - ikhlas semata-mata ALLAH SWT.
  2. ALLAHU AKBAR - Besarkan ALLAH SWT dalam jiwa raga, sirnakan segala urusan dunia dari hati dan fikiran. Heningkan perasaan. Tawajjuh-lah kepada ALLAH SWT dengan ihsan - merasai dan meyakini wujud ALLAH SWT yang Maha Mendengar, Maha Menatap dan Maha segala-gala.
  3. Bacalah AYAT-AYAT ALLAH dengan khusyuk, tartil dan tadabburi makna ayat-ayat cinta ilahi itu. Ketika lisan membaca Faatihatul Kitaab - Ketahuilah bahawa dengan asma'NYA-lah kita meraih segala sesuatu. Pujilah dan sedarilah, bahawa hanya ALLAH Tabaaraka Wa Ta'aala pentadbir tunggal alam semesta ini. Rasailah, yang ALLAH SWT itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Akuilah, bahawa dialah sebenar-benar RAJA dan penakluk. Akuilah, bahawa kepadaNYA sahaja kita tunduk dan menghamba diri; kepadaNYA jua kita meminta pertolongan. Mintalah petunjuk terbaik padaNYA, pohonlah agar istiqamah pada agama pilihan-NYA yang penuh nikmat - hindarkan diri dari anutan golongan yang dimurkai dan sesat.
  4. Saudaraku... Bacalah ayat-ayat ilahi yang lain dengan penuh kesungguhan, bukan pamer hafalan dan bacaan semata! Bacalah dengan tawadhu dan penuh perhatian. Panjang atau pendek itu tidak penting saudaraku! Kalau pun hanya dengan Surah-surah QUL, tapi itu menciptakan tauhid yang utuh, ia lebih bermakna pada dirimu dan berharga disisi ALLAH SWT! .... [Namun, lebih afdhal dengan pelbagai surah dan ayat. Kerana, hidangan Ilahi berupaya ayat-ayat cintaNYA itu banyak, agar hambaNYA sentiasa menambah dan mevariasi motivasi hidup dan menghindarkan sikap jemu].
  5. Dengan ruku' dan sujud - rasailah keagungan ALLAH yang Maha 'Aziim, sebaliknya betapa rendahnya darjat kita berbanding ALLAH yang Maha Tinggi.
  6. Sebutlah doa-doa munajatmu dalam solatmu dengan penuh pengharapan, redha dan rendah diri. Yakinilah bahawa ALLAH itu Maha Kaya lagi Maha Memberi kepada siapa jua hambaNYA yang meminta. Kepada yang tidak mengimani ALLAH sebagai ILAH yang Esa atau musyrikin ALLAH tetap memberi, betapa pula hamba-hambaNYA yang beriman dan beramal soleh.
  7. Pada 2 kalimah syahadah-mu : berilah ia makna yang sesungguhnya. Berikanlah bukti kepada ikrarmu itu dengan iman dan amal soleh. Sami'naa wa 'ato'naa - dengar dan patuh - Al-Quraan dan Sunnah Rasul-NYA.
  8. Dengan kalimah Salaam - kembalilah kepada sesama manusia dan makhluk lainnya dengan visi - As-Salaam. Dan, kitalah duta-duta kecil pendokong missi agung - rahmatan lil 'aalamin - yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW. Kitalah sepatutnya khairah ummah itu.

Saudaraku... Insyaallah, solat yang sempurna akan mampu membawa kita mendekatkan diri kepada ALLAH Azza Wa Jalla. Inilah bukti kehambaan kita yang tertinggi kepada-NYA. Ketahuilah, bahawa solat adalah hubungan - wasilah - langsung dan rasmi kita dengan ALLAH SWT Sang Maha Pencipta tanpa perantara lagi. Solat menjadikan diri kita bernilai di mata pandang ALLAH SWT, mulia disisi manusia.

"Sesungguhnya Kami (ALLAH) telah memberikan kepadamu (wahai Muhammad) nikmat yang banyak [1] Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu, dan berkorbanlah [2] Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu, dialah yang terputus ( dari rahmat ALLAH) [3] -- Surah Al-Kautsar : 1-3


AL-FAQIIR ILALLOHI

Abu Miftah [12 Feb 2012]

Reaksi:

0 ulasan:

Catat Ulasan

Komentar Anda...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.