Jumaat, 13 Februari 2015

SARIKATA PESAN AL-MARHUM TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT








Surah Al-Ahqaf : 13 - Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

 Assalaamualaikum WTB...

12.02.2015 (Khamis), pukul 9.40 malam - Malam Jumaat : Ummat Islam khususnya di negara kita Malaysia yang tercinta ini kehilangan seorang tokoh sekaligus peribadi yang sangat dihormati lagi disayangi iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat (TGNA). TGNA menghembuskan nafas yang terakhir dipangkuan keluarga tercinta. 

Kepergian beliau merupakan kehilangan yang tidak tergantikan. Sikap istiqomahnya dalam semua sisi kehidupan merupakan ekspresi iman yang utuh. Perjalanan hidupnya merupakan warna-warni pesona Al-Quran dan Sunnah Rasulullah...

Berita ini hanya saya peroleh daripada group-group whatsapp selepas subuh tadi (13.02.2015 - Jumaat) .  Subhaanallah... Malam tadi sebelum tidur, saya membaca buku tulisan Al-Marhum TGNA yang bertajuk : BICARA INI DEMI ILAHI... Sungguh sangat menginsafkan... Saya dapat merasai dari setiap patah kata tulisannya, betapa TGNA sudah cukup bersedia untuk menghadap ILAHI...

Berikut saya nukilkan petikan Sarikata Al-Marhum TGNA dalam buku BICARA INI DEMI ILAHI...


 1.    Usia adalah nikmat yang akan ditanya oleh ALLAH SWT. Semakin bertambah usia kita, ertinya semakin banyak persoalan yang perlu dijawab di hadapan-NYA. Marilah kita menjadikan kehidupan yang dipinjam ini sebagai saksi bahawa kita telah melakukan amalan soleh selama hayat dikandung badan.
2.    Setiap tahun, kita melihat kumpulan jemaah haji yang pergi dan pulang dari Tanah Suci. Kita berkata Alhamdulillah… sebaik jemaah haji yang berangkat meninggalkan tanah air itu selamat pulang semula di kampong halaman. Namun, sedarkah kita bahawa akan tiba suatu saat nanti di mana kita pula dihantar pergi dan tidak akan kembali lagi?
3.    Begitu juga setiap kali tiba cuti sekolah dan cuti perayaan, kita melihat anak-anak berduyun-duyun pulang ke kampong. Alhamdulillah. Tapi sedarkah kita, bila tiba di akhirat kelak, tiada lagi peluang untuk kita pulang ke desa tercinta? Kita akan kekal di sana. Tiada lagi rayuan dan permintaan untuk kembali semula walau sedetik Cuma.
4.    Orang Kelantan tidak lagi boleh balik ke Kelantan. Orang Kedah tidak boleh lagi balik ke Kedah. Orang Johor tidak boleh lagi balik ke Johor… (Orang semenanjung tidak boleh lagi balik ke semenanjung. Begitu juga….) semuanya akan kekal di akhirat tanpa dapat pulang semula. Oleh itu, beringat-ingatlah sebelum tiba masanya kita tidak dibenarkan pulang atau kembali lagi… ITULAH SAAT KEMATIAN!
5.    Kita sering berhadapan dengan saat kematian ahli keluarga, kenalan atau sahabat handai. Sedarkah kita… hari ini kita yang solatkan jenazah orang, tetapi suatu hari nanti, akan tiba masanya, orang lain pula yang akan solatkan jenazah kita.
6.    Seringkali kita mendengar apabila berlaku kematian, ia disebut sebagai ‘tamatlah riwayatnya’. Sebenarnya riwayat si mati tidak tamat. Tapi baru sahaja bermula episode baru iaitu pembalasan terhadap amalannya sewaktu di dunia. Suatu masa nanti, kita juga akan dibalas perbuatan kita di dunia walau sebesar mana pun pangkat yang dimiliki.
7.    Ingatlah,… setelah mati kelak, tiada apa yang akan kita bawa selain amalan. Ketika itu, kita sudah tidak mampu melakukan apa-apa kerana masanya sudah tamat. Tiada apa lagi yang boleh dilakukan kecuali menanti perbicaraan dan hukuman, apakah nasib kita di sana kelak…
8.    Marilah berpegang pada tali ALLAH sedaya upaya kita. Jika pergi ke tempat yang belum pernah kita sampai, kita akan cuba berusaha untuk mengekori kereta yang dipandu oleh pemandu yang biasa ke tempat tersebut. Andai terpisah jauh sehingga bayangnya tidak kelihatan lagi, sudah tentu kita berasa runsing kerana bimbang tersesat jalan.
9.    Demikian juga dengan perjalanan kita ke akhirat. Hendaknya kita mengekori rapat panduan yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW iaitu Al-Quran. Jika kita jauh dari Al-Quran, sepatutnya kita berasa risau dan gundah gulana. Apakah kita akan sampai ke akhirat nanti dengan selamat?
10.  Apabila tiba saat kematian dan kita pula dalam perjalanan menuju ke kampong akhirat, ketika itu sudah tiada guna sebarang milik kita di dunia ini. Usah ditanya lagi, apa milik kita? Semuanya tidak akan dapat membantu kecuali amalan. Tidak kira apa taraf kita; jawatan, pangkat dan kebesaran telah tiada gunanya.
11.  (Kata Al-Marhum TGNA ) : Begitu juga saya. Apabila saya mati, gelaran Dato Bentara Setia sudah tidak ada lagi. Yang ada hanya tinggal nama (NIK ABDUL AZIZ). Begitulah juga gelaran-gelaran lain. Tan, Tun kesemuanya tidak ada lagi. Apa yang tinggal hanyalah amalan. Justeru, kita perlu segera jadikan amalan kerja di dunia ini menjadi pahala di sisi ALLAH kelak.
12.  Hargailah denyut nafas yang dipinjamkan-NYA. Sesungguhnya, nyawa yang dianugerahkan umpama bateri pada sebuah kereta. Tanpa bateri, kereta tidak akan dapat dihidupkan. Ada bateri yang menunjukkan tanda untuk rosak. Ada juga yang tiba-tiba sahaja rosak. Begitulah nyawa kita; adakala tanpa tanda, kita dipanggil ILAHI.
13.  Hidup kita ini regunya mati. Seperti pagi regunya petang. Dunia regunya akhirat. Regu syurga adalah neraka. Semua yang ALLAH cipta ini ada regunya. Yang tiada regunya hanyalah ALLAH sahaja.
14.  Sedarilah… kita semua adalah tetamu. Apabila disebut sebagai tetamu, ertinya kita menumpang sesuatu yang bukan milik kita. Maka kita tidak boleh memandai-mandai melakukan apa (sahaja) yang kita mahu.
15.  (Kata Al-Marhum TGNA ) : Saya sendiri, sebagai Menteri, jika datang ke rumah tuan puan sekalian, maka tidaklah boleh saya melakukan sesuka hati apa yang saya mahu, kerana saya adalah tetamu. Begitu juga, kita sebagai tetamu ALLAH di muka bumi ini.
16.  (Kata Al-Marhum TGNA ) Inilah pesan saya buat semua. Marilah kita gunakan usia yang masih berbaki ini untuk mentaati-NYA. Usia kita ini tidak lama. Sekejap sahaja. Setiap hari, kita semua sedang dalam perjalanan menuju untuk bertemu ILAHI.
17.  (Kata Al-Marhum TGNA ) : Sebagai seorang pemimpin, saya percaya kita perlu mendidik rakyat sehingga apa yang dipraktikkan dalam kehidupan sama dengan apa yang kita sebut di dalam masjid. Seandainya di dalam masjid, kita tunduk sujud kepada ALLAH, maka di luar juga kita perlu melakukan yang sama.
18.  Kita turun ke laut, perlu sujud pada ALLAH sama dengan kita di masjid. Kita berniaga pun kena sama dengan kita di dalam masjid. Ini tidak lain dan bukan hanyalah kerana TUHAN kita di dalam masjid itulah TUHAN kita semasa mencari makan di pejabat, di rumah, ( di kebun ) dan di mana sahaja.
19.  Hidup ini saling tumpang menumpang. Di situlah lahirnya syukur kita pada ALLAH. Sedarlah, pada sepinggan nasi yang kita makan, di situlah ada nasi yang diusahakan oleh petani, ada ikan yang dicari oleh nelayan, ada ayam yang dipelihara oleh penternak. Bayangkan, betapa banyaknya pihak yang bekerja untuk memberikan sepinggan nasi pada kita. Alangkah kerdilnya kita ini di bumi ALLAH.
20.   Hiduplah seperti yang ALLAH mahukan. Dan, bekerjalah seperti yang telah diajarkan oleh Rasulullah. Ingatlah segala hokum-hakam yang telah ditetapkan-NYA. ( Memelihara diri dalam soal ) Halal dan haram ( itulah ) merupakan antara punca keberkatan hidup. Moga kita sentiasa dalam rahmat kasih saying-NYA….

AL-FAATIHAH