Isnin, 24 September 2012

APA PERSIAPAN KITA UNTUK HARI ESOK?

Apa persiapan kita untuk kehidupan hari esok? Atau lebih jelas pertanyaannya ialah – Apakah persediaan yang telah kita persiapkan untuk kehidupan hari akhir kita?

Marilah kita membaca Al-Quran. Disana kita bertemu dengan peringatan ALLAH SWT kepada orang-orang yang beriman – yang tidak lain dan tidak bukan – sebenarnya teguran untuk kita semua.

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan” (Surah Al-Hasyr : 18)

Melalui ayat ini, bukankah ALLAH SWT memerintahkan kita untuk memerhatikan apa-apa sahaja yang telah kita perbuat sebagai sebuah persiapan di hari akhirat nanti? Ini bererti, kita disuruh merenung dan bermuhasabah diri – selagi kita masih hidup, atau sebelum datangnya kematian. Kenapa ALLAH SWT memerintahkan demikian? Kerana, memang kehidupan yang sebenarnya adalah nanti di alam akhirat. Tegasnya, kehidupan kita di saat ini hanyalah sementara. Hanya main-main. Hanya senda gurau.

Disebut oleh ALLAH SWT :“Dan Tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. dan Sesungguhnya akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, kalaulah mereka mengetahui” (Al-Ankabuut : 64)

Jadi – Apa yang harus kita persiapkan?

Dalam ayat ke-8 Surah Al-Hasyr sebentar tadi, dengan tegas ALLAH SWT menyuruh kita untuk bertakwa. Bahkan sampai diulang sebanyak dua kali. Bertakwalah, dan bertakwalah. Penekanan ini menunjukkan betapa pentingnya untuk kita bertakwa – atau memelihara diri mengikut lunas agama ISLAM dalam menjalani kehidupan ini. Sebagaimana telah disebutkan tadi, bahawa secara sederhana – takwa – dapat diertikan sebagai upaya kita untuk menjalankan perintah ALLAH SWT dan upaya kita untuk meninggalkan larangan-Nya. Sudah tentu yang diperintahkan adalah berbuat amal soleh sebanyak-banyaknya. Maka, kerana itulah disebut bahawa – sebaik-baik bekalan adalah takwa.

Seterusnya – Bilakah kita mempersiapkan itu semua?

Jawapannya – untuk kebaikan diri kita masing-masing, maka marilah kita bersiap siaga mulai saat ini juga. Persiapan ini tidak boleh ditunda-tunda. Tidak boleh nanti-nanti. Sementara, ramai orang berpendapat, untuk berbuat amal soleh dan soal takwa itu nanti saja kalau kita sudah tua. Ramai anak muda berpendapat, jangan mensia-siakan masa muda untuk menikmati gemerlapnya kehidupan dunia. Saudaraku sekalian – ini adalah pendapat yang keliru!

Kenapa keliru? Ya… kerana tidak seorang pun yang tahu bila akan datangnya kematian. Kematian tidak pilih bulu. Kematian tidak pandang muda atau tua. Kematian yang kita ingin sangat lari darinya boleh terjadi bila-bila masa sahaja. Di mana-mana sahaja. Dan berlaku terhadap siapa-siapa sahaja, jika ALLAH SWT sudah menghendaki.

Soalnya - jika ajal sudah datang, tidak ada gunanya lagi sebuah penyesalan. ALLAH SWT menggambarkan, di hari kebangkitan nanti ramai manusia berdosa akan menyesali perbuatan-perbuatan mereka ketika hidup di dunia, sehingga mereka bersungguh minta dikembalikan lagi ke dunia.

“ Dan, jika sekiranya kamu melihat mereka ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): "Ya Tuhan Kami, Kami telah melihat dan mendengar, Maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, Sesungguhnya Kami adalah orang-orang yang yakin." (As-Sajadah : 12)

Bagaimanakah kita mempersiapkannya?

Untuk itu, maka marilah kita hargai dan manfaatkan waktu hayat ini sebaik-baiknya. Waktu tidak pernah terulang. Yang dapat terulang adalah aktivitinya, ini pun saat kita masih hidup. Sementara, waktu berjalan terus ke depan. Justeru itu, tanyalah diri - apa yang sudah kita lakukan sebagai caruman atau pelaburan kita untuk akhirat nanti? Jika kita melakukan pelaburan yang baik, maka kita akan memetik hasil yang baik pula. Sebaliknya, andai kita melakukan pelaburan yang jelek dan buruk, maka derita pula yang kita dapat.

Untuk melakukan pelaburan akhirat yang baik ini tidak perlu menunggu adanya waktu lapang, atau menunggu diri kita betul-betul siap. Tapi sebaliknya harus selalu siap, sesuai dengan kemampuan kita.

Jika kita ingin meningkatkan kualiti ibadah, tidak perlu menunggu datangnya masa tua. Jika ingin memberikan sedekah, tidak perlu mengunggu kita kaya. Jika kita ingin menolong orang, tidak perlu menunggu kita mampu. Jika kita ingin menuntut ilmu, tidak perlu menunggu datangnya guru. Jika kita ingin berkarya,, tidak perlu menunggu diri kita siap dan sempurna segala-galanya.

Marilah kita lakukan amal soleh sesegera mungkin dan sebanyak mungkin. Dan lakukanlah semampu yang kita mampu. Kendalikan waktu sebaik mungkin. Jangan sebaliknya waktu yang mengendalikan kita. Tapi ingat! Setiap amal, harus dilandasi niat kerana ALLAH Azza Wa Jalla. Hindari sifat ingin dapat pujian, ingin dapat perhatian, apatah lagi sombong dengan amal yang dilakukan.

Marilah lakukan seikhlas mungkin dan serahkan hasilnya dengan penuh redha kepada ALLAH SWT. Kerana sememangnya, hanya DIA yang Maha menentukan segala-galanya. Semoga bermanfaat. Amiin Yaa Rabbal ‘Aalamiin.

Khutbah Jumaat : Masjid Nurul Iman Tambunan
Tarikh : 21. Sept. 2012
Khatib & Imam : Ust Abu Miftah