Khamis, 24 Mei 2018

TITIPAN SECEBIS HARAPAN

Assalaamualaikum WTB...

Saudaraku...

Alhamdulillah.. Puji syukur kepada-NYA yang telah memberikan kita semua kesihatan, keafiatan dan kesejahteraan.

Setelah 61 tahun negara tercinta ini mengisi sejarah kemerdekaan... Dan setelah 55 tahun negeri tumpah darah ini bersama bersekutu dalam 'MALAYSIA', maka 2018 ini pertama kalinya pemerintahan kerajaan Malaysia bertukar kepimpinan!

Selama 55 tahun kerajaan persekutuan di pimpin oleh 'Kerajaan Barisan Nasional'.. Tetapi detik 9hb Mei 2018 telah mengisahkan sebaliknya. Akhirnya 'rejim' pemerintahan BN tumbang dan beralih kepimpinan kepada PH (Pakatan Harapan).

Sungguh pun demikian, para pemimpin yang tampil memimpin kerajaan baharu ini sebenarnya masih merupakan kelompok pemimpin yang lama telah mewarnai pentadbiran negara ini sebelumnya. Cuma saja mereka dulu adalah 'Barisan Pembangkang' yang kini telah berjaya meraih mandat daripada rakyat, sekaligus sebuah taklif berat daripada Allah SWT.

Saudaraku...

Sejarah mengulangi sejarah itu sendiri!

Setiap segala sesuatu itu posisinya terikat dengan dimensi putaran perubahan. Tidak akan ada yang kekal.. Semuanya akan berubah. Semuanya akan bergerak terus.. Maka, sebenarnya tidak adalah yang mengejutkan sangat dengan transformasi dan reformasi yang telah berlaku. Kehendak dan aturan-Nya telah berlaku. Masanya telah tiba buat yang selama ini mencita-citakannya... Justeru, pengisian perubahan harus digerakkan dan dipacu dengan segera..

Saudaraku...

Tulisan ini tidak akan kemana. Coretan ini tidak akan bererti. Wadah usang ini tidak akan pernah dijamah oleh mereka yang 'berkuasa' di luar sana.. Dibaca? sudah tentu tidak... Dilihat? apatah lagi... Didengar? Nehiii.. 

Namun, kita optimis!
Kami rakyat marhaen, nun di tengah belantara antara Gunung Kinabalu dan Gunung Trus Madi.. Pun meletakkan harapan tinggi. Kami juga jelata yang harus dilihat.. harus didengari... harus diempati.. Namun, kami tidak usaha sangat ditatang. Cukup sekadar segala kata dikota.. Perlakukan kami apa adanya sebagai warganegara.. Pimpin kami seadilnya.. Bantu kami seikhlasnya.. Tunaikan semampu kalian, apa yang menjadi prioriti negara,  tanpa membelakangi rakyat yang telah menunaikan impian Anda..

Tuntasnya... HARAPAN besar anda, sebenarnya juga harapan kecil kami... Bak kata peribahasa -  "Muafakat Membawa Berkat" maka setelah utuh berpakat, lalu tunaikanlah harapan yang dicanang selama ini. 

Perubahan? Ia memang bukalah semudah yang dikata. Tetapi, jika anda para pemimpin-pemimpin ikhlas; maka, kami rakyat jelata akan mendokong dengan senang dan suka segala aspirasi yang diusahakan. Bahkan, Allah juga redha dengan usaha anda... 

Dengan ini, kami mandatkan HARAPAN kami dibahu anda!  
Semoga titik tolak perubahan di bulan Ramadhan Al-Mubaarak ini membuahkan natijah yang terbaik untuk ummah Malaysia yang cintakan kedamaian. 
Semoga anda dipermudahkan dalam mengemudi bahtera Malaysia merdeka ini melayari samudera siasah yang serba rencam. 

Harapan anda, adalah harapan kami jua.. Semoga..
Reaksi:

0 ulasan:

Catat Ulasan

Komentar Anda...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.