Ahad, 22 Julai 2012

REFLEKSI IMAN DAN UKHWAH DI BULAN RAMADHAN

Assalaamu'alaikum WTB...

Firman Allah Ta'ala :

"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara"
(Surah Al-Hujurat : 10)

Saudaraku...

Ini bermakna bahawa keimanan sejati hanya akan wujud dengan adanya tali persaudaraan yang sebenar. Persaudaraan murni tidak akan bermakna jika seseorang Muslim tidak pernah mahu ikut merasai kesedihan dan penderitaan saudaranya.
Seorang Muslim adalah salah satu bahagian yang tidak dapat dipisahkan dari tubuh ummat yang hidup. Ummat adalah tempat dia berpijak dan sebagai titik tolak baginya untuk mengorak langkah ke hadapan dan sebagai sumber kekuatan semangat perjuangannya.

Ia berjuang dan berusaha untuk sentiasa memberikan khidmat terbaik kepada ummatnya; merasa bahagia dan gembira dengan kegembiraan dan kebahagiaan, dan sebaliknya ikut merasai sedih dan duka dengan kesedihan yang dialami ummatnya.

Dalam kaitan ini, baginda Nabi Muhammad SAW telah dengan tepat sekali melukiskan keadaan dengan sabdanya :

"Seorang Mukmin dengan Mukmin yang lain bagaikan sebuah bangunan, di mana satu sisi saling memperkukuhkan sisi yang lain." Kemudian beliau mengisyaratkan dengan merapatkan kesemua jari-jemari kedua belah tangannya" (Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari)

Firman Allah SWT yang bermaksud :

"...dan ingatlah di waktu dahulunya kamu berjumlah sedikit, kemudiannya Allah memperbanyak bilangan kamu..." (Surah Al-A'raf : 86)

Saudaraku...
Demikianlah bilangan dan jumlah yang banyak adalah merupakan salah satu unsur dan faktor kekuatan serta kebanggan bagi sesebuah ummat, kerana mereka dapat bergabung tenaga, fikiran dan kemampuan untuk mewujudkan tenaga dan impak yang besar.

Justeru itu, untuk mewujudkan tenaga besar - keikhlasan dan keyakinan terhadap Islam lebih diutamakan dari yang lain. Jika tidak mampu menjelmakan Al-Islam di dalam semua aspek kehidupan, lantas bagaimana mungkin mereka akan menjadi contoh teladan dan ikutan bagi yang lainnya untuk mewujudkan ukhuwah? Kerana orang atau ummat yang tidak mempunyai apa-apa, tidak mungkin dapat memberikan apa-apa pula kepada orang lain.. Bagaikan si buta yang menuntun jalan bagi si celik - pastilah si celik tersebut akan mendapat kemalangan kerana mahu ditunjuk jalan oleh si buta!

Oleh kerana itu, menjadi kewajipan dan tanggungjawab seluruh kaum Muslimin untuk melaksanakan ajaran Al-Islam secara 'Kaaffah' iaitu menyeluruh dan sempurna, agar mereka beroleh kelayakan untuk menjadi pemimpin ke atas ummat yang lain di suatu saat nanti.

"Mudah-mudahan kita tergolong di dalam kelompok orang-orang Mukmin yang sejati dengan menjadi lebih prihatin kepada saudara Muslim yang lain"

*** Ingatlah! Iman & Ukhwah Itu Saling Mengikat***
 
Abu Miftah
02 Ramadhan 1433 H

LAMBAIAN MINDA : MISTERI RAMADHAN

Assalaamu'alaikum WTB...

"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kepada kamu berpuasa (di bulan Ramadhan) sebagaimana telah diwajibkan kepada orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu sentiasa bertaqwa" (Surah Al-Baqarah : 183"

"Semua amal kebaikan anak Adam memiliki balasan 10 kali ganda daripada kebaikan tersebut, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu adalah milik-Ku, Akulah yang akan menentukan balasan bagi ibadah itu" (Hadith Qudsi)

Alhamdulillah. Ramadhan yang diberkati datang lagi. Puasa di bulan Ramadhan adalah salah satu rukun Islam dan pasak bangunan Islam yang besar. Puasa adalah ibadah yang suci dan merupakan sarana agung untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT. Di dalamnya terkandung nilai Ihsan dan Muroqobatullah (pengawasan ALLAH SWT) terhadap manusia.

Orang yang berpuasa  bukan sahaja menahan diri daripada makan dan minum, lapar dan dahaga; tetapi juga menahan diri daripada segala perkara yang mengakibatkan susutnya nilai puasa yang dilaksanakan. Dan yang sering menakjubkan kita, ketika berada dalam bulan puasa ini, orang cenderung kembali dengan mudah kepada fitrah diri.

Maka, tepatlah kalau kita katakan bahawa pakej Ramadhan ini memang waktunya untuk kita semua menyegarkan semula energi atau tenaga dalaman kita. Puasa itu sendiri merupakan ibadah yang sarat dengan nilai keikhlasan dan kesucian.

Dalam hadith Qudsi di atas pun, ALLAH SWT telah jelaskan bahawa ibadah puasa adalah milik-Nya. Semua amal kebaikan anak Adam dibalas oleh ALLAH SWT sampai 10 kali ganda (atau lebih sehingga 100 kali ganda - dalam hadith lain), kecuali pahala puasa - kerana sesungguhnya kata ALLAH SWT puasa itu adalah untuk-Nya, dan DIA-lah sahaja yang menentukan gandaan balasannya.

Sungguhpun begitu, amalan puasa yang akan  diterima secara utuh di sisi ALLAH SWT haruslah berupa amalan puasa yang dijalankan dengan penuh keimanan dan kesedaran terhadap makna dan rahsianya. Sebab itulah Rasulullah SAW tegaskan :

"Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh rasa keimanan dan mengharapkan ganjarannya (hanya kerana ALLAH), maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni." (Hadith Riwayat : Imam Bukhari dan Muslim)

Selamat Meraih Rahmat Ilahi...

Abu Miftah
02 Ramadhan 1433 H

Selasa, 10 Julai 2012

IMAN DAN AMAL SOLEH

Assalaamu'alaikum wtb,

Antara pujangga sekaligus ulama yang saya sangat minati ialah Buya Hamka. Hasil karyanya sangat mengesankan dan mendepani zaman beliau, malah buah fikirannya masih segar dan hidup menyonsong zaman. Tidaklah berlebih kalau saya mengatakan bahawa itulah bezanya tulisan yang datang dari lubuk hati keimanan, diwarnai sikap yang tegas dan dipahat dengan pena keahlian.

Dalam bukunya "Kesepaduan Iman Dan Amal Soleh" Buya Hamka menyatakan :

"Hubungan di antara amal, adalah hubungan antara budi dan perangai. Kalau kita percaya kepada Allah, tentu kita cinta kepadaNya, tentu kita sudi menuruti apa yang dikehendakiNya. Cinta yang tidak sudi berkorban, menurut yang terpakai dalam alam ini, adalah cinta palsu. Apatah lagi terhadap Allah, nescaya iman palsu, Islam palsu. Mengaku diri seorang Islam, padahal tidak mengerjakan shalat lima waktu, cubalah fikirkan, betulkah pengakuan itu? Mendakwa diri seorang Islam, padahal enggan mengeluarkan zakat? Sebab apa? Apakah lantaran merasa bahawa harta itu bukan pemberian Tuhan? Mengaku diri seorang Islam, padahal enggan melakukan puasa Ramadhan. Apakah sebabnya? Bukankah ini pengakuan itu belum bulat? Lain di mulut lain pula di hati?

Anda hendak berjuang, menegakkan cita-cita Islam, dalam masyarakat, negara, ekonomi, politik dan sebagainya - padahal shalat lima waktu anda tinggalkan. Hal ini petanda rumah yang hendak anda bina itu, anda tegakkan di atas tiang yang lapuk. Atau anda mendirikan rumah tidak memakai tiang. Maka selamanya rumah itu tidak akan tegak. Rumah baru berdiri, apabila dimulai dari sendinya.

Demikian pula dalam beragama, harus dimulai dari sendinya. Jika tidak, petanda bahawa pengakuan belum betul, kepercayaan belum duduk, maknanya iman belum ada. Kalau iman belum ada, nescaya Islam pun belum ada. Cubalah tanyai hati sendiri. Apakah beratnya mengerjakan perintah...?" Demikianlah diungkap oleh Prof. Dr. Hamka.

Jumaat, 6 Julai 2012

Celik Minda & Celik Hati...

Assalaamu'alaikum WTB...

CELIK MINDA - maksudnya proses berfikir yang menyebabkan manusia menjadi tahu. Tahu akan sesuatu adalah asas kepada maklumat dan ilmu. Tidak semua maklumat berstatus ilmu, tetapi setiap ilmu terkandung maklumat. Manusia selalu ingin tahu siapakah dirinya dan apa yang ada di sekitarnya. Mengetahui akan sesuatu menjadikan manusia celik minda.

Namun, celik minda semata-mata tidak memadai. Kita memerlukan CELIK HATI. Nilai terhadap sesuatu, lahirnya daripada hati. Celik Hati ibarat bateri. Yang memberi makna kepada bateri ialah cahaya. Apabila cahaya memberikan suluhan, ia menunjukkan jalan dan pedoman. Hidup tanpa jalan dan pedoman akan membawa kesesatan. Celik Minda plus Celik Hati bukan sahaja menjadikan diri kita tahu akan sesuatu, tetapi sesuatu yang diketahui memberi makna kepada diri dan hidupnya.

Celik Minda wajib diupayakan dalam diri setiap di antara kita. Pancaindera dan akal yang ALLAH SWT anugerahkan mesti diimanfaatkan untuk berfikir. Berfikir memerlukan pedoman. Apa yang telinga dengar dan yang mata lihat disimpul pada ikatan akal atau fu'ad; inilah yang disebut proses berfikir.

Justeru itu, sebagai Muslim pedoman berfikir adalah murni pada Al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya. Inilah asas dan prinsip yang sangat penting dalam proses pemantapan ilmu pengetahuan. Membaca mencelikkan minda. Namun, apa yang tersurat tidak semestinya sama dengan yang tersirat. Maka jika kita membaca yang tersurat dengan kunci celik hati, ia akan membantu bacaan kita merungkai makna yang tersirat.

Kembali kepada pedoman atau skrip hayat kita iaitu Al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya! Menjadikan celik minda untuk membaca yang tersurat dan memahami (tafaqquh) yang tersirat dengan celik hati. Maka... InsyaAllah kita akan menghayati kelak akan pedoman, prinsip dan segala kisah yang terbuku di lembaran-lembaran Mushaf Al-Quran dan terbentang luas pada kanvas Sunnah Rasul-Nya.

Sebagai contoh mudah, angkatlah tema kisah-kisah gelagat manusia, kaum dan bangsa sepanjang zaman yang dirakam ALLAH Azza Wajalla di dalam Al-Quran. Masalah sosial dan segala rencam keburukan perilaku nista manusia bukanlah perkara yang baru dalam sejarah manusia. Yang berlaku kini adalah 'pengulangan' apa yang telah berlaku pada masa lalu - dan rotasi sejarah ini akan berterusan.

Keselamatan hanya akan dimiliki oleh mereka yang membaca dan mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku. Pengajaran atau ibrah itulah yang menjadi pedoman para pemilik celik hati supaya dapat membezakan buruk dan baik akan sesuatu. 

Baiklah cuba perhatikan... 'Melakukan atau menilai sesuatu dengan  logik semata-mata belum tentu benar'. Tetapi logik akal yang dipandu wahyu, pasti akan menghantar kepada kebenaran. Apabila Al-Quran mempedomankan kita mengenai "Jangan Menghampiri Zina", secara logiknya kita boleh terdorong untuk berfikir - apa salahnya manusia berzina? - kerana manusia ada nafsu dan keinginan.

Logik akal kata : Kalau keinginan itu dilakukan bersama (suka sama suka) apa salahnya menikmati kelazatan melakukan hubungan jenis dan pelbagai jenis... Kalau isunya ialah takut mengandung atau dijangkiti penyakit; kondom dan ubat-ubatan canggih boleh dijadikan alat pencegahnya. Haha... celik akal yang demikian adalah dipandu oleh nafsu tetapi tidak dipedoman oleh celik hati.

Bila celik hati dijadikan asas, maka Al-Quran dijadikan sumber terbaik! Yang dibimbing ALLAH Ta'ala dalam Al-Quran untuk kita terapkan dalam kehidupan adalah generasi keturunan yang bersih suci tabiatnya. Ummat yang baik dan perkasa harus dilahirkan dari keturunan yang baik. Zina adalah tabiat buruk. Manusia akan hilang batas sempadan halal haram dan mendorong manusia memiliki sifat melampaui batas. Celik hati memandu manusia memahami sebab akibat dari perbuatan mungkar tersebut. Keburukan demi keburukan akibat perilaku zina manusia telah terungkap dalam sejarah hidup manusia silam. Ambillah pengajaran. Ambillah iktibar.

Masih terlalu banyak pedoman di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya yang perlu diteliti, difahami dan dihayati dengan celik hati. Tidak cukup dengan semata-mata bernostalgia tetang sejarah emas ummat Islam yang silam. Tetapi jadikanlah serta ambillah nilai, prinsip dan pedoman dasar yang telah menjulang  ummat zaman keemasan itu, seterusnya diterapkan dengan sesungguhnya dalam kehidupan kini dengan nuansa dan praktik yang baru. Sesungguhnya, tiadalah yang menjadikan zaman mereka itu gemilang melainkan dengan gandingan mantap celik minda dan celik hati bersuluhkan wahyu ilahi pada lembaran Al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya yang kini di anggap usang itu.

(Entri ini sebahagiannya adalah adaptasi dari karya Prof. Dato Dr. Sidek Baba UIAM - 'Remaja ISLAM Kembali Pada Pemikiran Al-Quran & Sunnah - 2010)

Salam sayang untuk semua...
"Afsyus salaamu bainakum"
Wallahu Yar'aana Wa Yahfazuna

Abu Miftah
16 Sya'baan 1433H

Selasa, 3 Julai 2012

SEDIKIT TAPI BANYAK..

Assalaamua'alaikum WTB...

Saidina Ali K.W berkata :
"Empat perkara yang sedikit sahaja terjadi sudah dikira banyak, iaitu (1) Sakit, (2) Faqir, (3) Api dan (4) Permusuhan."

Empat perkara tersebut, siapa pun yang mengalaminya walaupun sedikit, tetap menyulitkan dan telah meragut kebahagiaan juga keselamatan.

Apabila kita sakit, yang seronok jadi lesu dan hambar. Sementara, apabila kita mengalami kefaqiran mendadak, hidup terasa hampa dan tidak bererti. Saudara yang selama ini dekat dengan kita sewaktu kita berada akan menjauh, malah ada yang tidak sudi lagi menyapa kita sebagai saudara. Api - keberadaannya sedikit atau banyak pada satu sisi teramat banyak manfaatnya. Namun, jika tidak dijaga dan diguna sebaiknya, kecil mahupun besar ia akan membakar dan menghanguskan.

Permusuhan - walau dalam skala yang kecil sekalipun, jangan sampai bersarang di dalam diri kita. Apatah lagi kalau kita sendiri yang menciptakan pola permusuhan, maka bencananya amat besar. Diri sendiri akhirnya menjadi musuh dirinya. Dengki kesumat adalah bekas nista permusuhan syaitan kepada Bani Adam sampai ke akhir wujud.

Perhatikanlah sabda Rasulullah SAW yang mulia :
"Pokok akal setelah iman kepada Allah SWT adalah kasih sayang kepada sesama manusia."

Daripada pesan junjungan mulia ini, kasih sayang adalah khazanah yang mahal dalam kehidupan. Maka, sirnakanlah kecenderungan fitnah, adu domba dan permusuhan dalam hidup kita.

Nabi Sulaiman a.s ada mengatakan :
"Janganlah kamu menganggap banyak memiliki seribu sahabat. Seribu sahabat itu sedikit. Dan janganlah kamu menganggap sedikit memiliki seorang musuh. Kerana, memiliki seorang musuh itu bererti ramai."

Marilah renung-renungkan....