Sabtu, 4 September 2010

Renungan Minggu Akhir Ramadhan....


Alhamdulillah.

Sedar tak sedar kita sudah berada di minggu-minggu akhir Bulan Ramadhan Al-Mubaarak. Ketika ini, pelbagai macam keadaan dan situasi orang di sekeliling kita. Semuanya dengan 'amal' masing-masing.

Berada di minggu-minggu akhir Ramadhan menimbulkan rasa semangat tinggi dan sekaligus perasaan sebak didada - bagi mereka yang benar-benar mencari sesuatu yang terbaik di bulan ini. Sangat bersemangat kerana motivasi LIL LAAHI TA'ALA-nya. Terharu dan sebak kerana belum puas dengan kelazatan ibadah dan peluang ganjaran yang sangat besar dari-NYA. Sedih kerana merasa amal yang telah dibuat masih belum mencukupi dan belum tentu diterima setimpal dengan ganjaran-NYA. Tambahan pula, belum tentu akan diberikan lagi peluang seterusnya pada tahun mendatang.

Minggu akhir Ramadhan - adalah minggu yang sangat sibuk dan bersengkang mata - bukan kerana mencari Lailatul Qadar ALLAH, tetapi mencari baju raya dan kuih-muih di pasar raya serta penat letih menunggu biskut yang tengah dimasak. Yang lain sibuk dengan tempahan itu ini, yang belum siap pakaian lebarannya - terkejar-kejar ke tukang jahit. Para penjual di pasar malam sibuk dengan jualan dan nisbah rezeki masing-masing.

Minggu akhir Ramadhan - menjadikan ramai orang di luar sana mula tersenyum lebar semula. Senyum kerana lebaran semakin dekat. Anak-anak riang dan mula bermain dentum-dentuman, tanda semakin dekatnya hari yang bagi mereka sangat mengujakan. Horeeey Rayaaa!!! kata mereka. Tapi masalahnya, dalam tawa riang disitu jugalah sedih pilunya - bagi mereka yang ter-over gembira sebelum tiba masanya.

Minggu akhir Ramadhan - masjid semakin sunyi dengan makmumnya. Barangkali kerana sudah letih dan jenuh setelah lama berpuasa. Atau kerana santapan berbuka semakin berat dan lazat saja. Yang nyata, sof-sof di masjid dan surau semakin kurus dan pendek tatkala rakaat solat sunnah tarawihnya semakin ke angka besar. Mungkin pahala sudah cukup! Semakin sayup pak Imam, bilal dan makmum berselawat, semakin sepi suasana rumah ALLAH itu. Semakin semarak lampu-lampu neon di pasang melitupi dinding di lelaman rumah, apalagi di pasar raya dan pusat beli-belah; semakin malap pula rupanya sinar iman orang di musolla dan masjid. Yang tinggal menjadi makmum setia ialah orang yang itu-ituu juga dan kelihatan semuanya golongan 40-an ke atas. Yang muda segak makin langka kelihatannya. Yang ustaz pun kadang entah ke mana... Yang setia cuma yang memang mahu 'beramal' sahaja. Alhamdulillah.

Minggu akhir Ramadhan - sememangnya begitulah realiti yang berlaku dari dulu dan mungkin selamanya. Nuansa keberkatan bulan suci ini sering kita lalaikan. Apa yang dicari, selalu kita abaikan. Kenapa kita lupa niat dan tekad murni yang telah kita kata dan perlu dikota sedari awal bulan dulu? Kenapa semangat membuak di dada sedari awal dulu kini semakin pudar? Kenapa sudah tidak sudi merebut ganjaran utama yang memang diberikan-NYA bagi semua sang pencari-NYA? Subhaanallah....

Marilah kita redam seketika keperluan-keperluan biasa kita itu. Marilah bersama kembali kepada pencarian TAQWA kita. Kalau memang sudah bertemu, pupuklah pula ia dengan baja 'amal' agar ia semakin subur dihati kita. Semarakkan lagi ia dengan pelbagai amal, lagi dan lagi biar khasiatnya menjalar ke seluruh pelusuk tubuh agar menjadi wajah peribadi kita. Marilah kita bersama-sama mendaulatkan ALLAH dalam tuntutan dan keutamaan hidup kita. Di kala tiba waktunya, sama-samalah kita menuju kehadrat-NYA. Marilah kita agungkan-NYA. Kita besarkan-NYA. Kita sucikanNYA. Kita tinggikan sebutan untuk-NYA. Marilah datang kepada-NYA, baik kala susah mahupun senang kita. Marilah meminta pada-NYA. Mintalah keampunan, keafiatan, ketenangan, kelembutan, kemudahan, kearifan berilmu dan beramal hatta pohonlah dengan tawadhu dan rendah diri akan segala kebaikan kepada kita, keluarga dan ummat seluruhnya. Mintalah juga agar terhindar dari segala noda dan dosa; dihindari dari kekeliruan berilmu dan beramal.

Semoga minggu akhir Ramadhan ini dan seterusnya tetap terisi dengan 'amal-amal' yang terbaik dari kita. Usaha dan ikhtiar beramal, biar sekecil apa pun pasti akan mendapat ganjaran pahala dari-NYA. Upayakanlah yang terbaik kerana DIA telah menyediakan yang terbaik untuk orang-orang yang terbaik dengan "AL-JANNAH". Fikirkanlah - bahawa DIA juga telah 'membeli' untuk orang-orang yang beriman - akan syurga yang teramat indah itu dengan gadaian iman dan taqwa.

Akhirnya - kata junjungan kita Rasulullah saw : "Setiap ummatku pasti akan masuk syurga, melainkan mereka yang 'enggan'". Sang sahabat bertanya : "Siapa yang dikatakan 'enggan' ya Rasul?" Jelas baginda saw : "Sesiapa yang taat kepadaku (ikut Al-Quran & sunnah yang diajarkan), maka ia masuk syurga. Sebaliknya, sesiapa yang berpaling dariku (ajaran baginda saw), maka mereka itulah yang 'enggan'".

Ingat!!! Sifat 'enggan' & takabbur adalah sifat sejati Iblis yang menyebabkannya terhijab dari rahmat ALLAH, menjadi kafir dan mendapat laknat dari-NYA. Lalu, jangan sesekali kita menjadi orang yang malas apatah lagi 'enggan' untuk ruku' dan sujud kepada-NYA.

Marilah membaja taqwa dibulan Mulia ini dari awal hingga akhirnya - semoga ia menjadi perisai yang ampuh dan terkebal buat peribadi kita. InsyaAllah.... ameeen.


Abu Miftah
25 Ramadhan 1431H

1 ulasan:

  1. salam..
    semoga kita peroleh syurga-Nya..selamat hari raya aidilfitri..

    BalasPadam

Komentar Anda...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.