Rabu, 17 November 2010

Solat Aidil Fitri dan Adha Mengikut Sunnah...

Panduan/Tatacara Solat Aidil Fitri lengkap mengikut sunnah Nabi s.a.w.

Tatacara Solat Aidil Fitri dan Adha

Waktu untuk mengerjakan solat Aidil Fitri adalah setelah terbitnya matahari setinggi tombak sehingga tergelincirnya matahari iaitu waktu dhuha. Disunnahkan untuk melewatkan solat Aidil Fitri agar memberikan kesempatan mereka yang belum menunaikan zakat fitrah untuk menyempurnakannya.

1 – Tidak ada solat sunat sebelum dan sesudah Solat Aidil Fitri.

Dari Ibnu `Abbas bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar pada Aidil Fitri kemudian solat dua rakaat dan tidak solat sebelumnya dan tidak pula sesudahnya.
(hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 989)

Hanya sahaja di Malaysia ini solat Aidil Fitri dikerjakan di masjid-masjid. Maka perlu untuk dilaksanakan solat Tahiyat al-Masjid kerana secara umumnya setiap kali seseorang masuk ke dalam masjid adalah disyari’atkan untuk dikerjakan solat sunat dua rakaat Tahiyat al-Masjid. Ini adalah sebagaimana sabda Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam:

Apabila salah seorang di antara kamu masuk masjid, hendaklah dia rukuk (solat) dua rakaat sebelum duduk.
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Sholah, hadis no: 444)

2 – Tidak ada azan atau iqamah mahupun apa-apa ucapan sebelum solat Aidil Fitri.

Dari Ibnu `Abbas radhiallahu ‘anh: Bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melaksanakan solat `Ied tanpa azan dan tanpa iqamah.
(Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Daud, Kitab al-Sholah, hadis no: 968)

Namun untuk kemaslahatan umum, dibolehkan membuat pengumuman ringkas untuk memberi tahu para hadirin bahawa solat Aidil Fitri berjamaah akan bermula, agar mereka dapat bangun dan mula menyusun saf, lebih-lebih di tempat solat yang luas dimana kedudukan imam tidak dapat dilihat.

3 – Jumlah rakaat solat Aidil Fitri adalah dua.


Dari Ibnu `Abbas radhiallahu ‘anh dia berkata: Bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar pada Aidil Fitri kemudian solat dua rakaat…
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 989)

4 – Terdapat tambahan takbir di dalam solat Aidil Fitri.


Dari `Aisyah (radhiallahu ‘anha), dia berkata: “Bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam biasa bertakbir pada solat Aidil Fitri dan aidil Adha, pada rakaat pertama tujuh kali takbir dan pada rakaat kedua lima kali takbir, selain dari dua takbir rukuk.
- Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Dawud, Kitab al-Sholah, hadis no: 970.

Ada pun tentang jumlah takbir secara keseluruhannya sebelum bacaan al-Fatihah, maka terdapat dua pendapat yang masyhur:

i – Untuk rakaat pertama lapan takbir, iaitu satu Takbiratul Ihram dan tujuh takbir kerana solat Aidil Fitri. 1 + 7 = 8. Untuk rakaat kedua enam takbir, iaitu satu takbir kerana memulai rakaat kedua dan lima takbir kerana solat Aidil Fitri. 1 + 5 = 6.

ii – Untuk rakaat pertama tujuh takbir, iaitu satu Takbiratul Ihram dan enam takbir solat Aidil Fitri. 1 + 6 = 7. Untuk rakaat kedua lima takbir, iaitu satu takbir kerana memulai rakaat kedua dan empat kali takbir solat Aidil Fitri. 1 + 4 = 5.

Kedua-dua pendapat termasuk dalam kategori perbezaan pendapat yang dibenarkan. Boleh memilih salah satu daripadanya atau yang lebih tepat, mengikuti takbir imam solat Aidil Fitri dalam pendapat yang dipilihnya.

5 – Tentang haruskah diangkat tangan atau tidak ketika takbir tersebut..

Menurut Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan: Tidak pernah diriwayatkan dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa baginda mengangkat kedua tangannya ketika takbir pada solat Aidil Fitri (takbir pada rakaat pertama yang berjumlah tujuh kali dan pada rakaat kedua lima kali)…

Hanya sahaja Ibnul Mundzir berkata: “Malik telah berkata bahawa di dalam masalah ini (iaitu angkat atau tidak tangan ketika takbir tersebut) tidak ada sunnah yang dianggap muktamad. Barangsiapa ingin mengangkat kedua tangannya pada waktu takbir tidak mengapa. Namun pendapat pertama (iaitu tidak mengangkat tangan) lebih aku sukai.”
(Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan, Total Koreksi Ritual Salat, ms. 395-396)

Oleh itu di dalam hal ini bolehlah kita memilih untuk mengangkat atau tidak tangan ketika takbir-takbir tersebut, namun yang lebih hampir kepada sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ialah dengan tidak mengangkatnya. Wallahu’alam.

6 – Mengenai bacaan di antara takbir-takbir tersebut..

Maka Syaikh `Ali Hassan bin `Ali al-Halabi al-Atsari berkata: Tidak ada hadis yang sahih yang diriwayatkan dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai doa tertentu yang dibaca di antara takbir-takbir solat Aidil Fitri, tetapi telah ditetapkan dari Ibnu Mas’ud radhiallahu ‘anh bahawasanya dia berkata mengenai solat Aidil Fitri: “Di antara dua takbir dipanjatkan pujian kepada Allah ‘Azza wa Jalla sekaligus sanjungan ke atasNya.”
(Syaikh `Ali Hassan bin `Ali al-Halabi al-Atsari, Meneladani Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam Dalam Berhari Raya, ms. 61)

Menurut Imam Ahmad dan Imam al-Syafi’i rahimahumallah sunat di antara dua takbir itu membaca zikir seperti:

“Subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaha illallah, wallahu akbar”.

(Dinukil darpada kitab Fikih Sunnah, karya Syaikh Sayyid Sabiq (edisi terjemahan oleh Mahyuddin Syaf, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1990) jilid 2, ms. 286)

7 – Tentang surah-surah yang dibacakan baginda shallallahu ‘alaihi wasallam setelah membaca al-Fatihah,

Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah telah berkata: Diriwayatkan secara sahih dari bacaan pertama surah Qaf dan surah al-Qamar dan bacaan kedua surah al-A’laa dan al-Ghaasyiah, dan hanya inilah riwayat yang sahih dari beliau tentang bacaan itu (iaitu pada solat Aidil Fitri).
(Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Zaadul Ma’ad, ms. 49)

8 – Apabila seseorang tidak dapat turut serta untuk solat Aidil Fitri bersama secara berjemaah - maka hendaklah dia solat dua rakaat secara sendiri. Di dalam Shahih al-Bukhari terdapat sebuah riwayat dari Atha’ bahawa dia berkata:

Jika seseorang terlewatkan (tidak mendapatkan) solat Hari Raya, maka hendaklah dia solat dua rakaat.

(Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, Bab Apabila Seseorang Tidak Mendapatkan Solat `Ied, Maka Hendaklah Dia Melaksanakan Solat Dua Rakaat)


Wallahul Muwaafiq ilal Haq

----------------------------

Nukilan

ABU MIFTAH

10 Zulhijjah 1431H

Pengorbanan Kembali Kepada ISLAM...

Assalaamualaikum wtb...

------------------------------------------------------------
[Petikan Khutbah Aidil Adha 10 Zulhijjah 1431H, terbitan JAKIM - Penulis sampaikan di Masjid Al-Hikmah, Kg. Bulu Silou Keningau, Sabah]
--------------------------------------------------------------

[KHUTBAH 1]

Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat yang di Rahmati Allah,

Ibadah haji mengembalikan kenangan agong yang berlaku kira-kira 5,000 tahun yang lampau melibatkan pengorbanan nabi Ibrahim AS dan keluarganya dalam mentaati perintah Allah. Dalam mencapai pengorbanan yang agong ini nabi Ibrahim telah menghabiskan segenap usianya untuk berbakti kepada tuhan, meletakkan batu asas supaya manusia kembali kepada agama Allah. Selain menjadikan kota Mekkah sebagai pusat gerakannya, baginda kemudian berpindah dari satu daerah ke satu daerah, dari wilayah Iraq sampai ke Palestin, terus ke Mesir. Ditinggalkan isterinya Hajar bersama putranya Ismail di tanah tandus yang tidak berair itu sehingga terpancarlah air zamzam untuk memberi minum kepada mereka.

Apabila baginda kembali ke Makkah, diperintahkan tuhan menyembelih puteranya Ismail, dan dilakukannya dengan penuh keikhlasan. Maka diganti oleh Allah SWT dengan haiwan iaitu kibas yang dijadikan korban sembelihan. Kemudian bersama putranya membina semula Baitullah yang menjadi kiblat kaum muslimin hingga sekarang. Pengorbanan besar nabi Ibrahim dan keluarganya kepada Allah SWT dapat dilihat dalam kalimah talbiah yang berbunyi,

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, kami datang semata-mata dengan ikrar setia dan taat kepada perintahMu. Wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagiMu, kami sahut seruanMu. Sesungguhnya segala puji nikmat dan kekuasaan, kesemuanya adalah bagiMu, wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagiMu.

Lafaz talbiah yang diucapkan oleh nabi Ibrahim AS dan keluarganya memberi pengertian yang besar dalam kehidupan umat Islam. Apa yang nyata talbiah ini adalah ikrar yang dilafazkan jemaah haji di seluruh tanah haram Mekkah semata-mata untuk bertakwa kepada Allah SWT, tanda kerinduan kepada Allah yang Maha Esa dan bersiap sedia untuk berkorban kembali kepada Islam dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Kekuatan ibadah haji terletak kepada penghayatan lafaz talbiah ini yang dizahirkan melalui amalan tawaf, Sai’, wuquf, bermalam di Muzdalifah, melontar di Jamrah, bercukur dan ibadah yang lain.

Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin menerangkan bahawa dengan mengerjakan ibadah haji seseorang muslim menunjukkan kerinduannya yang mendalam kepada tuhan. Ditinggalkan kampung halaman, anak isteri, keluarga serta sahabat dan berangkat mengharungi lautan yang luas, meredah angkasa, mengharungi daratan yang terbentang menuju ke tanah suci dan Baitullah sematamata untuk mengabdikan dan kembali kepada ajaran Islam seperti mana ikrar yang dilakukan oleh nabi Ibrahim, nabi Ismail dan nabi Muhammad SAW ketika berada di tanah suci Mekkah. Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 4:

Maksudnya: ” Sesungguhnya adalah bagi kamu pada Nabi Ibrahim dan pengikutpengikutnya contoh ikutan yang baik”.

Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat yang di Rahmati Allah,

Ibadah haji adalah rukun Islam yang kelima selepas mengucap kalimah syahadah, solat, berpuasa, dan menunaikan zakat. Mereka yang melaksanakan ibadah haji ini hakikatnya menjadi simbul telah sempurna keimanan dan penghayatan melaksanakan perintah Allah. Mereka melafazkan lafaz talbiah sebagai mengistiharkan dan berikrar untuk kembali dan berkorban mempertahankan ajaran Islam sepenuhnya. Sebab itulah mereka yang menunaikan ibadah haji dan mempertahankan sifat-sifat mahmudah atau sifat yang terpuji yang membawa kebaikan kepada keluarga, jiran, masyarakat dan negara dianggap sebagai mendapat haji mabrur.

Sambutan Hari Raya Korban atau Iduladha adalah merujuk kepada pengorbanan kembali kepada Islam kerana Islam adalah agama Allah. Menerima Islam untuk diamalkan dan diperjuangkan samalah seperti menjemput kedatangan rahmatan, keamanan dan keindahan. Menerima Islam sepenuhnya tidak akan merugikan, menyusahkan dan tidak menjatuhkan maruah seseorang.

Berdasarkan pemerhatian mimbar, terdapat umat Islam mengalami perasaan ragu-ragu untuk menghayati ajaran Islam sepenuhnya. Keadaan ini menyebabkan mereka mengamalkan Islam secara terpisah-pisah atau secara serpihan. Ada yang mengamalkan solat, puasa, haji tetapi pada masa yang sama pula bergelomang dengan maksiat. Lantaran kealpaan inilah kita lalai dalam melaksanakan tangungjawab sebagai seorang hamba Allah SWT. Terdapat beberapa faktor yang
menyebabkan seseorang itu lalai dari tangungjawab yang sebenarnya antaranya ialah kerana mereka ini sukakan kehidupan dunia dan benci kepada kematian, sedangkan perlu diingat suatu hari nanti kita akan berhadapan dengan Allah dalam keadaan bersendirian.

Cinta kepada dunia datang dengan pelbagai bentuk seperti cintakan kemewahan, kesenangan, keamanan, kesihatan, kedudukan dan pangkat. Lantas dengan perkara ini kita menjadi lalai dan tidak mampu mengorbankan apa jua yang ada pada kita di jalan Allah SWT. Kita beranggapan segala yang kita perolehi adalah hasil dari usaha kita sendiri tanpa menghubung kait dengan pemberian dari Allah SWT. Kita lebih mengutamakan kerja daripada melaksanakan perintah Allah, lalai untuk mengorbankan sedikit waktu untuk sujud dan patuh kepada perintah-Nya dan ada juga yang belum mampu untuk mengorbankan sedikit hasil pendapatan dan harta kerana dikhuatiri kekayaan dan harta itu akan berkurangan, justeru kita lebih suka memikirkan kepentingan diri daripada kepentingan umun.

Ibadah haji yang sedang dilaksanakan pada saat ini sebenarnya memupuk semangat berkorban sesama umat Islam, menjaga hubungan persaudaraan, bersatu hati, menghindari sikap mementingkan diri sendiri. Prinsip-prinsip inilah yang akan membentuk kekuatan yang perlu difahami dan dijunjung oleh setiap individu muslim pada ketika ini. Umat Islam yang longgar atau mengenepikan prinsipprinsip pengorbanan ini membuka ruang kepada musuh-musuh Islam untuk menghancurkan Islam dan umatnya. Oleh itu pengorbanan antara satu sama lain adalah agenda umat yang paling dituntut. Mimbar menyeru marilah sama-sama kita mengorbankan sedikit kepentingan diri demi mengatur langkah bagi memperkukuhkan dan memperkasakan ukhwah sebagai agenda utama dalam menentukan masa depan umat Islam itu sendiri.

Pengorbanan yang sebenarnya adalah pengorbanan yang berasaskan kepentingan Islam. Inilah pengorbanan yang mesti dilakukan oleh setiap kita, demi membela dan menyelamatkan Islam dan umatnya. Kesemua ini menuntut pengorbanan jiwa raga dan harta benda dengan bertunjangkan kepada niat yang ikhlas dan ketakwaan kepada Allah SWT. Ingatlah wahai umat Islam sekalian setiap pengorbanan tanpa keiklasan dan ketakwaan kepada Allah SWT adalah sia-sia belaka. Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat37 :

Maksudnya: Daging dan darah binatang korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagimu supaya kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya kepadamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha supaya baik amalnya..

Sidang Jemaah muslimin dan muslimat yang di Rahmati Allah,

Lafaz talbiah yang menyeru kita kembali dan berkorban untuk Islam telah menyedarkan kita, menginsafkan kita bahawa agama Islam menjadi asas kekuatan umat Islam di negara ini. Kelemahan kita mempertahankan Islam akan menjerat bangsa kita menjadi bangsa yang tiada identiti dan jati diri. Mimbar menyeru marilah kita mengambil kesempatan pada hari yang mulia
ini, untuk membina keutuhan tali persaudaraan diantara kita dengan ziarahmenziarahi dan bermaaf- maafan sesama kita. Buang yang keruh, ambillah yang jernih. lebih-lebih lagi dalam menangani isu yang membabitkan agama dan masa depan umat Islam, maka sewajarnya kita sama-sama bangkit bersatu hati tanpa mempedulikan perbezaan latar belakang ekonomi, miskin atau kaya, berbeza latar belakang fahaman atau politik. Kita ketepikan segala perbezaan-perbezaan tersebut.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, beberapa perkara yang perlu diambil perhatian sebagai renungan kita bersama : Pertama: Iduladha yang kita rayakan ini mengajar kita erti pengorbanan dan sesungguhnya pengorbanan itu adalah sesuatu yang sangat tinggi nilainya bagi seluruh umat Islam. Kedua: Ibadat haji secara tidak langsung mendidik kita supaya bersikap dengan nilai-nilai yang positif serta dituntut di dalam Islam seperti sabar, tolong- menolong, bertolak ansur, merendah diri, bersyukur, redha, istiqamah, tawakkal dan sebagainya. Disamping itu juga, ia mendidik kita menjauhi nilai-nilai negatif seperti mementingkan diri sendiri, tidak sabar, tamak, bangga diri, hasad dengki dan seumpamanya. Ketiga: Pengorbanan kembali kepada Islam adalah yang berasaskan kepada keikhlasan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT dalam surah al-Kauthar ayat 1-3:

Maksudnya: Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu(wahai Muhammad) kebaikan-kebaikan yang banyak(di dunia dan akhirat). Oleh itu kerjakanlah sembahyang kerana tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diinginnya).


[KHUTBAH 2]

Sidang Jemaah yang dikasihi sekalian, Marilah pada hari yang penuh bahagia ini kita melafazkan rasa kesyukuran di atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Sesungguhnya disekeliling kita masih terdapat golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan daripada kita.

Selepas ini umat Islam akan melakukan ibadat korban bagi meninggikan syiar Islam. Binatang yang hendak dikorbankan mestilah mematuhi syarat-syarat tertentu yang telah ditetapkan oleh agama Islam. Dengan ini menunjukkan bahawa Allah SWT tidak menerima ibadat yang dilakukan sambil lewa, tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan serta mengabaikan soal kesempurnaan ibadat yang hendak dilaksanakan. Oleh itu ketelitian dan kesungguhan dalam melakukan apa jua kerja mestilah di beri perhatian oleh semua umat Islam.

Ingatlah bahawa setiap pengorbanan yang kita lakukan hendaklah disertakan dengan niat dan amalan yang ikhlas. Seandainya ibadat korban yang kita lakukan dicemari dengan sifat riak, takabbur dan menunjuk-nunjuk akan kemampuan, maka akan tertutuplah rahmat Allah SWT dan sia-sialah amalan yang kita lakukan.

Pengagihan daging korban dapat membantu meringankan beban, mempertingkatkan kualiti hidup dan mengeratkan silaturrahim di antara umat Islam itu sendiri. Selain daging korban, umat Islam juga boleh menghantar sumbangan dalam pelbagai bentuk tanda kasih sayang sesama kita, walaupun harga sebahagian binatang korban semakin meningkat, namun ianya tidak menjadi penghalang bagi yang mampu kerana ganjaran pahalanya yang besar.

Mimbar menyambut baik usaha yang telah dijalankan oleh pihak-pihak yang tertentu seperti masjid-masjid, surau-surau, NGO dan pertubuhan Islam lain yang menjalankan ibadat korban di negara-negara minoriti Islam seperti Kemboja, Vietnam, Filipina bagi menyahut seruan suci ini. Paling penting adalah mereka yang mengorbankan harta dan binatang ternakan bagi tujuan suci ini dengan penuh ketakwaan dan hati yang ikhlas kepada Allah SWT. Mimbar amat menghargai sumbangan jemaah dan umat Islam sekalian yang menghidupkan ibadat korban samada di peringkat kampung, taman perumahan mahupun di luar negara.

---------------- SEMOGA KITA MENGHAYATI -------------


ABU MIFTAH

10 Zulhijjah 1431H
17 Nov 2010M

Jumaat, 29 Oktober 2010

Solawat...

Assalaamu'alaikum wtb...

Seperti kebiasaan, kalau tidak sempat solat Zohor di sekolah, saya akan selalu singgah di sebuah masjid untuk menuntaskannya. Selalunya usai solat saya akan selalu tercari-cari sosok seorang yang agak berumur di situ. Saya sering rindukan tutur bicaranya yang bagi saya memiliki pengalaman hidup yang luas dan tersendiri - bukan semata-mata kerana ia sudah tua - tetapi isi bual bicaranya yang sungguh bererti bagi saya yang masih mentah dengan erti 'kehidupan luas ini'.

Kekadang dia tiada. Mungkin ke tempat lain atau ada urusan lain. Andai dia ada, hati ini gembira. Selalunya bila berbicara, saya akan biarkan dia bercerita panjang lebar - kerana keinginan saya untuk mengetahui isi kata yang dibicarakannya. Kebanyakkannya bicara tentang hidup, pengalaman dan agama. Tutur bicaranya sangat lembut, sopan, kekadang antara dengar dan tidak - seperti berbisik saja - dan semuanya sangat mengesankan.

Terlalu banyak 'ilmu dan ubat rohani' yang orang muda seperti saya perlukan darinya. Dalam pertemuan empat mata dengan sang kakek (panggilan orang tua) ini, kelihatan ia sangat sederhana, namun sentiasa ceria dengan ukiran senyuman manis. Subhaanallah! Sangat mengesankan.

Orangnya sentiasa di masjid - malah menumpang tidur dan bertempat tinggal di masjid - dan sangat istiqomah dengan solat berjemaahnya. Setahu saya, dari bual bicaranya - dia bukanlah hidup sebatang kara. Ramai saudaranya di merata tempat. Yang mengangkatnya sebagai ayah angkat pun ramai. Cuma dia sengaja memilih kehidupan sederhana seperti itu.

Oleh kerana AJK Masjid dan jemaah ramai yang kenal dengan kakek ini, ia dibenarkan untuk tinggal tumpang di situ. Kata dia - oleh kerana AJK dan jemaah memberinya layanan yang baik, jadi dia juga sering memanfaatkan waktu untuk membantu pihak masjid dengan khidmat suka rela membersihkan lelaman masjid yang dia termampu.

Cerita pengalaman dan 'buah manis' bicara ini akan saya lanjutkan nanti di lain kesempatan.

Melihat situasi dan mendengar sendiri kisah ini, saya teringat pula cerita seorang nenek tua yang pernah diceritakan seorang teman. Saya ceritakan semula semoga ada manfaatnya untuk semua.

Teman saya menceritakan bahawa suatu ketika di sebuah masjid ada seorang wanita tua / nenek yang rutin solat berjemaah di masjid itu setiap hari pada waktu Zohor.

Uniknya, setelah usai atau selesai solat nenek ini tidak segera pergi tetapi dia beranjak ke halaman dan membersihkan dedaunan yang berserakan di halaman masjid. Namun anehnya lagi, dia tidak membersihkan dedaunan yang banyak itu dengan penyapu atau alat seumpamanya, melainkan dengan memungutnya satu demi satu dengan perlahan-lahan dan seperti sambil menikmati setiap helai daun yang dipungutnya. Dia tidak peduli dengan terik cahaya mentari di atas kepala yang menyengat panas.

Setelah beberapa waktu, hal ini menjadi perbincangan beberapa orang pengurus / AJK Masjid. Mungkin kerana agak malu, kerana nenek yang sebegitu tuanya saja masih sanggup membersihkan halaman masjid, sedangkan mereka yang jauh lebih muda pun tidak sanggup. Atau mungkin juga mereka kasihan dengan nenek itu yang rela berpanas-panasan untuk membersihkan dedaunan yang berserakan.

Singkat kata, terjadilah kesepakatan bahawa halaman masjid mesti bersih setiap hari sehingga nenek itu tidak perlu lagi bersusah payah mengutip dan membersihkan daun-daun yang gugur berserakan sehingga dapat dia beristirahat saja.

Ketika tengahari si nenek seperti biasa bersolat jemaah dan setelah itu dia akan melanjutkan kebiasaan memungut dedaunan. Dia terkejut dan terpaku sekejap ketika mendapati halaman telah bersih. Tiba-tiba dia menangis dan bersedih sekali. Orang-orang yang melihatnya tertanya-tanya, bukankah halaman sudah bersih.

Pak Kyai lalu menemui nenek itu untuk menanyakan permasalahannya. Setelah berbincang empat mata, Pak Kyai lalu memerintahkan untuk membiarkan halaman menjadi seperti biasanya (dengan tidak dibersihkan) dan memberi kesempatan untuk si nenek membersihkannya pula.

Alasannya? Kata Pak Kyai, sang nenek memintanya untuk merahsiakan alasan si nenek sampai waktu dia meninggal nanti.

Waktu pun berlalu dan nenek itu akhirnya menghadap Yang Maha Kuasa. Pak Kyai pun kemudian menceritakan apa yang dahulu pernah terjadi. Ketika ditanya Pak Kyai kenapa nenek itu bersedih melihat halaman yang sudah bersih, padahal dia-kan boleh beristirahat sahaja tanpa perlu membersihkan daun-daun ditengah terik matahari.

Nenek itu berkata, "Pak Kyai, saya ini hanya seorang nenek tua yang tidak punya ilmu. Saya hanya mampu beramal sedikit sahaja yang saya tahu ilmunya. Sedikit amal itu di antaranya adalah memungut dedaunan, helai demi helai dan setiap satu helai saya membaca Solawat untuk Rasulullah saw sampailah halaman ini bersih dan tidak ada lagi daun-daun berserakan. Saya hanya berharap dengan Solawat itu, Rasulullah saw berkenan memberi syafaat ketika nanti di hari kiamat / akhirat. Jadi izinkanlah saya agar dapat memungut daun-daun itu setiap hari".

Subhanallahil 'Aziim...

Seperti si nenek itu yang berusaha ingin selalu dapat bersolawat dengan berbagai cara - seperti nenek tadi dengan memungut dedaunan - marilah kita berusaha untuk mencintai Rasulullah saw sebagai ikutan dan role model kehidupan kita dengan sebaik-baiknya.

Soalnya, kalau kita telah terkesan baik dengan peribadi Rasulullah - berapa banyakkah sudah sunnah hidupnya yang telah kita praktikkan dan upayakan dalam hidup kita? Sesungguhnya, kasih ALLAH kepada kita adalah bergantung penuh juga pada taatnya kita kepada contoh ikutan hidup kita iaitu Nabi Muhammad - Penghulu dan penutup sekalian Nabi-nabi ALLAH SWT.

*Mari renung-renungkan*

Ustaz Abu Miftah
26 Zul Qaedah 1431H
04 N0v 2010M

Khamis, 21 Oktober 2010

Jangan Bersedih... Jangan Berputus Asa

JANGAN BERSEDIH DAN BERPUTUS ASA

Setiap individu baik remaja, dewasa atau orang tua, sudah semestinya pernah menghadapi masalah dalam hidup. Kata orang hidup tanpa masalah bukan hidup namanya. Berlegar dari masalah yang paling besar hinggalah masalah yang paling kecil, semuanya tetap dinamakan masalah. Cuma masalah yang dihadapi oleh seseorang itu berbeza. Bagaimana cara untuk mengatasinya juga adalah juga satu masalah. Namun hakikatnya setiap masalah pasti ada jalan keluarnya. Biasanya sebelum masalah itu selesai kita akan berasa sangat tertekan, hampir putus asa kerana tidak tahan menghadapinya.

Antara masalah yang wujud di persekitaran kita ialah masalah kemiskinan, kehilangan orang tersayang, masalah cinta, pertengkaran dengan ibu bapa, corot dalam peperiksaan serta beribu-ribu masalah lagi. Masalah juga boleh menyumbang kepada masalah yang lain, contohnya masalah remaja yang tidak tahan dengan leteran ibu bapanya boleh membawa remaja itu kepada masalah lepak, pergaulan bebas, dirogol, diculik dan juga mungkin dibunuh. Masalah yang kecil apabila tidak ditangani dengan baik boleh membawa kepada mudarat yang amat besar.

Setiap hari kita tidak akan terlepas dilanda dengan masalah, sekiranya bukan kita yang bermasalah, orang lain pula yang mendatangkan masalah. Oleh itu kita perlu bersedia menghadapi permasalahan tersebut dan cuba mencari kaedah untuk mengatasinya. Mari kita renung sejenak apa sebenarnya maksud setiap masalah itu, kaedah untuk mengatasinya serta panduan menghadapi masalah dengan tenang.

UJIAN IMAN

Masalah sebenarnya adalah ujian Allah kepada kita untuk mengukur sejauh mana tahap keimanan dan ketakwaan kita terhadap-Nya. Sebab sebagai manusia kita sering terlupa serta lalai dengan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah apabila hidup kita sentiasa dilimpahi kesenangan dan kemewahan. Lebih-lebih lagi ketika usia remaja, hidup penuh dengan keseronokan dan sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru walaupun perkara itu jelas haram di sisi agama dan menyalahi undang-undang dunia, contohnya mengambil dadah dan hanyut dengan maksiat, dengan adanya ujian seperti ini, ia akan kembali mengingati apakah hidup kita selama ini mengikuti peraturan atau landasan yang telah ditetapkan oleh Allah ataupun telah jauh menyimpang.

Setiap masalah, kesukaran, kesakitan dan apa jua yang menyeksa jiwa adalah merupakan ujian dari Allah untuk menguji sejauh mana iman kita. Iman perlu kepada ujian. Ini jelas sebagaimana maksud firman Allah :

“Adakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta.” (Al-Ankabut: 2 – 3)

DARJAT DI SISI ALLAH

Ujian atau dugaan yang datang adalah dari Allah, sama ada ujian itu sebagai ‘kifarah’ dosa yang telah kita lakukan atau untuk mengangkat darjat kita di sisi-Nya. Allah juga tidak menduga hamba-hamba-Nya tanpa mengambil kira kesanggupannya atau keupayaan mereka untuk menghadapinya, ujian dan dugaan yang diturunkan Allah kepada hambanya adalah seiring dengan keupayaan individu itu untuk menyelesaikan masalahnya. Ini bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud:

“Allah tidak membebankan seseorang melainkan dengan kesanggupannya”. (Al-Baqarah: 286)

Oleh itu sekiranya kita berhadapan dengan masalah, cubalah bawa bertenang, bersabar dan tetapkan dalam minda bahawa kita sedang diuji oleh Allah, orang yang melepasi ujian itu adalah orang yang berjaya dan mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah.

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan Syurga untuk mereka.” (At-Taubah: 111)

CARA MENGATASI MASALAH

1. Sandarkan Harapan Pada Allah

Setiap ujian yang datang sebenarnya mempunyai banyak hikmah di sebaliknya. Yakinlah bahawa setiap kesusahan yang kita tempuhi pasti akan diganti dengan kesenangan. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah Al-Insyirah ayat 1-8 yang antara lain maksudnya “ …Sesungguhnya selepas kesulitan itu pasti ada kemudahan….”

“Cukuplah Allah bagiku. Tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakal.” (At-Taubah: 129)

2. Minta Pertolongan Dari Allah

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan yang sabar dan dengan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.” (Al-Baqarah: 45)

3. Jangan Sedih dan Kecewa

“Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman.” (Ali-Imran:139)

Yakinlah dengan janji Allah itu dan jangan cepat putus asa dengan masalah yang dihadapi sebaliknya tingkatkan usaha dan kuatkan semangat untuk mengatasinya, lihat maksud firman Allah di bawah:

“ …dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir” (Yusuf : 12)

4. Luahkan masalah tersebut pada teman-teman yang dipercayai, walaupun dia mungkin tidak dapat membantu, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban yang kamu tanggung.

5. Bandingkan masalah kita dengan masalah orang lain, mungkin masalah orang lebih besar dari masalah kita, perkara ini juga boleh membuatkan kita lebih tenang ketika menyelesaikan masalah.

PENUTUP

Ujian yang datang juga tandanya Allah sayangkan kita. Jadi ambillah masa untuk menilai diri dan meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah dalam apa jua yang kita lakukan. Lakukanlah untuk mencari redha Allah. Fikir dengan positif bahawa setiap dugaan datang dari Allah dan pasti ada hikmah yang tersendiri.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)

Rabu, 20 Oktober 2010

Sembahyang Pada Zaman Moden

Sembahyang Pada Zaman Moden

[Petikan tulisan asal Prof. Dr. Hamka - "Pandangan Hidup Muslim" bahagian I - m/s 101-106]

Bahagian I

Tatkala Rasulullah saw akan menutup mata, walaupun jasmaninya menderita sakit, masih dipaksa-paksakannya juga dirinya walaupun tenaga tak ada lagi untuk naik mimbar di masjid Madinah, memberi nasihat yang penghabisan kepada ummatnya. Di antara nasihat yang terpenting itu, dan semuanya penting, diperingatkannya benar agar sembahyang lima waktu jangan ditinggalkan, jangan disia-siakan. Baginda cemas kalau-kalau setelah dia mati, sembahyang itulah yang lebih dahulu diabaikan.

Oleh kerana lebih 350 tahun bangsa kita (merujuk kepada bangsa Indonesia - Nusantara secara umum telah dijajah oleh banyak bangsa imperalis seperti Belanda, Spain, Amerika, Portugis, British & termasuk Jepun) dijajah oleh bangsa dan agama lain, tinggallah bekas dan jejak pendidikan bangsa itu, walaupun mereka telah pergi, iaitu perasaan dan gejala yang timbul dari mulut orang-orang yang kena angin didikan itu, bahawasanya sembahyang lima waktu itu sangat menghalangi pekerjaan. "Sebab itu", kata mereka "sembahyang menghalang kemajuan".

Setelah kita mengalami gelora kesibukan zaman yang dahsyat ini, mengalami segala sesuatu mesti serba cepat, yang dinamakan zaman mesin, zaman atom dan zaman sputnik (supersonik), terasalah oleh kita, sehingga menjadi keyakinan hidup, bahawa sembahyang tidak boleh dilalaikan. Hanya sembahyang yang dapat menenteramkan jiwa dalam arus kesibukan itu.

Kereta-kereta bersilang siur di kota ramai, sehingga kadang-kadang roda auto seakan-akan berjalan di atas kening kita. Tiap-tiap sekeping dari waktu, adalah sekeping dari emas. Lalai sedikit saja memburu waktu, ada harapan dimakan kawan. Dalam kesibukan, orang merasa perlu istirahat, mengaso (melepaskan lelah), piknik, tetirah ke bukit (makan angin hirup udara segar). Kadang-kadang orang mencari peristirahatan dengan minuman keras. Sehingga jantungnya dibakar sendiri. Kadang-kadang orang mencari peristirahatan dengan "merobah-robah selera", lalu lebih banyak hidup malam dari hidup siang.

Ada pula orang merasa sepi jiwanya, walaupun ramai disekelilingnya.

Sehingga pernah kita lihat di Wallstreet New York, ada 'bendi' atau 'andong' sewaan ditarik kuda, berjalan lambat sebagai andong Yogya. Ternyata sewanya lebih mahal dari teksi, kerana telah sangat ramai orang kaya yang telah bosan naik kereta mengilap, lalu mencari istirahat dengan naik 'andong' di tengah kota besar New York.

Mencari istirahat dengan cara demikian, adalah laksana orang haus meminum air laut, bertambah diminum bertambah haus. Atau sebagai orang yang merasa gatal di punggung, lalu digaru, tapi tak kena, sehingga gatalnya tetap juga.

Dengan demikian, istirahat itu pun telah jadi beban hidup.

Ilmu Kedoktoran pun bertambah maju menyelidiki penyakit-penyakit baru dalam jiwa manusia, yakni penyakit pada zaman "atom" dan "sputnik" ini. Jiwa yang selalu gelisah, jiwa yang selalu cemas, serasa perang dunia ketiga akan terjadi besok.

Di Amerika telah timbul satu ilmu pengubatan yang semata-mata berdasar atas kepercayaan agama, iaitu pengubatan yang dinamakan "Christian Sains". Dasarnya ialah keyakinan agama, tetapi dia ilmiah. Bahawasanya satu penyakit pada tubuh, adalah timbul dari jiwa. Apa jua pun macam penyakit, asalnya pasti dari jiwa. Dan ubat yang utama untuk membanteras penyakit yang ada dalam jiwa itu, tiada lain hanyalah sembahyang.

Ini adalah ilmu moden, bukan ilmu kolot.

Jika saudara pernah melihat seorang pendeta Kristian, bernama Osborn mengadakan demonstrasi pengubatan dengan sembahyang di tanah lapang... itu bukan semata-mata tontonan. Itu adalah kepercayaan dan keyakinan.

Terpaksalah kita menengok contoh ke Barat, kerana pada zaman sekarang kerapkali orang baru mahu percaya dasar agamanya, setelah ada kesaksian dari Barat.

Memang! Sembahyang dalam pengertian Islam pun mencakup akan pengubatan jiwa.

Bertambah maju dan bertambah sibuk dunia, bertambah pentinglah kedudukan sembahyang bagi keseimbangan hidup kita. Jiwa kita boleh hancur lebur laksana kaca terhempas ke batu, kerana tidak kuat menjawap tentangan kesibukan ini atas diri kita.

Nabi kita Muhammad (saw) pernah bersabda kepada Bilal, tukang azan (Muazzin) Nabi yang terkenal itu, seketika waktu sembahyang telah masuk : Arihnaa biha yaa Bilaal - Ertinya : "Marilah kita istirahat dengannya (dengan sembahyang), wahai Bilal".

Di situ Nabi menekankan, bahawasanya sembahyang itu adalah istirahat jiwa yang utama; lebih utama dari segala yang utama.

Lebih dahulu ingatlah bahawa kita diberi modal oleh Tuhan 24 jam dalam sehari semalam. Maka ambillah 10% saja dari yang 24 jam, ertinya 2 jam 24 minit.

Bahagilah waktu 2 jam 24 minit itu sebaik-baiknya untuk sembahyang. Lima waktu yang fardhu, tambah nawafil; pukul rata 1o minit - jadi semuanya 50 minit saja (untuk lima waktu solat fardhu).

Yang tinggal 1 jam 34 minit lagi dipergunakan untuk sembahyang sunat (nawafil) ditambah dengan zikir (mengingat Tuhan) dan iktikaf. Dan lebih utama lagi kalau yang 34 minit itu disediakan khusus untuk sembahyang malam (tahajjud), dikerjakan di sepertiga malam terakhir, kira-kira 1 jam sebelum masuk waktu Subuh.

Dalam sembahyang itu kita melepaskan soal-soal kehidupan. Soal hutang dan piutang, sekalian fikiran yang bersangkutan dengan soal laba dan rugi, soal politik dan ekonomi, bahkan seluruh soal yang berkenaan dengan kebendaan. Lepaskan itu semuanya dan tujukan kepada Yang Satu - ALLAH SWT.

"Satu"-nya benar "satu" - tak berbilang!

Sedangkan atom, yang tadinya disangka satu, sudah nyata bahawa ia berbilang.

Dimulai pada sembahyang subuh. Sebelum keluar rumah mencari rezeki di atas permukaan bumi ini, menurut kecenderungan diri yang ditentukan Tuhan, sebelum berangkat meninggalkan rumahtangga, mengharung kehidupan dengan ombak gelombangnya itu, jiwa saudara telah diisi terlebih dahulu dengan dinamo pancaran Ilahi. Telah dikontakkan (dihubungkan) ke langit sebelum menjalar di bumi.

Cubalah saudara perhatikan susunan amalan sembahyang itu sejak dari wuduknya. Petama, pembersihan muka - kerana di sana terletak mata, hidung, mulut dan telinga. Dengan dia saudara akan menghadap orang lain. Kemudian itu pembersihan tangan - yang dengan dia saudara akan menjamba (meraih) dan memegang. Penyapuan kepala - yang di sana terletak otak, alat berfikir menghadapi soal-soal hidup. Membersihkan kaki - yang akan saudara langkahkan ke muka.

Akan lebih terasalah bekas sembahyang itu bagi jiwa, kalau saudara bangun dan pergi ke surau atau ke masjid dengan tetangga-tetangga. Kadang-kadang tetangga itu yang terdekat, kadang-kadang orang tani, kadang-kadang opas, pesuruh pejabat (ofis boy), kadang-kadang tukang rumput, kadang-kadang kuli borongan. Disana akan dapat saudara kikis penyakit masyarakat zaman moden, iaitu hidup "egoistik" - tak ada hubungan dengan orang lain. Disana akan dapat saudara kikis rasa berkelas yang tumbuh dalam masyarakat.

Di masjid akan saudara rasai, bahawa tak ada kelebihan saudara dari orang lain, atau tak ada kekurangan saudara dari orang lain. Saudara sama bersaf-saf dengan makmum yang lain. Yang lebih mulia hanyalah siapa yang lebih takwanya.

Sembahyang mengajar dan mendidik hidup berorganisasi; sejak matahari belum terbit. Walaupun hanya 2 orang yang berjemaah, seorang jua yang diimamkan. Kalau imam belum rukuk, kita belum boleh rukuk.

Selesai mengerjakan sembahyang subuh itu, mulailah bersiap, menghadapi usaha hidup. Berusaha dalam hidup itu diwajibkan oleh agama :

"Dialah yang telah menjadikan bumi untuk kamu, mudah dipergunakan; sebab itu berjalanlah kamu melalui segenap penjurunya, mohonlah rezekinya dan kepada-Nya kamu dibangkitkan" [Surah Al-Mulk 65: ayat 15]

Kekuatan saudara terbatas. Setelah payah dan lelah bekerja, saudara mesti berhenti buat mengistirahatkan badan, buat makan dan minum. Lepaskan lagi pengaruh kesibukan tadi. Putuskan pula hubungan dengan segalanya itu, lupakan sama sekali dan ingatlah hanya satu - ALLAH!

Memang! Ingatan itu tidak boleh dua, usahkan sepuluh. Kalau ingatan telah dibulatkan kepada Tuhan, yang lain tidak teringat lagi. Tetapi kalau yang lain juga yang teringat, sembahyang tidak banyak menolong. Dan ini dapat dicapai dengan latihan. Dan kalau sulit juga, insya-Allah dalam 10 sembahyang moga-moga satu pun dapat khusyuk, sudahlah dapat menolong kepada yang 9 lagi. Pada waktu sembahyang yang khusyuk, bunyi kecoh keliling tidak kedengaran lagi. Kesibukan berhenti dalam jiwa kita, segala sesuatu jadi hening. Kita hanya bercakap dengan Yang Esa : ALLAH!

Kata orang, lebih mudah mengerjakan "meditasi", tafakur mengheningkan cipta. Dengan itu - kata mereka - fikiran boleh dibulatkan. Tetapi dengan ajaran sembahyang menurut Islam, seluruh tubuh sembahyang. Seluruh tubuh bergerak menghadap Tuhan. Bukan hati saja, bahkan badan juga.

Dalam Islam "meditasi" adalah sebahagian dariapada ibadat. Itulah yang dinamakan "tafakur" atau "tawajjuh" (menghadapkan muka) kepada Ilahi. Dan tempat yang utama buat itu, ialah masjid atau surau. Untuk itu, kalau dapat dilakukan lebih lama. Atau sediakan sebuah tempat khas di rumah sendiri.

Bermeditasi di masjid sangat dianjurkan. Itulah yang dinamakan "Iktikaf".

Lima waktu adalah "minimum" atau yang sekurang-kurangnya. Dia tidak akan merintang kita dalam perjuangan hidup. Sembahyang adalah istirahat jiwa sejenak, menghadapi beban hidup yang terus-menerus.

Kalau saudara seorang politikus, "dari masjid pergilah ke parlimen".

Kalau saudara seorang ekonomi, "dari masjid pergilah membuka gedung perusahaanmu".

Kalau saudara seorang pujangga, "dari masjid mulailah menulis".

[Saudara ukurlah diri masing-masing dengan nisbah dan hisab ini....]

Jangan sebaliknya. Kerana kalau saudara berbuat sebaliknya, saudara tidaklah akan merasai ketenteraman, ketenangan dan keluasan jiwa dalam hidup. Cubakanlah!....

Bersambung di bahagian ke-II....

---------------------
Nota Abu Miftah :

Semoga kita semua mengoreksi amalan sembahyang kita selama ini... berilah akal fikir kefahaman agama yang murni dan berikan tubuh mengamalkan yang terbaik dari yang telah difahami...


Abu Miftah
11 Zulqaeda 1431H

Selasa, 12 Oktober 2010

Peluang beramal khairat...


Mari beramal....

Gambaran hadapan Maahad Al-Kautsar Tambunan...

Peluang beramal khairat terbuka dimana-mana. Dari kita saja. Samada untuk meraikan kesempatan peluang demi peluang untuk itu atau sebaliknya.

Sering kali kita (apalagi para khatib di mimbar atau penceramah agama) mengulangi hadith Nabi saw - "Apabila matinya anak adam (manusia), maka terputuslah amalannya, kecuali tiga perkara (kalau ada?) iaitu : Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat / dimanfaatkan dan anak soleh yang sentiasa mendoakan (kebahagiaannya di alam barzah)".

Jadi, bagaimana dengan saya dan Anda?

Marilah kita jadikan kalimah Rasulullah saw ini sebagai bibit pemula 'pohon amal' atau saham kita. Sedekah jariah terlalu luas maknanya. Sinonim dengan 'amal khairat' - semuanya mengarah kepada saham akhirat. Amal jaariah - saya fahami sebagai kerja @ sumbangan sosial kemasyakatan, yang maknanya hampir dengan lingkungan kehidupan kita. Umpamanya, memberi sumbangan material, moral atau kerja bakti sesama jiran tetangga. Membantu memodali, mendirikan, memajukan dan mengimarahkan sekolah agama, madrasah, surau, masjid, tanah wakaf / bangunan wakaf / kereta wakaf dan sebagainya... amal khairat itu indah!

Amal jariah adalah amal khairat sebagai amal yang bernilai di akhirat. Amal khairat - segala amal yang baik, diredhai oleh Allah SWT, dilaksanakan dengan niat dan kaifiat yang baik serta mendatangkan kebaikan kepada semua dari segenap segi.

Ilmu yang bermanfaat - pastilah ilmu yang dituntut dengan jalan yang baik dan untuk kebaikan pula. Pada umumnya ilmu itu ialah segala ilmu apa sahaja yang ada. Cuma, di sini dijelaskan bahawa semestinya ilmu itu adalah ilmu yang bermanfaat untuk kebaikan individu dan masyarakat umum, membangkitkan kemajuan diri dan orang lain, mengakrabkan diri perseorangan dengan yang lain, menjernihkan dan memurnikan ikatan hati serta akal kepada Allah Sang Pencipta - yang akhirnya (ilmu itu) perlu menuntun hidupnya dan orang lain kepada wawasan pemikiran dan tindakan rabbani [pemikiran yang sentiasa pada landasan dan garis panduan ciptaan Allah SWT].

Al-Fadhil Ustaz Hj Hadiq Ismail - pengasas Maahad... membangun generasi mujahid Tambunan...

Ilmu yang mendorong kemajuan peradaban manusia - seperti ilmu sains dan teknologi, ilmu medikal, ilmu kemahiran, ilmu perekonomian, ilmu politik dan sebagainya, itu semua sangat perlu. Sebab, perkembangan bentuk kehidupan manusia memang sentiasa perlu dengan segala ilmu tersebut dengan sifat 'update' serta 'inovasi'nya masing-masing - dan ia bermatlamat memenuhi kelengkapan hidup berasaskan material semasa. Dalam Islam semua itu terangkum dalam kerangka 'Ilmu Fardhu Kifayah'.

Nah... disana ada ilmu perdana yang sangat-sangat diperlukan oleh saya dan Anda. Ilmu itu ialah segala ilmu yang terbingkai dalam kerangka 'Ilmu Fardhu 'Ain'. Fungsi dasarnya adalah untuk mempereratkan, mengakrabkan dan menundukkan 'ilmu dan kemahiran umum' kepada ilahi. Dengan ini saya dan Anda akan menjadi orang yang berilmu tinggi dan berkedudukan baik disisi manusia - namun, dalam masa yang sama juga menjadi 'hamba ALLAH SWT' yang benar-benar murni ketaatannya pada-NYA dan berkedudukan mulia disisi-NYA kerana nilai TAQWA... ilmu itu menenangkan!

Kedua-dua ilmu itu mesti dipelajari dan seterusnya diamalkan secara bersamaan. Kalau hanya dipelajari, namun tidak ditekuni sehingga mahir; apalagi tidak diamal dan diaplikasi - maka ia tidak akan bermanfaat dan tidak akan membuah untuk dinikmati.

Bagaimana dengan 'anak soleh yang sentiasa mendoakan (ibu dan bapa) dengan segala kebaikannya?'.

Wahai pemuda dan pemudi... luaskan ruang dan peluang amal Anda dengan sunnah 'perkahwinan @ pernikahan yang sah' dan diredhai. Ini nikmat, sekaligus cabaran ilmu dan iman kita. Yang sudah perlu - bernikahlah! Yang belum berpunya - mencarilah! Yang sedang bertunang - sempurnakanlah! Yang merasa tidak cukup (dengan satu) - menambahlah! [harus bagi yang memenuhi syarat dan keperluan]... Yang belum mampu - berusahalah, berpuasalah dan bersabarlah! Yang 'dayyus' tidak payahlah!!!

Anak adalah anugerah dan amanah, batu ujian dan saham akhirat, bebanan tetapi mematangkan... tanpa modal ini, kurang sedikit saham saya dan Anda. Bukan semata-mata pewaris dan penerus wadah induknya; bahkan, ingat.... zuriat dari sulbi kita juga sebagai bakal khalifah penerus hajat, iradat dan tadbir-NYA di bumi ini...

Semoga saya dan Anda bersedia menjadikan anak kita sebagai modal dan model kehidupan yang baik. Sekurang-kurangnya sang anak mampu 'mendoakan teduhan nikmat' bila mana kita dipanggil Allah SWT ke relung istirehat di alam ketiga - iaitu alam barzakh... Anak itu berkah!

Maahad Al-Kautsar amat berbesar hati atas sumbangan ikhlas
dari para penyumbang dana pembangunan Maahad ini.

----- PROMOSI MARI BERAMAL KHAIRAT----

Kepada Anda yang budiman... mari beramal khairat dengan apa jua sumbangan samada material atau sokongan moral kepada pembangunan "MAAHAD AL-KAUTSAR, TAMBUNAN, SABAH" dibawah kelolaan Al-Fadhil Ustaz Hj. Hadiq Ismail.

Sila layari - http://maahadalkautsar.wordpress.com @ Facebook 'Maahad Al-Kautsar Tambunan' untuk mendapatkan keterangan lanjut daripada pihak pengelola Maahad.


Semoga kita termotivasi untuk menambahkan kekayaan amal...


Abu Miftah
12/10/2010M
4 ZulQaedah 1431H

Ahad, 10 Oktober 2010

MAT USIA Bahagian Tambunan


Tambunan ; Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) USIA Bahagian Tambunan telah berjaya dilaksanakan dengan baik dan mendapat sambutan yang menggalakkan dari hampir semua cawangan USIA Bahagian.

Bertepatan dengan tarikh yang indah - 10/10/2010 - MAT kali ini diadakan dalam suasana pelbagai bentuk emosi. Ini kerana, bukan sahaja diadakan bagi tujuan membentangkan laporan aktiviti dan pergerakan organisasi, tetapi juga turut merai dan menghargai para pejuang agama atau muballigh yang telah melalui pahit manis perjuangan menyebar dan menyampaikan agama Islam melalui USIA, khususnya di Daerah Tambunan.


MAT kali yang ke-24 ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Hj. Sairin Bin Hj. Karno, Ahli Majlis Tertinggi USIA Pusat - merangkap Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah. Turut hadir sama ialah beberapa orang wakil dari USIA Pusat, bagi memastikan perlaksanaan MAT lebih teratur, disamping memberikan suntikan sokongan kepada kepimpinan dan ahli USIA Bahagian.

Dalam ucaptama dan perasmian tersebut, YB Datuk telah membawa imbasan ingatan para hadirin tentang erti perjuangan dan kesungguhan dalam menyampaikan dakwah Islam. Dengan ucapan yang penuh dengan humor tetapi berisi pesanan penting, beliau menegaskan bahawa kewajipan dakwah adalah tanggungjawab bersama. Untuk menyampaikan keindahan Islam kepada semua, tidak perlu kita menunggu sampai keilmuan itu lengkap dahulu. Mengambil iktibar pesan Rasulullah saw - "Sampaikanlah (tentang agamamu) walaupun satu ayat (mengikut kemampuanmu)", maka penyampaian agama yang hak ini perlu diteruskan.

Menurut beliau lagi, hikmah dan toleransi amat diperlukan dan diutamakan dalam proses dakwah yang dilakukan - "Jatuh ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi gunung, dilempar ke atas menjadi awan yang menurunkan hujan yang menyejukkan" - begitulah indahnya pekerti dan kukuhnya jati diri dalam menempuh arus dakwah. Akhirnya, beliau merumuskan bahawa melaksanakan usaha murni ini bukanlah suatu yang mudah; memerlukan pengorbanan, usaha kolektif dan saling memahami. Beliau berharap agar perjuangan generasi awal yang telah terbukti diteruskan dan dibuat penambahbaikan mengikut tuntutan semasa.

Dalam majlis tersebut, YB Datuk telah menyampaikan anugerah 'Jasamu Dikenang' kepada seramai 47 orang yang terdiri daripada muballigh dan penggerak USIA lelaki dan wanita. Semoga, dengan anugerah tersebut, mereka merasa dihargai oleh semua. Sesungguhnya, keikhlasan merekalah sebenarnya yang telah mewarnai kegemilangan perkembangan agama Islam - yang perlu diteruskan.

Pendaftaran...

Antara penerima anugerah "Jasamu Dikenang"

Al-fadhil Ustaz Hadiq Ismail & Hj Salleh Zainal turut dirai..

Perwakilan MAT & hadirin yang hadir...

Abu Miftah
10/10/2010M

Isnin, 27 September 2010

Nostalgia Bye Bye ROKOK..


[Sekadar perkongsian buat semua - semoga bermanfaat sebagai buah islah diri & bukan semata-mata untuk membuka pekung di dada ini]

Dulu aku memang pernah merokok...
B E N A R - tapi itu memang bukan diriku!

Bagaimana aku bye bye pada rokok?

Alhamdulillah. Aku kini sudah berjaya meninggalkan rokok & membencinya (kerana aku telah mengerti). Sejak lima tahun yang lalu... semoga tidak akan pernah lagi & justeru begitu juga buat anak-anakku nanti.

Mengimbas diari biruku (yang telah-ku catat pada 18 April 2005 - sehari selepas ulang tahunku) - aku telah mematrikan janji dengan catatan berikut :

"Berjanjilah untuk diri sendiri, demi keluarga, orang yang tersayang dan firstly demi ALLAH SWT - untuk meninggalkan -->> ROKOK <<-- yang bagiku tiada manfaatnya!

Ingatlah! Ya Saleh... Bagaimana kau mahu mengubah orang lain, kalau kau sendiri belum mampu berubah!


Berubahlah! Ingat...

Mulai dari diri sendiri...
Mulai saat ini juga...
Mulailah mengubah dari yang terkecil....

(kesan tausiyah Aa Gym)


Bersederhanalah dalam segala hal yang engkau hadapi...

Takabbur (ego) akan menewaskan mu... jika kau tidak mahu terus atau tetap leka dengan apa yang kau miliki..."

Begitulah sahaja rupanya catatan keramat tersebut...

Hanya ilmu, taufiq dan irsyad dari-MU yang setiasa hamba-MU ini inginkan sebagai bekal...

[Untuk mengubah tabiat yang 1 ini memakan masa, bertahap; perlu kefahaman ilmu, kesabaran, azam & tekad yang berpadu]

* Catatan & perhatian teman-teman : Reformasi fatwa ROKOK --->> dulu khilaf tetapi sekarang ijma' [dulu ada pelbagai fatwa khilafi - tetapi sekarang ulama dengan bantuan pakar kesihatan telah ijma' yang hukum merokok adalah HARAM]

"Rabbanaa Maa Kholaqta Haza Bhatilan"

Abu Miftah
27-09-2010
18 Syawwal 1431H